MITOS DEWA-DEWI YUNANI

Pautan ke artikel asal:
John Black. (30 Januari 2013). Greek mythology and human origins. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/human-origins-folklore/greek-mythology-and-human-origins-0064

Penterjemah: Amir Zayyanid


Mitologi Yunani dimulakan dengan Mitos Penciptaan. Mitos ini terkandung dalam pelbagai sumber dari teks-teks Yunani purba. Mitos yang paling sempurna datang daripada Theogony, dikarang oleh seorang pemuisi Yunani yang bernama Hesiod. Beliau yang hidup sekitar kurun ke-8SM menggabungkan kesemua mitos dan tradisi Yunani untuk menghasilkan karya berkenaan kosmogoni tersebut.

Menurut Theogony, alam semesta ini pada mulanya hanya terdapat  chaos  dan void sahaja (chaos ini tidak membawa maksud yang sama seperti yang difahami pada hari ini. Ia membawa maksud ‘ruang kosong’).

Kewujudan Chaos kemudian disusuli oleh Gaia (bermaksud bumi) dan Eros (cinta). Tiada penjelasan khusus sama ada Gaia dan Eros ini lahir daripada Chaos ataupun mereka wujud secara sendiri. Namun, Hesiod menyebutkan bahawa Gaia (bumi) wujud untuk menjadi kediaman para dewa. Keadaan ini sama seperti mitos-mitos dalam tamadun lain, misalnya mitologi Sumeria yang memerincikan bagaimana bumi tercipta untuk melahirkan dewa-dewa.

Chaos juga melahirkan Erebus (kegelapan alam kematian) dan Nyx (malam). Gaia pula melahirkan Uranus (langit) dan Okeanus (laut).

Mitologi ini dilanjutkan dengan dewa-dewa yang ada ini berhubungan antara satu sama lain bagi menyempurnakan penciptaan secara menyeluruh. Nyx dan Erebus berpasangan lalu melahirkan Hemere (siang) dan Aether (udara); Nyx juga melahirkan dewa-dewa lain seperti Moros, Thanatos (kematian), Nemesis, Hypnos (tidur), Eris dan Keres.

Uranus dan Gaia menjadi pasangan dewa pertama yang berkuasa. Uranus dan Gaia saling berhubungan lalu melahirkan ras Cyclope dan Dua Belas Titan. Salah satu Titan ini adalah Cronus (Saturn). Daripada sinilah pantheon Yunani yang masyhur itu bermula.

Dikisahkan bahawa Uranus cemburu dengan anak-anaknya lalu menghukum mereka supaya kekal berada dalam rahim Gaia. Namun, dengan bantuan Cronus, Gaia menghukum Uranus dan mengembirinya. Kemaluan dan darah Uranus menitis pada Gaia (bumi) lalu melahirkan sejumlah dewa lain, seperti Aphrodites, Erinyes, ras gergasi dan ras pari-pari.

Uranus dan Gaia kemudian memberitahu sebuah ramalan kepada Cronus, bahawa kelak salah seorang anak lelakinya akan mengalahkannya. Lantaran itu, Cronus pun menelan kesemua anaknya. Gaia sempat menyelamatkan Zeus (Jupiter) yang masih bayi. Zeus dibesarkan di Pulau Crete sehingga dengan bantuan Metis (satu lagi Titan), Zeus memaksa Cronus memuntahkan semula anak-anaknya. Dengan dipimpin oleh Zeus, enam orang beradik (anak kepada Cronus, iaitu Demeter, Hera, Hestia, Hades dan Poseidon) menentang Cronus. Cronus lantas dihumban ke dalam Tartarus (alam kematian di bawah Bumi).

Setelah itu, dewa-dewa ini membahagikan dunia ini sesama sendiri. Zeus sebagai dewa terulung, menguasai dewa-dewa yang lain. Kesemua dewa ini mendiami puncak Gunung Olympus di Yunani.

Mitologi Yunani dipenuhi dengan pergaduhan antara dewa, sama seperti beberapa mitologi tamadun lain. Namun setakat ini, kita masih belum menyentuh perihal penciptaan manusia.

Dalam pertempuran yang disebutkan di atas, tiga orang Titan tidak menyokong perbuatan Cronus. Mereka adalah Prometheus, Epimetheus dan Okeanus. Prometheus kemudian menyertai pihak Zeus sambil kesemua Titan, kecuali beliau dan Epimetheus, dihumban ke dalam Tartaros.

Prometheus adalah dewa pertama yang mencipta manusia dengan menggunakan lumpur. Dewi Athena pula bertanggungjawab meniupkan nyawa ke dalam tubuh tersebut.

Epimetheus diminta oleh Prometheus agar memberikan pelbagai macam kemahiran kepada segala hidupan di bumi ini; namun, Epimetheus telah pun memberikan segala kemahiran yang ada kepada makhluk lain tanpa ada yang tinggal buat manusia. Lantaran itu, Prometheus membuatkan manusia supaya (dapat) berdiri tegak – hanya dewa-dewa sahaja berkeadaan demkian – dan memberikan mereka api.

Hal ini membangkitkan kemarahan Zeus kerana beliau tidak begitu menggemari manusia, walaupun manusia adalah ciptaan kesayangan Prometheus. Zeus lantas memerintahkan agar manusia wajib memberikan sebahagian daripada haiwan yang mereka korbankan kepada dewa. Namun, Prometheus memperdaya Zeus dan akibatnya, Zeus merampas api daripada manusia. Pun begitu, Prometheus kemudian mencuri semula api itu dan mengembalikannya kepada manusia. Atas sebab itu, Zeus menghukum Prometheus dan manusia.

Hukuman yang ditimpakan oleh Zeus ke atas manusia adalah penciptaan Pandora (dengan bantuan dewa Hephaestus). Beliau memberikan Pandora sebuah kotak, namun tidak membenarkannya untuk membuka kotak berkenaan. Kotak tersebut dipenuhi dengan segala macam kejahatan, penyakit dan wabak, sementara jauh di dasar kotak itu terdapat ‘harapan’.

Prometheus juga dijatuhi hukuman di Gunung Kaukasus, di mana beliau dirantai pada sebongkah batu. Pada setiap malam, seekor helang akan datang lalu memakan jantungnya. Siang berikutnya, jantung tersebut akan tumbung kembali dan apabila malam menjelma, helang itu akan datang dan memakan jantung itu sekali lagi – secara terus-menerus tanpa henti.

Kelak dengan bantuan seekor Centaur, iaitu Chiron dan seorang separa-dewa, iaitu Hercules, Prometheus dibebaskan.

Jelas kepada kita bahawa mitologi Yunani mengandungi beberapa kesamaan dengan mitologi beberapa tamadun lain. Antaranya seperti kepercayaan bahawa air sebagai asal seluruh kejadian; pergaduhan yang terus-menerus dalam kalangan dewa; dan yang paling penting, keengganan dewa untuk membenarkan manusia memiliki ilmu.