MITOS PENCIPTAAN AZTEC

Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (28 Januari 2013). Aztec Creation myths. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/human-origins-folklore/aztec-creation-myths-0071

Penterjemah: Amir Zayyanid


Tamadun Aztec berkembang di Amerika Tengah beberapa kurun sesudah rantau itu menyaksikan kegemilangan tamadun Maya.

Mitos penciptaan menurut masyarakat Aztec melibatkan penciptaan dan kemusnahan yang berterusan, dikenali sebagai (kitaran) matahari. Mitos yang menceritakan tentang penciptaan ini dipanggil sebagai Legenda Matahari Kelima.

Alam semasa permulaannya hanya terdapat kegelapan, kekosongan. Penciptaan hanya bermula setelah dwi-kemenjadian yang bernama Ometecuhtli / Omecihuatl mencipta dirinya sendiri. Dewa pertama ini merangkumi nilai baik dan jahat, lelaki dan wanita. Ia melahirkan empat dewa lain, iaitu Huizilopochtli, Quetzalcoatl, Tezcatlipoca, dan Xipe Totec. Dewa-dewa inilah yang menciptakan dunia.

Perkara-perkara awal yang diciptakan oleh Quetzalcoatl dan Huitzilopochtli adalah api dan separuh matahari. Mereka kemudiannya mencipta manusia menerusi pengorbanan satu dewa, di mana titisan darah dewa itu pada tulang-belulang yang dikumpulkan mencipta lelaki dan wanita pertama. Dua manusia awal ini dikenali dengan nama Oxomoco dan Cipactonal. Penciptaan ini masing-masing mengambil masa selama empat hari.

Selepas menciptakan manusia, dewa-dewa Aztec kemudiannya mencipta raja-raja alam kematian, raja-raja langit dan lautan. Antaranya seperti makhluk air yang berupa seperti buaya, yang bernama Cipactli. Begitu juga dengan dewa hujan, Tlaloc serta isterinya, Chalchiuhtlicue.

Selepas penciptaan awal ini selesai, suatu kitaran alam yang melibatkan lima fasa matahari pun menyusul. Lima fasa matahari ini mewakili lima fasa dunia, yang setiap satunya berakhir dengan kemusnahan alam semesta. Menurut masyarakat Aztec, kita kini berada pada fasa matahari kelima.


Matahari Pertama: Elemen zaman pertama ini adalah bumi. Tezcatlipoca dipilih untuk dikorbankan demi mencipta sumber tenaga alam. Namun, dewa ini hanya mampu membentuk separuh matahari.

Pada zaman ini, suatu peraduhan tercetus di antara Quetzalcoatl dan Tezcatlipoca yang dimenangi oleh Quetzalcoatl. Namun, Tezcatlipoca membalas dendam dengan menghantar harimau-harimau kumbang ke bumi demi menghapuskan gergasi-gergasi yang ada di sana. Dengan demikian, berakhirlah fasa matahari pertama.


Matahari Kedua: Elemen zaman kedua ini adalah udara dan era ini ditadbir oleh Quetzalcoatl. Manusia pada fasa ini dicipta dengan rupa bentuk seperti kita pada hari ini. Namun, mereka menjadi korup. Lantaran itu, Tezcatlipoca pun mengubah rupa mereka menjadi monyet. Quetzalcoatl pula menurunkan ribut taufan bagi membadai monyet-monyet itu. Menurut legenda, monyet-monyet pada zaman kini adalah mereka yang terselamat daripada badai ribut tersebut.


Matahari Ketiga: Elemen bagi zaman ini adalah api dan dewa yang berkuasa pada zaman ini adalah Tlaloc, dewa hujan dan air. Pergaduhan sempat tercetus di antara Tezcatlipoca dan Tlaloc apabila Tezcatlipoca merampas isteri Tlaloc. Sebagai membalas dendam, Tlaloc mengubah seluruh manusia menjadi ayam belanda, anjing dan rama-rama. Quetzalcoatl pula menurunkan hujan api dan abu ke atas golongan bangsawan sekaligus mengakibatkan kemusnahan buat manusia, untuk kali ketiganya.


Matahari Keempat: Elemen yang dikaitkan dengan zaman ini adalah air dan dewa yang dipilih untuk mentadbir alam adalah saudara perempuan merangkap pasangan Tlaloc, iaitu Calchiuhtlicue. Pada fasa matahari ini, Quetzalcoatl dan Tezcatlipoca masin-masing dikuasai rasa iri hati. Lantas, seluruh penghuni dunia ditukar menjadi ikan dan zaman ini dihancurkan dengan banjir besar yang melanda.


Matahari Kelima: Dikatakan bahawa fasa matahari kelima adalah fasa yang sedang kita jalani pada hari ini. Dewa yang dipertanggungjawabkan ke atas fasa ini adalah Nanahuatzin. Legenda meramalkan bahawa era ini akan berakhir dengan gempa bumi.


Gambaran berkenaan mitos penciptaan ini, bersama dengan kelima-lima fasa mataharinya, ada dipahat pada Batu Kalendar Aztec. Tambah menarik, ciri-ciri mitos penciptaan Aztec ini memiliki kemiripan dengan mitos penciptaan Mesir, Sumeria, Yunani dan kebanyakan agama lain, terutama berkenaan dewa-dewa yang memainkan peranan penting dalam proses penciptaan dan bagaimana pergaduhan sesama mereka menentukan perjalanan hidup manusia.