MITOS PENCIPTAAN MAYA

Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (30 Januari 2013). The Maya myth of creation. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/human-origins-folklore/maya-myth-creation-0063

Penterjemah: Amir Zayyanid


Tamadun Maya berkembang pesat di Amerika Selatan sekitar tahun 2000SM. Mereka membangunkan banyak bidang seperti kesenian, seni bina, astronomi dan sistem tulisan. Walaupun tulisan dan bahkan kalendar Maya yang mashur itu bukanlah ciptaan mereka sendiri (tetapi dicipta oleh Olmec), mereka berupaya mengembangkannya dengan lebih maju.

Popol Vuh, atau Kitab Manusia, adalah sebuah koleksi penceritaan yang mengandungi mitos-mitos dan fakta-fakta sejarah berkenaan kaum Maya. Versi buku itu yang sampai kepada kita adalah berdasarkan pada manuskrip catatan seorang paderi Dominica yang bernama Francisco Ximenez. Namun malangnya, kebanyakan karya sastera dan hasil tulisan mereka musnah di tangan Sepanyol pada kurun ke-18. Hal ini menjadikan Popol Vuh sebagai satu karya yang sangat berharga.

Walaupun perkataan ‘mitos’ tidak wujud dalam kamus kaum Maya, menurut mereka, Popol Vuh merupakan buku yang mengandungi sejarah dan asal-usul mereka.

Dalam buku ini, mitos penciptaan mengambil peranan yang cukup penting. Dewa-dewa pertamanya menciptakan bumi dan langit, lalu melanjutkan penciptaan dengan haiwan dan makhluk-makhluk hidup lain, termasuklah burung. Dewa-dewa ini mahu namanya diseru, dipuja dan diingati. Namun, kesemua haiwan ini tidak boleh bercakap. Justeru, dewa-dewa ini dianggap gagal dalam penciptaan awal mereka, sebagaimana yang terkandung dalam buku itu sendiri:

“Bagaimana nama kita dapat diseru dan diingati di muka bumi ini? Kita telah pun menciptaan makhluk pertama ini, namun ternyata mereka tidak berupaya untuk menyebut dan mengagungkan nama kita.”

Lantaran itu, mereka pun mula mencipta manusia. Mereka mencipta tubuh manusia daripada bumi dan lumpur. Namun sekali lagi, usaha mereka gagal kerana tubuh ini mudah hancur. Penciptaan manusia yang seterusnya melibatkan penggunaan kayu dan meraih kejayaan jika dibandingkan dengan dua cubaan sebelumnya. Justeru, manusia pun berjaya dicipta.

“Manusia pun wujud dan berkembang biak; melahirkan anak perempuan dan melahirkan anak lelaki. Namun hati mereka kosong, begitu juga dengan fikiran mereka. Mereka langsung tidak mengingati pencipta mereka. Mereka hanya menjalani hidup dan berjalan di atas muka bumi semahunya. Mereka tidak lagi mengingati Pencipta Langit.”

Lantaran itu, dewa-dewa masih tidak berpuas hati kerana mereka mahu nama mereka dipuja. Justeru, dewa-dewa ini pun menghapuskan manusia dengan menurunkan banjir besar. Perincian yang jelas berkenaan kehancuran ini terkandung dalam Popol Vuh. Malahan, terdapat satu kenyataan menarik dalam buku ini di mana ia mendakwa bahawa monyet merupakan keturunan daripada ciptaan ketiga ini.

Usaha keempat dan terakhir lebih menarik. Jagung dicampurkan dengan air untuk dijadikan bahan bagi mencipta manusia. Empat manusia terawal yang diciptakan adalah empat manusia pertama yang diciptakan pada era ciptaan keempat ini.

“Kali ini, makhluk yang diciptakan oleh para dewa bersifat sempurna seperti yang diharapkan, malah jauh lebih sempurna. Empat manusia pertama ini tidak hanya memuja pencipta mereka, namun mereka juga memiliki ilmu yang sempurna.”

Kesempurnaan ini mengejutkan para dewa. Menerusi penulisan Popol Vuh, jelas digambarkan bagaimana para dewa enggan membenarkan manusia memiliki kesempurnaan yang membolehkan mereka sendiri menjadi dewa. Sebaliknya, para dewa berhasrat untuk membataskan kemampuan manusia untuk hanya sekadar memuja mereka.

“Para dewa berasa terkejut lantaran makhluk yang diciptakan oleh mereka itu memiliki ciri dewa. Maka setelah membuat perbincangan, mereka pun memutuskan untuk meletakkan kabus pada mata manusia. Seterusnya, mereka menciptakan empat orang isteri bagi empat orang lelaki pertama tadi. Dan daripada pasangan-pasangan ini maka lahirlah jalur keturunan Quiche.”