PERANAN LA MALINCHE DALAM KETUMBANGAN EMPAYAR AZTEC - PENGKHIANAT ATAU WIRA?

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (24 Julai 2019). The Controversial Role of La Malinche in the Fall of the Aztec Empire: Traitor or Hero? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/controversial-role-la-malinche-fall-aztec-empire-traitor-or-hero-005284

Penterjemah: Amir Zayyanid


La Malinche (bermaksud ‘wanita kapten’), juga dikenali sebagai Malinalli, Malintzin, atau Dona Marina, adalah satu figura yang penting dalam sejarah Mexico terutama dalam peranan signifikan yang beliau mainkan dalam penaklukan Sepanyol ke atas Empayar Aztec.

La Malinche dianggap sebagai figura yang kontroversi dalam negara kelahirannya, sehingga ke hari ini. Bagi ramai pihak, beliau dipandang sebagai pengkhianat lantaran berkhidmat kepada Sepanyol. Perkataan ‘malinchista’ diabadikan sebagai sebuah slang yang membawa maksud ‘seorang pengkhianat kepada masyarakatnya sendiri’. Namun bagi pihak lain, La Malinche dianggap sebagai wira dan mereka meyakini bahawa reputasi negatifnya tidak berasas.


LATAR BELAKANG KEBANGSAWANAN LA MALINCHE

La Malinche dipercayai lahir pada tahun 15050. Menurut Bernal Diaz del Castillo, seorang conquistador yang mengambil bahagian dalam penaklukan Hernan Cortes ke atas Mexico, La Malinche adalah seorang yang berkelahiran bangsawan. Di dalam memoirnya, dikenali sebagai Historia verdadera de la conquista de la Nueva Espana (Sejarah Sebenar Penaklukan Sepanyol Baro), Diaz menulis:

“Beliau (La Malinche) lahir sebagai pemerintah ke atas masyarakat dan negaranya, - kerana orang tuanya memiliki kekuasaan ke atas bandar yang bernama Painala. Bandar ini pula menguasai beberapa buah bandar bawahan lain. Painala terletak kira-kira 24 batu dari bandar Guacasualco.”

La Malinche, bersama Cortes


Diaz melanjutkan dengan menyatakan bahawa bapa La Malinche meninggal dunia ketika beliau masih begitu kecil. Ibunya pula berkahwin sekali lagi. Perkahwinan tersebut melahirkan seorang anak lelaki, “yang mana selepas kematian bapa anak itu, mereka merancang untuk meninggalkan wilayah mereka.”

Namun, La Malinche dilihat sebagai penghalang rancangan tersebut, lalu “beliau dihantar secara rahsia kepada sebuah keluarga asli di Xicalango pada waktu malam”, sambil khabar angin yang kononnya anak gadis itu terbunuh disebarkan. Keluarga angkat ini juga tidak mengasuh La Malinche, sebaliknya menghantar beliau ke Tabasco.


LA MALINCHE DIHADIAHKAN SEBAGAI HAMBA KEPADA SEPANYOL

Cacique (ketua) Tabasco adalah individu yang menghadiahkan La Malinche, bersama 19 orang gadis lain, sebagai hamba kepada Hernan Cortes berikutan kekalahannya di tangan Sepanyol dalam sebuah pertempuran. La Malinche dan hamba-hamba lain ini dikatakan sebagai kelompok “pertama yang memeluk agama Kristian di Sepanyol Baru, dan diserahkan kepada ketua-ketua pegawai Cortes”.

La Malinche diserahkan kepada seorang pegawai yang bernama Puertocarrero. Namun tatkala beliau pulang ke Sepanyol, Cortes sendiri mengambil La Malinche sebagai wanita miliknya. Cortes dan La Malinche dikurniakan seorang anak bernama Don Martin Cortes, dan beliau dianggap sebagai salah seorang mestizos pertama (individu kacukan Eropah dan asli Amerika) di Sepanyol Baru. Namun, La Malinche jauh lebih signifikan berbanding hanya sekadar berperanan sebagai wanita Cortes.

Hernan Cortes dan La Malinche menemui Moctezuma II di Tenochtitlan, 8 November 1519


Salah satu sifat terpuji La Malinche boleh dilihat semasa cubaan Sepanyol untuk mengubah agama para pembesar masyarakat asli kepada Kristian. Ketika pembesar-pembesar ini dikumpulkan di Guascasualco atas perintah Cortes, La Malinche bertemu dengan ibu dan saudara tirinya. Mereka saling mengenali antara satu sama lain, justeru membuatkan ibu serta saudara tiri La Malinche ketakutan kalau-kalau La Malinche akan membunuh mereka berdua atas apa yang telah dilakukan sebelum ini. Namun sebaliknya, menurut Diaz, La Malinche:

“Meminta supaya mereka mengelap air mata, dan memujuk mereka dengan mengatakan bahawa mereka tidak benar-benar bermaksud untuk melakukan apa yang telah mereka lakukan terhadapnya semasa menghantar beliau ke Xicalango. Beliau telah memaafkan segala kesalahan di masa silam. Dengan demikian, Tuhan memberikan segala kebaikan kepadanya, memalingkannya dari kekafiran dan menukarkan agamanya menjadi Kristian.”

Akhirnya, ibu dan saudara tirinya pun memeluk agama Kristian.

Cortes melantik La Malinche sebagai penterjemahnya


KEUPAYAAN LINGUISTIK DAN PERANAN DIPLOMATIK MALINCHE

Namun, nama La Malinche paling dikenang lantaran peranannya sebagai penterjemah Cortes. Sebelum menemui La Malinche, ketua penterjemah yang berkhidmat untuk Sepanyol adalah seorang mubaligh Franciscan yang bernama Geronimo de Aguilar. Beliau mempelajari bahasa Maya ketika berada dalam tahanan masyarakat tempatan. 

Aguilar berupaya bertutur dalam bahasa Maya dan Sepanyol, manakala La Malinche pula bertutur dalam bahasa Maya dan Nahuatl. La Malinche juga sangat berpendidikan lantaran latar belakangnya sebagai puteri kepada seorang cacique. Mereka berdua berkhidmat sebagai penterjemah Cortes, sehinggalah La Malinche mahir dalam bahasa Sepanyol.

Geronimo de Aguilar dihadiahkan kepada Cortes setelah 11 tahun berada dalam tahanan masyarakat tempatan


Menerusi keupayaan linguistik La Malinche inilah segala pertemuan dan rundingan di antara Cortes dan pemerintah Aztec, Moctezuma, dapat dijalankan. Selain itu, La Malinche juga berupaya berkomunikasi dengan pelbagai puak asli di wilayah-wilayah yang perlu dilalui oleh tentera-tentera Sepanyol, sekaligus menghindari konflik bersenjata di antara kedua belah pihak.

Sejarahwan bernama Cordelia Candelaria menotakan dua contoh khusus di mana La Malinche menyelamatkan Sepanyol dari ditimpa kesusahan. Pertamanya di Tlaxcala, ketika ‘pemerhatian bijaknya berjaya mendedahkan sebuah konspirasi masyarakat asli yang mahu memerangi Cortes’. Dalam kes kedua, La Malinche meraih maklumat daripada seorang wanita tua berkenaan serangan Montezuma, dan sebagaimana Candelaria menulis:

“Berbekalkan maklumat ini, Cortes memutuskan untuk mengubah rancangannya dan memintas Cholula sebelum bergerak terus ke Tenochtitlan. Perubahan rancangan ini mengejutkan masyarakat asli dan menambahkan lagi keyakinan mereka terhadap ‘kuasa mistik’ yang dimiliki tentera Sepanyol… Dalam keadaan ini dan keadaan-keadaan lain, kehadiran La Malinche memberikan faktor pemisah antara hidup dan mati.”

Persekutuan dengan masyarakat-masyarakat asli yang bermusuhan dengan Aztec turut dapat dijalinkan melalui La Malinche. Justeru, La Malinche memberikan sumbangan yang signifikan terhadap kejayaan Sepanyol menakluki Empayar Aztec.

Seteru Aztec iaitu Tlaxcala menjadi sekutu Sepanyol atas jasa La Malinche


ADAKAH REPUTASI BURUK LA MALINCHE ITU SUATU YANG WAJAR BAGINYA?

Berikutan Empayar Aztec jatuh di tangannya, La Malinche meraih reputasi yang buruk. Namun, umum berpendapat bahawa La Malinche tiada pilihan dalam banyak situasi hidupnya. Contohnya, beliau tidak dapat memilih takdirnya yang mengkehendaki beliau menjadi hamba Sepanyol.

Apapun, apabila beliau berupaya untuk memilih, La Malinche didakwa melakukan pilihan yang dianggap terhormat. Misalnya, ketika beliau berpeluang untuk membalas dendam atas kesalahan ibunya semasa beliau kecil, beliau memilih untuk memaafkannya. Selain itu, dengan kehadiran La Malinche sebagai penterjemah di menja rundingan antara Aztec dan Sepanyol, setidaknya sejumlah pertumpahan darah dapat dielakkan.


SUMBER