- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (15 Februari 2020). The Battle of Cajamarca – The Conquest of the
Spanish and the End of the Inca Empire. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/battle-cajamarca-0013291
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/battle-cajamarca-0013291
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pertempuran Cajamarca
adalah sebuah pertempuran yang tercetus di antara Sepanyol dan Inca pada tahun
1532. Pertempuran ini, yang kadangkala hanya dianggap sebagai satu serangan
hendap atau pertempuran kecil, memperlihatkan sepasukan kecil tentera Sepanyol
yang diketuai oleh seorang conquistador bernama Francisco Pizarro
menangkap Atahualpa, si Sapa Inca (pemerintah Empayar Inca).
Kemenangan Pizarro
dalam pertempuran ini memberi kesan yang besar terhadap sejarah Sepanyol dan
benua Amerika. Susulan daripada pertempuran ini, Empayar Inca, salah sebuah
tamadun paling maju di benua Amerika pada waktu itu, musnah.
Akan tetapi bagi
Sepanyol, kemenangan ini membawa kepada penaklukan Peru dan memberikan kekayaan
yang berlimpah-ruah kepada empayar mereka. Hal ini seterusnya menyumbang kepada
peneguhan kedudukan Sepanyol sebagai adikuasa di Eropah.
INCA MENJELANG PERTEMPURAN
CAJAMARCA
Walaupun Pertempuran
Cajamarca berlaku pada tahun 1532, peristiwa-peristiwa yang berlaku pada
tahun-tahun sebelumnya banyak menyumbang kepada kekalahan Inca ini. Tidak lama
sebelum ketibaan Pizarro dan tenteranya, Empayar Inca berada di zaman
kemuncaknya. Pada kurun ke-15, pemerintah-pemerintah Inca berjaya meluaskan
sempadan empayar ke utara dan selatan menerusi kempen ketenteraan.
Menjelang kemangkatan
Huayna Capac (ayahanda Atahualpa), yakni sekitar tahun 1527 Masehi, wilayah
Empayar Inca terbentang luas dari Ecuador moden di utara hingga ke bahagian
tengah Chile moden. Penaklukan-penaklukan yang merangkumi kawasan seluas ini membawa
maksud Empayar Inca memiliki pasukan tentera yang gagah. Apapun, mereka
bukanlah masyarakat yang sepenuhnya tertumpu pada ketenteraan. Mereka merupakan
salah satu tamadun paling maju di Amerika pada waktu itu.
Untuk menghubungkan
sebuah wilayah dengan wilayah yang lain dalam empayar mereka, masyarakat Inca
membina satu sistem jalan yang meliputi jarak sekitar 25 000 batu (40 200
kilometer), atau secara kasarnya tiga kali ganda diameter bumi.
Masyarakat Inca
juga mahir dalam pelbagai pertukangan. Walaupun mereka banyak menghasilkan
barangan emas dan perak yang cantik-cantik, yang mana hal ini menggamit para conquistador
Sepanyol, barangan tekstil mereka adalah penghasilan yang dianggap sebagai
kemuncak nilai artistik tamadun Inca.
![]() |
| Inca menghasilkan banyak barangan berharga termasuklah produk tekstil |
Jenis kain mereka yang
paling berkualiti dikenali sebagai cumpi. Ia digunakan secara ekslusif
oleh golongan elit. Masyarakat Inca juga merupakan pembina yang mahir. Mereka
membina bangunan-bangunan batu tanpa menggunakan campuran simen. Dipercayai
bahawa bongkah-bongkah batu untuk pembinaan sepadan dengan sempurna hinggakan
‘objek yang senipis bilah pisau pencukur pun tidak boleh dimasukkan ke dalam
celah-celah batu sesebuah bangunan Inca’.
Ringkasnya, Empayar
Inca merupakan sebuah tamadun yang sangat maju walau di ambang kehancurannya.
Malahan, pihak Sepanyol yang bertembung dengan tamadun ini pun berasa takjub
dengan kemajuan yang mereka saksikan.
SEPANYOL MENJELANG
PERTEMPURAN CAJAMARCA
Pada pihak lain,
Sepanyol baru sahaja selesai merebut semula tanah air mereka dari tangan
Muslim. Pada tahun 1492, setahun sebelum kenaikan takhta Huayna Capac, kubu
kuat terakhir Muslim di Semenanjung Iberia, iaitu Granada, tumbang ke tangan
Ferdinand II of Aragon dan Isabella I of Castile, sekaligus menandakan tamatnya
kempen Reconquista.
Pada tahun sama,
Christopher Columbus memulakan perlayaran pertama dari empat perlayarannya
dalam usaha mencari laluan laut ke Asia, ke arah barat. Secara tidak sengaja,
Columbus menemukan Dunia Baru dan mengisytiharkannya sebagai milik Sepanyol.
Pada dekad-dekad berikutnya, Sepanyol meneroka dan mengkolonikan kepulauan
Caribbean.
Pada tahun 1510, Santa
Maria la Antigua del Darien (Panama moden) ditubuhkan oleh Vasco Nunez de
Balboa sebagai pendudukan kekal Sepanyol (dan Eropah) yang pertama di tanah
besar Amerika.
Tiga tahun berikutnya,
Balboa menjalankan satu ekspedisi mencari sebuah kerajaan asli di pesisiran
‘laut lain’ (other sea), yang kini dikenali sebagai Laut Selatan atau
Laut Pasifik Selatan. Balboa mendengar buat kali pertama perihal tempat ini
semasa berada di tanah Comagre, dari mulut cacique (ketua puak)
tempatan.
![]() |
| Laluan ekspedisi Balboa ke Laut Selatan, 1513 |
Sejarah menceritakan
bahawa Balboa dan orang-orangnya diterima dengan tangan terbuka oleh Comagre.
Mereka turut dijemput untuk menghadiri sebuah jamuan. Kemudian, tentera-tentera
Sepanyol ini dihadiahkan dengan beberapa emas. Namun, mereka tidak berpuas hati
dengan amaun yang sedikit itu dan mengeluh sesama sendiri.
Ketamakan mereka ini
menaikkan kemarahan putera sulung Comagre, yang bernama Panquiaco. Beliau
lantas memukul alat penimbang emas lalu berkata, “Kalau kalian laparkan sangat
emas ini hingga kalian meninggalkan tanah air kalian lalu menimbulkan kekacauan
di tanah air orang lain, mari aku tunjukkan pada kalian satu wilayah di mana
kalian boleh lampiaskan kelaparan kalian ini.”
Panquiaco memberitahu
kepada Balboa dan orang-orangnya tentang sebuah kerajaan di selatan yang sangat
dan kaya. Penduduknya makan dan minum dengan menggunakan pinggan dan cawan
emas. Putera ketua puak ini turut mengatakan bahawa pihak Sepanyol memerlukan
setidak-tidaknya sepuluh ribu tentera untuk menewaskan penduduk asli yang hidup
di kawasan pedalaman dan pesisiran Laut Selatan.
Ekspedisi yang
dijalankan oleh Balboa ini berhasil dengan kejayaan. Setelah merentasi Panama
Isthmus, Balboa menyaksikan Laut Selatan dari pantai barat Dunia Baru lalu
mengisytiharkannya sebagai milik Sepanyol.
EKSPEDISI DAN
PERISTIWA-PERISTIWA MENJELANG PERTEMPURAN CAJAMARCA
Salah seorang individu
yang menyertai ekspedisi Balboa ke Laut Selatan ini adalah Francisco Pizarro,
yang berkhidmat sebagai kapten. Pizarro dilahirkan sekitar tahun 1475 di
Trujillo, sebuah bandar di bahagian barat Sepanyol. Pada tahun 1502, Pizarro
meninggalkan Dunia Lama untuk pergi ke Hispaniola (Haiti dan Republik Dominica
moden) bersama Nicolas de Ovando, gabenor baru koloni Sepanyol.
Pada tahun-tahun
berikutnya, Pizarro menyertai sejumlah ekspedisi. Misalnya pada tahun 1508,
beliau menyertai ekspedisi yang dilakukan oleh Alonso de Ojeda ke tanah besar.
Ekspedisi yang terdiri daripada 300 orang tentera ini menubuhkan sebuah koloni
yang dinamakan sebagai San Sebastian de Uraba, di kawasan yang terletak di
Columbia moden. Namun, koloni ini tidak dapat bertahan lama dan Pizarro
mengetuai saki-baki tentera (hanya 100 sahaja yang terselamat pada awal 1510)
kembali ke Hispaniola.
Sepanyol bertembung
dengan Empayar Aztec pada tahun 1519 dan menyelesaikan penaklukannya dua tahun
kemudian. Tanah-tanah Aztec habis dikuasai oleh Sepanyol, yang menjadikannya
sebagai sebuah koloni yang dipanggil Sepanyol Baru (New Spain). Tambahan
lagi, kekayaan yang diambil dari tamadun Aztec ini mencetuskan impian bagi
pendatang-pendatang Sepanyol lain yang ada di DUnia Baru. Masing-masing
membayangkan wujudnya tamadun-tamadun lain di rantau berkenaan untuk mereka
takluki.
![]() |
| Manuskrip Aztec menggambarkan tentera Sepanyol, dengan Cortes dan Malinche di hadapan |
Semasa Cortes sedang
memerangi Aztec, Pizarro berkhidmat sebagai datuk bandar Panama (Panama City
moden). Pizarro menjawat kedudukan tersebut sejak penubuhan penempatan itu pada
tahun 1519 sehingga 1523 dan berjaya mengumpulkan sejumlah harta.
Pada tahun 1524,
Pizarro menjalinkan kerjsama dengan Diego de Almagro, seorang tentera dan
Hernando de Luque, seorang paderi. Pada tahun sama, Pizarro melancarkan
ekspedisi pertamanya ke pantai Pasifik Amerika Selatan.
Namun, ekspedisi ini
berakhir dengan kegagalan berikutan cuaca buruk, kekurangan makanan dan
serangan daripada orang-orang asli yang ganas. Justeru, para conquistador ini
terpaksa kembali ke Panama tidak lama selepas tiba di pantai Colombia.
Pada tahun 1526,
ekspedisi kedua pula dilancarkan. Walaupun ia turut berakhir dengan kegagalan,
Pizarro berjaya menjejakkan kaki ke Peru. Tambahan lagi, beliau sempar
mendengar hikayat-hikayat tentang masyarakat Inca dan meraih sejumlah artifka
mereka. Hal ini meyakinkan beliau bahawa terdapat sebuah lagi empayar besar di
Dunia Baru yang menanti masa untuk ditakluk.
Ketika Pizarro pulang
ke Panama pada tahun 1528, beliau mendapati gabenor baru menentang idea
penerokaan dan penaklukan lanjut di benua Amerika. Lantaran itu, beliau kembali
ke Sepanyol dan meminta kebenaran langsung daripada Raja Sepanyol, Charles IV.
Raja memperkenan permintaan Pizarro, justeru pada tahun 1530, conquistador ini
berangkat semula ke Panama dengan disertai oleh empat orang saudaranya.
Sekitar tempoh
ekspedisi kedua Pizarro dijalankan, Huayna Capac mangkat, berkemungkinan
disebabkan oleh cacar, sejenis penyakit yang dibawa ke Dunia Baru oleh
orang-orang Sepanyol. Kematian Huayna Capac ini menghumban Empayar Inca ke
kancah perang saudara lantaran kedua-dua puteranya, Atahualpa dan Huascar
berebutkan takhta.
Menjelang tahun 1532,
Atahualpa meraih kemenangan ke atas Huascar, yang ditangkap selepas pertempuran
yang berlangsung di Quipaipan. Atahualpa lantas menuju ke selatan, atau
tepatnya, Cusco, ibu kota Inca. Hal ini bertujuan untuk menuntut takhtanya.
Semasa dalam perjalanan, beliau berhenti di sebuah kawasan berhampiran kota
Cajamarca, yang terletak di Andes, untuh beristirehat dan meraikan
kemenangannya ke atas Huascar.
Sebelum itu pada
Januari 1531, Pizarro melancarkan ekspedisinya yang ketiga dan pada tahun
berikutnya, beliau mara ke ibu kota Empayar Inca. Atahualpa ada mendengar
khabar tentang ketibaan tentera Sepanyol. Namun, beliau mengambil keputusan
untuk membiarkan sahaja mereka memasuki empayarnya tanpa halangan, lantaran
menganggap mereka sebagai tidak signifikan.
![]() |
| Laluan ekspedisi Francisco Pizarro semasa penaklukan Peru (1531-1533) |
Pada masa itu, tentera
Sepanyol berjumlah tidak lebih 200 orang. Sebaliknya, Atahualpa memiliki
kekuatan tentera mencecah 80 000 orang. Tambahan lagi, semangatnya membara
berikutan kemenangan yang dikecapi dalam perang saudara. Sifat memandang rendah
terhadap Sepanyol inilah yang kemudiannya mengakibatkan beliau kehilangan
empayarnya.
PERTEMPURAN CAJAMARCA
Pada 15 Novermber,
Pizarro dan Atahualpa bersepakat untuk bertemu di Cajamarca pada hari berikutnya.
Menurut be berapa catatan, pertemuan ini berlangsung pada 15 haribulan dan
bukannya 16 November. Walau apapun keadaannya, Pizarro berhasrat untuk
melakukan serangan hendap dan memerangkap Atahualpa pada waktu itu.
Atahualpa, yang masih
memperkecilkan pasukan Sepanyol itu, mengambil keputusan untuk meninggalkan
hampir seluruh 80 000 orang tenteranya di luar kota dan membawa hanya beberapa
ribu orang pengikutnya yang tidak bersenjata. Menurut satu versi penceritaan,
semasa awal-awal pertemuan, Vicente de Valverde, seorang mubaligh (friar)
yang menyertai ekspedisi Pizarro meminta agar Atahualpa memeluk agama Kristian
dan memperakui raja Sepanyol sebagai penguasa atasannya. Andai Atahualpa
enggan, kata Vicente, beliau akan dianggap sebagai musuh gereja dan Sepanyol.
Atahualpa membalas
dengan mengatakan bahawa beliau tidak akan menjadi ‘orang bawahan sesiapa’ dan
mencampak Bible atau buku agama yang diserahkan oleh Vicente kepadanya.
Hakikatnya, inilah detik yang pihak Sepanyol nantikan untuk laksanakan perangkap
mereka.
Jelasnya, pihak Inca
memiliki kelebihan dari segi bilangan tentera berbanding Sepanyol, di mana
ribuan tentera Inca menentang kurang 200 orang tentera Sepanyol. Namun, mereka
langsung tidak bersenjata. Sedangkan, tentera-tentera Sepanyol masing-masing
lengkap dengan pedang, senapang musket, dan beberapa laras meriam kecil. Lebih
daripada itu, mereka turut membawa 40 ekor kuda (haiwan yang tidak pernah
ditemui oleh Inca sebelum itu).
Senjata dan kuda-kuda
Sepanyol ini menambahkan lagi kejutan semasa serangan mengejut dilakukan.
Akibatnya, ramai pengikut Atahualpa terkorban. Menurut satu anggaran, dalam
tempoh hanya dua jam, lebih 4000 orang tentera Inca dibunuh oleh Pizarro dan
pasukannya. Sebaliknya, Pizarro tidak kehilanan seorang pun tenteranya.
Pasukan Sepanyol
melengkapkan kemenangan mereka dengan penangkapan Atahualpa. Pizarro sendiri
mengejar pemerintah Inca itu dengan kudanya. Namun, menangkapnya tidak mudah
seperti yang dijangkakan. Pemikul-pemikul tandu Atahualpa enggan meninggalkan
posisi mereka. Justeru, mereka terpaksa dibunuh sebelum Sapa Inca dapat
ditangkap.
![]() |
| Pertempuran Cajamarca, menunjukkan Maharaja Atahualpa dikepung di atas tandunya |
Pizarro menyedari
betapa pentingnya untuk membiarkan Atahualpa terus hidup. Lantaran itu, tatkala
salah seorang tenteranya hampir membunuh Atahualpa, Pizarro mencelah lalu
menerima satu tetakan di tangannya.
Penangkapan Atahualpa
ini memberikan satu kejutan yang amat besar buat seluruh masyarakat Inca.
Memandangkan Sapa Inca dianggap sebagai dewa hidup oleh rakyatnya, perbuatan
tentera Sepanyol ini begitu mengejutkan mereka.
Moral tentera Inca habis
diruntuhkan. 80 000 orang tentera yang berkem di luar Cajamarca sama sekali
tidak mampu berbuat apa-apa selepas Atahualpa ditangkap. Andai Atahualpa tidak
ditangkap, sudah tentu perjalanan sejarah akan berbeza.
Berikutan kemenangan
dalam Pertempuran Cajamarca, Sepanyol menjadikan Atahualpa sebagai tawanan.
Namun, beliau kemudiannya dianggap sebagai liabiliti. Justeru pada tahun 1533,
Pizarro mengenakan dakwaan olok-olok ke atas beliau. Kononnya, Atahualpa
didapati bersalah kerana memberontak terhadap Sepanyol, melakukan penyembahan
berhala dan membunuh Huasca, pemerintah Inca yang sebenar. Lantas, Atahualpa
dibunuh pada 29 Ogos 1533.
Namun, kemangkatan
Atahualpa bukanlah pengakhiran buat Empayar Inca. Mereka yang masih bertahan
memberikan penentangan yang kuat terhadap Sepanyol. Hanya pada tahun 1572,
dengan ketumbangan kubu kuat terakhir mereka, iaitu Vilcabamba, barulah tamadun
Inca ditakluk sepenuhnya.
![]() |
| Pihak Sepanyol membunuh Tupac Amaru, pemerintah terakhir Inca di Vilcabamba, 1572 |
Pertempuran Cajamarca
tidak diragukan lagi, adalah satu peristiwa penting yang mengubah sejarah
dunia. Sebelum tercetusnya pertempuran itu, situasi Pizarro benar-benar getir
lantaran ekspedisinya itu dengan mudah boleh dipatahkan oleh Atahualpa, andai
beliau memerintahkan berbuat sedemikian. Sikap memandang rendah terhadap
Pizarro ini menyumbang kepada penangkapan Atahualpa di Cajamarca sekaligus
merintis laluan buat Sepanyol mengkolonikan bahagian barat Amerika Selatan.
SUMBER
- Ballesteros-Gaibrois, M. 2019. Francisco Pizarro.
- History.com. 2019. Francisco Pizarro.
- History.com. 2019. Francisco Pizarro traps Incan emperor Atahualpa.
- History.com. 2018. Inca.
- History.com. 2019. Pizarro Executes Last Inca Emperor.
- History.com. 2020. A Skirmish at Cajamarca in 1532 Led to the Downfall of the Incan Empire.
- Jarus, O. 2018. The Inca Empire.
- Kerrigan, M. 2019. Battle of Cajamarca.
- MacGregor, S. 2018. The Spanish Mercenaries Were Outnumber 500-1, The Battle of Cajamarca, 1532.
- Minster, C. 2019. Biography of Francisco Pizarro, Spanish Conqueror of Inca.
- New World Encyclopedia. 2012. Atahualpa.
- New World Encyclopedia. 2018. Inca Civilization.
- New World Encyclopedia. 2019. Spanish Empire.
- New World Encyclopedia. 2016. Vasco Nunez de Balboa.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2019.
- Get link
- X
- Other Apps






