- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (22 Mei 2016). The Fall of Tenochtitlan – Truly the End of the
Aztec Empire? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/fall-tenochtitlan-truly-end-aztec-empire-005942
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/fall-tenochtitlan-truly-end-aztec-empire-005942
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kejatuhan Tenochtitlan
merupakan sebuah peristiwa yang penting dalam sejarah benua Amerika lantaran ia
menandakan berakhirnya kekuasaan Empayar Aztec. Peristiwa ini berlaku pada 13
Ogos 1521, sebagai susulan daripada kepungan yang dilakukan oleh Sepanyol selama
tiga bulan. Walau bagaimanapun, Sepanyol masih belum menjadi penguasa Mexico
yang sebenar pada waktu itu. Status tersebut hanya dapat dicapai beberapa dekad
kemudian.
Walaupun Empayar Aztec
berada di ambang pengakhirannya, penentangan masyarakatnya di luar
Tenochtititlan masih terus dilanjutkan sehingga pihak Sepanyol terpaksa
mengambil masa selama 60 tahun untuk menundukkan mereka sepenuhnya. Justeru,
kejatuhan Tenochtitlan sering dianggap sebagai penamat bagi fasa pertama
penaklukan Sepanyol ke atas Mexico.
HERNAN CORTES DAN
MOCTEZUMA II
Kejatuhan Tenochtitlan
berlaku sekitar dua tahun selepas ketibaan Hernan Cortes di wilayah Aztec.
Pasukannya tiba di Mexico pada awal 1519 dan menjelang akhir tahun yang sama,
mereka sudah pun menumpukaan perhatian pada Tenochtitlan. Ketika pasukan conquistador
ini tiba di Tenochtitlan, kota tersebut diperakui sebagai salah sebuah kota
paling besar di dunia. Dianggarkan bahawa pada masa itu, tidak banyak kota di
dunia yang dapat menandingi saiz Tenochtitlan.
Ketibaann Cortes dan
tentera-tenteranya pada mulanya diterima dengan baik oleh pemerintah Aztec,
Moctezuma II. Lazim diceritakan bahawa masyarakat Aztec melayani para conquistador
ini dengan baik lantaran sebuah ramalan dalam kepercayaan mereka.
Menurut
ramalan tersebut, salah satu dewa mereka, iaitu Quetzalcoatl akan kembali ke
Mexico. Pihak Sepanyol dipercayai tiba pada waktu yang tepat dan dari arah yang
tepat untuk mereka mengambil kesempatan ke atas kepercayaan ini. Tambahan lagi,
ramalan tersebut menyifatkan Quetzalcotal sebagai berkulit putih dan
berjambang.
![]() |
| Tenochtitlan, kemasukan Hernan Cortes. Cortes dan La Malinche menemui Moctezuma II, 8 November 1519 |
Akan tetapi, kenyataan
ini dibantah oleh sebahagian sejarahwan yang mendakwa bahawa ia adalah rekaan Sepanyol
pasca-penaklukan. Masyarakat Aztec pada hakikatnya memang mengetahui bahawa
pihak Sepanyol yang datang itu adalah manusia biasa dan bukannya dewa.
PENENTANGAN PIHAK AZTEC
Walau apapun jua
keadaannya yang sebenar, ketika pihak Sepanyol tiba buat pertama kalinya,
Moctezuma dinyatakan telah memberikan emas kepada mereka sebagai hadiah.
Kononnya, pemerintah Aztec itu berharap agar hadiah-hadiah ini dapat
menyenangkan hati pendatang asing itu sehingga beredar. Sebaliknya, hal ini
hanya membuatkan Cortes dan tentera-tenteranya menginginkan lebih banyak emas.
Lantas, mereka pun meletakkan matlamat untuk menuju ke Tenochtitlan.
Moctezuma
menyambut kehadiran pihak Sepanyol itu dengan baik dan memberikan lebih banyak
emas. Namun malangnya, Cortes membalas budi itu dengan menjadikan Moctezuma
sebagai tawanan dan cuba untuk memerintah Tenochtitlan dengan mempergunakan
namanya.
Masyarakat Aztec sama
sekali tidak menyenangi keadaan ini dan berhasrat untuk mengusir Sepanyol dari
kota mereka. Pada bulan April 1520, sebuah pasukan conquistador lain
tiba di Mexico. Makanya, Cortes pun meninggalkan Tenochtitlan untuk menangani
kehadiran pasukan baru yang merupakan seterunya itu. Semasa ketiadaan Cortes
inilah hubungan antara Sepanyol dan Aztec merenggang dengan drastik sehingga
mendorong kepada serangan dari pihak Aztec.
Apabila khabar ini sampai ke
pengetahuan Cortes, beliau segera berpatah balik ke Tenochtitlan. Namun,
segalanya sudah terlambat kerana pihak Sepanyol sudah pun diusir oleh
tentera-tentera Aztec dalam sebuah peristiwa yang dikenang sebagai La Noche
Trise (Malam Duka).
![]() |
| Lukisan kurun ke-17 yang berjudul ‘La Noche Triste’ |
Menurut catatan Cortes,
seramai 150 orang tentera Sepanyol dan 2000 orang tentera asli yang bersekutu
dengan mereka terbunuh dalam peristiwan tersebut. Menurut sumber lain, jumlah
kematian di pihak Sepanyol dianggarkan sekitar 450 – 1150 orang. Walau apapun,
pihak Sepanyol tidak dihapuskan sepenuhnya dan Cortes sendiri terselamat.
PENGEPUNGAN DAN
KETUMBANGAN TENOCHTITLAN
Sebaik sahaja tiba di
wilayah sekutunya, Cortes mengatur rancangan untuk sekali lagi menyerang
Tenochtitlan. Untuk tujuan itu, beliau memerlukan lebih ramai tentera. Hal ini
berjaya dicapai menerusi persekutuan yang dijalinkan dengan
masyarakat-masyarakat asli. Pada masa yang sama, Tenochtitlan diserang epidemik
cacar yang meragut nyawa ramai penduduknya. Ramai pahlawan dan bangsawan
terkorban, termasuklah pengganti Moctezuma sendiri, iaitu Cuitlahuac.
Cortes menyedari bahawa
salah satu kelemahan pasukannya adalah mobiliti di atas tasik. Untuk mengatasi
kekurangan tersebut, beliau pun membina sejumlah kapal.
Pada bulan Mei 1521,
Cortes memulakan pengepungan ke atas Tenochtitlan. Beliau merancang untuk
memutuskan bekalan masuk ke kota dan mencantas sebarang cubaan untuk
menghubungi wilayah luar, sekaligus memaksa penduduk kota itu agar menyedari
diri.
Sebaik sahaja pasukan
tentera Sepanyol menghampiri Tenochtitlan, pasukan tentera Aztec tampil untuk
cuba menyekat kemaraan tersebut namun gagal. Pihak Sepanyol akhirnya tiba di
kota dan berjaya menguasai Tenochtitlan pada 13 Ogos 1521 setelah menundukkan
sejumlah penentangan yang diberikan.
![]() |
| ‘Hari-Hari Terakhir Tenochtitlan – Penaklukan Mexico oleh Cortez’ – lukisan tahun 1899 oleh William de Leftwich Dodge |
Susulan daripada
ketumbangan Tenochtitlan ini, kekuasaan Aztec di Mexico pun berakhir dan
Sepanyol mendominasi rantau berkenaan walaupun pada hakikatnya, mereka perlu
mengambil masa beberapa dekad untuk meneguhkan kedudukannya itu.
SUMBER
- Daily Stormer. 2014. The History of the Conquest of Mexico: The Battle on the Causeway and the Fall of the Tenochtitlan.
- Jarus, O. 2013. Tenochtitlan: History of Aztec Capital.
- New World Encyclopedia. 2016. Battle of Tenochtitlan.
- Timotheus. 2007. The Siege of Tenochtitlan.
- Aztec History. 2016. The Fall of the Aztec Empire.
- History.com. 2016. Aztec capital falls to Cortes.
- Get link
- X
- Other Apps



