- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Oliver. (2 Mei 2017). Did This Ancient Explorer Make It to the Arctic in
325 BC? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/did-ancient-explorer-make-it-arctic-325-bc-008005
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/did-ancient-explorer-make-it-arctic-325-bc-008005
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Peneroka Artik yang
pertama bukanlah sepertimana yang kita jangkakan. Lebih 2300 tahun lalu,
Pytheas of Massalia mengembara ke Bulatan Artik dan pulang tanpa ada seorang
pun yang mempercayai kisah pengembaraannya.
Pada zaman di mana
kebanyakan manusia mempercayai bahawa terbit dan terbenam matahari adalah
kerana ditarik oleh dewa, Pytheas berjaya tiba di sebuah tempat di mana
matahari langsung tidak terbit sepanjang musim sejuk. Beliau menemui tempat
yang dilitupi ais, lautan beku, dan ketulan aisberg. Tatkala pulang ke tanah
airnya, beliau berkongsikan pengalamannya tanpa dipercayai sesiapa pun.
Penemuannya itu sangat
mengagumkan hinggakan mengambil masa lebih 1000 tahun untuk dibuktikan benar.
![]() |
| Lukisan Andreas Kornerup yang menggambarkan seorang peneroka di Artik |
SIAPAKAH PYTHEAS?
Tidak banyak maklumat
yang kita miliki tentang latar belakang dan kisah hidup Pytheas. Apa yang kita
ketahui, beliau ialah ‘seorang lelaki miskin’ yang mengembara ke utara dengan
wangnya sendiri, tanpa dibantu oleh pihak penguasa. Selain daripada itu,
kesemuanya hanya spekulasi belaka. Setiap patah perkataan yang ditulisnya telah
pun hilang ditelan sejarah, namun maklumat yang kita peroleh tentang
pengembaraannya datang daripada mereka yang langsung tidak mempercayai kisah
tersebut.
![]() |
| Tugu Pytheas oleh Auguste Ottin (1811-1890) di Marseille |
Pada hakikatnya,
keraguan dan penolakan umum terhadap kisah pengembaraan oleh pelayar miskin
seperti Pytheas agak munasabah lantaran laluan laut ke utara akan membawanya ke
Selat Gibraltar (Jabal Tariq) atau disebut sebagai Tiang Hercules di zaman
purba. Untuk merentasi selat tersebut, beliau perlu melepasi sekatan yang
dilakukan oleh tentera Carthage.
Namun entah bagaimana,
Pytheas dan rakan-rakannya berjaya melepasi sekatan tersebut. Sejarahwan moden
mempunyai teori yang tersendiri bagi menerangkan hal tersebut, namun ia tidak
lebih dari sekadar andaian liar. Satu-satunya penjelasan yang ditinggalkan oleh
dunia purba kepada kita pula hanyalah kenyataan yang menyifatkan Pytheas
sebagai seorang penipu dan tiada satu pun kisah pengembaraan yang
diceritakannya itu benar-benar terjadi.
Apapun, menurut kisah
yang dicatatkan, Pytheas berjaya melepasi sekatan tentera dan melanjutkan
perjalanan ke Britain dan mengelilingi pulau tersebut.
![]() |
| Selat Gibraltar |
PENEMUAN THULE
Selepas mengelilingi
Britain, Pytheas bergerak ke utara dan mencari sebuah pulau yang masih belum
diteroka, sebagaimana yang dihikayatkan oleh penduduk tempatan. Menurut
anggapan umum, hikayat tersebut hanyalah dongeng semata kerana masing-masing
meyakini bahawa tiada pulau mahupun daratan di utara Britain, melainkan lautan
belaka. Justeru kata mereka, perjalanan Pytheas ini hanya akan membawanya ke
hujung dunia.
Selepas enam hari
meredah lautan, beliau melihat daratan di ufuk. Daratan pantai yang berbatu dan
tinggi itu dinamakannya sebagai Thule. Tiada siapa yang dapat mengetahui secara
pasti, negara apakah yang ditemui itu – mungkin Iceland ataupun Norway. Namun
menurut sejarah, kedua-dua negara itu hanya diteroka oleh orang-orang Eropah
seribu tahun kemudian.
Namun, pemerinciannya
tentang keadaan langit seakan-akan mengisyaratkan bahawa Pytheas berada
berhampiran Bulatan Artik. Beliau memerihalkan tentang bagaimana
bintang-bintangnya berubah, dan keadaan langitnya persis seperti yang dapat
kita lihat di sekitar Iceland. Beliau juga memerincikan tentang betapa
singkatnya waktu siang.
Pytheas turut
menyatakan bahawa ketika tiba di sana, terdapat manusia yang mendiami kawasan
tersebut – yang mana jika Thule adalah Iceland, maka hal ini merupakan suatu
hal yang signifikan kerana menurut pengetahuan umum, negara itu tidak
berpenghuni dan hanya dikolonikan 1000 tahun kemudian.
Menurut Pytheas,
masyarakat tempatan mengalami kesukaran untuk hidup dalam keadaan matahari yang
jarang muncul, tumbuhan dan haiwan pula tidak banyak yang dapat hidup. Mereka
hanya melangsungkan hidup dengan memakan milet (sejenis bijirin), buah-buahan
dan akar-akar kayu.
“Pada musim panas pula
tiada waktu malam,” lapor Pytheas tentang keadaan di Thule. Bagi individu yang
hidup pada kurun ke-4SM, keadaan ini semestinya suatu yang mengagumkan. Pytheas
berpeluang menyaksikan perkara yang tidak disaksikan oleh mana-mana orang
Yunani lain.
![]() |
| Peta Artik kurun ke-16 |
LAUTAN BEKU
Pytheas melanjutkan
perjalanan lagi ke utara, melangkaui kawasan yang pernah diterokai oleh
mana-mana orang Eropah di zamannya. Beliau terus berlayar sejauh satu hari
perjalanan dari Thule dan tiba di sebuah tempat yang tidak dapat diperincikan
olehnya. Di sana, terdapat ciri pada lautan yang beliau gambarkan sebagai
‘bukanlah daratan sepenuhnya, dan bukan pula lautan sepenuhnya, dan juga bukan
udara sepenuhnya. Namun ia merupakan sesuatu yang konkrit dari kesemua elemen
ini, bagaikan jantung laut.”
Pada hari ini,
sejarahwan meyakini bahawa apa yang cuba digambarkannya itu adalah ketulan
aisberg. Tanpa ada sebarang rujukan untuk membuat gambaran, maka pemilihan
perkataan oleh Pytheas agak aneh. Beliau menyebutkannya sebagai “sesuatu yang
(bersifat) seperti obor-obor”, yang “kamu tidak boleh berjalan atau berlayar di
atasnya.”
Lantaran disekat oleh
lautan beku, Pytheas terpaksa berpatah balik. Apapun, beliau sudah pun
menyaksikan ciri alam yang belum pernah disaksikan malah dibayangkan oleh
mana-mana manusia di zaman itu. Dari Mediterranean, Pytheas mengembara ke
Bulatan Artik, yang mana lautannya sendiri membeku.
DIRAGUI DI ZAMANNYA
Sekembalinya Pytheas,
tiada seorang pun yang mempercayai kisah pengembaraannya. Sumber terbaik yang
memerihalkan tentang pengembaraan beliau datang dari Strabo, lelaki yang begitu
membenci Pytheas hinggakan beliau tidak menulis nama Pytheas tanpa meninggalkan
kata-kata cercaan kepadanya.
Setiap kali menulis namanya, Strabo akan menambah,
“Pytheas, yang menipu semua orang,” atau, “Pytheas, yang kerananya ramai telah
tertipu.” Pada bahagian lain, Strabo malah berjenaka dengan mengatakan bahawa
meminta Pytheas agar tidak menipu adalah sama seperti meminta penjugel agar
tidak menjugel.
Menurut sejarah umum,
Iceland tidak dihuni melainkan pada tahun 800M dan zaman penerokaan pula tidak
bermula melainkan pada tahun 1400M. Selama lebih seribu tahun, iada seorang pun
warga Eropah yang berpeluang melihat apa yang telah disaksikan oleh Pytheas.
Hanya seribu tahun
berikutnya, barulah kisah pengembaraannya dipercayai. Pada hari ini, ramai sejarahwan
yang melakukan perbandingan antara kisah pengembaraannya dengan maklumat yang
kita ketahui pada hari ini (tentang Bulatan Artik).
Lebih 2000 tahun
selepas kematiannya, kisah Pytheas terbukti benar. Kebanyakan sejarahwan moden
mempercayai kisah pengembaraannya, namun Pytheas sendiri tidak berpeluang
meyakinkan dunia di zamannya tentang pengalaman beliau itu sehingga akhir
hayatnya.
SUMBER
- Pliny the Elder. The Natural History. Translated by John Bostock. London: Taylor and Francis. 1855.
- Hafstad, Vala. Major Archaeological Find in Iceland. Iceland Review Online. October 2, 2016.
- McCaskill, Eloise. Pytheas. Encyclopedia Arctica. Dartmouth College Library. 1951.
- Strabo. Geography. Translated by H.L. Jones. Harvard University Press. 1917.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Pytheas – Kisah Lelaki Yang Menemui Kutub Utara’
- Get link
- X
- Other Apps




