- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (15 Jun 2017). Wei Zhongxian: When China Yielded to the Terrifying
Power of a Notorious Eunuch. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/wei-zhongxian-when-china-yielded-terrifying-power-notorious-eunuch-008245
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/wei-zhongxian-when-china-yielded-terrifying-power-notorious-eunuch-008245
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Wei Zhongxian sering
dianggap sebagai sida-sida yang paling berkuasa dan jahat dalam sejarah China.
Beliau memegang kuasa yang hampir setaraf dengan maharaja dan sesiapa sahaja
yang menentangnya akan dihapuskan dengan kejam.
MENGAPA WEI ZHONGXIAN
MENJADI SIDA-SIDA
Wei Zhongxian hidup
pada tempoh antara kurun ke-16 dan kurun ke-17 Masihi, era di mana China sedang
diperintah oleh Dinasti Ming. Beliau berkhidmat untuk Maharaja Tianqi, yang
memerintah pada tahun 1620 hingga 1627 Masihi. Wei Zhongxian dianggap sebagai
satu figura yang sangat berpengaruh dalam istana Ming hinggakan empayar
tersebut sebenarnya diperintah oleh beliau.
![]() |
Maharaja Tianqi |
Wei Zhongxian
dilahirkan pada tahun 1568 di Suning (kini sebahagian dari Wilayah Hebei).
Beliau mula menumpahkan khidmat di istana sebagai sida-sida setelah menyerahkan
diri untuk dikembiri secara sukarela. Keputusan ini dibuat lantaran beliau
berhadapan dengan kemuflisan akibat hutang yang ditanggungnya dari tabiatnya yang
gemar berjudi.
Sebagai seorang sida-sida, Wei Zhongxian pertama sekali
berkhidmat untuk Puan Wang, iaitu ibunda kepada Zhu Youjiao (yang kelak menjadi
Maharaja Tianqi). Ketaatan Wei Zhongxian kepada putera muda itu membolehkan
hubungan yang akrab terjalin di antara mereka berdua. Selain itu, Wei Zhongxian
juga sempat berkenalan dengan seorang lagi individu yang mempunyai hubungan
rapat dengan Zhu Youjiao, iaitu ibu asuhannya, Puan Ke.
![]() |
Sida-sida di sekeliling maharaja pada zaman Dinasti Ming |
WEI ZHONGXIAN MULA
MERAIH KUASA
Peluang untuk Wei
Zhongxian mencampuri urusan negara secara lebih berkesan hadir pada bulan
Oktober 1620. Maharaja Taichang mangkat secara tiba-tiba pada lewat September,
selepas memerintah kurang dari sebulan. Lantaran itu, putera sulungnya, iaitu
Zhu Youjiao pun menaiki takhta sebagai Maharaja Tianqi. Maharaja yang baru
berusia 15 tahun ini kurang berminat dalam hal-ehwal pentadbiran empayar.
Sebaliknya, beliau lebih gemar menghabiskan masa dalam kerja-kerja pertukangan.
Malahan, catatan sejarah turut menyifatkan Maharaja Tianqi sebagai seorang yang
buta huruf dan bersifat terlalu lemah serta tidak tetap pendirian. Sifat-sifat
sebegini tidak memungkinkan beliau untuk menjadi seorang pemerintah yang cekap.
Kekurangan-kekurangan
yang dimiliki oleh Maharaja Tianqi ini dimanfaatkan oleh Wei Zhongxian.
Hubungan akrab di antara mereka berdua membolehkan sida-sida itu mengambil
kesempatan di atas situasi ini, sekaligus menjadikannya sebagai pemerintah de
facto.
Wei Zhongxian dilantik sebagai Pengarah Upacara Pemegang-Berus,
serta Pesuruhjaya Tiga Perbendaharaan Dari Pendapatan Negara. Demi meneguhkan
kedudukannya dalam istana, Wei Zhongxian membentuk satu kumpulan sida-sida istana.
Di samping itu, beliau turut memberikan jawatan-jawatan penting kepada
sida-sida yang dipercayainya.
![]() |
Sekumpulan sida-sida. Mural dari makam putera Zhanghuai, 706, Qianling, Shaanxi |
Wei Zhongxian juga
melebarkan pengaruhnya dalam lingkungan pegawai dan menteri-menteri istana.
Kebanyakan daripada mereka menumpahkan sokongan kepada beliau, sama ada kerana
takut digugurkan jawatan atau kerana mengharapkan ganjaran. Hanya sekumpulan
kecil sahaja yang berani menentang Wei Zhongxian serta para pengikutnya.
Kumpulan yang dikenali sebagai Kumpulan Donglin ini terdiri daripada para
pegawai dan menteri Konfusian yang giat mempromosikan reformasi dalam kerajaan.
KESAN KEKUASAAN WEI
ZHONGXIAN
Wei Zhongxian menangani
penentangan tersebut dengan menghapuskan kesemua ahli kumpulan itu, termasuklah
para penyokong mereka di serata empayar. Salah satu institusi atau badan
perundangan diraja yang membolehkan beliau melaksanakan hukuman ini adalah Ibu
Pejabat Timur. Badan perundangan yang satu ini merupakan agensi polis rahsia
merangkap agensi perisikan yang dikelolakan oleh sida-sida yang telah dikuasai
oleh Wei Zhongxian sejak tahun 1623.
Lantaran itu, ramai
menteri dibunuh atau dilucutkan jawatan. Selain itu, kumpulan penentang ini
juga diisytiharkan sebagai kumpulan haram dan akademi-akademi mereka ditutup.
Apapun, sejumlah penentangan tetap diteruskan di beberapa tempat, di mana para
pendokong kumpulan tersebut tidak mengambil peduli larangan Wei Zhongxian.
Dalam beberapa keadaan, ada pula yang membunuh pegawai algojo yang dihantar
oleh Wei Zhongxian.
![]() |
Sekolah Donglin di Wuxi |
Pemerintahan Wei
Zhongxian tidak berlangsung lama. Pada tahun 1627, Maharaja Tianqi mangkat dan
takhta diambil oleh adiknya, Zhu Youjian yang memerintah sebagai Maharaja
Chongzen. Walaupun Wei Zhongxian menghantar surat peletakan jawatannya secara rasmi,
permohonan ini ditolak oleh maharaja.
Dalam masa yang sama,
terdapat suara-suara yang menyeru supaya sida-sida ini didakwa. Akhirnya,
maharaja menjatuhkan hukuman buang negeri ke atas Wei Zhongxian, di mana beliau
diusir ke Fengyang, Anhui. Dalam perjalanan ke Fengyang, maharaja diperingatkan
bahawa Wei Zhongxian berkemungkinan cuba melakukan pemberontakan, justeru
maharaja dinasihatkan agar menangkap sahaja Wei Zhongxian.
Tatkala sida-sida
itu menerima berita tentang arahan penangkapannya, beliau langsung sahaja
membunuh diri kerana enggan berhadapan dengan pendakwaan dan hukuman mati.
Jasad Wei Zhongxian kemudiannya dikerat-kerat dan dipamerkan di kampung
halamannya sebagai amaran dan peringatan.
![]() |
Maharaja Chongzen |
SUMBER
- Dardess, J. W. 2002. Blood and History in China: The Donglin Faction and Its Repression, 1620-1627. Honolulu: University of Hawaii Press.
- McMahon, K. 2014. The Potent Eunuch: The Story of Wei Zhongxian. Journal of Chinese Literature and Culture, 1(1-2), pp. 1-28.
- Hultengren, I. 2017. Zhu Yujiao – the Tianqi Emperor.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2017. Wei Zhongxian.
- Theobald, U. 2014. Persons in Chinese History – Wei Zhongxian.
- Theobald, U. 2016. The Donglin Faction (donglin dang).
- We All Live in the Forbidden City. 2017. Wei Zhongxian.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Wei Zhongxian – Sida Paling Jahat Dalam Sejarah China’
- Get link
- X
- Other Apps