INTEGRASI MEMBACA, MENULIS, DAN ILMU DENGAN BERTUJUANKAN KEBAHAGIAAN UKHRAWI


Amir Zayyanid – 10 April 2020 (20:01) – Bicara Buku [Teratak Dzihn]


Tetapi bagi saya secara ‘personal’, seperti malam dan siang, cinta dan lara, suka dan duka, muda dan tua, salah dan benar, besar dan kecil, panjang dan pendek, perlu dan rindu, hitam dan putih, merah dan biru, kanan dan kiri, kapitalis dan sosialis, tawa dan nangis, dualiti untuk membaca adalah menulis.”

Dan seperti malam dan siang, atau muda dan tua, kewujudan dualiti ini dikemuncakkan dengan penyepaduan; malam dan siang disepadukan membentuk hari; muda dan tua disepadukan membentuk kehidupan; justeru makanya kesepaduan antara membaca dan menulis adalah ilmu. Dan dualiti kepada ilmu pula adalah amal, dan kesepaduan antara keduanya membentuk iman.

Mengembalikan segalanya kepada yang haq (truth), dan tiada yang haq melainkan Al-Haq. Inilah titik pembeza (distinguished zone) antara pandangan alam kita sebagai umat Islam dengan pandangan alam selainnya dalam menuntut ilmu dan pengetahuan.

Kita membaca dan mereka pun membaca. Cuma membacanya kita adalah dengan nama Tuhan. Iqra’ bismi rabbikalladzi khalaq. Kita membaca, menulis dan menyampaikan, kesemuanya adalah dengan rasa dimiliki dan berasal daripada-Nya. Sense of belonging, kalau dalam bahasa biasa.

Seperti penulis atau blogger ini, saya pun pada asalnya bukanlah seorang pembaca buku yang tegar. Saya seorang yang malas membaca buku, atau lebih tepat, seorang yang tak bermotivasi untuk membaca buku.

Tidak bermotivasi sebab saya fikir, membaca ini suatu hedonisme dalam bentuk yang terhormat. Setidaknya bagi diri saya sendiri. Ia merupakan satu pelaburan masa yang besar dan berkebarangkalian untuk ianya membuang masa sahaja seperti hobi-hobi (atau aktiviti) lain adalah amat tinggi.

Usia hidup ini singkat, keupayaan untuk menghadam ilmu terbatas, dan ilmu yang nak diteroka pula luas. Jika saya membaca dan tidak mampu menghadamnya, saya telah menyiakan waktu. Dan jika saya berupaya menghadamnya sekalipun, apakah manfaatnya?

Saya bukanlah sesiapa. Saya bukanlah seorang siswa atau guru yang perlu belajar dan mengajar. Saya cuma seorang marhaen yang menggemari ilmu. Marhaen yang perlu mengais rezeki, dan meluangkan masa untuk mencari sesuap nasi. Tetapi sebagai penggemar ilmu, saya tetap tergamit untuk mencuri masa bagi membaca. Membaca demi mengubah diri sendiri, tanpa berhasrat atau berasa mahu mengubah dunia kerana saya bukan sesiapa dan sebagai seorang introvert, salah satu perkara yang paling saya benci adalah menonjol di khalayak.

Namun semakin lama, saya merasakan yang membaca ini suatu tindakan yang mementingkan diri (selfish).

Meluangkan masa berminggu-minggu untuk menghabiskan buku The Romance of the Three Kingdoms, misalnya, hanya untuk mendapatkan kepuasan peribadi, iaitu kepuasan ‘saya sudah membacanya’ dan kepuasan ‘saya seorang pembaca’, dan kepuasan tersebut disucikan dengan bermodalkan kefahaman terhadap sebahagian kecil kandungannya walau tanpa manfaat yang jelas. Manfaat yang secara langsung meninggalkan kesan dalam kehidupan.

Jika ia bermanfaat dan membekas sekalipun, apakah kegunaannya bagi seorang marhaen hinggakan wujud semacam satu kasta baharu dalam masyarakat, bergelar ‘kasta pembaca atau pencinta buku’ yang bebas bersuara mengentengkan kumpulan masyarakat yang jika tersisa baginya waktu walau sesaat, akan diluangkan untuk mencari sesuap nasi buat isteri dan anak bayinya dan jika tersisa baginya wang walau satu ringgit, akan dibelanjakan untuk mengisi perut yang berkeroncong satu dua hari?

Setidak-tidaknya, suasana sosial di sekeliling pada waktu itu membentuk saya ke arah persoalan sebegitu. Pada saat itu, saya mula beranggapan bahawa membaca ini suatu bentuk hedonisme yang terhormat, setidaknya terhadap diri saya sendiri. Hedonisme kerana menjadikan kepuasan sebagai kemuncak. Kepuasan yang seputar ‘saya sudah membacanya’ dan ‘saya seorang pembaca’. Dan ianya terhormat kerana disulami dengan hal semulia ilmu.

Perbandingan yang saling tidak tumpah seperti seorang anak kecil di zaman kecil saya yang menonton televisyen selama dua tiga jam dan anak kecil yang bermain permainan video selama dua tiga jam. Lazimnya hanya anak kecil yang kedua ini sahaja yang dimarahi oleh ibu bapa, sementara aktiviti anak kecil yang pertama itu dipandang biasa, tiada masalah.

Bagi menyikapi anggapan yang melunturkan motivasi saya untuk membaca ini, maka saya pun mengubah corak pembacaan dengan menekankan dualiti manfaatnya, iaitu manfaat untuk diri sendiri dan manfaat untuk orang lain. Semenjak itu, saya hanya membaca sambil menterjemah. Sekurang-kurangnya, kalau pun ia tidak bermanfaat untuk saya sendiri, ia boleh dimanfaatkan oleh orang lain.

Konsep bagi hal ini berteraskan hadis baginda Nabi SAW, “Hendaklah orang yang hadir menyampaikan kepada orang yang tidak hadir, kerana boleh jadi orang yang hadir itu menyampaikan kepada orang yang lebih mengerti darinya tentang apa yang disampaikannya itu.”

Tetapi pada hari ini, faham atau tidak faham, bermanfaat atau tidak bermanfaat sesuatu kandungan dalam buku itu dalam hidup kita secara langsung, saya fikir membaca (buku terutamanya) tetap memberi faedah pada diri sendiri dan orang lain, walau dalam bentuk yang sangat subtle.

Dan daripada situ, terdapat satu lagi bentuk dualiti dalam membaca, iaitu membaca secara menelaah dan membaca secara santai. Yang pertama adalah membaca dan memahamkan setiap kandungannya. Manakala yang kedua pula membaca untuk meluaskan horizon atau pandangan alam.

Tak faham taka pa, janji dapat timba pengalaman menyinggah ke lorong-lorong ilmu yang sebelum ini kita tak pernah pun jengah. Setidak-tidaknya membaca walau dengan tidak faham itu boleh menghadirkan kefahaman pada diri bahawa ada pengetahuan yang kita tidak tahu, berbanding tidak membaca langsung yang sekaligus sukar menyedarkan kita tentang kewujudan yang belum kita tahu.

Hal ini kerana kalau kita tidak membaca, misalnya tentang Empayar Mali pada hari ini, macam mana kita nak berkenalan dengan rakan atau cikgu yang boleh ajarkan atau bercerita tentang Sundiata Keita besok?

Jadi, membacalah walau tak faham. Inshaallah nanti-anti akan dipertemukan dengan rakan dan guru yang boleh tolong ajarkan sampai kita faham, asalkan kita mengekalkan sikap kerendahan diri intelektual (intellectual humility). Sikap beradab terhadap ilmu dan ilmuwan.

Tambahan lagi, kemanfaatan membaca bukan sekadar terletak pada kandungan ilmunya. Tetapi juga keberkatan pengarangnya, keghairahan (kecintaan) kita pada ilmu, dan tali persaudaraan yang kita jalinkan dengan membaca. Persaudaraan yang nanti boleh bersaksi yang kita ini tergolong dalam satu dari empat golongan yang dianjurkan oleh Nabi SAW, iaitu orang berilmu, pelajar ilmu, pendengar ilmu atau pencinta ilmu.

Jadi sebagai kesimpulan, dalam membaca ada bermacam-macam dualiti yang dapat kita sedari.

Dualiti manfaat membaca, iaitu untuk diri sendiri dan orang lain.
Dualiti corak bacaan, iaitu secara menelaah (mendalami) dan secara santai (meneroka).
Dualiti bagi membaca, iaitu menulis yang apabila disepadukan keduanya ini maka membentuk ilmu. Dan ilmu itu sendiri dualitinya adalah amal, yang apabila disepadukan maka membentuk iman dan iman ini pula membuahkan ihsan.

Bagi ilmuwan Muslim seperti Miskawayh dan al-Ghazali, iman adalah aspek kebahagiaan keempat yang melengkapkan tiga aspek kebahagiaan yang diteorikan oleh Aristotle, iaitu kebahagiaan luar diri, kebahagiaan fizikal dan kebahagiaan kejiwaan. Iman membentuk aspek kebahagiaan keempat, iaitu kebahagiaan ukhrawi, sedangkan iman ini dicerminkan dengan nilai ihsan.

Nilai yang ditakrifkan sebagai ‘menyembah Allah seakan-akan kita melihat-Nya, dan kalau tidak mampu, maka seakan-akan Allah melihat kita.’ Nilai yang menjadi sebab diutusnya junjungan baginda Nabi SAW sebagaimana yang disabdakan menerusi hadis, “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” Makarimal akhlaq.


Nota: Tulisan ini merupakan curahan lanjut selepas membaca perkongsian tuan Syed Ahmad Fathi yang berjudul ‘Dualisme bagi membaca’ dalam blog beliau, Bersama Ke Puncak. (https://bersamakepuncak.blogspot.com/2019/08/dualisme-bagi-membaca.html)