- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Cartwright. (23 April 2019). Kingdom of Kanem. Ancient History
Encyclopedia.
https://ancient.eu/Kingdom_of_Kanem/
https://ancient.eu/Kingdom_of_Kanem/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kerajaan Kanem (atau
Kanim) merupakan sebuah kerajaan Afrika purba yang terletak di Chad moden, yang
mengalami kepesatan pada kurun ke-9 hingga kurun ke-14 Masihi. Dengan wilayah
pusatnya terletak di tengah-tengah benua Afrika di sebelah timur Tasik Chad, kerajaan
ini dibentuk oleh sebuah konfederasi masyarakat nomad dan kemudiannya
diperintah oleh dinasti Saifawa. Kota ini mengalami kemajuan berkat
kedudukannya sebagai hub rangkaian perdagangan dengan penduduk Afrika Tengah,
Lembah Nil dan negara-negara Afrika Utara di Gurun Sahara.
Kerajaan ini
mengamalkan ajaran Islam setelah lama berinteraksi dengan ulama’-ulama’ dan
para pedagang Muslim sejak kurun ke-11 Masihi. Pada 1390an, raja Kanem terpaksa
melarikan diri dari serangan kaum Bulala dan kemudian menubuhkan sebuah
kerajaan baru, juga di sekitar Tasik Chad. Kerajaan ini kelak dikenali sebagai
Empayar Bornu, atau kadangkala disebut sebagai Empayar Kanem-Bornu.
Kekuasaannya berpanjangan sehingga kurun ke-19 Masihi.
ASAL-USUL &
PEMBENTUKAN
Kerajaan Kanem yang
terletak betul-betul di sebelah timur Tasik Chad, Afrika Tengah ini mungkin
mengambil namanya daripada bahasa Teda dan Kanrui yang bermaksud ‘selatan’ (anem),
merujuk kepada kedudukannya jika dikaitkan dengan negara-negara yang lebih
masyhur di utara.
Terdapat juga kemungkinan bahawa nama ini mencerminkan
hakikat di sebalik tradisi lisan yang mengatakan bahawa kaum Kanem pernah
berpindah dari Gurun Sahara setelah wilayah tersebut mengalami kadar
kekontangan yang semakin meningkat. Proses pembentukan kerajaan Kanem di
wilayah ini diringkaskan oleh sejarahwan P. Curtin:
“Kanem melalui
sebuah proses pembangunan-negara yang agak berbeza daripada proses yang dialami
di Sudan barat. Nukleusnya (terasnya) adalah sebuah konfederasi masyarakat yang
menuturkan pelbagai bahasa berbeza dari kumpulan bahasa Teda-Daza dan mungkin
terbentuk pada kurun ke-9. Konfederasi nomad sebegini cukup lazim berlaku dalam
sejarah; apa yang yang tidak lazim adalah konfederasi yang satu ini kekal teguh
bersama. Suatu masa sebelum memasuki awal kurun ke-12, konfederasi ini menjadi
sebuah masyarakat tetap, dengan Nijmi sebagai ibu kotanya yang kekal. (75)
Sebutan pertama
berkenaan Kanem boleh dijejak pada teks-teks seawal tahun 872 Masihi dan karya
seorang sejarahwan merangkap ahli geografi Arab, iaitu al-Yaqubi (dalam Kitab
al-Buldan). Bahkan seandainya negara ini telah pun terbentuk sekurun lebih
awal, maka ia mengesahkan proses politik yang dibicarakan di atas lantaran kita
dimaklumkan bahawa populasinya pada masa itu kebanyakannya masih terdiri dari
kaum nomad yang hidup di pondok-pondok dan belum membentuk petempatan kekal.
Kita juga diberitahu bahawa raja-raja Kanem (di dalam sumber ini dan
sumber-sumber Arab yang disebut sebagai Zaghawa) juga berkuasa ke atas
raja-raja lain, iaitu suku-suku di wilayah utara dan timur Tasik Chad yang
mereka takluki. Sejarahwan Arab, al-Muhallabi yang mengarang pada kurun ke-10
Masihi, mencatatkan bahawa kerajaan ini mempunyai dua buah bandar dan
kekayaannya dapat dibuktikan menerusi jumlah ternakan lembu, kambing, unta dan
kuda yang banyak.
![]() |
Peta Negara-Negara Afrika Purba & Sub-Sahara Zaman Pertengahan |
RAJA-RAJA KANEM
Bermula sekitar tahun
1075 Masihi, Kanem diperintah oleh dinasti Saifawa (atau Sefawa) di atas
populasi yang kemudiannya didominasi oleh masyarakat Kanuri. Raja menyandang
gelaran Mai. Salah seorang raja teragung mereka ialah Mai Dunama
Dibbalemi (memerintah sekitar 1221-1259 Masihi). Beliau bertanggungjawab
memperluaskan wilayah kerajaan jauh ke utara dan timur laut, memasuki wilayah
gurun, dengan memanfaatkan pasukan kavalri.
Komander-komander tentera diberikan
ganjaran di atas khidmat mereka menerusi kaedah pengurniaan hak pentadbiran ke
atas wilayah-wilayah yang ditakluki. dan perkahwinan dengan kerabat diraja
merupakan suatu strategi lazim bagi membentuk dan mengukuhkan lingkungan
pembesar baru ke dalam kerajaan Kanem. Suku-suku yang ditakluki dituntut agar
membayar ufti kepada raja-raja Kanem, lazimnya dalam bentuk pemberian
hamba-sahaya.
Menjelang penghujung
kurun ke-13 Masihi, kerajaan ini berada di kemuncak kegemilangannya dan bahkan
menguasai oasis-oasis penting Sahara di wilayah Fezzan. Namun, kesemuanya ini
tidak tanpa terlebih dahulu memakan masa selama lebih dari setengah kurun.
Dibbalemi juga merupakan salah seorang penentang agama pagan lama yang paling
keras.
Raja Muslim ini malah memerintahkan agar sebarang objek atau simbol yang
berkaitan dengannya dihancurkan, selain mengenakan perundangan yang berciri
Islami. Walau bagaimanapun, sistem autoriti raja-raja Kanem bersifat mutlak dan
tidak sepenuhnya selari dengan ajaran Islam yang sebenar, sebagaimana yang
direkodkan oleh penulis Arab, Yaqut dalam karya kurun ke-13 beliau yang
berjudul ‘Kamus Negara-Negara (Kitab Mu’jam al-Buldan):
“Mereka mengagungkan
raja mereka dan menyembahnya berbanding menyembah Tuhan. Mereka membayangkan
bahawa raja mereka tidak berhajat kepada sebarang makanan. Terdapat individu-individu
yang bertugas dalam hal-ehwal pemakanan ini secara rahsia, dan membawanya ke
rumah beliau. Tiada siapa tahu daripada mana makanan ini dibawa.
Jika berlaku
keadaan di mana salah seorang rakyatnya terserempak dengan unta-unta yang
membawa bekalan, beliau akan dibunuh serta-merta. Raja lazim menikmati
minumannya bersama teman-teman yang terpilih… Agama yang mereka anuti adalah
agama penyembahan raja-raja mereka, kerana mereka percaya bahawa raja-raja ini
berupaya menghidup dan mematikan, menimpakan sakit dan mengurniakan sihat.
(dipetik daripada Fage, 681)
PENGAMALAN ISLAM
Tidak diketahui secara
jelas pada waktu bilakah kerajaan ini mula mengamalkan Islam dan bagaimana pula
penerimaannya. Apa yang diketahui adalah hanya pada kurun ke-13 Masihi barulah
ia diamalkan secara meluas oleh masyarakat umum, lantaran sumber-sumber Arab
yang membuat liputan tentang sejarah negara tersebut pada tarikh yang lebih
awal menyebut secara spesifik bahawa kerajaan Kanem masih mengamalkan
kepercayaan pagan.
Namun, pemerintah Kanem yang pertama direkodkan sebagai
seorang Muslim datang dari tarikh yang jauh lebih awal, iaitu raja Hu (atau
Hawwa, memerintah 1067-1071 Masihi). Apapun, beliau mungkin sebenarnya adalah
seorang ratu. Semenjak itu, ramai pemerintah Kanem mula menunaikan haji ke
Mekah dengan melalui tempat-tempat keramat di Afrika Utara dan Tanah Arab.
Selain itu, terdapat seorang raja yang bertangungjawab menubuhkan institusi
pendidikan Muslim (madrasa) di Fustat, Mesir pada tahun 1324 Masihi.
![]() |
Kafilah Unta Trans-Sahara |
Penjelasan yang paling
munasabah bagi menerangkan penerimaan Islam dalam kalangan raja-raja ini adalah
sebagaimana di negara-negara Sub-Sahara yang lain, penerimaan ini memberikan
kelebihan buat para raja lantaran ia berupaya menggamit kehadiran para pedagang
Muslim. Hal ini sekaligus meningkatkan lagi kekayaan kelas pemerintah yang
dengan demikian, mereka dapat memperagakan kemewahan atau prestij mereka kepada
rakyat dan kemuncaknya, mengekalkan kuasa ke atas mereka.
Malahan, dinasti baru
juga berupaya untuk meneguhkan keabsahannya ke atas takhta menerusi penerimaan
terhadap agama baru. Tarikh penerimaan Islam dalam kalangan para pemerintah dan
perubahan dinasti kepada dinasti Saifawa sedikit-sebanyak mempunyai
kesepadanan. Tentunya, terdapat ulama’-ulama’ Muslim yang mengembara sebagai
pendakwah – mengunjungi Kanem buat kali pertama seawal kurun ke-11 Masihi – dan
makanya, faktor perdagangan tidaklah sepenuhnya mewakili sebab-musabab
penyebaran agama ini.
Tambahan, pendakwah-pendakwah ini menerima sambutan yang
baik, setidak-tidaknya menurut sumber Arab, dan mereka sering diberikan hadiah
kerana mengajarkan al-Qur’an kepada penduduk tempatan. Antara hadiah ini
termasuklah unta, hamba sahaya, syiling emas dan perak. Kanem dianggap unik
kerana sejumlah besar penduduk awamnya mengamalkan agama ini bersama golongan
elit, di mana hal ini bukan sesuatu yang lazim di tempat-tempat lain.
SEBUAH HUB PERDAGANGAN
Bermula sekitar tahun
900 Masihi, kerajaan ini menjadi titik terhujung laluan kafilah unta yang
merentasi Gurun Sahara – kafilah yang mengangkut barang dagangan antara
Tripolitania (Libya moden) dan Kaherah di Afrika Utara, seterusnya menurun ke
Afrika Tengah. Laluan tran-Sahara ini merupakan antara laluan perdagangan yang
terbaik lantaran ia mempunyai oasis-oasis yang agak banyak di sepanjang wilayah
Fezzan.
Terdapat juga laluan ke timur dan lembah Nil yang melalui jalan garam
Kawar. Garam, tembaga (juga digunakan sebagai matawang), tin (dari Nigeria),
kapas, kulit haiwan, kacang kola, gading, bulu burung unta, unta, dan emas
diangkut melalui wilayah kerajaan ini. Begitu juga dengan hamba-sahaya yang
secara aktif diambil oleh raja-raja Kanem daripada wilayah-wilayah jiran, atau
setidaknya, ia diambil sebagai ufti seperti yang disebutkan di atas.
Golongan
bangsawan Kanem kebiasaannya membelanjakan harta kekayaan mereka dalam barangan
import seperti kain bersulam, sutera, barang kemas, dan senjata besi. Tidak hanya
barang dagangan, idea-idea turut dipindahkan melalui jalan-jalan perdagangan
ini. Antara yang paling penting seperti yang dapat kita lihat, adalah agama
Islam.
EMPAYAR BORNU
Empayar Bornu
ditubuhkan oleh seorang raja Kanem yang terusir, iaitu Uma bin Idris. Beliau
terpaksa membawa diri keluar daripada kerajaan asalnya berikutan perampasan
kuasa yang berlaku antara tahun 1390 dan 1400 Masihi oleh Bulala, sebuah
kumpulan misteri yang berkemungkinan merupakan sebuah suku tunggal atau
sekumpulan suku penternak. Salah satu faktor penyumbang yang membawa kepada
kekalahan di tangan Bulala ini adalah perang saudara yang melanda Kanem,
lantaran saiz keluarga diraja semakin membesar dan masing-masing berebutkan hak
memerintah.
Susulan daripada
keadaan ini, dinasti pemerintah Kanem kemudiannya menjadi raja-raja Bornu
walaupun bagaimana mereka berupaya mendapatkan sokongan daripada masyarakat
asli So yang menghuni pantai barat Tasik Chad masih belum diketahui dengan
jelas. Masyarakat So seterusnya berasimilasi dengan bahasa dan budaya Kanuri,
dan hal ini pastinya tidak akan berlaku kalau bukan kerana kelebihan-kelebihan
yang mereka miliki pada pandangan raja-raja Kanem, lantaran wilayah barat Tasik
Chad jauh lebih kaya dalam soal sumber (simpanan) besi.
Empayar Bornu, atau
kadangkala disebut sebagai Empayar Kanem-Bornu atau Empayar Borno,
beribukotakan Gazargamo dan ia mengalami perkembangan sehingga menguasai
kedua-dua belah sisi Tasik Chad sejak kurun ke-16 Masihi dan secara bertahap
mengambil-alih kekuasaan ke atas wilayah lama Kanem. Kekuasaan empayar ini
berkekalan sehingga penghujung kurun ke-19 Masihi, iaitu kurun di mana ia
diambil-alih oleh Perancis yang dengan penuh bercita-cita mahu menubuhkan
koloni di seluruh Afrika.
BIBLIOGRAFI
- Curtin, P. African History. Pearson, 1995.
- Fage, J.D. (ed). The Cambridge History of Africa, Vol. 2. Cambridge University Press. 2001.
- Hrbek, I. (ed). UNESCO General History of Africa, Vol. III, Abridged Edition. University of California Press. 1992.
- Ki-Zerbo, J. (ed). UNESCO General History of Africa, Vol. IV, Abridged Edition. University of California Press. 1998.
- McEvedy, C. The Penguin Atlas of African History. Penguin Books. 1996.
- Oliver, R. (ed). The Cambridge History of Africa, Vol. 3. Cambridge University Press. 2001.
- Oliver, R.A. Cambridge Encyclopedia of Africa. Cambridge University Press. 1981.
- de Villiers, M. Timbuktu. Walker Books, 2007.
- Get link
- X
- Other Apps