- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Amir
Zayyanid – 22 Februari 2020 (23:32) – Bicara ar-Ra’y [Teratak Dzihn]
Pada saya secara
peribadi, antara asas yang diperlukan untuk mencapai perbezaan pendapat secara
sihat adalah dengan membiasakan diri membuat pemikiran lateral (lateral
thinking).
Kalau kita buat
pencarian di Google berkenaan maksud lateral thinking, dia akan
cakap yang lateral thinking ini adalah kaedah menyelesaikan masalah
menggunakan pendekatan tidak langsung dan unik, melalui timbangan yang bersifat
gambaran (imaginatif).
Tapi secara mudahnya,
konsep pemikiran lateral boleh difahami menerusi salah satu pesanan asas yang
ada dalam kebanyakan aliran pemikiran, iaitu, “Jangan buat sesuatu pada orang
lain hal yang kita tak suka dilakukan pada kita.”
Contoh praktikal yang
dapat kita lihat adalah menerusi cara Nabi menegur seorang sahabat Badwi yang
meminta untuk berzina:
“Kamu ada ibu? Kamu ada
saudara perempuan? Kamu suka ibu kamu dizinai?”
“Tak, aku tak suka.”
“Wanita yang akan kamu
zinai itu mungkin adalah ibu orang, mungkin saudara perempuan orang. Jadi
sebagaimana kamu tak suka ibu kamu dizinai, orang lain juga tak suka ibu mereka dizinai.”
“Wallahi
sejak itu tiada maksiat yang aku benci melebihi zina,” kata sahabat Badwi itu.
Bagi kes ini (jangan
buat sesuatu pada orang lain hal yang kita tak suka dilakukan pada kita),
‘sesuatu hal’ itu tadi sifatnya subjektif, relatif dan manipulatif. Ia bersifat
tidak jelas dan/atau bergantung kepada apa yang kita tak suka, sedangkan kita
tahu yang lain orang lain hal yang dia tak suka. Secara mudahnya, ia disebut
sebagai pemboleh-ubah.
Dalam pemikiran
lateral, sebagaimana kita berasa boleh untuk tidak suka diperlakukan apa yang
kita tak suka, maka orang lain pun boleh untuk merasa yang mereka boleh untuk
tidak suka diperlakukan apa yang mereka tak suka.
Dalam erti kata lain,
pemikiran lateral menuntut kita untuk berimaginasi, “Oh, aku tak suka
diperlakukan begini. Jadi, orang lain pun mesti tak suka diperlakukan macam
ni.”
Sebagai nota, pemikiran
lateral kebiasaannya mengesampingkan sebentar kompas moral atau penilaian
baik-buruk dalam membuat satu-satu pertimbangan. Mengesampingkan ini dalam
maksud tidak menjadikan moral atau penilaian baik-buruk sebagai dasar nasihat
atau kritikan.
Sebagai contoh dalam
hadis tadi, Rasulullah tidak menghakimi (judgmental) dengan menegaskan
halal-haram dalam agama sebaliknya baginda mengesampingkan sebentar
permasalahan tersebut dan play-along kehendak sahabat Badwi itu tadi
dengan membuat permisalan, “Okay, andai kata kamu berzina. Maka kamu berzina
dengan ibu orang…”
Justeru dalam mendepani
perbezaan pendapat, pemikiran lateral menuntut kita untuk mengesampingkan
sebentar kompas moral dan play along dengan pendapat yang diperbezakan
tadi tanpa mengira betul-salah sesebuah pendapat atau memusatkan tumpuan pada
menghakimi (judgmental). Setidak-tidaknya, betul-salah yang
dikesampingkan ini disikapi sebagai gapaian-indera dan bukannya sebagai objek
hakikat itu sendiri.
Berbalik kepada
pemboleh-ubah yang disebutkan tadi, kalau diaplikasikan dalam hal perbezaan
pendapat, contoh pemikiran lateral-nya adalah:
Sebagaimana kita
berpandangan dan yakin pandangan kita itu benar atas kapasiti-kapasiti
tertentu, maka macam itulah orang lain. Mereka juga berpandangan dan yakin
pandangan mereka itu benar atas kapasiti-kapasiti tertentu.
Nah, dalam hal
perbezaan pendapat, apa yang bersifat tidak jelas, relatif, manipulatif, dan
menuntut kita untuk berimaginasi adalah ‘kapasiti tertentu’. Kapasiti tertentu
ini merujuk kepada latar belakang, pembawaan, cara didikan, suasana sosial, dan
sebagainya yang mempengaruhi cara berfikir atau pandangan alam seseorang.
Perbezaan pendapat yang
tidak sihat berlaku apabila kita menerima premis pertama yang melibatkan diri
kita dan menolak premis kedua yang melibatkan orang lain. Kita menerima situasi
kita berasa diri kita benar, dan kita menolak situasi orang lain berasa diri
mereka benar.
Dalam pemikiran
lateral, apabila salah satu premis ini ditolak, maka terjadilah paradoks. Dalam
bidang psikologi, ketidakseimbangan ini disebut sebagai kognitif bias.
Tanggapan atau kognitif yang bias terhadap diri sendiri dalam menyikapi
perbezaan pendapat tidak lain akan mendorong kita untuk memenangkan diri dan
bukannya memenangkan kebenaran, memandangkan kita menganggap kebenaran berada
di pihak kita.
Lantaran itu, pemikiran
lateral menuntut supaya dikesampingkan sebentar kompas moral dan penilaian
betul-salah demi meminimumkan pengaruh kognitif bias ini, sekaligus
menghindarkan sifat menghakimi.
Penggunaan pemikiran
lateral dalam nak mencapai perbezaan pendapat secara sihat adalah bertujuan
untuk membawa kita sampai kepada titik kebersamaan itu tadi, iaitu, “Jika kita
berasa diri kita boleh, maka orang lain pun boleh untuk berasa yang diri mereka
boleh.”
Dengan meraih titik
kebersamaan ini, menjadi mudah untuk kita bertoleransi dan seterusnya melangkah
ke proses berikutnya, iaitu memahami. Memahami garis pemikiran; mengapa
seseorang itu berpegang pada pandangan yang dia pegang, sebagaimana kita faham
mengapa kita berpegang pada pandangan yang kita pegang.
Sebab sama macam kita,
untuk nak sampai kepada satu pandangan, kita akan mengalami suatu proses dan
menerima suatu pengaruh. Setiap daripada kita ada perjalanan tersendiri yang sampai
membawa kita tiba pada pandangan, pendapat atau keyakinan yang dipegang.
Bila dah faham dengan
jelas perjalanan yang ditempuh orang lain dalam mencapai pandangan yang dia
pegang, walau tidaklah sejelas kefahaman
kita terhadap perjalanan yang kita tempuh dalam nak mencapai pandangan yang
kita pegang, maka mudah untuk kita menghormati pandangan dia walau tanpa
mengorbankan pegangan kita, bagi keadaan yang dibenarkan untuk kita berbeza
pandangan (misalnya yang bukan melibatkan akidah. Dalam hal ini, kita
dibenarkan untuk memahami perjalanan pandangannya, tetapi kita tidak dibenarkan
bersetuju untuk membiarkan pandangan sebegitu).
Perbezaan pendapat
secara tidak sihat berlaku kerana kita tidak saling memahami. Dan untuk boleh
sampai kepada saling memahami, asasnya adalah kita perlu akui yang orang lain
pun boleh untuk berasakan diri mereka benar sebagaimana kita berasa yang diri
kita benar.
Dan bila begitu,
maknanya kita dah pun terapkan apa yang disebut sebagai Intellectual
Humility atau Kerendahan Diri Intelektual. Kerendahan Diri Intelektual
memang sejak dulu lagi menjadi budaya dalam kalangan ulama’ kita. Memang
tradisi kita, tradisi yang hilang. Atas sebab itu, mereka boleh berlapang dada
dan memelihara adab walaupun berbeza pendapat yang bukan calang-calang.
Contohnya macam perbezaan mazhab. Imam-imam mazhab kita siap boleh
ziarah-menziarahi, imam-mengimami lagi walaupun murid masing-masing saling
bertekak.
Mungkin sebab itu,
dalam sesi penutup Simposium Antarabangsa Syed Muhammad Naquib al-Attas
tempohari (saya tidak hadir, nukil saja dari perkongsian rakan yang hadir),
Prof. Dr Wan Mohd Nor Wan Daud menyebut,
“If you asked him
(Prof al-Attas) again today, how to revive our civilisation? His answer would
still be: knowledge. But not in its simple sense but in the (comprehensive)
sense which he understands it: knowledge of yourself, and other selves;
knowledge of your religion and of other religions as well; knowledge of your
civilisation and of other civilisations…”
Mengenal diri dan
mengenal orang lain, dalam rangka mematlamatkan kebenaran, yang mana kebenaran
ini boleh datang dari diri kita mahupun orang lain. Hal ini dilambangkan oleh
Imam ash-Shafi’e menerusi kata-kata, “Aku tidak akan berdebat dengan seseorang
melainkan aku mengharapkan Allah menzahir kebenaran di atas lidahnya berbanding
lidahku.”
Betapa dalam keadaan
memasuki debat untuk melontarkan pandangan sendiri yang diyakini benar, pada
masa yang sama mengharapkan supaya lawan debat itu mencetuskan, kalau bukan
memberikan kebenaran yang lebih lagi, baik semasa dalam debat itu mahupun
sesudah pulang, yakni ketika kita merenungi kembali butir-butir perbahasan.
Sudah tentu, lawan debat yang mampu diharapkan untuk mencetuskan kebenaran itu
adalah lawan debat yang kita kenali bahawa beliau sendiri mengamalkan
Kerendahan Diri Intelektual dan tidak memusatkan tumpuannya untuk memenangkan
diri atau menghakimi pandangan orang lain.
Dalam tradisi
orang-orang terdahulu yang baik (salaf as-soleh) pun disebutkan bahawa walaupun
perkataan “Aku tidak tahu” itu adalah lambang ketidaktahu akan sesuatu ilmu,
ucapan itu sendiri adalah separuh daripada ilmu.
Ilmu yang kita ada,
pengetahuan yang kita tahu, yang dengannya kita boleh berkongsi dan
memanfaatkannya, kesemua itu cuma separuh daripada ilmu. Separuh yang lain
terletak pada “Aku tidak tahu” yang melambangkan ketidakabsolut terhadap ilmu
yang kita ada. Kita tahu, tetapi kita akui kemungkinan wujud kebenaran yang
lebih lagi, baik pada diri kita sendiri mahupun dari orang lain. Kita tahu,
tetapi kita merendahkan diri sebagai adab seorang intelek atau ahli ilmu.
Dengan demikian, kita berupaya untuk berbeza pandangan secara sihat.
Ini tradisi adab
terhadap ilmu dan ilmuwan yang kini masyhur dengan sebutan Kerendahan Diri
Intelektual.
Kesimpulannya, konsep pemikiran lateral ini boleh disimpulkan menerusi gambar, yakni apabila lelaki mengatakan apa yang dilihatnya itu sebagai sembilan, beliau juga seharusnya berasakan bahawa pendapat wanita yang mengatakannya sebagai enam boleh ditolakansurkan kerana mengandaikan bahawa wanita itu mengalami suatu perjalanan yang membawanya kepada kesimpulan 'enam'. Begitu juga yang seharusnya dilakukan oleh wanita tersebut.
Dengan demikian, perbezaan pendapat di antara mereka berdua dapat berlaku secara sihat tanpa pertegangan yang tiada penghujung.
Nota: Tulisan ini
adalah curahan lanjut selepas membaca perkongsian tuan Khairul Idzwan berkenaan
perbezaan pendapat secara sihat (https://www.facebook.com/khairul.idzwan.5/posts/1021842810295048).
- Get link
- X
- Other Apps
