‘THE ALCHEMIST’ DI DALAM ‘THE QUEST FOR MEANING


Amir Zayyanid – 25 November 2019 (18:39) – Bicara Buku [Teratak Dzihn]


Judul: The Quest For Meaning
Penulis: Tariq Ramadan
Penerbit: Penguin Books
Tebal: 212 halaman
Tahun: 2010
Harga: RM54.95


Di bahagian awal buku The Quest for Meaning, Tariq Ramadan ada memetik The Alchemist (Paulo Coelho), “This universal experience is summed up as simply and as profoundly as it could be by Paulo Coelho’s novel The Alchemist: leave Andalusia to look for a treasure that is hidden in Egypt and discover, once in Egypt, that you have to go back to Andalusia. Andalusia is not, however, self-sufficient, and requires the meditation of Egypt.” (ms. 6)

Kita hidup dan bergerak ke hadapan agar dapat pulang ke tempat asal yang daripadanya kita datang, setelah melalui jalan salik.

Cukup menarik apabila beliau sebutkan tentang Andalusia yang darinya Santiago berangkat tidak sama dengan Andalusia yang kepadanya Santiago kembali.

Lebih menarik juga apabila petikan ini termuat dalam bab sub-topik ‘Masa’ yang terkandung dalam bab ‘Pencarian Maksud’, di mana dalam sub-topik ini, Tariq Ramadan mengemukakan bahawa peredaran masa adalah faktor alami yang akan mencetuskan persoalan eksistential dalam diri sesiapa pun.

Persoalan tentang masa akan mencetuskan persoalan tentang mati. Dan persoalan tentang mati akan mencetuskan persoalan tentang kewujudan; dari mana kita berasal dan ke mana akan kita pergi, apakah takdir dan harapan buat kita semasa hidup.

Persoalan-persoalan yang tercetus sepanjang beredarnya masa dan mendewasanya kita ini, menuntut kita untuk menjadi lebih introspektif, memandang ke dalam diri sendiri. Mengenali diri, lemah dan lebihnya kita. Ini yang diperihalkan dalam sub-topik selanjutnya setelah sub-topik Masa, iaitu ‘Kembali Kepada Diri Sendiri’.

Kemudian, dengan kesedaran dan kefahaman terhadap diri sendiri, cela dan baiknya, kita mula perlahan-lahan membentuk peribadi yang menurut kita, sesuai untuk dipakai dalam rangka memenuhi pencarian maksud kewujudan kita. Atau kata Coelho, berangkat dari Andalusia untuk pergi ke Piramid di Mesir lalu pulang semula ke Andalusia yang di sana letaknya maksud kewujudan Santiago.

Namun sepanjang perjalanan tersebut, rintangan sentiasa terbentang. Menekan, mendesak, menggoncang peribadi yang sedang kita bawa. Dalam The Alchemist, ujian ini digambarkan menerusi beberapa perkara seperti kehilangan duit, persinggahan yang terlalu lama sehingga melunturkan nyala rasa, perjalanan yang jauh, ancaman bahaya dari perang kabilah, ujian kesenangan dan kecintaan, dan getir bahaya yang melibatkan nyawa.

Untuk menghadapi ketertekanan dan keraguan yang kita alami sesudah mencari maksud kewujudan dan kembali pada diri, tidak dapat tidak kita mahu mencari ketenangan mutlak. Ketenangan yang Tariq sifatkan dalam sub-topik seterusnya iaitu ‘Dalam Pencarian Ketenangan’ sebagai kewujudan kanak-kanak yang serba senang hati, aman, cukup, dan terbela (terjamin).

Kewujudan yang hidup tetapi tiada kerisauan terhadap hidup. Kewujudan yang merasai sakit dan bahagia, derita dan gembira, kurang dan mewah, tetapi tetap berasa terjamin dengan hidup berkat kehadiran ibu bapa dan sanak-saudara. Ketenangan yang tiada lain, bagi manusia secara keseluruhan, kemuncaknya adalah daripada sumber Ilahi, sumber ke-Tuhanan.

Ketenangan yang bertuntas daripada pencarian maksud kewujudan; bertuntas daripada kenalnya pada diri sendiri; bertuntas daripada kembalinya kita kepada sumber Ketenangan Mutlak.

Kalau dilihat semula dalam The Alchemist, Coelho mengemukakan setidak-tidaknya lima jenis individu dalam karyanya:

1 Individu yang tidak menyedari Personal Legend sendiri.
2 Individu yang memilih untuk berhenti mengejar Personal Legend setelah menyedarinya.
3 Individu yang membantu individu lain agar bebas mengejar Personal Legend-nya.
4. Individu yang mengejar Personal Legend sampai ke penghabisan.
5. Dan individu yang sudah pun mencapai Personal Legend-nya dan memandu individu lain dalam menyedari, mencari dan mencapainya.

Dan kalau dilihat, empat yang terakhir ini kesemuanya ditampilkan oleh Coelho dengan suatu yang boleh disifatkan sebagai secured, fulfilled dan peace. Rasa terjamin, serba berkecukupan dan tenteram. Nafsul mutma’innah, kata al-Qur’an.