- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Cartwright. (2 April 2019). Kingdom of Benin. Ancient History
Encyclopedia.
https://ancient.eu/Kingdom_of_Benin/
https://ancient.eu/Kingdom_of_Benin/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kerajaan Benin yang
terletak di hutan belantara wilayah selatan Afrika Barat (Nigeria moden) dan
dibentuk oleh kaum Edo, berkembang pesat pada kurun ke-13 hingga kurun ke-19 M.
Ibu kotanya yang turut dipanggil sebagai Benin adalah sebuah hab rangkaian perdagangan
yang dikawal secara eksklusif oleh raja atau oba dan melibatkan hubungan
perdagangan dengan para pedagang Portugis yang datang mencari emas dan hamba
sahaya.
Benin mengalami kemunduran pada kurun ke-18 M lantaran kerajaan itu
dilanda perang saudara, dan ia ditakluk secara muktamad oleh British pada tahun
1897 M. Pada hari ini, Kerajaan Benin paling diingati menerusi patung-patung
dan plak-plak loyangnya yang kebanyakannya mempamerkan imej para pemerintah dan
kerabat diraja: barangan ini dianggap sebagai antara hasil seni terbaik yang
pernah dihasilkan di Afrika.
ASAL-USUL: TRADISI NOK
& IFE
Rantau Afrika Barat,
khususnya di bahagian selatan, diperkenalkan (atau membangunkan secara sendiri)
dengan teknologi pertukangan besi setidak-tidaknya seawal kurun ke-9 M. Dengan
alatan pertanian yang lebih baik, hasil tuaian mereka pun dapat ditingkatkan.
Penduduk di lingkaran hutan hujan dan kering yang terbentang di seluruh wilayah
selatan Afrika Barat masing-masing mengusahakan kampung mereka dan berupaya mengeluarkan
hasil tanaman seperti keladi, pisang, dan minyak kelapa.
Kerajaan Ife yang
terletak di Nigeria moden sama seperti Kerajaan Benin, berkembang pesat pada
kurun ke-11 hingga kurun ke-15 M. Kerajaan ini menghasilkan banyak patung
gangsa berkualiti, terutama patung berbentuk kepala manusia. Ife mungkin
menerima pengaruh daripada Kebudayaan Nok (kurun ke-5 SM hingga kurun ke-2 M)
dan Ibgo Ukwu (mencapai zaman kemuncak pada kurun ke-9 M) yang lahir lebih awal.
Dalam tradisi lisan Benin, raja Ife merupakan individu yang bertanggungjawab
menghantar bijakpandai dan artisan ke wilayah selatan, khususnya Benin pada
lewat kurun ke-13 M bagi tujuan menyebarkan kemahiran memahat. Legenda ini
mungkin cerminan kepada pergerakan kaum Yoruba si penempa-besi dalam wilayah
kaum Edo di Benin. Tradisi Edo juga menyatakan bahawa merekalah yang menjemput
Putera Oranmiyan dari Ife untuk memerintah mereka. Tambahan lagi, kononnya
putera kepada Oranmiyan inilah, iaitu Eweka, yang menjadi raja pertama Benin.
Menukil pernyataan
sejarahwan P. Garlake, “Mitos-mitos dan tradisi-tradisi kota Benin mengisyaratkan
Ife sebagai leluhur kerajaan dan budaya penempaan tembaga mereka” (139).
Isyarat-isyarat tentang persamaan kesenian antara dua budaya itu melibatkan
penggunaan imej harimau bintang yang dikaitkan dengan kematian dan ular,
sepertimana ular yang melilit gabel istana Benin dan sebuah relif dari Ife.
Namun, bidang arkeologi masih belum mengesahkan sebarang kaitan jitu antara
kedua-dua budaya yang secara berterusan mendominasi wilayah selatan Afrika
Barat di atas Lengkungan Benin ini.
![]() |
Peta Negara-Negara Sub-Sahara Afrika Purba & Zaman Pertengahan |
TINJAUAN SEJARAH
Kerajaan Benin terletak
berhampiran pantai selatan Afrika Barat, di rantau yang kini membentuk wilayah
selatan negara Nigeria (negara Benin moden terletak lebih jauh di sepanjang
pantai ke barat dan meraih nama bersempena Lengkungan Benin). Wilayah ini merangkumi
hutan hujan, hutan kering, dan paya bakau. Kerajaan Benin terbentuk pada kurun
ke-13 dan dihuni oleh kaum Edo yang menuturkan bahasa Kwa.
Pada masa-masa
kemuncaknya, kerajaan ini meliputi kawasan seluas 400 km (250 batu) panjang dan
200 km lebar. Wilayah pusatnya pula terdiri daripada sebuah bulatan yang
mengelilingi ibu kota, yang turut dinamakan sebagai Benin, dan merentang
sehingga 60 kilometer ke segenap arah. Wilayah pusat ini diperintah secara
langsung oleh raja. Menyusuli wilayah pusat adalah lingkungan wilayah luar yang
ditadbir oleh putera-putera raja. Lapisan ketiga, iaitu lapisan terakhir pula
terdiri daripada suku-suku yang membayar ufti namun tidak diperintah secara
langsung oleh raja Benin.
![]() |
Matawang Loyang Manilla |
Kerajaan ini memperoleh
kekayaan menerusi perdagangan serantau, di mana Benin bertindak selaku pihak
tengah antara kerajaan-kerajaan lain dengan memainkan peranan mengangkut
barangan yang bukanlah hasilan mereka sendiri. Antaranya seperti kapas dan batu
manik separa-berharga. Barang dagangan lain yang dijual-beli dalam kalangan
masyarakat Afrika Barat termasuklah ikan, garam, keladi, dan haiwan ternakan.
Betapa lancarnya hubungan perdagangan ini hinggakan terdapat bukti matawang
tempatan digunakan, antaranya seperti manila (gelang berat yang berbentuk
seperti ladam kuda), dawai dan batang yang kesemuanya itu diperbuat daripada
tembaga, loyang dan gangsa.
Terdapat juga bukti di mana cengkerang cowrie
– yang datang dari Parsi dan Maldives – digunakan sebagai matawang di Benin sebelum
interaksi langsung dengan orang Eropah berlaku. Bukti ini mengisyaratkan
berlakunya hubungan perdagangan dengan kerajaan-kerajaan savannah di Afrika
Utara yang mungkin berlangsung melalui jalan darat.
Bermula sekitar tahun
1450 M, kapal-kapal Portugis berlayar ke pantai Atlantik Afrika sekaligus
menawarkan alternatif kepada laluan kafilah trans-Sahara dan segala rangkaian
perdagangan sesama kerajaan-kerajaan pedalaman Afrika. Sejak tahun 1471 M,
kapal-kapal ini memasuki Pantai Emas di wilayah selatan Afrika Barat bagi
tujuan mencari emas yang pernah membekalkan kekayaan buat Empayar Mali
(1240-1645) dan Empayar Songhai (sekitar 1460-1591 M).
Tanpa semena-mena,
penduduk wilayah selatan Afrika Barat yang selama ini berada di penghujung
rantaian perdagangan yang bermula di Eropah dan kemudian turun ke Afrika Utara,
Sahara, dan savannah Afrika Barat, kini berada di penghujung yang sebaliknya
pula dalam suasana kepesatan perdagangan maritim, lantaran kapal-kapal dagang
berlabuh langsung dari Eropah. Benin bukanlah sebuah kerajaan pinggir pantai,
namun ia tetap mengekalkan interaksi maritim melalui pelabuhan Ughoton yang
terletak di Sungai Benin.
Pada kurun ke-15 dan
ke-16 M, Benin menjalinkan hubungan perdagangan dengan Portugis yang meneguhkan
posisi mereka di Ughoton selama 30 tahun sejak tahun 1487 M. Orang Eropah
menaruh minat terhadap manik, kain kapas, gading gajah dan hamba sahaya, di
mana mereka kemudiannya melakukan perdagangan lanjut dengan masyarakat Afrika Barat
lain dengan menukarkan barang dagangan tadi dengan barang yang paling mereka
inginkan: emas dan lada hitam (dua barang yang meraih permintaan tinggi di
Eropah). Suku-suku di Afrika Barat juga mencari kain kapas India, manik-manik
kaca, dan cengkerang cowrie yang dibawa oleh pedagang Portugis ke
Afrika.
Benin turut menunjukkan permintaan yang tinggi terhadap tembaga dan
gangsa bagi tujuan pembuatan loyang, di mana loyang ini kemudiannya digunakan
bagi menghasilkan patung-patung mereka yang masyhur. Raja Benin mengenakan
kawalan yang ketat ke atas dasar perdagangan kerajaannya, sekaligus melahirkan
monopoli diraja. Sememangnya, raja secara jelas mempunyai kedudukan yang kuat
dalam berurusan dengan pihak Eropah kerana beliau berupaya mengharamkan
penjualan hamba lelaki sesudah tahun 1516 M lantaran beliau memerlukan mereka
bagi membentuk pasukan tenteranya sendiri.
![]() |
Patung Kepala Benin Yang Diperbuat Daripada Loyang |
Pada tahun 1514 M, raja
Benin memulakan hubungan diplomatik dengan pentadbiran Portugis melalui
pengutusan delegasi ke Eropah. Hubungan ini dilihat bertujuan untuk memeterai
perjanjian penghantaran senjata api ke kerajaannya. Portugis pula dilihat tidak
cenderung untuk membekalkan senjata kepada pihak yang berpotensi menjadi
musuhnya, justeru mereka cenderung menghantar sejumlah mubaligh Kristian untuk
cuba memujuk pemerintah sekaligus rakyat agar memeluk agama Kristian,
sebagaimana yang dilakukan di wilayah-wilayah Afrika yang lain. Raja kekal
setia dengan kepercayaan tradisinya.
Walaupun sejumlah gereja dibina dan sejumlah
warga Afrika berjaya ditukarkan agamanya, projek penyebaran agama Kristian
ditinggalkan tujuan asalnya, dan hanya digunakan bagi mentiraikan dasar
Portugis yang mahu merampas segala kekayaan dengan sepantas dan semurah
mungkin. Sebarang cubaan untuk memasukkan asas-asas pentadbiran juga tidak
dilakukan, di mana cita-cita ini direncatkan oleh kadar kematian orang Eropah
yang tinggi tatkala mereka berdepan dengan wabak tempatan. Hanya pada kurun
ke-19 M barulah mubaligh-mubaligh Eropah benar-benar mula menyerang kepercayaan
asli di Afrika Barat.
RAJA ATAU OBA
Raja-raja Benin
menyandang gelaran oba dan dianggap mempunyai mandat kurniaan dewa untuk
memerintah. Raja tidak hanya mengawal segala aktiviti perdagangan dengan orang luar,
namun mereka juga secara peribadi memiliki hampir kesemua barang bernilai
tinggi yang ada dalam kerajaan seperti kulit harimau bintang, lada hitam, batu
karang dan gading gajah. Kebanyakan pemerintah diingati namanya menerusi
penghasilan barang seni buatan Benin.
Topeng-topeng gading gajah yang dipakai
di pinggang para pemerintah mempunyai ukiran yang menggambarkan raja memakai
mahkota dan rantai leher dari kepala manusia, mungkin kepala orang Eropah, dan
hal ini mengisyaratkan maksudnya kepada monopoli oba ke atas hubungan
perdagangan ataupun kekuasaannya ke atas orang asing. Imej raja-raja juga
sering tampil dalam plak-plak loyang yang menghiasi istana Benin, di mana
mereka digambarkan sebagai ketua pahlawan.
Gambaran terhadap mereka juga
kadangkala dipamerkan menerusi simbol raja seperti bintik harimau bintang dan
rantai leher yang diperbuat daripada gigi harimau bintang. Harimau bintang
merupakan simbol yang sesuai bagi oba memandangkan haiwan itu dianggap
sebagai ‘Raja Rimba’ dan hanya raja sahaja yang dibenarkan untuk membunuh haiwan
itu, di mana hal ini lazim dilakukan semasa upacara korban tahunan.
Simbol-simbol diraja lain yang terdapat dalam gambaran para raja Benin adalah
topi keledar yang dihiasi batu karang dan perhiasan topeng yang dipakai di
pinggang, di mana simbol-simbol ini diwarnakan dengan warna putih, yakni warna
yang menyimbolkan kesucian dan dewa Olokun si dewa lautan yang dipercayai
menjadi sumber kekayaan dan kesuburan. Sama seperti dewa-dewa dan semangat
nenek-moyang, raja juga diberikan sembah korban, termasuklah berupa manusia,
sesudah mereka mangkat.
![]() |
Plak Pahlawan Benin |
Raja Benin yang
dianggap paling agung ialah Ewuare Agung (memerintah 1440-1474 M). Beliau tidak
hanya dipandang sebagai seorang pahlawan yang hebat, tetapi juga sebagai ahli
sihir yang mahir. Beliau bertanggungjawab membawa kerajaannya ke sebuah zaman
kemewahan dan meluaskan wilayah pada tahap kemuncak. Namun, beliau turut
dituding sebagai dalang pembunuhan saudaranya di samping bertanggungjawab menetapkan
peranan oba sebagai monarki muktamad.
Malahan, Ewuare berjasa dalam
membentuk sistem pentadbiran yang bertahan sepanjang pemerintahan Kerajaan
Benin. Setiap raja mempunyai sekumpulan bangsawan dan ketua istiadat sebagai
penasihatnya. Begitu juga dengan beberapa orang menteri lain lantikan raja yang
berperanan mentadbir bandar-bandar tertentu. Tambahan, Ewuare menggubal satu
tradisi di mana putera sulung mewarisi takhta daripada ayahandanya. Pada tahun
1553 M, seorang pegawai laut Inggeris yang bernama Thomas Windham melawat Benin
dan catatannya tentang istana Raja Benin adalah sebagaimana berikut:
“… raja bersemayam di
sebuah dewan besar (bersama para bangsawan)… di atas punggung mereka dengan
siku mereka diletakkan di atas lutut mereka dan tangan mereka pula didepakan ke
hadapan muka mereka, tidak memandang ke atas sehinggalah diperintah oleh raja.
(dipetik dalam Fage, 517)
KOTA BENIN
Benin, ibu kota
kerajaan, terletak kira-kira 30 kilometer (18.6 batu) dari pantai dan bahagian
barat Sungai Niger. Usaha-usaha ekskavasi di bandar berkenaan mendapati ia
pernah dikelilingi oleh binaan tanah yang tinggi. Namun, memandangkan terdapat
banyak jurang antara satu binaan dan satu binaan, maka ia tidak dianggap
memiliki tujuan pertahanan. Tembok-tembok itu mungkin berfungsi sebagai
sempadan antara satu-satu kumpulan keluarga yang berbeza dalam ibu kota, di
mana setiap satunya menumpahkan kesetiaan kepada raja namun masing-masing
mempunyai kawasan pertanian tersendiri. Kota dibahagikan dengan lanjut kepada
beberapa buah kawasan buat golongan artisan yang masing-masing mempunyai
persatuan tersendiri.
Raja, barisan menteri
dan istananya masing-masing memainkan kefungsian penting baik pada sudut
politik mahupun spiritual bagi kerajaan Benin. Istana mempunyai banyak
perkarangan dan beberapa buah galeri, di mana tiang-tiang kayu didirikan bagi
menyokong bumbung. Pada tiang-tiang itu pula tercantum plak-plak loyang yang
dianggap sebagai salah satu pencapaian tertinggi Afrika Barat dalam bidang
kesenian sepanjang sejarah mereka.
GANGSA & SENI-SENI
LAIN BENIN
Patung-patung hasilan
Benin yang diperbuat daripada loyang (kadangkala disebut ‘gangsa’) meraih
kemasyhuran di seantero dunia kerana kualiti penghasilan dan nilai keseniannya
yang tinggi. Pembuatan patung-patung ini
mencapai tahap yang tinggi pada penghujung kurun ke-15 M lantaran Portugis tiba
membawa bekalan loyang dalam kuantiti yang banyak.
Teknik lilin-hilang
digunakan pada era ini (berbeza dengan teknik penempaan pada tempoh sebelum kurun
ke-16 M) bagi menghasilkan segala jenis patung, namun tentunya yang paling
khusus ialah pembuatan plak. Dengan bentuk segi empat tepat dan ketinggian
sekitar 45 cm, panel-panel ini menggambarkan imej figura-figura dalam relif
yang tinggi, kebiasaannya figura pahlawan dan pemerintah. Plak-plak ini pada
asalnya dicantum pada tiang-tiang kayu yang terdapat di istana diraja Benin,
dan kebanyakannya adalah bagi memperingati konflik-konflik bersejarah,
babak-babak kehidupan di dalam istana, dan ritual-ritual keagamaan di Benin.
Selain plak, artisan
Benin juga menghasilkan patung loyang berbentuk kepala dengan saiz manusia
sebenar, patung manusia dan haiwan yang penuh tetapi bersaiz kecil, dan
loceng-loceng upacara. Gading gajah juga merupakan antara medium yang digemari
oleh artisan Benin, di mana ia diukir menjadi topeng-topeng pinggang seperti
yang disebutkan di atas, selain kotak-kotak berhias, sikat dan perhiasan
tangan.
Seperti yang telah disebutkan, topeng-topeng yang diukir daripada
gading gajah ini dipakai pada pinggang para raja, dan sepasang daripadanya
terselamat sehingga kini, di mana satunya disimpan di Muzium British London dan
satu yang lain berada di Muzium Metropolitan New York. Kedua-dua topeng ini
mungkin mempamerkan imej Idia, ibu kepada Raja Esigie yang memerintah pada
kurun ke-16 M.
![]() |
Plak Loyang Benin |
Terdapat juga
kemungkinan bahawa kebanyakan artisan Benin turut menghasilkan barang seni
dengan menggunakan kayu. Namun, bahan ini tidak tahan lama bagi menghadapi
serangga perosak dan cuaca yang kasar di Afrika. Artisan Benin juga sentiasa
sudi untuk mengeluarkan hasil seni khusus untuk pasaran Portugis, di mana
mereka mengukir barangan seperti gading salt cellar dengan figura
penunggang kuda Eropah atau patung askar yang memikul musket, diperbuat
daripada loyang, yang kesemua ini diberikan sentuhan unik Afrika.
KEMUNDURAN &
SEJARAH LANJUT
Selain Portugis,
negara-negara Eropah lain turut mencurahkan minat terhadap Afrika Barat
menjelang lewat kurun ke-16 M, antaranya seperti British, Perancis, dan
Belanda. Dengan tekad untuk melonggarkan dominasi raja-raja Benin dalam sektor
perdagangan, British bertindak menakluki kerajaan itu pada tahun 1897 M, di
mana Benin sendiri sudah dilemahkan oleh pertelagahan dalaman dan perang
saudara yang panjang.
Namun, raja-rajanya tidak digulingkan sepenuhnya dan
keturunan dinasti diraja Benin masih menyandang gelaran oba pada hari
ini lantaran mereka memainkan peranan sebagai penasihat bagi kerajaan Nigeria.
Nama Benin juga masih terus hidup, di mana koloni Perancis di Dahomey
mengisytiharkan kemerdekaan pada 1975 M sekaligus membentuk Republik Benin.
SUMBER
- Anonymous, Chambers Dictionary of World History. Larouse Kingfisher Chambers, 2000.
- Curtin, P. African History. Pearson. 1995.
- Fage, J.D. (ed). The Cambridge History of Africa, Vol. 3. Cambridge University Press. 2001.
- Garlake, P. Early Art and Architecture of Africa. Oxford University Press. 2002.
- Hrbek, I. (ed). UNESCO General History of Africa, Vol. III, Abridged Edition. University of California Press. 1992.
- Ki-Zerbo, J. (ed). UNESCO General History of Africa, Vol. IV, Abridged Edition. University of California Press. 1998.
- McEvedy, C. The Penguin Atlas of African History. Penguin Books. 1996.
- Ogot, B.A. (ed). UNESCO General History of Africa, Vol. V, Abridged Edition. University of California Press. 1999.
- Oliver, R. (ed). Cambridge Encyclopedia of Africa. Cambridge University Press. 1981.
- Plankensteiner, B. “Benin: Kings and Rituals: Court Arts from Nigeria.” African Arts, Vol. 40. No. 4 (Winter, 2007), pp. 74-87.
- Get link
- X
- Other Apps