- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Cartwright. (24 April 2017). Nara Period. Ancient History Encyclopedia.
https://ancient.eu/Nara_Period/
https://ancient.eu/Nara_Period/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Zaman Nara (Nara
Jidai) dalam sejarah Jepun purba (710-794 M) dipanggil sedemikian lantaran hampir
keseluruhan tempoh pada zaman itu, ibu kotanya terletak di Nara atau dikenali
pada waktu itu sebagai Heijokyo. Zaman ini merupakan tempoh peralihan singkat
sebelum Jepun memasuki Zaman Heian yang signifikan. Walaupun singkat, zaman ini
tetap berupaya mengeluarkan karya-karya kesusasteraan Jepun yang masyhur dan
beberapa buah kuil penting yang masih digunakan sehingga ke hari ini,
termasuklah Todaiji, bangunan kayu paling besar di dunia pada zaman itu, yang
sehingga kini masih menempatkan patung gangsa Buddha terbesar pernah
dihasilkan.
TINJAUAN SEJARAH
Nara, atau lebih tepat
Heijokyo sebagaimana nama yang disebut pada masa itu, dijadikan sebagai ibu
kota Jepun pada tahun 710 hingga 784 M, sebelum kemudiannya dipindahkan semula
ke Nagaokakyo. Sebelum itu, ibu kota Jepun terletak di Fujiwara-kyo, namun Nara
mempunyai kelebihan lantaran kedudukannya yang lebih ke tengah, kira-kira 30
kilometer di selatan Kyoto. Sejarahwan di zaman terkemudian mengambil nama kota
ini untuk digunakan sebagai nama bagi sebuah tempoh yang bermula dari tahun 710
hingga 794 M, walaupun pada dekad terakhirnya kota Nara bukan lagi kota
terpenting di Jepun.
Zaman Nara menyusuli Zaman Kofun (sekitar 250-538 M) dan
Zaman Asuka (538-710 M), yang secara kolektifnya kadangkala disebut sebagai
Zaman Yamato. Jepun telah pun meningkatkan hubungan diplomatiknya dengan China
dan Korea, menerima kemasukan agama Buddha, dan menerapkan beberapa budaya
asing yang berguna. Proses ini terus berlanjutan di Zaman Nara.
Kota Nara dibangunkan
dengan mengikut pengaruh Chang’an, ibu kota Dinasti Tang-China justeru ia turut
mempunyai pelan grid yang tersusun rapi, dua bahagian yang saling bersimetri,
dan bangunan-bangunannya pula memiripi seni bina China. Sebuah universiti yang
didedikasikan kepada tradisi Konfusian turut dibangunkan. Begitu juga dengan
istana diraja yang luas kawasannya, di samping barisan menteri yang
diperbanyakkan sehingga mencecah hampir 7000 orang. Jumlah populasi Nara
dianggarkan mencapai seramai 200 000 orang menjelang penghujung zaman tersebut.
Pengaruh pentadbiran
pusat ke atas wilayah-wilayah juga ikut meningkat lantaran kehadiran pasukan
tentera di seluruh kepulauan Jepun. Pun begitu, hal ini sama sekali tidak
menghindarkan berlakunya sebuah pemberontakan besar pada tahun 740 M yang
diketuai oleh anggota klan Fujiwara yang terusir, iaitu Hirotsugu.
Pemberontakan ini disokong oleh minoriti Hayato yang berpangkalan di selatan
Kyushu.
Mereka sememangnya membenci dominasi klan Yamato ke atas pentadbiran
Jepun dan cubaannya untuk ‘mentamadunkan’ wilayah-wilayah yang kurang
membangun. Sebagai tindak balas, maharaja Shomu (memerintah 724-749 M) bertindak
menghimpunkan bala tentera seramai 17 000 orang dan berjaya menundukkan pasukan
pemberontak dalam tempoh dua bulan, di samping menjatuhkan hukuman ke atas
Hirotsugu.
Bagi masyarakat umum,
terutama di kawasan pedalaman (90%), kemiskinan atau taraf yang mungkin sedikit
lebih baik daripada itu, merupakan suatu kebiasaan bagi mereka. Sektor
pertanian masih bergantung pada alatan primitif, tanah yang disediakan tidak
cukup untuk menampung jumlah tuaian yang diperlukan, dan teknik pengairan masih
belum berupaya untuk mengelakkan kegagalan tuaian sekaligus mendorong kepada
masalah kebuluran.
Pada tahun 743 M, sebuah undang-undang diperkenalkan bagi
menggalakkan pengusahaan tanah pertanian dengan para petani diberikan jaminan
hak untuk mewariskan tanah mereka kepada anak-cucu masing-masing. Namun,
kebanyakan rakyat lebih memilih untuk bekerja dengan kelas aristokrat yang
dikira lebih terjamin.
![]() |
| Cermin Zaman Nara |
Keadaan masyarakat
pedalaman Jepun diparahkan lagi oleh epidemik cacar yang menular pada tahun 735
dan 737 M, di mana sejarahwan memperkirakan telah meragut sebanyak 25-35%
populasi negara. Kebanyakan petani Jepun dibebani cukai-cukai yang tinggi.
Hampir kesemua cukai ini dikenakan secara khusus bagi membiayai projek-projek
pembinaan kuil yang dijalankan oleh Maharaja Shomu (lihat di bawah) pada
separuh pertama kurun ke-8 M, di mana di dalam hal ini, maharaja dibantu oleh
sami Buddha yang bernama Gyogi. Maharaja Shomu merupakan seorang penganut
Buddhisme yang tegar, terutama rentetan pelbagai bencana yang melanda semasa
era pemerintahannya. Beliau juga bercita-cita mahu membina sebuah kuil di
setiap wilayah kekuasaannya dengan harapan hal ini dapat meningkatkan tuah
negara.
Berbeza dengan keadaan yang berlaku ke atas golongan petani,
tapak-tapak keagamaan dan golongan aristokrat yang terus bertambah bilangannya
ini bebas dari sebarang cukai, dan lantaran keterlaluan dalam membelanjakan
perbendaharaan dalam projek pembinaan kuil-kuil, pihak pentadbiran mengalami
kesukaran untuk mengimbangkan situasi di sepanjang zaman ini.
Pihak istana juga
dilanda kekacauan akibat konflik dalaman yang melibatkan perebutan pengaruh dan
jawatan dalam kalangan aristokrat. Keadaan ini seterusnya mendorong Maharaja
Kammu (memerintah 781-806 M) untuk memindahkan ibu kota ke Heiankyo pada tahun
794 M. Pemindahan ini dianggap sebagai detik bermulanya Zaman Heian yang
berpanjangan sehingga kurun ke-12 M.
Zaman ini juga menonjol
kerana ia mempunyai tiga orang maharani yang memerintah: Gemmei (memerintah
pada 707-715 M), Gensho (memerintah pada 715-724 M) dan Koken yang tempoh
pemerintahannya dibahagikan kepada dua: 749-759 dan kemudian 764-770 M menerusi
gelaran Shotoku. Shotoku menjalinkan hubungan dengan seorang sami Buddha yang
bernama Dokyo. Beliau bahkan menamakannya sebagai pewaris takhta. Namun, pihak
istana menolak pencalonan ini dan Dokyo diusir.
Hanya 800 tahun berikutnya,
barulah takhta diraja Jepun diduduki oleh wanita. Pemerintahan mereka ini
mengisyaratkan keadaan kaum wanita di Jepun yang jauh lebih baik jika dibandingkan
dengan China. Misalnya di Nara-Jepun, kaum wanita dibenarkan untuk memiliki
tanah.
![]() |
| Kuil Kasuga Taisha, Nara |
KESUSASTERAAN NARA
Zaman Nara menyaksikan
pelbagai perkembangan terutama dalam bidang kesusasteraan. Kojiki
(‘Catatan Tentang Hal-Hal Purba’) disusun pada tahun 712 M oleh ilmuwan istana,
Ono Yasumaro, yang mengambil rujukan daripada sumber-sumber lama dan kebanyakan
kandungannya menyentuh genealogi klan-klan berkuasa. Kemudian, Nihon Shoki
(‘Hikayat Jepun’ dan juga dikenali sebagai Nihongi), ditulis oleh sebuah
jawatankuasa ilmuwan istana pada tahun 720 M. Karya ini menumpukan usahanya
bagi menyikapi semula bias terhadap klan Yamato pada karya awal, sebagaimana
yang dianggap oleh kebanyakan klan.
Karya-karya ini kemudiannya memerincikan
tentang ‘Zaman Dewa-Dewa’ di mana dunia diciptakan dan dewa-dewa memerintah
sebelum mereka berundur dan meninggalkan dunia ini diperintah oleh manusia.
Karya-karya ini juga menyatakan jalur keturunan diraja Jepun sebagai keturunan
langsung dewa-dewa – tujuan asal karya-karya ini dikarang.
Antara karya penting
yang lain termasuklah antologi puisi Kaifuso pada tahun 751 M dan Manyoshu
atau ‘Koleksi 10 000 Daun’. Dikarang pada tahun 760 M, karya ini merupakan
sebuah lagi antologi yang menghimpunkan sebanyak 4500 buah puisi dan menyentuh
segala macam topik. Akhir sekali, sebuah siri hikayat tempatan atau Fudoki,
diusahakan pada tahun 713 M bagi mencatatkan perihal kami (semangat)
tempatan dan legenda-legenda berkait di pelbagai wilayah.
KUIL-KUIL NARA
Todaiji
Bidang lain yang
produktif pada era ini adalah bidang seni bina keagamaan. Kuil Buddha di
Todaiji dibina di kawasan berhampiran Nara pada tahun 752 M, di timur istana
diraja justeru meraihkannya nama ‘Kuil Besar Timur’. Tapak ini menempatkan
bangunan kayu terbesar di dunia pada waktu itu. Dewan Besar Buddha atau
Daibutsuden sememangnya perlu dibina dalam saiz yang besar lantaran ia
menempatkan sebuah patung gangsa Buddha berpostur duduk yang setinggi 15 meter;
patung sedemikian yang paling besar di dunia dan dianggarkan seberat 500 tan.
Sebahagian daripada Todaiji musnah dalam sebuah kebakaran yang berlaku semasa
Perang Genpei (1180-1185 M). Namun, kuil ini dikembalikan ke bentuk
gemilangnya, walau dalam skala yang lebih kecil. Apapun, ia masih menyimpan
patung Buddha itu dan saiznya masih lagi mengagumkan, iaitu 48 meter (157 kaki)
tinggi dan 57 meter (187 kaki) panjang.
![]() |
| Dewan Besar Buddha, Todaiji |
Bangunan-bangunan lain
yang terdapat di Todaiji antaranya termasuklah Nandaimon (Gerbang Besar
Selatan), Shoro (Menara Loceng), Nigatsudo (Dewan Bulan Kedua), Hokke-Do (Dewan
Bulan Ketiga), Shoso-in (Perbendaharaan) dan dua buah pagoda setinggi 100 meter
(328 kaki). Malangnya, kedua-dua pagoda ini musnah akibat gempa bumi dan tidak
pernah dibina semula. Sebuah lentera gangsa berbentuk oktagon masih berdiri
megah di antara Daibutsuden dan Gerbang Chumon, dengan usianya diperkirakan
sezaman dengan tarikh pembinaan kuil itu. Todaiji disenaraikan sebagai Tapak
Warisan Dunia UNESCO.
Kasuga Taisha
Sebuah lagi kuil Zaman
Nara yang penting ialah Kasuga Taisha. Ia merupakan sebuah tempat suci Shinto
yang bertempat di sebuah hutan berhampiran Nara dan dibangunkan secara rasmi
pada tahun 768 M, walaupun sejarahwan lebih cenderung meletakkan tarikh
pembinaannya pada 710 M. Kuil ini dibangunkan oleh klan Fujiwara setelahmana,
seperti kata legenda, satu dewa muncul di tapak itu sambil menunggang seekor
rusa. Legenda ini juga menjadi asas mengapa rusa dibiarkan berlegar dengan
bebas di kuil itu hingga ke hari ini.
Tapak ini turut menempatkan sebuah kuil
suci yang didedikasikan kepada pengasas Fujiwara. Laluan ke kuil suci ini
diapit oleh lentera-lentera batu yang disumbangkan oleh para pemuja seiring
peredaran waktu. Hampir kesemua 2000 lentera ini dihiasi dengan imej seekor
rusa. 1000 buah lentera gangsa yang lain pula digantung di sekitar kuil suci
dan gerbang tapak berkenaan. Kesemua lentera di Kasuga lazim dinyalakan dalam
sebuah upacara khusus yang diadakan pada setiap Februari dan Ogos. Kasuga juga
merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO.
SUMBER
- Beasley, W.G. The Japanese Experience A Short History of Japan. University of California. 1999.
- Dougill, S. Japan’s World Heritage Sites. Tuttle Publishing. 2014.
- Ebrey, P.B. Pre-Modern East Asia. Cengage Learning. 2013.
- Henshall, K. Historical Dictionary of Japan to 1945. Scarecrow Press. 2013.
- Mason, R.H.P. A History of Japan. Tuttle Publishing. 1997.
- Sansom, G. A History of Japan to 1334. Stanford University Press. 1958.
- Get link
- X
- Other Apps



