- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (1 Mac 2018). Treacherous Trading: Dangers of the Silk Road.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/treacherous-trading-dangers-silk-road-009673
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/treacherous-trading-dangers-silk-road-009673
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Jalan Sutera tanpa
dapat dinafikan merupakan jalan perdagangan jarak-jauh yang paling masyhur
dalam era purba. Jalan perdagangan ini menghubungkan Eropah di Barat dengan
China di Timur, sekaligus membolehkan berlakunya pertukaran barang, teknologi
dan idea antara dua tamadun itu. Barang yang paling meraih sambutan di
sepanjang jalan ini ialah sutera, yang bergerak dari China ke barat. Walaupun
para pedagang berpeluang meraih keuntungan besar jika berjaya membawa barang
dagangan ke destinasinya, aktiviti ini tidaklah berlalu tanpa menghadapi
risiko, lebih-lebih lagi dengan ancaman bahaya yang terdapat di beberapa
bahagian laluan ini.
APAKAH ITU JALAN
SUTERA?
Jalan Sutera bukanlah
satu jalan yang tunggal. Sebaliknya, ia merupakan sebuah rangkaian jalan yang
menghubungkan Timur dan Barat. Malah, nama ini hanya diberikan pada era yang
lebih kebelakangan, iaitu pada tahun 1877 oleh sejarahwan merangkap ahli
geografi Jerman yang bernama Ferdinand von Richthofen.
Jalan Sutera ‘ditubuhkan
secara rasmi’ sewaktu Dinasti Han mula menjalinkan hubungan perdagangan dengan
Barat, suatu hal yang diperkirakan berlaku pada tahun 130 SM. Jalan rentas
daratan ini terus dimanfaatkan sehingga tahun 1453 M, iaitu tahun di mana
Empayar Uthmaniyah menakluki Konstantinopel sekaligus menghentikan perdagangan
dengan Barat dan secara efektif menamatkan kefungsian jalan-jalan tersebut.
![]() |
| Jalan Sutera. Garisan merah menunjukkan laluan darat dan garisan pula adalah laluan laut |
Di Timur, Jalan Sutera
bermula di kota Chang’an (kini Xi’an), iaitu ibu kota Han sebelum ia
dipindahkan ke Luoyang pada era Dinasti Han Timur. Para pengembara (pedagang,
jemaah agama, utusan, dll) yang berangkat dari kota ini kemudiannya akan
mengambil sebuah jalan ke utara yang akan membawa mereka merentasi
wilayah-wilayah utara China. Seterusnya, mereka akan menempuh Gurun Gobi yang
dianggap sebagai ancaman bahaya paling besar di Jalan Sutera.
RISIKO DI SEPANJANG
JALAN SUTERA
Gurun Gobi merupakan
gurun yang paling besar di Asia. Ia terbentang di China dan Monggolia moden.
Walaupun gurun ini boleh dibahagikan kepada beberapa buah rantau-eko yang
berbeza, ia boleh disifatkan secara umum sebagai berpermukaan berbatu lagi
padat. Ciri inilah yang membuatkan Gurun Gobi mudah direntasi oleh
kafilah-kafilah dagang jika dibandingkan dengan gurun berpermukaan berpasir
seperti Gurun Taklamakan.
Sama seperti gurun-gurun lain, Gurun Gobi bersifat
gersang dan hal ini merupakan cabaran terbesar yang perlu dihadapi oleh para
pengembara yang menempuhnya, khususnya bagi mendapatkan bekalan air yang cukup
untuk unta-unta yang dibawa.
![]() |
| Perdagangan di Jalan Sutera |
Salah satu kesan
susulan daripada keadaan ini adalah penubuhan perhentian-perhentian rehat /
caravanserai di sepanjang Jalan Sutera. Perhentian-perhentian ini membolehkan
para pengembara beristirehat, mendapatkan makanan dan minuman, serta
mempersiapkan diri bagi melanjutkan perjalanan. Tempat-tempat ini menjadi pusat
pertukaran barang dan idea dalam kalangan mereka yang berhenti di sana.
Caravanserai-caravanserai ini dibina pada jarak sehari perjalanan antara satu
sama lain. Dengan demikian, para pengembara boleh mengelak dari berada terlalu
lama di gurun, di mana hal ini akan mendedahkan mereka kepada serangan
perompak, iaitu satu lagi risiko yang perlu dihadapi di Jalan Sutera.
![]() |
| Lukisan Sogdia (Sogdian) yang menggambarkan para pedagang Sogdia pada zaman pertengahan |
Sesudah Gurun Gobi
selesai ditempuhi, para pengembara akan menyambung perjalanan mereka ke Iran,
Turki dan akhirnya, Eropah. Walaupun perjalanan kali ini kurang berbahaya jika
dibandingkan dengan Gurun Gobi, ia tidaklah bermaksud tiada sebarang kesukaran
yang perlu mereka hadapi. Situasi politik di setiap kawasan ini amat penting
dalam menentukan nasib perdagangan mereka.
Sebagai contoh, tatkala Uthmaniyah
menguasai Konstantinopel pada tahun 1453, mereka serta-merta menghentikan
sebarang perdagangan dengan Barat sekaligus mengakibatkan merudumnya penggunaan
Jalan Sutera. Dalam situasi yang berbeza, ketika Monggol menubuhkan empayar
mereka yang melibatkan China dan Asia Tengah, iaitu wilayah di mana Jalan
Sutera terbentang, kestabilan politik ditegakkan di rantau ini sekaligus
membolehkan aktiviti perdagangan di sepanjang Jalan Sutera mengalami kepesatan.
![]() |
| Samarkand, oleh Richard-Karl Karlovitch Zommer. Samarkand merupakan sebuah kota purba di Jalan Sutera yang terletak di antara China dan Mediterranean, di Uzbekistan moden |
JALAN SUTERA LAUT
Di samping itu, dikira
sesuai juga jika diselitkan di sini perihal Jalan Sutera Laut yang
menghubungkan antara China dan Barat melalui Asia Tenggara, India dan
Semenanjung Arab. Sama seperti para pedagang yang merentasi Jalan Sutera Darat,
mereka yang mengharungi jalan laut ini juga perlu menghadapi ujian alam,
terutama badai ribut yang sukar dijangka. Selain itu, risiko bertembung dengan
lanun-lanun juga sentiasa hadir, sama halnya seperti perompak di gurun.
SUMBER
- Alitto, G.S. & Petrov, M.P. 2017. Gobi.
- New World Encyclopedia. 2015. Takla Makan Desert.
- New World Encyclopedia. 2017. Gobi Desert.
- UNESCO. 2018. About the Silk Road.
- History. 2018. Silk Road.
- Get link
- X
- Other Apps




