- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (10 Oktober 2018). Karakorum: A Silver Tree and Other Unique
Elements of a 13th Century Mongol Capital. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/karakorum-0010820
Penterjemah: Amir Zayyanid
Pada kurun ke-13
Masihi, tidak keterlaluan andai kita menyebutkan Karakorum sebagai salah sebuah
kota paling penting di dunia. Kota tersebut berperanan sebagai ibu kota Empayar
Monggol. Sejak mengalami kehancuran, lokasi Karakorum lenyap dimamah zaman.
Namun, sisa runtuhan Karakorum kemudiannya berjaya ditemukan semula dan menerusi
gabungan usaha arkeologi dan penyelidikan teks sejarah, ilmuwan berupaya
melengkapkan bayangan rupa kota itu pada zaman kemuncaknya.
SEJARAH AWAL KARAKORUM
Karakorum (juga dieja
sebagai Khara-khorin, Har Horin, Kharakhorum, dan Qara Qorum) merupakan sebuah
tapak bersejarah yang terletak di Lembah Orkhon, utara Monggolia. Kawasan ini
sudah pun dihuni sejak sebelum kemunculan Monggol lagi. Rekod-rekod arkeologi
mendapati Karakorum bermula sebagai petempatan khemah bagi leluhur Uighur sekitar
kurun ke-8 atau ke-9 di Zaman Gangsa. Hanya pada era terkemudian, iaitu pada
tahun 1220 Masihi, barulah Karakorum dijadikan sebagai sebuah petempatan kekal
oleh Genghis Khan.
![]() |
| Patung kura-kura kurun ke-13 ini merupakan salah satu tinggalan dari era kegemilangan Karakorum |
Kawasan di sekeliling
Karakorum tidaklah subur untuk bercucuk tanam. Namun, faktor yang mendorong
Genghis Khan untuk memilih Karakorum adalah lokasi strategiknya yang terletak
di persimpangan utara-selatan dan timur-barat Laluan Sutera. Dalam erti kata
lain, kota ini menyimpan potensi besar untuk tumbuh sebagai sebuah kota
perdagangan yang signifikan. Karakorum juga berfungsi sebagai pangkalan Genghis
Khan semasa melancarkan serangannya ke atas China.
ISTANA KHAN DI
KARAKORUM
Walaupun kota Karakorum
didirikan oleh Genghis Khan, tidak banyak pembangunan berlaku pada eranya.
Hanya pada zaman pemerintahan Ogedei Khan si pengganti Genghis Khan, barulah
Karakorum mula berubah menjadi sebuah kota yang gemilang – sesuai dengan
statusnya sebagai ibu kota Empayar Monggol.
Pada tahun 1235,
Dinasti Jin dihancurkan oleh Monggol dan kerja-kerja pembinaan lanjut pun
dijalankan di Karakorum. Sebuah istana yang disokong oleh 64 batang tiang kayu
di atas batu granit dibina sebagai kediaman Khan Agung. Tembok lumpur juga
dibina di sekeliling kota bagi tujuan pertahanan.
Karakorum terus
menyandang posisi sebagai ibu kota Empayar Monggol sehingga tahun 1264, sebelum
Kublai Khan memindahkan pusat pemerintahannya ke Khanbaliq. Kira-kira tiga
tahun kemudian, Karakorum ditinggalkan hampir secara total. Pada tahun 1368,
Bilikt Khan, iaitu pemerintah terakhir Dinasti Yuan, diusir dari Beijing dan
beliau membawa diri ke Karakorum. Sebahagian kota itu lalu dibina semula. Pun
begitu, Dinasti Ming yang menggulingkan Dinasti Yuan bertindak menghambat
penyokong-penyokong setia Yuan hingga ke Monggolia. Justeru sekitar lewat kurun
ke-14 Masihi, Karakorum dihancurkan oleh mereka.
![]() |
| Model miniatur Istana Khan di Karakorum yang dipamerkan di Muzium Sejarah Negara di Ulan Bator |
POKOK PERAK KARAKORUM
Menerusi catatan para
pengembara di zaman pertengahan, perincian-perincian tentang Karakorum pada era
kemuncaknya dapat dipelihara. Salah seorang penulis yang menyumbang jasa dalam
hal ini ialah William dari Rubruck. Beliau merupakan seorang mubaligh Flemish
Franciscan yang berkhidmat di istana Monggol sebagai duta Raja Louis IX dari
Perancis.
William mencatatkan
bahawa pada era pemerintahan Mongke si Khan Agung yang ke-4, terdapat seorang
penempa emas dari Paris yang bernama William Bouchier di Karakorum. Beliau
bertanggungjawab menghasilkan sebatang pokok perak yang ditempatkan di gerbang
istana khan. Di bawah pokok tersebut terdapat empat patung singa daripada perak
yang mengalir keluar susu kuda betina dari mulut mereka. Selain itu, terdapat
juga empat patung ular yang bertatah permata melilit pada pokok itu tadi, di
mana setiap satunya memancurkan minuman yang berbeza.
![]() |
| Gambaran pokok perak di Karakorum pada wang kertas tugrik 5000 Monggolia |
William juga
mencatatkan bahawa kota itu mempunyai 12 buah kuil pagan, dua buah masjid, dan
sebuah gereja. Hal ini mengisyaratkan wujudnya kepelbagaian dan keharmonian
agama di Karakorum.
PENEMUAN SEMULA
KARAKORUM
Setelah dihancurkan,
Karakorum secara bertahap tetapi pasti hilang daripada ingatan manusia. Hanya
pada tahun 1889, barulah lokasi Karakorum dikenal pasti oleh dua orang
Orientalis Russia yang kebetulan sedang menumpah khidmat di sana pada waktu
itu. Ekskavasi-ekskavasi arkeologi di tapak berkenaan dimulakan pada kurun
berikutnya.
Antara lain,
ekskavasi-ekskavasi yang dikelolakan berupaya menemukan tanur tembikar, bengkel
penempaan besi, dan sebuah tanah perkuburan Muslim. Walaupun ahli-ahli
arkeologi yang terlibat dalam cari gali di Karakorum pada 1940an itu yakin
bahawa apa yang mereka temukan itu adalah runtuhan istana khan, hasil
ekskavasi-ekskavasi yang lebih terkini menemukan hasil yang berbeza dengan
dakwaan tersebut. Diandaikan bahawa apa yang disangka sebagai istana oleh
ahli-ahli arkeologi lalu hanyalah sebuah kuil. Apapun, diharapkan lingkungan
arkeologi dapat terus mendedahkan sejarah-sejarah yang sejak sekian lama hilang
dari ingatan kita.
![]() |
| Tanur kurun ke-13 yang ditemui di Karakorum, Monggolia. Tanur lazimnya digunakan untuk menghangat dan mengeraskan batu-bata |
SUMBER
- Hirst, K.K. 2018. Karakorum: Genghis Khan’s Capital City.
- Silk Road Seattle. 2004. William of Rubruck’s Account of the Mongols.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2013. Karakorum.
- UNESCO. 2018. Karakorum.
- Waugh, D.C. 2008. Karakorum.
- Get link
- X
- Other Apps




