- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal
Riley Winters. (9 November 2014). The true meaning of Paganism. Ancient
Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/true-meaning-paganism-002306
Istilah ‘paganisme’ didatangkan bagi merujuk kepada pelbagai agama pra-Kristian yang dianuti oleh sejumlah tamadun purba – baik kumpulan masyarakat di Greece, Rome, Mesir, Scandinavia, dan lain-lain. Dalam beberapa lingkungan ilmuwan, istilah itu juga merujuk kepada ideologi Wicca moden dan pengikut-pengikut ideologi Wicca versi lama yang dihidupkan semula. Walau bagaimanapun, pada hakikatnya istilah ‘paganisme’ digunakan secara tidak tepat dalam khususnya dalam konteks sejarah.
Walaupun
‘paganisme’ diterima secara meluas sebagai istilah bagi merujuk kepada
kepercayaan-kepercayaan pra-Kristian, penting bagi kita untuk mengetahui
asal-usul perkataan tersebut dan apa pula konotasi ataupun maksud sebenar yang
dibawanya. Pengetahuan ini sekali gus membolehkan kita untuk memahami latar
belakang agama-agama pra-Kristian dengan lebih baik dan lebih menyeluruh.
Istilah ‘paganisme’ dihidupkan pada era Renaisans, khususnya apabila penulis-penulis pada waktu itu cuba membezakan antara tradisi-tradisi lama dan agama Kristian. Istilah ‘paganisme’ ini sendiri berasal daripada bahasa Latin, iaitu paganus yang boleh dimengertikan sebagai ‘warga pinggiran’. Oleh kerana itu, ‘paganisme’ pada mulanya merupakan suatu perkataan yang memerincikan status seseorang warga dan bukannya nama bagi sebuah agama.
Walau bagaimanapun, para
penulis di zaman pertengahan menggunakan istilah berkenaan dalam konotasi yang
silap; yakni merujuk kepada suatu sekte keagamaan. Kalau diikutkan, terdapat
istilah lain yang digunakan bagi merujuk kepada maksud ‘pagan’ sebagaimana yang
difahami pada masa kini, dan istilah tersebut juga pada mulanya berasal-usul
daripada lokaliti penganut kepercayaan yang dimaksudkan.
Menurut Peter Brown, seorang ilmuwan dari Universiti Princeton, ‘hellene’ pada mulanya digunakan bagi membawa maksud ‘paganisme’ yang difahami paa masa kini. ‘Hellene’ mempunyai akar kata daripada Hellas, iaitu panggilan Yunani asli terhadap Greece. Brown menjelaskan bahawa semasa agama Kristian mula muncul dalam kalangan komuniti-komuniti timur, istilah ‘Hellene’ digunakan untuk membezakan antara bukan-Kristian dan penganut Kristian.
Kumpulan masyarakat dari Hellas cenderung
memilih untuk taat pada agama lama. Namun, berikutan pertelagahan antara
Judaism dan Kristian, hadir satu keperluan untuk membezakan antara kaum Yahudi
dan masyarakat di Hellas. Memandankangkan kaum Yahudi tidak berasal dari
Greece, maka istilah ‘Hellene’ dianggap sebagai suatu istilah yang sesuai bagi
masyarakat bukan-Kristian dan bukan-Yahudi.
![]() |
Sebuah kuil purba yang didedikasikan kepada dewa Zeus |
Di belahan barat Latin, kepercayaan-kepercayaan yang wujud di sana lebih cenderung dipanggil sesuai dengan nama etnik masing-masing berbanding nama dewa yang dipuja – di mana mereka menggelarkan diri (dalam bahasa tempatan) sebagai orang Rom, orang Yunani, orang Mesir, dll. Hal ini sekali gus mencampuradukkan antara imej keagamaan dan imej kewarganegaraan. Penamaan yang sebegini sebahagian besarnya disebabkan oleh kesatuan aspek politik dan aspek keagamaan dalam kehidupan seharian masyarakat pada waktu itu.
Oleh kerana itu, budaya menamakan sesebuah
agama mengikut nama etniknya ini diteruskan oleh penganut Kristian awal. Menurut
sumber-sumber yang dapat diakses, istilah ‘pagan’ hanya mula digunakan pada era
Empayar Rom Lewat. Penggunaan istilah ini adalah kerana ia memudahkan mereka
mengkelompokkan masyarakat bukan-Kristian secara umum, khususnya semasa berbual
ataupun semasa mengeluarkan titah diraja. Istilah ini meraih kemasyhuran kerana
ia memudahkan dan bukannya kerana konotasinya yang tepat.
Lebih daripada itu,
penting juga untuk dinotakan bahawa istilah ‘paganisme’ sama sekali tidak
membawa konotasi pembezaan antara kepercayaan politeisme dan kepercayaan
monoteisme. Berapa pun jua bilangan dewa yang dipuja sama sekali tidak mengubah
konotasi istilah ini. Penganut kepercayaan-kepercayaan lama tidak mempunyai
pertentangan yang khusus terhadap agama Kristian dalam soal penyembahan satu
tuhan – kerana kebanyakan kultus juga memuja satu dewa utama, yang di bawahnya
pula ada sejumlah dewa-dewa kecil. Istilah ‘paganisme’ hanya digunakan untuk
membezakan masyarakat bukan-Kristian (dan bukan-Yahudi), mengkelompokkan mereka
dalam satu kategori supaya identiti mereka dapat dihapuskan dengan lebih mudah.
![]() |
‘The Triumph of Civilization’ oleh Jacques Reattu. Kebanyakan agama purba bersifat politeisme dan memuja banyak dewa |
Penggabungan atau pengkelompokan kesemua agama bukan-Kristian di bawah satu istilah ini hakikatnya merupakan satu strategi dari pihak Kristian untuk menghapuskan kesemua kepercayaan ‘pagan’. Mengambil tradisi Norse sebagai contoh, masyarakat Viking pada zaman pertengahan awal tidak mempunyai nama khusus bagi merujuk agama anutan mereka. Bahkan, istilah ‘agama’ itu sendiri merupakan suatu perkataan yang asing bagi mereka.
Masyarakat Norse lebih cenderung menggunakan
istilah ‘adat-istiadat’ memandangkan ritual, kepercayaan dan tradisi mereka
difahami secara tidak-formal, diperturunkan secara lisan, dan tidak bersifat
ketat – sama seperti Yunani dan Rom. Tiada istilah tepat bagi merujuk kepada
kepercayaan terhadap Aesir dan Vanid. Tiada juga catatan bertulis yang
memerincikan amalan-amalan keagamaan mereka. Rekod bertulis berkenaan hal ini
hanya muncul pada kurun ke-13, namun menerusi tangan seorang penulis Kristian
yang bernama Snorri Sturluson.
![]() |
Perincian Runestone 181, di Stockholm. Dewa-dewa Norse seperti Odin, Thor dan Freyr digambarkan sebagai tiga orang lelaki |
Menurut Gareth Williams
dalam Viking: Life and Legend, apa yang dianggap sebagai agama Norse
pada masa kini hakikatnya adalah ‘legasi tinggalan mubaligh-mubaligh Kristian’.
Lebih tepat, ia merupakan produk tekstual mubaligh Kristian yang dihasilkan
dengan tujuan untuk menghapus atau memadam kepercayaan-kepercayaan pra-Krisian.
Mengkelompokkan tradisi-tradisi Norse – dan tradisi kepercayaan purba yang lain
– ke dalam satu istilah membolehkan penganut Kristian awal menumpukan perhatian
kepada satu sasaran tunggal sekaligus menjadikan sasaran ini lebih mudah untuk
dihapuskan.
Walaupun pada hari ini,
frasa ‘paganisme’ digunakan secara meluas bagi merujuk kepada penganut
agama-agama purba, penting bagi kita untuk memahami asal-usul istilah tersebut
dan kesalahan-konsep di sebalik penggunaannya. Kurun demi kurun sudah pun
berlalu, istilah ‘paganisme’ terus digunakan dengan konotasi yang lari jauh
daripada maksud asalnya. Namun, tidak pernah terlewat bagi kita untuk
mengetahui maksud sebenar istilah tersebut di mana pengetahuan ini seterusnya
membolehkan kita memahami dengan lanjut berkenaan sejarah agama-agama purba.
SUMBER
- Brown, Peter. Late Antiquity: a guide to the postclassical world. (Harvard University Press: Massachusetts. 1999). s.v. “Pagan”.
- Cameron, Alan G. The Last Pagans of Rome (Oxford University Press: New York, 2011).
- Davies, Owen. (2011). Paganism: A Very Short Introduction. (Oxford University Press: New York. 2011).
- Robert, P. & Scott, N. A History of Pagan Eurpe. (Barnes & Noble Books: New York. 1995).
- Swain, “Defending Hellenism: Philostratus, in Honour of Apollonius,” in Apologetics, p. 173.
- Williams, Gareth, Peter Penz, and Matthias Wemhoff. Vikings: Life and Legend. (Cornell University Press: New York. 2014).
- York, Michael. Pagan Theology: Paganism as a World Religion. (New York University Press: New York. 2003).
- Get link
- X
- Other Apps