- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (25 Ogos 2020). Qutb Minar, the Incredible Victory Tower of the
Mamluk Dynasty. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/qutb-minar-0014164
Penterjemah: Amir Zayyanid
Kebudayaan Islam di
India meninggalkan jejak sejarah yang tidak mungkin dapat dipadam, terutamanya
dalam warisan seni bina. Salah satu contoh seni bina Islam yang paling
mengagumkan adalah Qutb Minar, yang turut dikenali sebagai Menara Kemenangan.
Ia merupakan minaret tertinggi di dunia yang dibina dengan batu-bata. Monumen
ini juga merangkumi demikian banyaknya binaan menakjubkan yang didirikan oleh
Kesultanan Delhi dan secara khusus, ia membentuk sebahagian daripada kompleks
Qutb yang sudah pun diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
SEJARAH QUTB MINAR, NEW
DELHI
Pada kurun ke-9 hingga
awal kurun ke-11 Masihi, sub-benua India diperintah oleh sejumlah dinasti
Hindu, sebelum kemudiannya bangsa Arab dan seterusnya bangsa Turk-Muslim
merebut hegemoni di sana. Mohammad al-Ghori, iaitu raja bagi Kesultanan Ghuri,
menyerap wilayah-wilayah India ke dalam kekuasaannya pada kurun ke-12. Seorang
panglimanya yang bernama Qutbuddin Aibak juga berhasil menewaskan sejumlah
kerajaan Hindu. Sejurus selepas kemangkatan Sultan Mohammad, Aibak bertindak
memerdekakan diri dan menubuhkan sebuah kerajaan yang kemudiannya dikenali
sebagai Kesultanan Delhi.
Beliau membangunkan
sejumlah monumen bagi tujuan memperingati kemenangan-kemenangannya di India,
selain untuk mengabsahkan kekuasaan Dinasti Mamluk di bawah pemerintahannya.
Beliau memulakan projek pembinaan Qutb Minar pada 1190an, tidak lama selepas
projek Masjid Quwwat al-Islam di kawasan berhampiran dimulakan.
![]() |
Monumen Alai Minar yang tidak siap dalam kompleks Qutb Minar di New Delhi. Monumen ini pada mulanya dijangka bakal dibina lebih tinggi berbanding Qutb Minar |
Qutb Minar merupakan
salah sebuah minaret terawal yang dibina di India. Aibak sempat menyiapkan
pembinaan tingkatnya yang pertama, namun tiga tingkat yang berikutnya dibina
oleh penggantinya, Shams al-Din Iltutmish.
Minaret ini dikenali
sebagai Menara Kemenangan Qutb Minar kerana ia bukan hanya sebuah bangunan
keagamaan, malahan ia juga dibina bagi tujuan memperagakan kebesaran Kesultanan
Delhi. Minaret ini kemudian ditambah-baik oleh Firoz Shah Tughlaq yang membina
satu lagi tingkat pada kurun ke-14. Dinasti Lodi pada kurun ke-16
bertanggungjawab membina semula sebahagian besar menara ini yang mengalami
kerosakan akibat gempa bumi dan disambar petir. Sher Shah Shuri, yang merebut
Delhi dari Mughal buat sementara waktu, sempat membangunkan sebuah gerbang
masuk ke menara berkenaan.
Qutb Minar juga
dimanfaatkan sebagai menara peninjau bagi mengesan kehadiran pasukan musuh.
Pada kurun ke-19, sebuah cupola ditambah oleh seorang pegawai British. Namun,
cupola berkenaan kemudiannya diturunkan dan kini ia dipamerkan di halaman bawah
sahaja.
Pada tahun 1981,
berlaku lintar pintas pada menara berkenaan dan kejadian ini menjejaskan 379
anak tangganya sekaligus mengakibatkan kematian 45 orang, terutama kanak-kanak
sekolah yang sedang melawat monumen bersejarah tersebut. Pada hari ini, Qutb
Minar merupakan monumen yang paling masyhur di India dan ia dikunjungi oleh
jutaan manusia.
KEINDAHAN QUTB MINAR
Qutb Minar yang
terletak di Delhi merupakan sebahagian daripada kompleks Qutb. Kompleks
tersebut merangkumi sejumlah bangunan yang dibina pada era Kesultanan Delhi.
Sebahagian besar struktur Qutb Minar dibina dengan menggunakan batu pasir dan
ia didirikan di sebuah taman yang luas.
Menara ini berukuran
237 kaki (72m) tinggi dengan diameternya mencecah 47 kaki (14m). Strukturnya
dihiasi dengan lekuk-lekuk berbucu, alur-alur yang diukir rapi, dan
inskripsi-inskripsi yang didedikasikan kepada Sultan Mohammad al-Ghuri.
![]() |
Ukiran indah di Qutb Minar |
Bahagian lain menara
ini berbentuk bulat dan dihiasi ringkas dengan seni geometrik dan ukiran
ayat-ayat al-Quran, di mana mahakarya ini diabadikan dalam seni kaligrafi
Islam. Tingkat ketiga juga dihiasi dengan alur-alur berbucu, sementara tingkat
keempat pula diperbuat daripada marmar dan tidak banyak inskripsi dipahat
padanya. Tingkat kelima dibina daripada gabungan marmar dan batu pasir, juga
tanpa banyak ukiran. Menara ini mempunyai empat loggia (balkoni) yang
dilengkapi dengan pendakap yang diukir teliti.
Sehingga kini, minaret
tersebut masih digunakan dan setiap kali masuk waktu untuk menunaikan solat,
seruan daripada minaret ini akan menggamit orang Islam setempat untuk
memenuhkan masjid Quwwat al-Islam yang terletak berhampiran.
MENGUNJUNGI QUTB MINAR
DI NEW DELHI, INDIA
Qutb Minar terletak di
tengah-tengah New Delhi dan tidak jauh dari stesen metro utama. Sejumlah
bayaran dikenakan untuk memasuki tapak ini dan ia dibuka untuk kunjungan awam
bermula dari terbit hingga terbenam matahari. Semenjak berlakunya tragedi tahun
1981, pengunjung tidak lagi dibenarkan memasuki ruangan dalam Qutb Minar tanpa
keizinan.
![]() |
Tiang besi, yang masyhur dengan komposisi kalis-karat |
Tidak ketinggalan juga
terdapat tiang besi di kompleks ini yang dipercayai dibna oleh Chandragupta II
pada kurun ke-4. Tiang tersebut meraih kemasyhuran yang tersendiri lantaran
cirinya yang kalis karat. Memandangkan Qutb Minar memegang signifikasi sejarah
dan keagamaan bagi kebanyakan masyarakat tempatan, pengunjung dinasihatkan
supaya menjaga tatasusila semasa mengunjungi Qutb Minar.
SUMBER
- Bhatia, A. (2015). The gap between perceived and experienced services: A case study of Qutub Minar. Asian Journal of Multidimensional Research (AJMR). 4(1), 38-47.
- Pandey, S. (1999). Qutab Minar. Architecture Plus Design. 16(4). 60.
- Get link
- X
- Other Apps