- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (22 Februari 2019). The Darkhad: Guardians of the Soul of Genghis
Khan. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/darkhad-0011527
Penterjemah: Amir Zayyanid
Darkhad merupakan satu
suku Monggol yang hidup di wilayah utara Monggolia. Secara khusus, suku ini
menetap di Ulaan-Uul, Renchinilkhumbe, Tsagaannuur, dan Bayanzurkh di Khovsgol,
Monggolia. Tiga daripada empat daripada ini merangkumi sebahagian daripada
Lembah Darkhad, yang dinamakan sedemikian bersempena nama suku tersebut. Darkhad
mengamalkan gaya hidup nomad dan masih mewarisi tradisi turun-temurun. Lebih
daripada itu, mereka turut berperanan memelihara relik-relik Genghis Khan sejak
sekian lama.
LATAR BELAKANG SUKU
DARKHAD
Darkhad dipercayai
sebagai keturunan Bo’orchu dan Muqali, dua orang panglima Genghis Khan yang
diberikan penghormatan untuk menjaga makam Khan Agung itu sesudah kematiannya
pada tahun 1227M. Walaupun lokasi sebenar makam Genghis Khan kekal rahsia tanpa
seorang pun mengetahui, Darkhad tetap jua memelihara relik-relik beliau.
![]() |
Tugu Genghis Khan |
Walau bagaimanapun,
hanya segelintir sahaja anggota suku Darkhad yang terlibat dalam tradisi
tersebut. Kebanyakan anggota suku yang lain mengerjakan hal-hal lain bagi
melangsungkan hidup. Ramai juga mengekalkan gaya hidup nomad dan bergantung
hidup pada ternakan haiwan. Suku Darkhad hidup dalam ger (atau yurt dalam
bahasa Monggolia), yang boleh didirikan dan dibongkar dengan mudah. Penggunaan
ger ini dikira amat efisien memandangkan suku Darkhad perlu berpindah-randah
mencari kawasan subur.
![]() |
Gambar tahun 1897 yang memaparkan sebahagian anggota suku Darkhad yang memelihara permakaman Genghis Khan |
Bagi anggota suku
Darkhad yang bertanggungjawab memelihara relik-relik Genghis Khan, pada hari
ini tugas tersebut dijalankan di Mausoleum Genghis Khan yang terletak di Ordos,
Monggolia Dalam. Namun, keadaan sedemikian hanya bermula pada era kebelakangan
memandangkan mauseloum tersebut baru sahaja dibina pada kurun ke-20 sedangkan
suku Darkhad sudah pun menjadi pemelihara relik Genghis Khan sejak 800 tahun
yang lalu.
RELIK-RELIK GENGHIS
KHAN
Sebelum kompleks
permakaman tersebut dibina, relik-relik Genghis Khan disimpan di dalam lapan
buah ger putih. Anak keempat Genghis Khan, iaitu Tolui (bapa kepada Kublai
Khan) merupakan individu yang memulakan tradisi pemeliharaan relik ini. Menurut
sumber tempatan, Kublai Khan inilah yang kemudiannya membina lapan buah ger
terawal bagi menyimpan relik-relik Genghis Khan dan untuk tujuan itu, kira-kira
500 buah keluarga dari suku Darkhad dipilih bagi memelihara relik-relik keramat
berkenaan. Menurut kepercayaan masyarakat Monggol, walaupun jasad seseorang itu
sudah mati, ruhnya masih terus hidup secara khusus dalam barangan milik si
mati. Oleh kerana itu, relik-relik Genghis Khan tidak dipandang sebagai
barangan biasa, sebaliknya ia menyimpan ruh Khan Agung itu sendiri.
![]() |
Yurt Khazah yang dikenali sebagai ‘ger’ |
Terdapat pelbagai macam
relik yang disimpan di dalam ger tersebut. Antara relik paling utama adalah
Suledu, iaitu senjata yang bentuknya seperti trisula. Menurut legenda, pada
suatu ketika semasa pasukan Genghis Khan mengalami kekalahan, beliau
memanjatkan permohonan meminta pertolongan daripada dewa-dewa. Secara
tiba-tiba, muncul suatu cahaya yang menyilaukan di dada langit dan tanpa
semena-mena, Suledu hadir berapungan di atas kepala para tentera. Genghis Khan
lantas memerintahkan para panglimanya untuk mengambil senjata tersebut, namun
tiada seorang pun yang berjaya. Maka, Khan Agung mengangkat sumpah untuk
mengorbankan 1000 ekor kuda dan 10 000 ekor kambing khas untuk senjata itu.
Setelah itu, barulah Suledu berjaya diturunkan.
Satu lagi relik yang
mungkin tersimpan di dalam geri ini adalah sehelai bulu unta yang kononnya
menyimpan nafas terakhir Genghis Khan. Menurut kepercayaan tradisi, semasa
Genghis Khan sedang bertarung dengan maut di perbaringannya, seorang dukun
mencabut sehelai bulu dari dahi unta jantan putih lalu meletakkannya di dalam
mulut Khan Agung itu. Selepas bulu tersebut ‘menyedut’ nafas terakhir Genghis
Khan, ia diletakkan di dalam sebuah uncang dan berkemungkinan uncang tersebut
disimpan di dalam sebuah ger yang dipelihara oleh suku Darkhad.
PERMAKAMAN GENGHIS KHAN
Berkurun-kurun lamanya, relik-relik Genghis Khan terus disimpan di dalam kesemua ger yang dibina dan dilindungi oleh suku Darkhad. Hanya pada tahun 1954, barulah sebuah bangunan didirikan bagi menggantikan kefungsian lapan buah ger putih itu. Pembinaan tempat keramat ini berjaya disiapkan dua tahun kemudian, namun ia dihancurkan semasa berlakunya Revolusi Budaya. Tidak lama kemudian, Permakaman Genghis Khan dibina semula pada awal 1980an. Tentunya, suku Darkhad terus berkhidmat sebagai pemelihara relik-relik Genghis Khan.
Pada tahun 2005, kerajaan berhasrat untuk
melakukan pengubahsuaian berskala besar pada kompleks permakaman tersebut.
Walau bagaimanapun, suku Darkhad mendakwanya sebagai suatu cubaan untuk
menjadikan tempat keramat itu sebagai taman teman yang bertujuankan
pelancongan. Pun begitu, mereka hanya berhasil menangguhkan pelaksanaan perancangan
itu tanpa dapat menghentikannya. Kerja-kerja pengubahsuaian tetap juga
diteruskan dan ia siap dalam tempoh dua tahun.
![]() |
Permakaman Genghis Khan berhampiran Ordos, Monggolia Dalam |
SUMBER
- Bayar, N. 2007. On Chinggis Khan and Being Like a Buddha: A Perspective on Cultural Conflation in Contemporary Inner Mongolia. In: U.E Bulag & H.G.M. Diemberger, eds. The Mongolia-Tibet Interface: Opening New Research Terrains in Inner Asia. Leiden: Brill, pp. 197-222.
- Borjigin, G. 2005. In Inner Mongolia, Tribe Resists Bid to Turn Shrine Into a Theme Park.
- Hasibilige. 2016. Guarding the Spirit of Our Ancestor, Genghis Khan.
- Lonely Planet. 2019. Genghis Khan Mausoleum.
- The BBC. 2014. The Darhad.
- Travel China Guide. 2019. Genghis Khan’s Mausoleum.
- Wang Kaihao. 2013. The last rites of Genghis Khan.
- Xinhua News Agency. 2005. Genghis Khan’s Mausoleum Under Renovation.
- Xinhua News Agency. 2006. Genghis Khan’s Mausoleum Holds Grand Memorial Ceremony.
- Get link
- X
- Other Apps