- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (19 Februari 2017). Did You Know that Baboons were Trained in
Ancient Egypt to Catch Criminals? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/did-you-known-baboons-were-trained-ancient-egypt-catch-criminals-007576
Masyarakat Mesir Purba
sememangnya masyhur dengan budaya pemujaan haiwan. Salah satu haiwan yang
dipuja oleh mereka adalah babun. Dalam mitologi Mesir Purba, babun amat sinonim
dengan Dewa Thoth, iaitu dewa kebijaksanaan. Selain dihormati dalam bab
kepercayaan, babun juga meraih kedudukan yang istimewa dalam kehidupan seharian
masyarakat Mesir Purba. Haiwan ini lazim dijadikan sebagai haiwan peliharaan.
Banyak mumia babun pernah ditemui oleh ahli-ahli arkeologi. Dalam hasil-hasil
seni Mesir Purba, babun (atau monyet) digambarkan turut menyertai pelbagai
aktiviti harian manusia, seperti menari, memainkan alat muzik, memetik
buah-buahan, menghasilkan arak, dan bahkan menangkap penjenayah.
![]() |
Ukiran imej babun |
KAITAN BABUN DENGAN
DEWA-DEWA MESIR
Pada era Kerajaan Lama,
babun Hamadrya (P. hamadrya) dan babun zaitun (P. Anubis) masih wujud di
wilayah selatan Mesir Hulu. Namun menjelang era Kerajaan Pertengahan,
babun-babun yang ada di Mesir kesemuanya dibawa masuk dari luar. Misalnya,
menjelang era Kerajaan Baru, bukti merekodkan bahawa babun dibawa masuk dari
wilayah selatan, sama ada Nubia mahupun Tanah Punt.
Pada era Pra-Dinasti,
masyarakat Mesir memuja satu dewa bernama Baba/Babi yang digambarkan sebagai
seekor babun. Bahkan, ada sejarahwan yang berpendapat nama Baba/Babi ini
merupakan asal-usul perkataan babun itu sendiri. Memasuki era Kerajaan Lama,
babun semakin dikaitkan dengan Dewa Thoth. Perkaitan antara babun dan dewa ini
mungkin berlaku disebabkan babun dianggap sebagai haiwan yang bijak.
![]() |
Thoth sebagai babun, dipuja oleh seorang warga Mesir bernama Horhetep. Mesir di zaman Ptolemaik, sekitar 332-330 SM |
Berikutan Thoth dipuja
sebagai dewa yang melindungi jurutulis, maka babun sering digambarkan berada di
samping mereka. Thoth juga adakalanya berperanan sebagai dewa bulan dan hal ini
juga memberi kesan kepada gambaran terhadap babun, di mana imej bulan sabit
diukir di atas kepalanya. Lebih daripada itu, babun juga dikaitkan dengan satu
lagi dewa bulan, iaitu Khonsu, sebagaimana yang dapat dilihat pada Kuil Khonsu
di Thebes, di mana patung-patung dewa berkenaan dihasilkan dalam bentuk babun.
Ada satu lagi dewa yang
dikaitkan dengan babun, iaitu dewa Ra. Hal ini berlaku kerana masyarakat Mesir
mendapati babun lazim berteriak pada matahari terbit dan makanya, sebahagian
imej babun diukir dengan tangan mereka didepakan ke hadapan seolah-olah sedang
memuja matahari. Begitu juga dengan dewa Hapy, iaitu salah satu dari Empat
Putera Horus. Dewa ini juga digambarkan berkepala babun. Menurut mitologi Mesir
Purba, Hapy berperanan melindungi hati manusia yang telah meninggal dunia.
![]() |
Relif dinding Ramses II dan babun, kuil Ramses III, Medinet Habu, Nekropolis Thebes |
BABUN DALAM KEHIDUPAN
SEHARIAN MASYARAKAT MESIR PURBA
Berikutan statusnya sebagai haiwan suci, babun kebiasaannya dipelihara di dalam kuil dan dijaga oleh para pendeta. Adakala, babun juga dipelihara oleh masyarakat umum yang mampu membelanya. Apapun, kebiasaannya haiwan peliharaan ini tidaklah dilayan dengan baik. Di Hierakonpolis, ahli-ahli arkeologi menemukan sebuah tanah perkuburan yang menyimpan rangka pelbagai jenis haiwan, termasuklah babun, yang pernah dijadikan sebagai haiwan peliharaan. Hasil penelitian ke atas tulang-belulang babun itu mendapati ia pernah dipukul berulang kali semasa hidup. Tanah perkuburan ini diandaikan berusia kira-kira 5000 tahun, iaitu dari penghujung era Pra-Dinasti atau permulaan era Dinasti Awal.
Rentetan itu,
sejarahwan berpendapat masyarakat Mesir Purba pada waktu itu baru sahaja
belajar cara memelihara haiwan. Bagi mereka, memukul haiwan adalah bertujuan
untuk mendisiplinkannya. Sekian lama, mereka semakin mahir mengendalikan haiwan
peliharaan justeru tidak memerlukan mereka untuk kerap memukulnya lagi dan
keadaan ini disahkan menerusi penelitian terhadap tulang-belulang babun di
zaman yang lebih terkemudian.
![]() |
Atas: Monyet memanjat sebatang pokok kelapa. Bawah: Kepingan tembikar menunjukkan monyet mencakar hidung seorang gadis |
Dalam sejumlah hasil
seni masyarakat Mesir Purba, babun (atau monyet) didapati kerap terlibat dalam
aktiviti-aktiviti harian manusia. Antaranya seperti aktiviti menuai
buah-buahan, sepertimana yang dapat dilihat pada lukisan dinding di sebuah
makam dari Dinasti Ke-12. Tugasan-tugasan lain yang dilakukan oleh babun di
Mesir adalah membantu menghasilkan arak atau mengikat tali layar kapal.
Sememangnya bagi masyarakat Mesir Purba, babun dianggap sebagai haiwan yang
bijak lagi suci.
![]() |
Kotak Kohl yang mempamerkan imej monyet memegang pokok kelapa |
SUMBER
- Alcock, J.P. 2006. Food in the Ancient World. Westport, Conn: Greenwood Press.
- Dunn, J. 2017. The Baboons and Monkeys of Ancient Egypt.
- Egyptian Myths. 2014. Baboon.
- Watson, T. 2015. In Ancient Egypt, Life Wasn’t Easy for Elite Pets.
- Get link
- X
- Other Apps