- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Joanna Gillan. (19 September 2020). Becerillo: The Terrifying War Dog of the
Spanish Conquistadors. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/becerrillo-0014283
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Anjing digunakan dalam
medan perang setidak-tidaknya sejak 3000 tahun yang lalu. Mesir, Yunani, Parsi,
Sarmatia, Briton, dan Rom – kesemua tamadun ini pernah menjadikan anjing
sebagai anjing perang, anjing peninjau, anjing pengawal, anjing penjejak,
ataupun anjing penghukum. Walau bagaimanapun, hanya di tangan para conquistador
Sepanyol anjing perang digunakan pada
skala melampau dan ia memberikan kesan yang amat dahsyat dalam sejarah
penjajahan Dunia Baru.
Christopher Columbus
merupakan individu pertama yang menggunakan anjing perang di Dunia Baru. Beliau
pernah menggunakannya ke atas orang-orang asli Hispaniola pada tahun 1493 dan
semasa berlabuh di Jamaica pada 1494. Namun, hanya dalam Pertempuran Vega Real
pada tahun 1495 barulah Columbus menyedari kemampuan sebenar penggunaan anjing
perang di rantau itu.
Pada 27 Mac 1495,
Columbus dan Bartholomew mara ke pedalaman Hispaniola dengan membawa 200 orang
tentera, 20 orang kavalri, dan 20 ekor anjing Mastiff bagi tujuan menundukkan
orang asli Arawak. Pasukan ini dipimpin oleh seorang conquistador
bernama Alonso de Ojeda yang mempelajari seni penggunaan anjing perang semasa
terlibat dalam pertempuran menentang orang Islam di Granada. Dalam The
Pawprints of History: Dogs in the Course of Human Events, Stanley Coren
memerincikan babak pertempuran tersebut sebagaimana berikut:
“Beliau menghimpunkan
anjing perang jauh di sayap kanan dan menanti hingga pertempuran mencapai
kemuncak. Kemudian, barulah beliau melepaskan kesemua 20 ekor mastiff sambil
berteriak, “Tomalos!” (terkam mereka). Anjing-anjing ini pun menghambat
perajurit-perajurit musuh dan menerpa ke atas tubuh mereka. Habis perut dan
tenggorok mereka dibaham. Mana-mana musuh yang tersungkur jatuh pula, teruk
dikeronyok hingga putus anggota tubuh mereka. Selesai mengerjakan satu tubuh,
anjing-anjing perang ini memangsakan tubuh yang lain pula.”
Dalam perlayaran demi
perlayaran yang dilakukan ke benua Amerika, ratusan dan bahkan ribuan ekor
anjing dibawa masuk. Baka yang paling masyhur ketika itu adalah mastiff, yang
boleh membesar sehingga mencapai berat 250 paun dan rahangnya yang besar pula
berupaya menghancurkan tulang-belulang manusia. Saiznya yang besar dan rupa
parasnya yang bengis sememangnya mampu memutikkan rasa gerun dalam hati
sesiapapun yang menjadi mangsanya. Anjing-anjing perang ini sering digunakan
oleh para conquistador masyhur seperti Balboa, Velasquez, Cortes, de
Soto, Toledo, Coronado, dan Pizarro sebagai senjata tempur, kaedah hukuman, dan
perang psikologi ke atas musuh. Namun, anjing yang paling ganas dalam sejarah
penjajahan Dunia Baru adalah anjing milik Juan Ponce de Leon yang dikenali
sebagai Becerrillo.
![]() |
| Anjing mastiff sering dijadikan sebagai anjing perang |
BECERRILLO: ‘KERBAU’
YANG DILATIH UNTUK MEMBUNUH
Nama Becerrillo membawa
maksud ‘Kerbau Kecil’. Anjing ini adalah jenis mastiff dengan matanya berwarna
perang dan kulitnya pula kemerahan. Becerrillo dimiliki oleh Juan Ponce de
Leon. Namun, ia sering berada di bawah jagaan Kapten Diego Guilarte de Salazar
dan Sancho de Aragon. Asal-usul Becerrillo tidaklah diketahui, namun ia
dipercayai lahir di benua Amerika di rumah anjing milik Ponce. Catatan terawal
berkenaan Becerrillo datang dari tahun 1511. Pada masa itu, Becerrillo sudah
pun disifatkan sebagai seekor anjing perang yang menggerunkan.
Ponce de Leon si
tuannya adalah individu yang bertanggungjawab menakluk Puerto Rico. Selepas
berlabuh di sana pada tahun 1508, beliau serta-merta memenuhkan kantungnya
dengan emas, sebelum kemudiannya memujuk anak Christopher Columbus yang bernama
Diego supaya melantiknya sebagai gabenor pulau itu. Ponce kemudian berangkat
membawa pasukan tentera dan sejumlah anjing perang untuk menundukkan masyarakat
asli di Puerto Rico demi menimbunkan lagi harta kekayaan.
Sejak awal lagi beliau
melatih Becerrillo untuk menjadi anjing perang yang gagah. Anjing ini diajarkan
supaya dapat membezakan antara tentera Sepanyol dan orang asli, menjejak dan
menghambat tawanan perang yang melarikan diri, serta membunuh musuh di medan
tempur.
Sejarahwan Sepanyol
kurun ke-16, Bartolome de las Casas menyifatkan Becerrillo sebagai seekor
anjing perang yang “menyerang musuh dengan ganas dan melindungi rakan dengan
berani.” Beliau juga mencatatkan betapa orang asli “lebih takutkan 10 orang
tentera Sepanyol yang ditemani Becerrillo berbanding 100 orang penjajah tanpa
Becerrillo.”
Becerrillo amat mahir
menjejak, membunuh, dan menakutkan musuhnya. Bagi Ponce, kehadiran Becerrillo
dalam kempen penundukkan kaum Taino di Puerto Rico adalah seumpama kekuatan 50
orang tentera.
Memasuki tahun 1512,
tuah Ponce de Leon mula berubah arah. Diego Columbus naik iri dengan kekayaan
yang diraih oleh Ponce di Puerto Rico. Maka, beliau memujuk raja untuk
melantiknya sebagai gabenor pulau itu sekaligus merampas kuasa Ponce secara
rasmi. Lantaran enggan melepaskan impiannya yang mahu menimbunkan harta
kekayaan, Ponce pun mendapatkan geran bagi menakluk sebuah pulau yang bernama
Bimini. Menurut khabar, pulau ini kononnya dipenuhi dengan emas dan segala
macam kekayaan. Justeru pada tahun 1512, Ponce berangkat menuju pulau itu dan
meninggalkan Becerrillo di bawah jagaan Guilarte de Salazar dan Sancho de
Aragon.
Tidak lama kemudian,
Salazar memanfaatkan Becerrillo dalam sebuah pertempuran. Pada suatu malam,
masyarakat asli melakukan serangan secara mengejut. Namun, Becerrillo sempat
menyalak memberikan amaran. Lantas, Salazar pun dengan segera bertindak balas
sambil membawa Becerrillo di sisi. Dalam tempoh 30 minit sahaja, Becerrillo
berjaya membunuh 33 orang asli sehingga habis medan tempur itu dipenuhi dengan
korban.
BECERRILLO MENUNJUKKAN
BELAS IHSAN
Walaupun Becerrillo
dilatih untuk membunuh manusia, dalam Pawprints of History karangan
Coren, terdapat satu kisah yang cukup menarik perhatian. Kisah ini memerihalkan
betapa pada suatu hari, para penjajah Sepanyol berkem di luar petempatan
Caparra, Puerto Rico, bagi menanti ketibaan gabenor Sepanyol. Sebagai satu
hiburan, Salazar bertindak memberi sekeping kertas kepada seorang wanita tua,
lalu menyuruhnya agar menghantar surat itu kepada gabenor. Sebaik sahaja wanita
ini berangkat pergi, Salazar melepaskan Becerrillo dan memerintahkannya supaya
membunuh wanita tua itu. Tatkala hampir sahaja anjing perang itu menerpa ke
arahnya, si wanita itu pantas melutut dan merayu, “Tolonglah hai tuan anjing.
Saya sedang dalam perjalanan untuk menghantar surat ini kepada raja Kristian.
Saya merayu pada kamu, hai tuan anjing, janganlah cederakan saya.”
Becerrillo lantas
menghidu-hidu wanita itu, lalu berpaling dan beredar pergi. Tatkala kejadian
ini diceritakan kepada gabenor, beliau pun membebaskan wanita tua itu dan
melarang sebarang tindakan menakut-nakutkan warga awam secara sengaja. Beliau
malah menambah dengan berkata, “Aku tidak akan biarkan belas ihsan dari seekor
anjing jauh melebihi belas ihsan seorang penganut Kristian.”
KEMATIAN BECERRILLO
Mimpi ngeri terhadap
Becerrillo berakhir pada suatu hari dalam tahun 1514, apabila orang asli Caribs
dari Pulau Vieques menangkap Sancho de Aragon. Menurut Gonzalo Fernandez de
Oviedo y Valdes dalam karyanya yang berjudul 1535 Historio, Becerrillo
terus sahaja mengejar orang asli itu walaupun mereka sudah pun menaiki kanu.
Dengan mudah, Becerrillo menjadi mangsa bidikan panah. Tentera Sepanyol cuba
merawat kecederaan yang ia alami, namun Becerrillo menghembuskan nafas
terakhirnya tidak lama kemudian. Becerrillo disemadikan secara rahsia dan
menurut Oviedo, pemergiannya lebih diratapi berbanding rakan-rakan lain.
Seperti kebanyakan
anjing, Becerrillo bersifat amanah dan setia hingga ke akhir hayat. Becerrillo
mungkin telah meragut banyak nyawa, namun pembunuh yang sebenar tidak lain dan
tidak bukan tentulah manusia yang memiliki dan mendidiknya.
- Get link
- X
- Other Apps


