GAJAH PERANG: KERETA KEBAL DALAM ARENA KETENTERAAN PURBA

 

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (28 April 2018). War Elephants: The Military ‘Tanks’ of the Ancient World. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/war-elephants-military-tanks-ancient-world-009967

 

Penterjemah: Amir Zayyanid

 

“Sebahagian daripada gajah-gajah Ptolemy bergerak menghampiri gajah-gajah musuh, dan tentera-tentera yang berada di atas gajah bertempur dengan sungguh-sungguh, menikam menggunakan tombak dan mencederakan satu sama lain, sambil gajah-gajah itu pula ikut bertempur, memperagakan seluruh tenaga hingga buku bertemu ruas.” – Polybius, Histories, Book V

Menurut Patrick Winn, salah seorang penulis The World, gajah perang boleh dibahagikan kepada dua jenis; iaitu gajah perang yang terlibat secara langsung dalam pertempuran dan gajah yang digunakan sebagai pengangkut (fungsi logistik). Gajah perang sememangnya pernah digunakan sebagai unit gempur dalam pelbagai tamadun, baik Carthage di Afrika Utara mahupun Mughal di India.

Gajah perang dianggap sebagai kekuatan yang ampuh di medan tempur, walaupun tentunya, mereka juga mempunyai kelemahan yang tersendiri. Penggunaannya sebagai unit gempur terhenti pada suatu tempoh sejarah, namun mereka masih terus memainkan fungsi logistik sehingga ke era kebelakangan.

 

Gajah dan penunggangnya, dari Empayar Monggol. Dilengkapi dengan tandu dan persenjataan pistol, busur panah dan senapang

 

SEJARAH AWAL PENGGUNAAN GAJAH PERANG

Sejarahwan meyakini penggunaan gajah oleh manusia berlaku buat pertama kali di India kira-kira 4000 tahun lalu. Pada mulanya, haiwan itu dimanfaatkan dalam kerja-kerja buruh, seperti membersihkan tanah untuk dijadikan tapak pembinaan atau pertanian, dan juga mengangkut barangan berat. Tidak lama kemudian, haiwan ini mula digunakan bagi tujuan ketenteraan. Sejarahwan masih belum memuktamadkan tarikh terawal penggunaan gajah perang, namun dianggarkan bahawa ia berlaku sekitar kurun ke-12 Sebelum Masehi.

Apa yang pasti, penggunaannya jelas terbukti pada separuh kedua milenium pertama SM di India. Dalam Pertempuran Gaugamela yang berlaku pada tahun 331SM, Raja Darius III dari Parsi dicatatkan membawa sebanyak 15 ekor gajah perang ketika menghadapi Alexander Agung. Raja Macedonia itu sekali lagi berhadapan dengan pasukan tentera bergajah dalam Pertempuran Hydaspes, di mana Raja Porus membawa kir-akira 85 ekor gajah perang.

 

Porus dalam Pertempuran Hydaspes

 

PENGGUNAAN GAJAH PERANG DI BARAT

Penguasa-penguasa yang menggantikan Alexander turut memanfaatkan gajah dalam bidang ketenteraan, khususnya Kerajaan Ptolemy dan Empayar Seleucid yang masing-masing mempunyai akses yang memudahkannya mendapatkan gajah. Menerusi pengaruh seorang lagi pengganti Alexander, iaitu Pyrrhus dari Epirus, penggunaan gajah perang tersebar jauh ke barat, khususnya ketika bertembung dengan tamadun Rom. Pyrrhus juga memperkenalkan gajah perang di Sicily semasa menghadapi Carthage. Dek berasa kagum terhadap kekuatan gajah, Carthage mula melatih unit gajah perang yang tersendiri. Bahkan, salah satu episod paling masyhur dalam sejarah ketenteraan Carthage juga melibatkan haiwan itu, di mana Hannibal membawa sepasukan gajah perang merentasi Banjaran Alps pada tahun 218SM.

Selepas memenangi Perang Punic dengan menewaskan Carthage, Rom mula menggunakan khidmat gajah perang. Antara lain hal ini dapat disaksikan semasa Maharaja Claudius membawa sepasukan tentera bergajah dalam kempen memerangi suku Briton. Selepas kejatuhan Empayar Rom, pengaruh gajah perang mula hilang dari Eropah. Namun, penggunaannya di timur masih berterusan, khususnya oleh para pemerintah India dan Empayar Mughal.

 

Pertempuran Lanka, Ramayana, oleh Sahib Din (1649-1653)

 

DARIPADA UNIT GEMPUR HINGGA PENGANGKUT SENJATA

Salah satu kelebihan utama penggunaan gajah perang adalah kekebalannya dalam menghadapi senjata-senjata lazim seperti pedang dan lembing. Tambahan, kebanyakan gajah perang dilengkapkan dengan baju pelindung yang sebahagiannya ada disimpan di muzium-muzium sejarah. Namun, semenjak senjata api diperkenalkan, keberkesanan gajah perang kian luntur. Misalnya, dalam perang Burma-British pada kurun ke-19, gajah-gajah perang Burma kalah teruk di tangan senjata-senjata api British.

Kian lama, penggunaan gajah perang makin terhenti. Apapun, ia masih digunakan sebagai pengangkut barang. Dalam Perang Dunia Kedua sebagai contoh, Jepun memanfaatkan gajah untuk mengangkut senapang dan bekalan ketika mengharungi kawasan belantara. Begitu juga dengan British, yang turut menggunakan gajah bagi memudahkan kerja-kerja pembinaan. Walaupun gajah tidak lagi digunakan di medan tempur sesudah senjata api diperkenalkan, kefungsiannya dalam logistik ketenteraan masih terus dimanfaatkan sehingga tahun-tahun kebelakangan.

 

Gajah menarik alatan perang semasa Perang Dunia Kedua, Sheffield

 

SUMBER