- Get link
- X
- Other Apps
JUANA MARIA – WANITA DARI SUKU ASLI NICOLENO YANG HIDUP SENDIRIAN DI PULAU SAN NICOLAS SELAMA 18 TAHUN
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel:
Wu Mingren. (15 Jun 2018). Juana Maria, the Lone Woman of San Nicolas Island.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/juana-maria-lone-woman-san-nicolas-island-002771
Penterjemah: Amir Zayyanid
Island of the Blue
Dolphins merupakan sebuah karya dari seorang penulis Amerika
yang bernama Scott O’Dell. Buku ini mengisahkan tentang seorang perempuan yang
terdampar di sebuah pulau yang terletak di Lautan Pasifik. Novel kanak-kanak
tersebut diinspirasikan daripada sebuah kisah benar tentang seorang wanita yang
hidup sendirian selama 18 tahun di sebuah pulau yang terletak di California.
Nama wanita itu adalah Juana Maria, dan beliau kadangkala digelar sebagai
‘Wanita Sunyi Di Pulau San Nicolas’.
Sebagai latar
penceritaan, kulit bulu merupakan salah satu sumber alam yang diperdagangkan
dengan giat antara orang asli Amerika Utara dan kolonis-kolonis Eropah.
Menjelang 1800an, pihak kolonis mula mendapatkan barangan berharga itu dengan
usaha sendiri dan untuk tujuan itu, mereka menubuhkan sejumlah syarikat.
Antaranya adalah Syarikat Russia-Amerika yang ditubuhkan dan dikendalikan oleh
Russia. Pada 1811, syarikat tersebut memulakan pemburuan memerang di pantai
California, memandangkan kulit binatang itu mempunyai nilai pasaran yang
tinggi. Dicatatkan kira-kira 25 hingga 30 orang suku asli Kodiak diupah sebagai
pemburu memerang.
Dalam salah satu
ekspedisi pemburuan, orang-orang Kodiak ini ditinggalkan di Pulau San Nicolas
untuk melakukan aktiviti berburu. Walaupun pulau itu terpencil dan agak
terbiar, ia tidaklah kosong tanpa penghuni. Pulau ini menempatkan sebuah suku
asli Amerika yang dikenali sebagai Nicoleno. Seiring peredaran masa, suku
Kodiaks mengalami konflik dengan suku Nicoleno dan pertegangan ini membawa kepada
pembunuhan kaum lelaki Nicoleno, manakala kaum wanita mereka pula dijadikan
sebagai hamba sahaya. Apapun, sejarah selanjutnya tentang suku Kodiaks ini
tidak diketahui dengan jelas; sama ada mereka meninggalkan pulau itu begitu
sahaja, atau mati dibunuh oleh kaum wanita Nicoleno, tiada bukti yang dapat
mendokong sebarang dakwaan. Apa yang pasti tidak lama kemudian, suku Kodiaks
lesap.
Pulau San Nicolas, Lautan Pasifik |
Bagi suku Nicoleno
pula, populasi mereka menjatuh dengan mendadak setelah berkonflik dengan suku
Kodiaks. Dianggarkan sewaktu suku Kodiaks sudah tiada di pulau tersebut, jumlah
warga Nicoleno hanya berbaki kira-kira seratus orang sahaja.
Menjelang awal 1830an,
ramai warga Nicoleno meninggalkan pulau mereka. Pada 1835, Pertubuhan Kristian
Santa Barbara mengaturkan satu operasi yang bertujuan membawa saki-baki
penghuni pulau tersebut (yang ketika itu berjumlah kurang sedozen) ke tanah
besar. Operasi tersebut berhasil menyelamatkan mereka semua, kecuali seorang
wanita yang bernama Juana Maria.
Menurut satu versi,
Juana Maria sudah pun menaiki skuner penyelamar Peor es Nada. Namun,
beliau menyedari kehilangan bayinya. Maka, beliau pun turun daripada skuner dan
kembali semula ke kampung untuk mencari anak itu. Malang buat Juana, anaknya
sudah meninggal dunia akibat digonggong anjing-anjing liar. Sementara itu,
skuner penyelamat tadi terpaksa berangkat kerana badai ribut hampir melanda.
Namun, versi ini tidaklah meraih penerimaan penuh masyarakat, justeru lahir
versi yang kedua. Versi tersebut menceritakan bahawa lantaran ribut yang kian
hampir membadai, mereka tidak mengira jumlah penumpang skuner dan terus
berangkat begitu sahaja, meninggalkan Juana Maria di pulau. Skuner Peor es
Nada sememangnya diniatkan untuk kembali semula ke Pulau San Nicolas untuk
mengambil Juana sesudah cuaca redha. Namun, kapal tersebut karam sebaik sahaja
ia memasuki pelabuhan San Francisco.
Gambar wanita asli Amerika, dipercayai sebagai Juana Maria dari suku Nicoleno |
Oleh kerana itu, Juana
Maria terpaksa meluangkan masa selama 18 tahun di pulau tersebut.Cubaan demi
cubaan dilakukan untuk mencari beliau, namun tiada yang berhasil. Hal ini
mungkin kerana Juana Maria menetap di dalam gua hampir sepanjang masa sekaligus
membuatkan keberadaannya tersembunyi daripada kolonis Russia dan suku Kodiaks
yang kembali ke pulau itu untuk memburu memerang. Dilaporkan bahawa gua tempat
Juana Maria menetap telah ditemui oleh arkeologis pada tahun 2012, sesudah
melakukan pencarian selama 20 tahun.
Pada tahun 2018,
seorang penyelidik sejarah yang bernama Susan Morris mengemukakan teori bahawa
Juana Maria tidaklah bersendirian di pulau itu. Hal ini kerana dari semasa ke
semasa, pemburu haiwan dan penyeludup barang dagangan mengunjungi Pulau San
Nicolas. Log dan jurnal-jurnal kapal membuktikan bahawa mereka mengunjungi
pulau berkenaan semasa Juana Maria masih berada di situ. Misalnya, dalam akhbar
Boston Atlas 1847, terdapat satu rencana yang diandaikan bercerita tentang
Juana. Rencana tersebut melaporkan betapa kunjungan demi kunjungan dilakukan di
Pulau San Nicolas dan dalam salah satu kunjungan tersebut, mereka menemukan
seorang wanita dan mengambilnya sebagai tahanan. Namun, wanita tersebut berjaya
meloloskan diri dan menyorok di belantara. Apapun, kesahihan catatan ini tidak dapat
dipastikan.
Pada tahun 1853, sosok
Juana Maria ditemui oleh George Nidever, seorang pemburu kulit haiwan. Sebelum
itu, Nidever sememangnya pernah diminta oleh Pertubuhan Kristian Santa Barbara
untuk mencari Maria, dan kunjungannya ke Pulau San Nicolas ini merupakan kali
yang ketiga. Semasa bertemu dengan Nidever dan anak-anak kapalnya, Juana Maria
meluahkan rasa senang hatinya dan beliau menyataan kesediaan untuk pulang
bersama mereka ke tanah besar. Di Santa Barbara, Juana Maria disambut dengan
meriah. Namun tujuh minggu kemudian, Juana Maria meninggal dunia akibat
disentri dan jasadnya disemadikan di sebuah kubur tidak bertanda di Pusat
Pertubuhan Kristian Santa Barbara. Dengan demikian, tamatlah kisah Juana Maria,
‘Wanita Sepi Di Pulau San Nicolas’ yang merupakan anggota terakhir suku
Nicoleno.
Tugu Juana Maria dan anaknya di Santa Barbara, California |
SUMBER
- Anderberg, K. 2009. Bowls & Huts but No People: “Juana Maria’s” 18 Years Alone on San Nicolas Island.
- Cavingnews.com. 2012. Lone Woman of San Nicolas Island’s Cave Believed Found.
- Cotner, D. 2013. Who was Juana Maria?
- Lorenzi, R. 2012. Island of Blue Dolphins’ Cave Possibly Found.
- Rasmussen, C. 2015. Woman’s Lonely Saga Left a Mystery.
- Timbrook, J. 2015. The Lone Woman of San Nicolas Island.
- Watson, J. 2012. Mysterious Island: The Lone Woman of San Nicholas.
- Missionscalifornia. 2015. The Lone Woman of San Nicolas Island.
- Scottodell. 2015. Scott O’Dell.
- Get link
- X
- Other Apps