KHALED AL-ASAAD: PERWIRA PALMYRA YANG GUGUR KETIKA MELINDUNGI KHAZANAH BUDAYA SYRIA

 

Pautan ke artikel asal:
Caleb Strom. (19 Ogos 2018). Khaled Al-Asaad: Hero of Palmyra Slaughtered for Protecting the Ancient Treasures of Syria. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/khaled-al-asaad-0010571

 

Penterjemah: Amir Zayyanid

 

Pada tanggal 18 Ogos 2015, militan ISIS membunuh salah seorang pakar yang sangat sinonim dengan kota Palmyra, iaitu Khaled al-Asaad. Beliau yang pernah berkhidmat sebagai pengarah tapak arkeologi di Palmyra dibunuh atas dakwaan kononnya menyokong rejim Syria dan membiarkan patung-patung berhala berdiri dengan bebas.

 

WIRA PALMYRA

Khaled al-Asaad dilahirkan di bandar Palmyra moden, berjarak kira-kira satu kilometer dari kota Palmyra purba. Semasa menetap di sana, minat beliau terhadap sejarah kampung halamannya kian berputik.  Memasuki tahun 1960, beliau menyambung pelajaran ke Universiti Damsyik dan memperoleh ijazah dalam bidang sejarah dan pendidikan. Pada tahun 1963, al-Asaad dilantik sebagai pengarah arkeologi di Palmyra dan turut bertugas sebagai kurator muzium.

 

Khaled al-Asaad, ahli arkeologi dari Syria

 

Kira-kira 50 tahun lamanya beliau bekerja tanpa lelah dalam menyelia kerja-kerja penggalian ke atas kota purba itu. Pada tahun 1974, al-Asaad mula terlibat dalam pameran-pameran barangan antik Palmyra. Beliau juga pernah menulis sejumlah buku tentang sejarah dan budaya kota berkenaan, di samping menterjemahkan teks-teks Aramaic sepanjang kariernya. Walaupun Khaled bersara pada tahun 2003 dan menyerahkan jawatannya sebagai pengarah kepada anaknya, Walid al-Asaad, beliau masih terus aktif memelihara barangan arkeologi Palmyra lantaran rasa tanggungjawabnya terhadap kota berkenaan. Faktor yang sama itu jugalah yang mendorong beliau untuk kekal tinggal di bandar semasa ISIS menguasai Palmyra dari rejim Syria.

 

Palmyra, Syria

 

PALMYRA DIAMBIl-ALIH OLEH ISIS

Sebagai seorang pegawai kerajaan, Khaled al-Asaad merupakan ahli parti Ba’ath. Namun, sewaktu ISIS mengambil alih Palmyra pada Mei 2015, beliau sudah pun bersara. Walaupun digesa oleh ahli keluarganya untuk meninggalkan bandar itu, Khaled al-Asaad tetap berkeras mahu terus berada di situ. Katanya, Palmyra adalah tanah airnya dan oleh kerana itu, beliau enggan meninggalkannya. Tambahnya lagi, beliau yakin pihak pemberontak tidak akan mengapa-apakannya kerana beliau cuma seorang lelaki tua yang sudah uzur dan tidak pandai mengangkat senjata.

Namun, jangkaannya itu meleset. Pada bulan Mei 2015, beliau ditangkap dan ditahan selama beberapa hari sebelum dibebaskan oleh militan ISIS. Beliau sekali lagi ditangkap pada bulan Ogos bersama anaknya. Kali ini, mereka diseksa oleh pihak militan untuk mendapatkan maklumat tentang lokasi artifak-artifak Palmyra. Selain mahu menghancurkan relik-relik yang kononnya bertentangan dengan ajaran agama, ISIS juga berminat untuk meraih akses ke khazanah sejarah tersebut untuk menjualnya  ke pasaran barangan antik Timur Tengah. Sememangnya, penjualan artifak merupakan salah satu sumber kewangan utama yang membiayai operasi ISIS.

Walaupun diseksa, Khaled al-Asaad enggan membuka mulut dan lebih rela dirinya dibunuh. Maka, hukumannya pun didedahkan kepada khalayak umum, di mana tubuh beliau digantung pada tiang lampu dan kepalanya yang telah dipenggal diletakkan di bawah kaki mayatnya.

 

LEGASI KOTA PURBA PALMYRA

Palmyra banyak terhutang budi kepada al-Asaad yang bukan sahaja melindungi artifak-artifaknya dari jatuh ke tangan militan ISIS, malah turut membantu meraihkannya status sebagai Warisan Dunia UNESCO. Pada zaman dahulu, Palmyra adalah sebuah metropolis yang membangun pesat. Sebutan terawal tentang kota ini datang daripada sebuah teks dari kota Mari pada milenium ke-2 Sebelum Masehi. Pada waktu itu, Palmyra sudah pun menjadi sebahagian dari laluan perdagangan utama yang menghubungkan Mediterranean dengan timur. Pada pertengahan kurun pertama Masehi, kota ini dikuasai oleh Empayar Rom.

 

Puing-puing runtuhan Kem Diocletian di Palmyra

 

Pada era Rom, kota ini mencapai zaman kegemilangannya dan ia dihiasi dengan sejumlah struktur monumental. Antara lain termasuklah Kuil Bel, Kuil Baalshamin, dan Deretan Tiang Besar di jalan uta,a. Di luar kota pula terdapat sebuah necropolis yang luas. Kota ini berperanan sebagai titik penghubung antara beberapa buah tamadun, seperti Rom, Parsi, China, dan Arab. Sesudah kurun ke-3 Masehi, kota ini mengalami kemunduran sehingga ia menjadi sebuah kampung kecil semata-mata. Menjelang kurun ke-17 dan ke-18 Masehi, runtuhan lama Palmyra ditemui semula sekaligus mendorong kepada kerja-kerja ekskavasi arkeologi pada kurun ke-20, di mana kota berkenaan meraih semula kemasyhurannya.

Baik lingkungan akademia mahupun masyarakat awam, masing-masing banyak terhutang budi kepada Khaled al-Assad yang begitu bersungguh-sungguh memelihara kebudayaan Palmyra. Sebahagian besar tapak arkeologi Palmyra habis hancur dek serangan dan rompakan militan ISIS. Sebagai peminat sejarah, apa yang boleh kita lakukan hanyalah berharap supaya khazanah arkeologi ini dapat terus terpelihara dan terselamat untuk diwariskan kepada generasi demi generasi.

 

SUMBER