- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (11 September 2020). Ancient Samaria, a City Destroyed and Ten
Tribes Lost Forever. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/samaria-0014241
Penterjemah: Amir Zayyanid
Ribuan tahun lamanya,
rantau yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Kan’an menyaksikan berdirinya
banyak kebudayaan dan tamadun agung. Makanya, terdapat banyak tapak bersejarah
di sana dan salah sebuah tapak yang paling menggamit perhatian adalah runtuhan
kota Samaria. Kota purba ini menyimpan tinggalan yang berusia dari zaman Kerajaan
Israel hinggalah ke Zaman Pertengahan. Pada hari ini, kawasan tersebut
dijadikan sebagai Taman Kebangsaan dan ia diperakui sebagai tapak arkeologi
yang kaya lagi signifikan.
SEJARAH PANJANG SAMARIA
YANG MELIBATKAN PEPERANGAN DAN PERPINDAHAN
Kota Samaria mempunyai
jejak sejarah setidak-tidaknya seawal kurun ke-9 Sebelum Masehi. Pun begitu,
terdapat juga petempatan yang jauh lebih awal di sana. Kota ini berperanan
sebagai ibu kota Kerajaan Israel, iaitu salah sebuah dari dua buah kerajaan
yang menggantikan kerajaan Daud dan Sulaiman.
Dalam Kitab Raja-Raja,
dikisahkan bahawa Raja Omri membeli kawasan tersebut daripada Aramea lalu
mendirikan kota di situ. Kota itu dijadikan sebagai ibu kota kerajaannya
selepas beliau meninggalkan Tirzah. Kerabat Dinasti Omri yang kebanyakannya ada
disebut dalam Bible juga menetap di kota itu. Kononnya lagi, kota itu dahulunya
pernah menempatkan Tabut sewaktu ia diwariskan dari satu suku ke satu suku
Israel yang lain. Kitab Raja-Raja juga menceritakan bahawa kota itu pernah
dikepung sekurang-kurangnya sebanyak dua kali.
Kota Samaria menikmati
kemakmuran bertahun-tahun lamanya sehinggalah ia diserang dan dihancurkan oleh
Assyria pada tahun 722SM. Kebanyakan warga kota diambil sebagai tahanan dan
dipindahkan semula ke Asia Tengah atau mungkin lebih jauh daripada itu.
Sehingga kini, sejarahwan tidak dapat menjelaskan takdir mereka sesudah itu dan
mereka dikenali sebagai 10 Suku Israel Yang hilang.
![]() |
| Relif purba yang menggambarkan pahlawan Assyria bertempur di medan perang |
Sebagaimana kelaziman
penguasa Assyria setelah menakluki mana-mana wilayah, warga kota yang dikuasai
itu akan dipindahkan ke wilayah-wilayah lain. Tindakan ini bagi tujuan
memecahbelahkan kesatuan mereka dan mengelakkan berlakunya pemberontakan.
Warga kota Samaria
merupakan kumpulan etnik-agama yang bersusur-galur daripada suku Ephraim dan
suku Manasseh. Mereka juga sering berperang dengan Yahudi bekas tahanan
Babylon. Kawasan kota ini kebanyakannya dihuni oleh orang Yahudi, namun warga
Samaria tidak menganggap diri mereka sebagai sebahagian daripada golongan itu.
![]() |
| Puing-puing runtuhan kota Samaria |
Kota ini membuat
kemunculan semula pada Zaman Parsi. Sesudah ditakluk oleh Alexader Agung, kota
Samaria ditadbir oleh tentera-tentera Macedonia. Kota ini mengalami kerosakan
teruk semasa ia dikuasai dan dihancurkan oleh Maccabees. Namun, ia kemudian
dihuni semula oleh Herod Agung. Setelah itu, kepemilikan kota ini berganti
tangan pula kepada Pompey Agung, seorang panglima dan negarawan Rom sebelum
kemudiannya, nama kota itu ditukar kepada Sebaste atas titah Maharaja Augustus.
Samaria juga dikaitkan
dengan Nabi Yahya memandangkan penganut Kristian dan Islam kebanyakannya
meyakini baginda dimakamkan di kota itu. Oleh kerana itu, banyak gereja
didirikan di Samaria semasa era Byzantine. Tentera Salib sendiri membina sebuah
gereja di situ pada kurun ke-12. Warga Samaria terus mengamalkan ajaran agama
yang dianuti. Walaupun mereka ditekan dengan dahsyat oleh Byzantine pada kurun
ke-6M, masih terdapat sejumlah komuniti Samaria di Palestin pada hari ini.
Menjelang kurun ke-19,
Samaria hanya dikenali sebagai sebuah kampung kecil yang dihuni oleh rakyat
Palestin. Kerja-kerja ekskavasi terawal di tapak berkenaan dijalankan sejak
tahun 1908 lagi.
![]() |
| Makam Nabi Yahya di Sebastia, Balus, pemandangan dari barat |
PERINCIAN KOTA SAMARIA
Kota ini didirikan di
puncak sebuah bukit. Sehingga kini, hanya acropolis Samaria sahaja yang telah
menjalani proses ekskavasi. Istana yang ditemui di sana kemudian dinamakan
sebagai Istana Omri. Tembok-tembok pada struktur ini dan bahagian luar menara
serta puing-puing Hellenistik yang lain masih dapat dilihat pada hari ini.
Serpihan sebuah stele
yang mengandungi bahasa Assyria dan mempunyai kaitan dengan Sargon II turut
ditemui di lereng timur acropolis, sekaligus membuktikan kehadiran bangsa itu
di kota ini. Sambil itu, prasasti-prasasti yang ditemui di Istana Sargon di
Khorsabad mengesahkan bahawa penghuni kota Samaria sememangnya dibawa ke
Assyria semasa kota itu ditakluki.
![]() |
| Gerbang gereja era Byzantine |
Kebanyakan runtuhan dan
tinggalan dari zaman Israel tertanam di bawah runtuhan-runtuhan dari zaman
terkemudian, yang kebanyakannya berusia dari era Rom. Antara lain termasuklah
Augustem, yang terdiri daripada sebuah kuil dan perkarangan istana yang dibina
di atas Istana Omri di puncak acropolis; sebuah gerbang kota dan deretan jalan;
dan sebuah stadium.
Di sebelah timur
acropolis terdapat sebuah forum, yang diapit oleh basilica di bahagian
baratnya. Hanya sebahagian sahaja daripada basilica ini telah diekskavasi.
Bekalan air di kota ini dibekalkan melalui sebuah akueduk yang terletak di
bawah tanah. Kota Samaria dikelilingi oleh tembok sepanjang 2.5 batu (4km),
dilengkapi dengan menara dan gerbang di utara dan barat. Di kawasan kampung dan
perladangan moden, ahli-ahli arkeologi menemukan sejumlah makam yang
mengandungi sarcophagus.
Makam Nabi Yahya pula
boleh dikunjungi dengan mendaki anak-anak tangga yang tinggi dan ia terletak di
bawah katedral Salib di sebuah kampung. Di lereng selatan acropolis pula,
terdapat sebuah gereja basilica kecil yang dibina pada kurun ke-5M. Pada
era-era terkemudian, sebuah biara ditambahkan di situ dan pada kurun ke-12
pula, sebuah katedral Latin yang didedikasikan kepada Nabi Yahya dibina di
timur forum Rom. Ia kemudiannya ditukar menjadi masjid bagi kampung Sebaste.
MENGUNJUNGI KOTA
SAMARIA
Tapak bersejarah
Samaria terletak berhampiran kota Nablus dan berjarak kira-kira 75 batu (120km)
dari Jerusalem. Pakej pelancongan harian ke tapak tersebut banyak disediakan
dan sejumlah bayaran dikenakan untuk memasukinya. Tapak ini dibuka pada setiap
hari dan sentiasa bersedia untuk menerima kunjungan khalayak.
SUMBER
- Niemann, H.M. & Shalmaneser, V. (2007). Royal Samaria-Capital or residence? Ahab Agonistes: The Rise and Fall of the Omri Dynasty. 184.
- Younger, K.L. (1999). The fall of Samaria in light Recent Research. The Catholic Biblical Quarterly, 61(3), 461-482.
- Get link
- X
- Other Apps




