- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Caleb Strom. (1 Oktober 2018). The Rarely Told Story of Pre-Colonial
Philippine. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/pre-colonial-philippines-0010781
Penterjemah: Amir Zayyanid
Hampir 350 tahun
lamanya, Filipina diperintah oleh kuasa-kuasat Barat, mulanya oleh Sepanyol dan
kemudian oleh Amerika Syarikat. Melainkan sejumlah kecil populasi, majoriti
rakyat Filipina telah pun di-Kristiankan dan bahkan ia menjadi satu-satunya
negara di Asia Tenggara yang didominasi oleh agama Kristian. Keadaan ini
menatijahkan hilangnya banyak sejarah Filipina pada era pra-kolonial, iaitu
zaman di mana ia menerima pengaruh daripada tamadun India, China, dan Asia
Tenggara. Filipina pada era pra-kolonial turut dicirikan oleh tradisi-tradisi keagamaan
dari animisme asli, Islam, Buddhisme, dan Hinduisme.
MANUSIA AWAL DI
FILIPINA
Pada tahun 2018,
dijumpai bukti yang mengisyaratkan bahawa manusia-manusia awal sudah sampai ke
kepulauan tersebut sejak 700 000 tahun lalu. Antara yang ditemui adalah tulang-belulang
badak sumbu yang telah pupus, berusia dari zaman pertengahan Pleistocene, di
sebuah tapak arkeologi yang terletak di Pulau Luzon. Tulang-belulang itu
menunjukkan bukti yang ia dipotong oleh sejenis alatan batu. Turut ditemui
bersebelahan telulang itu adalah alatan batu. Keadaan ini menjadi indikasi
jelas betapa manusia pengguna alatan batu pernah hidup di pulau itu pada
waktu-waktu tersebut.
Walaupun tiada
tinggalan-berkait manusia ditemui, ahli-ahli paleontologi menyimpulkan bahawa
pembuat alatan batu itu tadi adalah Homo Erectus, salah satu spesis manusia
terawal, memandangkan tarikh tersebut terlalu awal untuk dikaitkan dengan Homo
Sapeins.
![]() |
| Empat dari tiga belas telulang Rhinoceros Philippinensis. Fosil ini kini dipamerkan di Muzium Sejarah Alam Kebangsaan |
Berdasarkan pengetahuan
arkeologi tentang kemampuan teknologi Homo Erectus, manusia-manusia awal yang
hidup di kepulauan itu kebarangkalian tidak tiba di sana melalui perlayaran
yang terancang. Sebaliknya, mereka lebih cenderung dibawa ke pulau itu tanpa
sengaja; yakni setelah dibadai ribut taufan dan dihanyutkan arus ombak hingga
akhirnya terdampar di pantai. Apapun, penemuan bahawa sejarah manusia di
Filipina mempunyai usia hampir sejuta tahun lamanya sudah cukup mengujakan,
kerana sebelum ini, mereka diandaikan hanya menghuni kepulauan tersebut dalam
tempoh 100 000 tahun kebelakangan.
Bukti terawal yang
mengesahkan kewujudan manusia di Filipina adalah pada 50 000 BP (Before
Present; Sebelum Kini). Menjelang milenium ke-2SM, aktiviti pertanian dan
budaya hidup menetap mula diperkenalkan di kepulauan tersebut dan
sekurang-kurangnya, sebahagian daripada penghuni asli kepulauan itu menetap di
kampung-kampung tetap (tidak berpindah-randah), menghasilkan barangan tembikar,
dan mengusahakan tanaman padi.
![]() |
| Ukiran batu (petroglif) dari Filipina, di Angono, Rizal, Filipina |
INTERAKSI FILIPINA
DENGAN TAMADUN-TAMADUN DI ASIA TENGGARA
Pada awal milenium
pertama Masehi, kerajaan-kerajaan kecil mula muncul di kepulauan Filipina dan
setiap satunya menjalinkan hubungan perdagangan dengan tamadun China dan
tamadun-tamadun di Asia Tenggara. Bukti arkeologi mendapati kerajaan-kerajaan
tersebut melahirkan karyawan-karyawan seperti penempa besi dan penghasil
tekstil. Golongan pembesar mereka juga mengagihkan hasil perdagangan jarak jauh
dan hasil rampasan perang kepada jelata elit mahupun marhaen. Seiring peredaran
masa, kerajaan-kerajaan kecil ini berkembang menjadi kerajaan berpusat.
![]() |
| Perdagangan di Pelabuhan Sugbu (Cebu moden), sekitar 1521, oleh Manuel Panares |
Pada masa-masa itu
juga, sistem tulisan mula diperkenalkan di Filipina. Sistem tulisan yang
digunakan di sana banyak dipengaruhi oleh sistem tulisan India dan Indonesia.
Malangnya, tidak banyak manuskrip dari zaman itu yang terselamat. Mujur,
terdapat sebuah artifak pra-Kolonial yang mengandungi prasasti dengan sistem
tulisan tersebut, dikenali sebagai Plat Tembaga Laguna yang berusia dari 900
Masehi.
Plat tembaga ini diukir
dengan sistem tulisan yang digunakan secara meluas di Asia Tenggara. Tulisan
ini sendiri mengambil pengaruh daripada sistem tulisan India. Pada prasasti
berkenaan, tarikh disebutkan dengan menggunakan kalendar lunar dan hal ini juga
merupakan satu kelaziman di rantau berkenaan. Plat Tembaga Laguna membuktikan
betapa kepulauan Filipina tidaklah terasing dari dunia luar dan malahan, ia
turut menjalinkan hubungan signifikan dengan tamadun-tamadun lain di Asia
Tenggara seawal kurun ke-10M, kalau bukan lebih awal.
![]() |
| Prasasti Plat Tembaga Laguna |
AGAMA DI FILIPINA PADA
ERA PRA-KOLONIAL
Kebiasaannya, agama
berperanan besar dalam menjelaskan identiti sesebuah bangsa dan hal ini tidak
terkecuali ketika kita meninjau sejarah Filipina pada era pra-kolonial. Sebelum
agama-agama asing dari Barat seperti Kristian dan Islam dibawa masuk,
kepercayaan lazim yang dianuti oleh masyarakat di kepulauan itu adalah
animisme, iaitu kepercayaan terhadap dewa-dewi dan semangat alam, seperti
gunung-ganang, sungai-sungai, dan hutan belantara. Mereka juga lazim melakukan
upacara korban sebagai persembahan kepada semangat-semangat yang dipuja itu.
Setiap kampung mahupun
kota turut dilengkapi dengan seorang dukun yang kononnya mempunyai kuasa dan
akses ke alam ghaib. Walaupun kehadiran agama-agama asing berupaya menggantikan
amalan animisme secara efektif, banyak juga unsur tradisi diserap ke dalam
agama baru yang dianuti oleh masyarakat Filipina.
![]() |
| Seorang dukun Itneg melakukan sembah korban kepada semangat perisai |
PENGARUH BUDDHA DAN
HINDU DALAM SEJARAH FILIPINA
Agama awal yang
meninggalkan pengaruh di kepulauan tersebut adalah Buddhisme dan Hinduisme.
Sekitar 900M, rantau Asia Tenggara didominasi oleh sebuah empayar maritim yang
dikenali sebagai Srivijaya. Ibu kota empayar ini terletak di Sumatera dan ia
dianggap sebagai pusat pendidikan Buddha yang utama pada tahun 700 hingga
1100M.
Oleh kerana itu, wujud
kemungkinan para mubaligh Buddha dari Srivijaya keluar menyebarkan agama mereka
ke kepulauan Filipina. Walaupun tiada rekod sejarah yang memerincikan pengaruh
signifikan Buddha di kepulauan Filipina sebelum zaman kolonial, penggunaan
kalendar lunar oleh masyarakat tempatan mencerminkan kehadiran pengaruh
kedua-dua agama itu.
![]() |
| Vairocana Buddha, kurun ke-9, Srivijaya, Muzium Kebangsaan, Bangkok, Thailand |
ISLAM DI FILIPINA
Menjelang kurun ke-14M,
Islam tersebar ke Pulau Mindanao dan Sulu. Tidak lama kemudian, sejumlah
kesultanan dibentuk di kepulauan tersebut dan Islam terus mengukuhkan kedudukan
sehingga masyarakat tempatan di sana masih lagi menganut agama itu hingga ke
hari ini. Pun begitu, sejarahwan tidak dapat memerincikan secara muktamad
tentang penyebaran agama Islam di Filipina.
Menurut mereka, agama
itu disebarkan oleh golongan pedagang yang datang dari Indonesia dan India.
Bahkan, sebilangan pemerintah Filipina juga memeluk Islam demi menguatkan
hubungan politik dengan rakan-rakan dagang yang lebih berkuasa di Asia
Tenggara. Ada juga yang mengusulkan pendapat bahawa golongan sufi dan para
pendakwah Islam yang bertanggungjawab menyebarkan agama itu di sana.
Baik Islam tersebar
melalui hubungan pedagangan, tujuan politik, mahupun usaha dakwah, agama itu
tanpa dapat dinafikan meninggalkan pengaruh yang amat signifikan dalam budaya
Filipina. Banyak kerajaan Islam terbentuk di bahagian selatan kepulauan
Filipina. Bahkan, sejarahwan mengandaikan jika Sepanyol tidak memasuki
kepulauan itu, tentunya Filipina akan menjadi sebuah negara Islam yang besar.
Walau bagaimanapun,
agama-agama baru ini tidaklah menghakis sepenuhnya pengamalan animisme.
Golongan asli yang menganut Islam masih menerapkan kepercayaan dan amalan lama
mereka, begitu juga dengan penganut Kristian-Katolik.
![]() |
| Gambaran masyarakat tempatan yang mengenakan pakaian sederhana tanpa perhiasan emas |
LEGASI
Kepulauan Filipina
mempunyai sejarah yang kaya dan berbagai rencam, bermula dari seawal 700 000
tahun dahulu dan melibatkan pelbagai tamadun dan kebudayaan dunia. Budaya
Filipina sendiri mengambil banyak pengaruh hasil interaksi dengan tamadun agung
dunia, seperti China, India, dan Srivijaya. Begitu juga dengan agamanya, yang
merangkumi pengaruh dari Hinduisme, Buddhisme, Islam, dan Kristian. Apapun,
masyarakat asli Filipina masih kekal menonjol. Walaupun telah memeluk Islam
ataupun Kristian, mereka masih menerapkan unsur-unsur tradisional ke dalam
agama baru yang dianuti itu. Sememangnya, menjadi satu kelaziman bagi mereka
untuk menggabungkan identiti asli Filipina dengan pengaruh budaya dan agama
baru.
![]() |
| Santo Nino de Cebu, salah satu relik Kristian tertua di Filipina |
SUMBER
- Majul, Caesar Adib. Muslims in the Philippines. Asian Center. 1973.
- How the Philippines became Catholic, by Jayeel Carnelio (N.D). Christian History.
- Bacus, Elisabeth. Later prehistory of the Philippines: colonial images and archaeology. Archaeology International 2 (1998).
- Ancient humans settled the Philippines 700 000 years ago by Lizzie Wade (2018). Science.
- Religion in the Philippines by Jack Miller.
- Snow, Bryan E. et al. Evidence of early rice cultivation in the Philippines. Philippine Quarterly of Culture and Society. 14.1 (1986): 3-11.
- Jocano, F. Landa. Filipino prehistory: rediscovering precolonial heritage. Punland Research House. 1998.
- The Laguna Copperplate Inscription: An Ancient Text That Changed the Perception of the History of the Philippines by Dhwty. (2015). Ancient Origins.
- Get link
- X
- Other Apps








