- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Oliver. (15 Jun 2018). How the Search for Immortality Killed the First
Emperor of China. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/search-immortality-killed-emperor-china-0010207
Penterjemah: Amir Zayyanid
Tidak ramai penguasa
yang berpeluang berdiri setinggi Qin Shi Huang, maharaja China pertama yang
menyatukan ketujuh-tujuh negara di bawah satu empayar. Segala seterunya tunduk
bersetuju, segala sekutu datang kepadanya berpusu-pusu, membuatkan si maharaja
menumpu pada satu-satunya ancaman yang terus-menerus memburu, iaitu maut yang
sentiasa menunggu.
Kisah Qin Shi Huang
mencari kehidupan abadi mungkin dianggap sebagai sebuah kisah dongeng. Walau
bagaimanapun, banyak bukti arkeologi menyokong kebenaran kisah berkenaan.
Seaneh manapun bunyinya, Qin Shi Huang sememangnya berusaha mencari maulhayat
atau eliksir yang menjanjikan kehidupan abadi. Sepanjang dekad terakhir
hidupnya, beliau menyeru setiap cendekia, ahli nujum, dan bijakpandai empayar
untuk mencari ramuan ajaib berkenaan. Segala keringat dan perbendaharaan negara
turut dibelanjakan bagi mencapai tujuan tersebut, sehinggalah akhirnya beliau
dijemput maut.
![]() |
| Potret Qin Shi Huangdi |
XU FU DAN RAMUAN
KEABADIAN
Beberapa tahun yang
lalu, ahli-ahli arkeologi di China menjumpai beberapa kepingan kayu yang
mengandungi titah diraja dari zaman Qin Shi Huang. Menurut kandungan titah
berkenaan, kesemua pegawai kerajaan diperintahkan supaya mencurahkan segenap
usaha dalam menghasilkan atau menemukan maulhayat. Sebahagian maklum balas yang
diberikan oleh pegawai-pegawai kerajaan Shin Huang Di masih terselamat hingga
ke hari ini. Misalnya, seorang pegawai dari Duxiang memohon ampun kepada
maharaja kerana belum dapat menemukan eliksir berkenaan dan berjanji untuk
melipatgandakan usaha. Maklum balas daripada Langya pula disertakan bersama
sejenis herba dari sebuah gunung tempatan yang kononnya, berupaya membuatkan
manusia hidup abadi.
Namun, di antara
kesemua maklum balas yang diterima, Qin Shi Huang menaruh banyak harapan pada
kata-kata salah seorang ahli nujumnya, iaitu Xu Fu dari Pulau Zhifu. Xu Fu
memaklumkan bahawa terdapat sebuah pulau bernama Penglai di Lautan Pasifik. Di
pulau tersebut, terdapat lapan orang manusia immortal yang bertugas
menjaga maulhayat. Justeru, beliau memerlukan sebuah kapal mewah yang dipenuhi
6000 orang gadis sunti untuk dijadikan sebagai sembah korban demi mendapatkan
air keabadian tersebut. Permohonannya itu diperkenankan dan Qin Shi Huang pun
berlayar ke Pulau Zhifu dengan membawa segala perkara yang diminta oleh Xu Fu.
Setelah mengiringi keberangkatannya ke Pulau Penglai, Qin Shi Huang pun pulang
meninggalkan Pulau Zhifu. Sebelum itu, beliau terlebih dahulu mengukir prasasti
yang berbunyi, “Tiba di Fu dan mengukir batu ini.”
![]() |
| Tugu Xu Fu di Weihai, Shandong |
“MAHARAJA PERTAMA BAKAL
MATI”
Walau bagaimanapun, Xu
Fu tidak pernah berhasil menemukan ramuan ajaib ataupun manusia immortal
yang kononnya hidup di Pulau Penglai. Lebih mengharukan, beliau mungkin
langsung tidak pernah mencuba untuk mencarinya, sebaliknya menjalani kehidupan
mewah bersama 6000 orang gadis sunti dan segala harta kekayaan yang dititipkan
oleh maharaja.
![]() |
| Pulau Penglai |
Warsa temu warsa, Qin
Shi Huang menanti khabar daripada Xu Fu dengan penuh sabar. Namun, keadaan
berubah tiga tahun kemudian apabila sekumpulan penceroboh membuat cubaan untuk
membunuh beliau. Nyawanya terselamat, namun peristiwa getir ini membangkitkan
kebimbangannya. Jika Xu Fu tidak pulang, fikirnya, lambat-laun beliau tentu
akan mati.
Maka, Qin Shi Huang pun
menghantar empat orang lelaki untuk mencari herba yang menjamin keabadian. Namun,
hanya seorang sahaja yang pulang sambil tiga yang lain melarikan diri. Paranoia
lantas menerpa. Qin Shi Huang memerintahkan laluan bertembok yang menghubungkan
antara satu bangunan dengan satu bangunan dibina di istana, supaya beliau tidak
perlu lagi berjalan di perkarangan luar yang katanya, terdedah kepada ancaman
bahaya. Setiap jendela istana ditirai dengan langsir dan sesiapa sahaja yang
memaklumkan keberadaan maharaja bakal dijatuhi hukuman mati.
PEMBUNUHAN 460 ORANG
BIJAKPANDAI
Pada tahun 211SM, lapan
tahun selepas keberangkatan Xu Fu, sebongkah batu besar (ada yang menyebutnya
sebagai meteor) membadai kawasan sekitar Sungai Kuning. Pada bongkah berkenaan
terdapat tulisan yang berbunyi, “Maharaja Pertama akan mati dan wilayah
kekuasaannya akan berpecah-belah.” Maharaja naik murka dengan kenyataan itu dan
memerintahkan supaya orang yang menulis prasasti itu dibawa menghadap. Dek
kerana tiada siapa yang tampil, beliau pun menjatuhkan hukuman mati ke atas
semua warga yang hidup di sekitar kawasan itu. Prasasti tersebut pula
dihancurkan supaya tiada yang dapat membacanya.
Kian lama, kesabarannya
kian menipis. Ketika beliau menerima khabar angin kononnya pakar-pakar kimia di
istananya yang berjanji untuk membawakan maulhayat ternyata hanya berdusta,
maharaja sekali lagi naik berang. Beliau mendakwa mereka sebagai tukang sihir
dan mahu menguji kalau-kalau mereka mampu menghidupkan diri mereka sendiri.
Lantas, seramai 460 orang bijakpandai diheret dari rumah masing-masing ke ibu
kota lalu dihumban ke dalam sebuah lubang besar dan mereka dikuburkan
hidup-hidup.
![]() |
| Maharaja Qin Shi Huang |
MEMBUNUH ‘RAKSASA LAUT’
Tidak lama kemudian,
Qin Shi Huang sekali lagi berkunjung ke Pulau Zhifu. Mana tidaknya, sembilan
tahun sudah berlalu namun Xu Fu masih juga belum memaklumkan sebarang berita.
Sambil bersujud di kaki maharaja, Xu Fu mengemukakan dolah-dalihnya lagi,
“Patik boleh mendapatkan herba-herba keabadian dari Pulau Penglai. Cuma, di
sana ada ikan gergasi yang menghalang laluan patik. Patik mohon supaya patik
diberikan sekumpulan tentera pemanah untuk melindungi rombongan patik.”
Walau bagaimanapun,
umpannya kali ini tidak dimakan. Qin Shi Huang mendapatkan busur panahnya lalu
menawarkan diri untuk mengikuti rombongan Xu Fu demi membunuh ikan gergasi
tersebut. Tentunya, Xu Fu terketar-ketar lutut sepanjang perlayaran mencari
raksasa laut yang sememangnya beliau ketahui tidak wujud. Namun entah tuah apa
yang menyebelahi dirinya, tanpa semena-mena muncul seekor ikan besar (mungkin
ikan paus) dan beliau pun bergegas memaklumkan kepada maharaja bahawa kononnya
itulah ikan gergasi yang menghalang perjalanannya sebelum ini.
Lantas, maharaja pun
melepaskan bidikan panah tepat pada ikan tersebut sehingga mati, lalu pulang
dengan meninggalkan ukiran kedua pada batu sama tempohari, berbunyi,
“Mengunjungi Fu dan membidik mati seekor ikan.”
KEMANGKATAN QIN SHI
HUANG
Entah buat kali yang
keberapa, cuma tentunya kali terakhir, Xu Fu berlayar ke Pulau Penglai. Kali
ini, tiada alasan mahupun helah-elat yang dapat dimainkan oleh beliau. Jika
beliau pulang dengan tangan kosong, tiada ampun baginya melainkan hukuman mati.
Maka, Xu Fu pun berlayar ke timur dan tidak lagi pulang ke China. Sambil itu,
Qin Shi Huang sendiri semasa dalam perjalanan pulang dari Pulau Zhifu, singgah
di sebuah tempat di Hopei dan jatuh gering di sana. Seperti biasa, beliau mengambil
ubat-ubatan yang disediakan oleh tabib diraja. Namun hakikatnya, ramuan yang
diberikan kepada beliau adalah merkuri yang sekaligus, meragut nyawanya.
![]() |
| Tugu maharaja Qin |
Maka, petaka pun menimpa istana dek kerana Qin Shi Huang masih belum menamakan pewaris. Tentunya, kealpaan ini disebabkan oleh keyakinannya yang konon mampu hidup abadi. Demi merahsiakan berita kemangkatan dan bauan tidak enak dari jasad maharaja yang kian mereput, menteri yang mengiringi beliau dalam perjalanan pulang dari Pulau Zhifu meletakkan jasadnya di dalam sebuah pedati yang diapit oleh dua gerabak yang dipenuhi ikan-ikan busuk. Beliau sendiri kadangkala memasuki pedati tersebut sambil membawa makanan, kononnya untuk diberikan kepada maharaja.
Namun, berita kemangkatan Qin Shi Huang tidak dapat
dirahsiakan buat selama-lamanya. Beberapa tempoh kemudian, empayar China
dilanda perang saudara yang dahsyat dan penyatuan yang dilakukan oleh Qin Shi
Huang seolah-olah tiada makna apabila empayar sekali lagi berpecah. Janji
sumpahnya untuk mengekalkan kekuasaan Qin selama 1000 generasi ternyata hanya
dusta semata dan beliau sendiri cuma sempat melata di dunia selama 49 tahun.
SUMBER
- Across China: Wooden Slips Reveal China’s First Emperor’s Overt Pursuit of Immortality. XinhuaNet. December 24. 2017.
- Breverton, Terry. The Terracotta Army and the Elixir of Life. Breverton’s Phantasmagoria.
- McDowell, Michael and Nathan Robert Brown. Confucianism. World Religions at Your Fingertips. Alpha Books. 2009.
- Qian Sima. Qin Dynasty. Records of the Grand Historian. Trans. Burton Watson. Columbia University Press.
- Get link
- X
- Other Apps






