MARI – KOTA TERANCANG ANTARA YANG PERTAMA DI DUNIA

 

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (1 Januari 2017). Nearly Lost from the Pages of History, Mari is the Oldest Known Planned City in the World. Ancient Origins
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/nearly-lost-pages-history-mari-oldest-known-planned-city-world-007293

 

Penterjemah: Amir Zayyanid

 

Kota Mari (kini Tell Hariri) yang berusia 7000 tahun merupakan salah sebuah kota tertua di dunia, berlokasi di tebing barat Sungai Furat yang dahulunya membentuk Mesopotamia utara (kini Syria timur). Mari hampir hilang sepenuhnya setelah dihakis dek pepasir gurun selama ribuan tahun, namun ia ditemukan semula oleh seorang Badwi tempatan pada 1930an dan setelah kerja-kerja ekskavasi lanjut dilakukan, kota purba ini hidup kembali. Pada hari ini, Mari menyandang status sebagai kota terancang paling tua di dunia, di samping turut diperakui sebagai pusat perdagangan, pusat peleburan gangsa, dan pusat inovasi teknologi yang mengagumkan.

Mari menempati kedudukan strategik antara Babylon di Mesopotamia selatan dan Pergunungan Taurus di utara. Berikutan kekayaan sumber alam yang dimilikinya, Mari membangun sebagai sebuah negara kota yang signifikan di zamannya dan diandaikan bahawa kota purba itu dihuni oleh masyarakat yang berasal dari Kerajaan Ebla dan Akkad.

 

SEJARAH RINGKAS KOTA MARI

Lokasi moden Mari adalah di Syria, tepatnya berhampiran sempadan Iraq. Kota ini diperkirakan telah dihuni sejak milenium ke-5 Sebelum Masehi, namun mula berkembang dengan ketara pada awal milenium ke-3 Sebelum Masehi. Memandangkan kota ini terletak di antara Mesopotamia selatan dan Pergunungan Taurus, maka ia secara efektif mengawal aliran perdagangan di rantau berkenaan. Bekalan kayu dan batu dari wilayah utara Syria perlu mengharungi Mari sebelum tiba di selatan. Bijih-bijih logam yang terdapat di Pergunungan Taurus pula kemudian diusahakan oleh warga Mari yang mempunyai kepakaran dalam bidang peleburan tembaga dan gangsa sekaligus keadaan ini meningkatkan lagi signifikasi kota Mari.

 

Lokasi Mari

 

Pada tempoh 1760 hingga 1757SM, Mari dihancurkan oleh Hammurabi dari Babylon dan hanya ditemui semula pada tahun 1933 oleh seorang Badwi yang memaklumkan keberadaan sebuah tugu kepada pegawai kolonial Perancis. Lantas sebuah ekspedisi arkeologi pun dijalankan di tapak berkenaan, disusuli oleh beberapa ekspedisi lain pada dekad-dekad berikutnya – semuanya diketuai oleh Perancis. Ekskavasi terakhir dihentikan pada tahun 2012 berikutan meletusnya Perang Saudara Syria.

 

PELAN KOTA YANG SISTEMATIK

Walaupun hanya satu pertiga sahaja dari keseluruhan kota Mari terselamat menggagahi zaman (bakinya telah dihanyutkan oleh Sungai Furat), kerja-kerja penyelidikan yang dijalankan di tapak bersejarah itu berhasil mendapatkan banyak maklumat tentang negara-kota purba tersebut. Antara lain, pelan kota Mari didapati terbahagi kepada dua lapisan. Lapisan luar bertujuan untuk melindungi kota dari dibadai banjir bah dek limpahan Sungai Furat. Lapisan dalam pula berperanan melindungi warga kota dari serangan musuh. Turut ditemui runtuhan beberapa buah binaan seperti istana dan kuil.

Menurut ahli-ahli arkeologi yang melakukan penyelidikan, pelan kota Mari sudah pun dirancang sepenuhnya sebelum kerja-kerja pembangunan kota dilakukan sekaligus menjadikannya kota terancang pertama di dunia.

 

Peta yang menandakan mercu-mercu tanda di Mari, Syria

 

Memandangkan Mari terletak berhampiran Sungai Furat dan ekonominya pula banyak bergantung pada sektor perdagangan, maka warga Mari turut membangunkan sistem terusan yang pelbagai. Sebuah rangkaian terusan dibina bagi membolehkan perahu-perahu mengharungi sungai dan memasuki kota, di samping membekalkan sumber air buat penduduk tempatan. Terdapat juga terusan yang dibina bagi tujuan mengairi tanah pertanian dan terusan yang dibina bertentangan dengan sungai. Terusan jenis kedua ini bertujuan untuk memberikan laluan alternatif buat para perahu yang mengunjungi kota. Gerbang-gerbang masuk dikawal dengan ketat dan cukai yang dikenakan kepada para pedagang banyak menyumbang kepada kemajuan kota.

 

KEPUSTAKAAN MARI

Antara penemuan signifikan lain adalah yang melibatkan runtuhan sejumlah bangunan keagamaan dan 15 000 keping tablet tanah liat yang secara kolektif dipanggil sebagai ‘Tablet-Tablet Mari’. Kesemua artifak ini memberikan sumbangan yang besar dalam pengetahuan tentang sejarah, geografi, ekonomi, politik, agama, ketenteraan, dan kehidupan sosial warga Mari dan Mesopotamia utara. Terdapat juga sekumpulan tablet yang memerihalkan tentang ajaran-ajaran yang disebarkan oleh insan-insan yang didakwa mendapat mimpi atau pesanan langsung dari Tuhan. Pesanan-pesanan tersebut kemudian dititipkan kepada pegawai pentadbir tempatan untuk kemudian disampaikan kepada raja yang memerintah pada zaman itu.

 

Tablet Zimri-Lim dari arkib Mari

 

Namun malangnya, peperangan yang meletus di Syria tidak hanya membuatkan ekskavasi arkeologi di Mari dihentikan, tetapi juga menimpakan kerosakan dahsyat ke atas tapak bersejarah itu. Artifak-artifaknya habis dirompak dan puing-puing runtuhannya teruk diinjak. Sehingga kini, kasualti sebenar yang ditanggung oleh Mari masih belum dinilai sepenuhnya.

 

SUMBER