- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Joshua J. Mark. (21 Oktober 2019). History of Halloween. Ancient History
Encyclopedia.
https://ancient.eu/article/1456/history-of-halloween/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Halloween merupakan
salah satu tradisi yang paling tua di dunia, memandangkan ia menyentuh perihal
satu elemen penting dalam kehidupan manusia: iaitu hubungan antara yang masih
hidup dan yang telah meninggal dunia. Setiap tamadun di dunia mempunyai amalan
ritual yang menumpu pada perjalanan yang perlu diharungi oleh manusia sesudah
mereka meninggal dunia, ke mana mereka pergi, dan bagaimana bentuk penghormatan
yang wajar dilakukan oleh mereka yang masih hidup atau bagaimana mereka
seharusnya bertindak balas terhadap roh-roh yang enggan berangkat ke alam
kematian.
Hampir seluruh negara di dunia mempunyai versi Halloween yang tersendiri, bermula dari Hari Orang Mati (Dia de Muertos) di Mexico hingga ke Hari Menyapu Kubur (Qingming Jie) di China. Walaupun sebahagian aspeknya dikembangkan pada tempoh yang lebih kebelakangan, sambutan Halloween di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Kanada – tempat di mana ia paling diraikan – mempunyai beberapa elemen yang memiripi tradisi purba dalam tamadun-tamadun lain dan bahkan sejarahnya boleh dijejak kembali pada perayaan Samhain yang disambut oleh masyarakat Celt.
Tahun demi tahun, pelbagai kumpulan penganut Kristian cuba memperlihatkan amalan tersebut sebagai suatu amalan yang keji dan jelek, antaranya dengan berulangkali mendakwa Sam Hain sebagai dewa pelindung orang mati bagi masyarakat Celt dan Halloween pula adalah jamuannya. Kesilapan ini berpunca daripada seorang jurutera British dari kurun ke-18 Masehi, iaitu Charles Vallancey yang menulis tentang perayaan Samhain dengan berbekalkan kefahaman yang cetek tentang budaya dan bahasa bangsa tersebut dan semenjak itu, dakwaan menyeleweng tersebut diulang dan disebar secara tidak kritis.
Walau bagaimanapun, Gereja sendiri yang bertanggungjawab
memelihara tradisi Samhain di Barat dengan mengkristiankannya pada kurun ke-9
Masehi, sekaligus memulakan proses pengubahan tradisi keagamaan pagan Eropah
Utara menjadi sebuah cuti umum sekular yang diraikan secara tahunan di seluruh
dunia dengan begitu meriah – baik dari segi budaya mahupun komersial – dan
hanya mampu ditandingi oleh perayaan Christmas.
SAMHAIN
Tradisi Halloween di
Barat boleh dijejak kembali akarnya pada perayaan Samhain (disebut ‘Soo-when’,
‘So-ween’ atau ‘Saw-wen’), iaitu perayaan Tahun Baru Celtic. Nama Samhain
membawa maksud ‘penghujung musim panas’ dan keraian tersebut menandakan
berakhirnya musim menuai dan datangnya musim sejuk. Masa-masa sebegini
dipercayai oleh masyarakat Celt sebagai detik di mana tirai antara alam nyata
dan alam kematian tersingkap dan makanya, roh-roh si mati dapat pulang ke dunia
dan mengunjungi tempat-tempat yang pernah dilawati semasa ia hidup. Selain itu,
roh-roh yang baru mati dan roh-roh yang masih enggan meninggalkan alam nyata
mengambil kesempatan di waktu ini untuk berinteraksi dengan mereka yang masih
hidup sebelum berangkat sepenuhnya ke alam kematian.
Setakat ini tidak banyak yang kita ketahui tentang ritual-ritual Samhain silam kerana pihak Gereja telah pun mengkristiankannya – sama seperti yang berlaku terhadap kebanyakan festival pagan lain – dan maklumat-maklumat yang dimiliki pada hari ini datangnya daripada rahib-rahib Ireland yang merekodkan sejarah masyarakat Celtic pada era pra-Kristian, di samping hasil tulisan penulis-penulis Kristian lain yang kebanyakannya cenderung untuk merendahkan amalan pagan itu.
Apapun, sambutan
Samhain silam antaranya merangkumi penyimpanan bekalan untuk mengharungi musim
sejuk, penyembelihan haiwan ternakan, dan pembakaran tulang-tulang haiwan dalam
pesta ‘unggun temulang’ (bone fires) yang seiring perjalanan waktu, mula
dikenali sebagai pesta unggun api (bonfires). Dalam keraian ini juga diadakan perkumpulan
masyarakat bagi menikmati jamuan dan minum-minum. Apapun, elemen ‘tirai
tersingkap’ dan kunjungan roh-roh si mati semasa berlangsungnya keraian Samhain
tetap menjadi antara ciri utama tradisi tersebut.
Roh-roh si mati yang dikasihi dinanti-nantikan – dan dialu-alukan – kedatangannya dan amalan menyediakan makanan kegemaran buat roh si mati juga mungkin berasal-usul dari sekitar waktu itu, iaitu kira-kira 2000 tahun yang lalu (tarikh sebenar tidak dikenal pasti). Apapun, banyak roh dan semangat lain – yang tidak pernah wujud sebagai manusia – turut hadir pada waktu tersebut. Antaranya seperti orang halus, bunian, peri kerdil, pari-pari, dan semangat-semangat jahat. Begitu juga dengan roh si mati yang pernah dianiaya semasa ia hidup, di mana ia akan muncul mencari si penganiayanya.
Demi memperdaya roh-roh jahat tersebut, kebiasaannya mereka
akan menghitamkan wajah dengan abu yang diambil dari pesta unggun api (amalan
yang kemudian disebut sebagai ‘penyamaran’), dan seiring peredaran masa, amalan
ini berkembang menjadi pemakaian topeng. Dengan demikian, mereka yang hidup
hanya akan mendedahkan identiti diri setelah mengecam kehadiran roh yang mereka
kasihi sambil yang lain pula akan terus kekal selamat dari gangguan roh-roh
jahat.
MALAM PARA SANTO
Sejarahwan belum dapat mengenal pasti semenjak bilakah ritual-ritual tersebut terangkum dalam perayaan Samhain, namun sebahagian daripadanya sudah pun diamalkan sekitar era kedatangan agama Kristian di Ireland pada kurun ke-5 Masehi. Bukit Tlachtga (Bukit Jagaan) di Daerah Meath merupakan tapak di mana pesta unggun api dinyalakan pada atau sekitar tanggal 31 Oktober bagi mengisyaratkan bermulanya perayaan Samhain dan nyalaan unggun tersebut disambut oleh unggun yang lebih besar dari Bukit Tara, sebuah tapak Neolitik yang terletak di seberang.
Ahli-ahli arkeologi dari Kolej Universiti Dublin meletakkan tarikh
artifak-artifak yang ditemui di situ seawal 200 Masehi, namun kita perlu ingat
bahawa ia adalah hasil perkembangan paling kemudian di tapak yang telah lebih
2000 tahun dijadikan sebagai tempat kelangsungan pesta unggun api.
Bukit ini dinamakan bersempena seorang pendeta wanita (druidess) bernama Tlachtga yang merupakan anak perempuan kepada seorang pendeta (druid) bernama Mug Ruith yang banyak berkelana bagi mengasah kemahirannya. Menurut legenda, Tlachtga menjadi mangsa rogol oleh tiga orang anak lelaki Simon Magus, yang namanya masyhur sebagai penentang St. Peter seperti yang termaktub dalam Book of Act: 8:9-24. Susulannya, Tlachtga melahirkan tiga orang anak kembar di Bukit Tlachtga sebelum meninggal dunia di sana.
Pemasukan watak jahat dalam
Bible ke dalam kisah Tlachtga jelasnya meletakkan garis masa legenda ini pada
era Kristian dan menjajarkan beliau dengan St. Peter di mana mereka berdua
berkongsi seteru yang sama. Sama seperti kebanyakan legenda Celtic, sejarahwan
meyakini bahawa legenda Tlachgta telah dikristiankan sesudah kedatangan St.
Patrick ke Ireland dan babak beliau dirogol oleh anak-anak Simon Magus
merupakan penambahan terhadap kisah asal.
![]() |
Batu Takdir, Bukit Tara |
Pengkristianan simbol-simbol, kuil-kuil, festival-festival, legenda-legenda dan ikon-ikon keagamaan pagan telah pun dilakukan dan diterapkan ke dalam perayaan Samhain dan keraian-keraian lain. Pada kurun ke-7 Masehi atau tepatnya semasa kuil besar pagan, iaitu Pantheon di Rome ditahbiskan khusus buat Santo Mary dan para korban agama Kristian, Paus Boniface IV telah menetapkan tanggal 13 Mei sebagai Hari Para Santo (All Saint’s Day atau All Hallow’s Day), iaitu hari untuk meraikan santo-santo yang tidak mempunyai hari istimewa yang tersendiri.
Walau bagaimanapun pada kurun ke-8 Masehi, Paus Gregory III
memindahkan tarikh perayaan itu ke tanggal 1 November. Sehingga kini punca
pemindahan tarikh tersebut masih diperdebatkan. Sebilangan sejarahwan berpendapat
ia dilakukan bagi mengkristiankan perayaan Samhain dan mengubahnya menjadi
sambutan Malam Para Santo, yang mana dakwaan ini agak munasabah kerana gerakan tersebut
dilihat sejajar dengan satu paradigma Kristian berkenaan ‘pembebasan’ unsur-unsur
pagan, di mana hal ini bertujuan untuk memudahkan proses penukaran agama
masyarakat tersebut.
Sebelum ia dikristiankan,
tanggal 13 Mei merupakan hari terakhir bagi perayaan Lemuria yang disambut oleh
masyarakat Rom (berlangsung pada tanggal 9, 11, 13 Mei), di mana perayaan tersebut
dikhususkan untuk menenteramkan roh si mati yang marah atau tidak senang ketika
berada di alam kematian. Perayaan ini dikembangkan daripada dua buah keraian
yang disambut lebih awal, iaitu Parentalia – yang bertujuan menghormati roh
nenek-moyang (13-21 Februari) – dan Feralia – yang bertujuan meraikan roh
orang-orang yang disayangi (21 Februari). Dalam keraian Feralia, mereka yang
masih hidup dituntut supaya mengenang dan mengunjungi kubur mereka yang telah
mati dan menitipkan hadiah berupa bijirin, garam, roti bercelup arak, dan
kalungan bunga yang diiringi kelopak-kelopak berwarna ungu.
ELEMEN-ELEMEN LAIN YANG
MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN HALLOWEEN
Sama seperti yang
berlaku terhadap perayaan Paternalia, Feralia, Lemuria, dan keraian-keraian
lain, begitulah juga yang berlaku terhadap Samhain. Sebelumnya, sambutan
Samhain dikaitkan dengan roh-roh yang telah berangkat ke alam kematian, dengan
bumi, dengan pertukaran tahun, dan kesemuanya ini ditandai dengan keraian dan
aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Selepas ia dikristiankan, Malam Para Santo
diubah menjadi malam untuk berjaga, berdoa, dan berpuasa sebagai persiapan bagi
menyambut hari esok, di mana para santo diraikan dalam sambutan yang lebih
ringan.
Walau bagaimanapun,
tradisi-tradisi lama tidak ditinggalkan dan pesta unggun api masih diamalkan –
hanyasaja kini ia dilakukan atas nama wira-wira Kristian. Begitu juga dengan
pertukaran musim yang masih diraikan – cuma kini atas nama Christ. Kebanyakan ritual
yang mengiringi bentuk baru perayaan tersebut tidak diketahui asal-usulnya
namun menjelang kurun ke-16 Masehi, amalan ‘penjiwaan’ menjadi perkara utama.
Amalan ini memperlihatkan golongan miskin di bandar atau pekan mengetuk pintu
demi pintu lalu meminta sepotong kek-jiwa daripada tuan rumah dan sebagai
balasan, mereka akan mendoakan seluruh penghuni rumah tersebut.
Amalan ini diyakini
lahir daripada kepercayaan bahawa roh-roh si mati tergantung dalam keadaan
terseksa selagimana ia tidak didoakan, dan seringkali juga, selagimana sejumlah
wang tidak dibayar kepada Gereja. Selepas berlakunya Reformasi Protestan,
amalan penjiwaan terus dihidupkan di Britain, cuma bezanya, golongan miskin dan
belia Protestan mendoakan kesejahteraan penghuni rumah dan orang-orang yang
mereka sayangi, bukannya roh-roh yang tergantung. Namun, tradisi lama masih
dikekalkan dalam kalangan penganut Katolik.
![]() |
Pesta unggun api pada Hari Guy Fawkes |
Pada kurun ke-17
Masehi, Hari Guy Fawkes menambah satu komponen baru dalam perkembangan
Halloween. Tepat pada tanggal 5 November 1605 Masehi, sekumpulan penentang
Katolik cuba membunuh Raja James I dari Britain yang menganut fahaman
Protestan. Cubaan ini dikenali dalam sejarah sebagai Rancangan Senjata Api.
Cubaan tersebut gagal dan salah seorang ahli kumpulan penentang yang bernama
Guy Fawkes ditangkap bersama bahan-bahan letupan yang dipasang di bawah Rumah
Raja-Raja. Walaupun beliau mempunyai ramai rakan subahat, hanya nama Guy Fawkes
seorang diabadikan dalam sejarah.
Hari Guy Fawkes
diraikan oleh golongan Protestan di Britain sebagai hari kemenangan ke atas
pihak paus dan tanggal 5 November dipilih sebagai hari peristiwa di mana
ucapan-ucapan berbaur anti-Katolik disebarkan dan vandalisme ke atas premis
rumah dan perniagaan Katolik dilakukan, walaupun secara rasmi, pihak kerajaan
mendakwanya sebagai satu bentuk perayaan bagi menyambut Rahmat Tuhan buat raja.
Pada malam sebelum sambutan Hari Guy Fawkes, pesta unggun api dirayakan dan
tokoh-tokoh tak ternama – kebiasaannya Paus – digantung dalam patung sambil
orang ramai bermabukan, berpesta, dan menyalakan bunga api. Kanak-kanak dan
warga miskin pula akan berkunjung dari rumah ke rumah bagi meminta wang atau
makanan sambil memakai topeng muka dan menolak patung Guy Fawkes dalam kereta
sorong.
DISAMBUT SECARA MELUAS
HINGGA KE AMERIKA UTARA
Ketika British datang
ke Amerika Utara, mereka turut membawa bersama tradisi-tradisi tersebut. Warga
Purita di New England yang enggan mengamalkan sebarang perayaan yang mempunyai
kaitan dengan kepercayaan pagan – termasuklah perayaan Christmas dan Easter –
masih mengekalkan sambutan Hari Guy Fawkes pada tanggal 5 November bagi
memperingati kemenangan moral mereka ke atas Katolik. Perayaan Guy Fawkes juga
terus disambut sehingga Revolusi Amerika pada 1775-1783 Masehi.
Ritual-ritual Samhain
tiba di negara tersebut kurang sekurun kemudian, berikutan pemindahan
beramai-ramai warga Ireland pada 1845-1849 Masehi, yakni sewaktu berlakunya
sebuah peristiwa yang dikenali sebagai kebuluran kentang. Masyarakat Ireland
yang sebahagian besarnya merupakan penganut Katolik terus mengamalkan Hari Para
Santo yang diiringi dengan amalan ‘penjiwaan’. Namun pada hari ini, keraian
tersebut sudah dicampur-aduk dengan tradisi-tradisi rakyat seperti lentera si
jack (jack o’ lantern).
PERKEMBANGAN-PERKEMBANGAN
LANJUT
Lentera si jack dikaitkan dengan sebuah kisah rakyat Ireland yang berkisar tentang Jack Si Kedekut (Stingy Jack), seorang pemabuk dan penipu licik yang berjaya memperdaya syaitan sehingga mengusirnya dari neraka. Namun dek kerana beliau menjalani kehidupan dengan penuh dosa, Jack tidak dapat memasuki syurga. Oleh kerana itu, roh Jack pun berlegar di dunia sambil membawa sebentuk lentera kecil yang diperbuat daripada lobak putih dan diisi dengan arang dari neraka bagi menerangi jalannya.
Sejarahwan berpendapat legenda tersebut lahir daripada
penampakan will-o-wisp, paya dan wap marsh yang sememangnya menyala
dengan terang pada waktu malam. Pada Malam Para Santo, menjadi tradisi bagi masyarakat
Ireland untuk menebuk lobak putih dan mengukirnya sehingga menjadi bentuk muka
lalu mengisinya dengan lilin. Kononnya, amalan ini bertujuan untuk memelihara
mereka dari gangguan roh-roh jahat seperti Jack Si Kedekut semasa upacara
‘penjiwaan’ dilakukan pada detik di mana tirai antara alam nyata dan alam
kematian tersingkap.
Lentera
lobak putih
Asas-asas sambutan
Halloween kini digantikan dengan amalan berkunjung dari rumah ke rumah sambil
meminta gula-gula dan membawa lentera si jack sebagai ganti bagi kek-jiwa.
Tidak lama selepas amalan tersebut sampai ke Amerika Syarikat, warga Ireland
menukarkan penggunaan lobak putih kepada labu kerana ia lebih mudah untuk
diukir. Hari Guy Fawkes tidak lagi diraikan di Amerika Syarikat namun
unsur-unsur sambutannya masih dapat dilihat dalam perayaan-perayaan Katolik
pada bulan Oktober, khususnya unsur yang melibatkan vandalisme di mana ketika
itu, ia dilangsungkan secara lebih sembarangan: sekitar tanggal 31 Oktober,
kediaman atau premis perniagaan milik sesiapa sahaja boleh dirosakkan secara
bebas.
Pada pagi Halloween
tahun 1912 di kampung Hiawatha, Kansas, seorang wanita bernama Elizabeth Krebs
kian berasa letih apabila kebunnya – dan seluruh pekannya – dirosakkan pada
setiap tahun oleh segerombolan kanak-kanak yang memakai topeng. Maka pada tahun
berikutnya, beliau mengeluarkan wangnya sendiri untuk mengadakan sebuah parti
khusus untuk golongan belia dengan harapan mereka akan keletihan dan kehabisan
tenaga sehingga tidak lagi berupaya merosakkan pekannya.
Namun ternyata,
jangkaan beliau meleset dan vandalisme tetap dilakukan seperti biasa. Pada
tahun 1914, beliau menyeru penglibatan seluruh warga pekan untuk membawa masuk
sekumpulan pancaragam dan mengadakan beberapa aktiviti seperti pertandingan
kostum dan perarakan – dan usahanya kali ini membuahkan hasil. Segenap lapisan
masyarakat berhibur dengan keraian tersebut dan meninggalkan tradisi vandalisme
Halloween. Berita tersebut kemudian tersebar ke pekan-pekan lain dan
masing-masing mengadakan acara sambutan Halloween yang serupa, melibatkan
pertandingan kostum, perarakan, persembahan pancaragam, jamuan makanan, acara
tarian, dan penyediaan manisan serta ukiran-ukiran hantu yang menakutkan.
Walaupun adakalanya Puan
Krebs dipanggil sebagai ‘ibu Halloween moden’, kenyataan sebegitu tidaklah
sepenuhnya tepat kerana beliau tidak bertanggungjawab mempromosikan tradisi
berkunjung dari rumah ke rumah sambil meminta makanan yang sudah pun diamalkan sejak
ratusan tahun yang lampau. Apapun, versi sambutan yang diperkenalkan oleh Puan
Krebs sememangnya memberi impak terhadap cara sambutan Halloween dalam kalangan
warga Amerika, dan perayaan Halloween Frolic di Hiawatha, Kansas terus
diamalkan secara tahunan bersama perayaan-perayaan lain yang diilhaminya.
Walau bagaimanapun,
konsep pesta-sebagai-pengalih-tumpuan dari aktiviti vandalisme tidaklah
mendapat tempat di seluruh negara dan menjelang 1920an, keadaan semakin
membarah buat warga Amerika Syarikat dan Kanada. Apapun, sejarahwan tidak mengetahui secara
jelas bagaimana amalan menghancurkan premis orang lain pada malam 31 Oktober boleh
berubah menjadi amalan berkunjung dari rumah ke rumah sambil meminta manisan.
Apa yang diketahui, ia sudah pun diamalkan di Kanada menjelang 1927 sebagaimana
yang dibuktikan menerusi keratan akhbar dari Blackie, Alberta, yang menampilkan
sebuah kisah tentang kanak-kanak yang mengunjungi dari rumah ke rumah dan
penggunaan frasa ‘trick or treat’ (‘perdaya atau belanja’) buat kali
pertama dalam media cetak. Setelah kanak-kanak itu diberikan gula-gula, mereka
akan beredar tanpa mengapa-apakan rumah tersebut.
Tradisi ini terus
diamalkan di Amerika Utara sepanjang 1930an, sebelum berlakunya Perang Dunia
Kedua yang mengakibatkan berlakunya pencatuan gula secara mendadak sekaligus
menjejaskan pengeluaran manisan dan gula-gula. Keadaan hanya pulih seperti
sediakala pada lewat 1940an. Perayaan yang lazim dilihat pada hari ini mula
meraih bentuk akhirnya pada 1950an dan semakin lama ia semakin meraih tempat di
negara-negara lain. Pada hari ini, Halloween tidak lagi dilihat secara umum
sebagai sebuah perayaan yang mempunyai kaitan dengan mana-mana agama atau
tradisi khusus, sebaliknya ia dilihat sebagai sebuah cuti umum sekular yang
disambut khusus untuk golongan belia dan satu rahmat buat pengusaha manisan,
dekorasi, dan industri hiburan yang mengeluarkan filem, rancangan TV, dan buku
bertemakan paranormal.
TEMA UTAMA
Bagi kebanyakan
masyarakat Neo-Pagan dan Wicca, perayaan ini terus disambut sepertimana di
zaman silam yang menjadikan penjelmaan sebagai tema utama perayaan Samhain.
Antaranya melibatkan pertukaran tahun dari hari-hari terang ke hari-hari gelap;
perkunjungan roh-roh si mati dari alam kematian ke alam nyata, dan keberangkatan
penuh roh yang masih belum meninggalkan alam nyata ke alam kematian; mereka
yang hidup menukar persona sebagai entiti lain dan entiti ghaib pula menjelmakan
diri sebagai manusia; haiwan-haiwan dikorbankan dan dihidangkan sebagai
makanan; bijirin, bebuahan, dan sayur-sayuran disimpan sebagai bekalan bagi
mengharungi musim sejuk; manakala kayu-kayan dan tulang-temulang pula dibakar
dalam pesta unggun api.
Penjelmaan juga masih dijadikan
sebagai tema utama bagi perayaan Halloween. Misalnya, pemakaian topeng dan
kostum semasa Hari Halloween bertujuan untuk memberi peluang kepada si
pemakainya untuk menjelma sebagai persona yang berbeza berbanding hari-hari
biasa. Untuk semalaman lamanya, seseorang boleh menjelma sebagai Darth Vader,
zombie, atau Labu Besar. Begitu juga dengan kostum-kostum yang lazim dijadikan
sebagai pilihan utama, seperti kostum serigala-jadian (manusia yang menjelma
sebagai haiwan), kostum pontianak (yang berupaya menjelma sebagai asap atau
kelawar), dan kostum hantu (yang mampu menjelma sebagai manusia).
Di Ireland pada zaman pra-Kristian, dewi yang sering dikaitkan dengan Samhain adalah dewi Morrigan si dewi perang dan takdir yang bertanggungjawab menentukan untung-nasib bangsanya, Tuatha de Danaan, dalam meraih kebebasan dalam peperangan menentang warga Formoria. Dalam setiap kisah yang menampilkan dirinya, Morrigan disifatkan sebagai satu karakter yang berupaya membuat perubahan dan dalam epik Cath Maige Tuired, beliau berjaya mengubah takdir masyarakatnya menjadi tuan pada diri sendiri dan bukannya hamba suruhan orang lain. Elemen penjelmaan dan penukaran sebegini adakalanya menggerunkan, namun ada juga yang mengujakan.
Karakter
serigala-jadian, misalnya, dikembangkan sebagai reaksi terhadap rasa gerun pada
serangan haiwan, manakala pontianak pula dijelmakan sebagai reaksi terhadap
rasa takut pada roh si mati yang kembali bagi menghukum mereka yang masih
hidup. Walau bagaimanapun, dalam dua situasi tersebut – dan juga
situasi-situasi lain – keupayaan untuk membunuh makhluk itu terletak pada diri
manusia sendiri, justeru legenda-legenda sebegini dianggap mampu memberi
kekuatan buat manusia untuk menghadapi saat-saat sukar.
Tema yang sama turut ditampilkan menerusi pemakaian topeng Halloween dan tradisi-tradisi moden yang terangkum dalam perayaan tersebut, di mana ia menyentuh aspek-aspek paling asas dalam kehidupan manusia dan amalan Samhain. Sepertimana yang dilakukan oleh masyarakat silam, kostum dan topeng Halloween dipakai untuk menghindari gangguan roh jahat sambil menikmati saat-saat girang apabila berpeluang untuk berjumpa dengan roh insan-insan tersayang.
Kebanyakan kostum yang dikenakan
semasa sambutan Halloween mewakili rasa takut terhadap kematian dan
ketidakpastian, yang apabila kostum itu dipakai untuk semalaman, ia seakan-akan
membawa maksud si pemakai berjaya menguasai rasa takut tersebut dan berubah
menjadi persona yang baru. Pada peringkat yang paling asas, perayaan Halloween
adalah – atau mungkin adalah – simbol kemenangan manusia ke atas apa yang
ditakutinya; yang mungkin begitulah jua keadaannya bagi masyarakat Celt purba
ketika mereka menyambut Samhain sejak ribuan tahun yang lampau.
DAFTAR PUSTAKA
- Guy Fawkes Day: A Brief History by Jesse Greenspan.
- History Mysteries at the Museum: Elizabeth Krebs by Lynn Allen Brown.
- The History of Trick or Treating is Weirder than You Thought by Rose Eveleth.
- The Role of the Morrigan in the Cath Maige Tuired: Incitement, Battle Magic and Prophecy by Morgan Daimler.
- Assorted Authors. New Catholic Encyclopedia. Gale Research Inc, 2010.
- Daimler, M. Gods and Goddesses of Ireland. Moon Books. 2016.
- Grimassi, R. Spirit of the Witch. Llewellyn Publications. 2003.
- Hoffner, H. Catholic Traditions and Treasures. Sophia Institute Press. 2018.
- Morton, L. Trick or Treat: A History of Halloween. Reaction Books. 2019.
- Rees, A&B. Celtic Heritage. Thames and Hudson. 1989.
- Rolleston, T. W. Celtic Myths and Legenudygeyuwwhq3rt2y3768jhs3ruh4tt5r4ot55t5it4tuytuuheeuyexuiwdgywdyu12yuerytyuds. Dover Publications. 1990.
- Squire, C. Celtic Myths & Legends. Portland House Publishers. 1994.
Penterjemahan artikel ini dihasilkan dengan kerjasama Ancient History Encyclopedia dan turut disiarkan di portal berkenaan di bawah judul 'Sejarah Halloween'
- Get link
- X
- Other Apps