- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Alicia Mcdermott. (9 Oktober 2018). Sun Tzu: Famous Chinese Strategist and
Philosopher. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/sun-tzu-0010817
Penterjemah: Amir Zayyanid
Ribuan tahun yang lalu,
buku The Art of War (Seni Peperangan) dikarang oleh Sun Tzu, seorang
panglima tentera, ahli strategi, dan ahli falsafah China. Karya ini mempunyai
pengaruh yang cukup besar dalam perkembangan taktikal perang, baik di belahan
timur mahupun barat dunia. Tidak kira di medan tempur mahupun dalam bilik mesyuarat,
pepatah-pepatah hikmah yang tercantum dalam buku ini digunakan sebagai dorongan
inspirasi dan motivasi. Walau bagaimanapun, banyak misteri yang menyelubungi
sosok seorang tokoh yang bernama Sun Tzu ini hinggakan sebilangan sejarahwan
meragui kewujudannya.
LATAR BELAKANG SUN TZU
‘Tzu’ dalam Sun Tzu
boleh dimengertikan sebagai ‘tuan’ atau ‘guru’, yang dalam erti kata lain, Sun
Tzu sejak sekian lama dipanggil sebagai Tuan Guru Sun. Nama sebenarnya jika
menurut rekod sejarah adalah Sun Wu. Pun begitu, tidak banyak maklumat yang
dimiliki tentang riwayat hidup Sun Wu. Sebahagian perinciannya pula hanya dapat
ditemui dalam karya para penulis lain.
![]() |
| Lukisan yang menggambarkan Sun Tzu |
Untuk lebih memahami
peribadi Sun Tzu, penting bagi kita untuk meninjau suasana hidupnya. Sumber-sumber
rasmi menyatakan bahawa beliau hidup pada zaman Musim Bunga dan Musim Luruh
(722-481SM) atau sejurus sebelum zaman Negara-Negara Berperang (475-221SM).
Namun, tahun dan lokasi kelahirannya tidaklah diketahui secara tepat. Hikayat
Musim Bunga dan Musim Luruh dalam arkib Negara Lu menyebutkan bahawa Sun
Tzu dilahirkan di Qi. Namun, Catatan-Catatan Sejarahwan Ulung (Shiji,
ditulis pada kurun pertama SM) pula mendakwa kampung halaman beliau terletak di
Wu.
Sekiranya kita menerima
sumber yang pertama, maka bolehlah dikatakan yang Sun Tzu hidup membesar di
kawasan pantai utara (Shandong moden) yang kasar corak kehidupannya. Namun jika
kita mengambil pandangan Sima Qian, maka suasana kampung halaman Sun Tzu
berbeza sama sekali, di mana ia mengawal laluan masuk ke Sungai Yangtze.
Sebahagian sumber
menyebutkan tahun 544 Sebelum Masehi sebagai tarikh kelahirannya. Namun sekali
lagi, pendapat ini tidak dipersetujui secara tuntas. Seandainya tahun ini
diterima, maka Sun Tzu berada dalam lingkungan usia 30an semasa menjadi
panglima dan ahli strategi bagi Kerajaan Wu. Dalam erti kata lain, beliau hidup
sezaman dengan Confucius (551-479SM).
Namun, ada pula
sejarahwan yang meletakkan tahun kelahiran Sun Tzu pada zaman yang lebih
terkemudian, dengan mengambil kira faktor jawatannya sebagai panglima tentera.
Pada era Musim Bunga dan Musim Luruh, komander tentera kebiasaannya bukanlah
dilantik dari kalangan panglima profesional. Sebaliknya, kedudukan itu
disandang oleh raja atau kerabat istana sendiri. Jawatan panglima profesional
hanya mula muncul pada zaman Negara-Negara Berperang.
Walau bila sekalipun
tahun kelahirannya yang sebenar, hidup Sun Tzu tanpa dinafikan memang
dikelilingi oleh peperangan. Pada zaman Musim Bunga dan Musim Luruh, peperangan
ini melibatkan raja-raja feudal sambil monarki Zhou sendiri mengalami
kemunduran. Jika kita berpendapat Sun Tzu hidup pada era Negara-Negara
Berperang, maka beliau sempat menyaksikan China berpecah kepada tujuh buah
negara, iaitu Zhao, Qi, Qin, Chu, Han, Wei, dan Yan. Pada zaman ini juga, buku Seni
Peperangan sudah pun menjadi buku perundangan ketenteraan yang dibaca
secara meluas.
![]() |
| Tugu Sun Tzu di Suzhou, Jiangsu, China |
Sima Qian di dalam
karyanya ada mengepilkan sebuah anekdot yang memerihalkan keperibadian Sun Tzu.
Menurutnya, Raja Wu berhasrat mahu menguji Sun Tzu sebelum melantiknya sebagai
komander tentera. Beliau memerintahkan Sun Tzu melatih 180 orang gundik menjadi
tentera. Lantas, Sun Tzu pun membahagikan mereka ke dalam dua kumpulan dengan
dua orang gundik kesayangan raja dijadikan sebagai ketua kumpulan. Beliau
seterusnya mengarahkan gundik-gundik itu semua agar berpaling ke kanan, dan
arahan itu disambut dengan hilai tawa.
Melihat reaksi itu, Sun
Tzu pun berpaling menghadap raja dan berkata bahawa seorang komander tentera
bertanggungjawab memastikan tentera-tentera pimpinannya memahami dan mematuhi
arahan yang diberikan. Jika mereka tidak dapat memahami arahan, maka komander
itu yang harus dipersalahkan. Lantas, Sun Tzu mengulangi arahannya kepada dua
gundik itu supaya memerintahkan pasukan masing-masing berpaling ke kanan.
Sekali lagi, arahan itu disambut dengan hilai tawa. Maka, Sun Tzu pun
mengarahkan agar mereka berdua dihukum bunuh. Arahan ini dibantah oleh raja.
Namun, Sun Tzu bertegas mengatakan bahawa seandainya seorang sarjan (ketua
pasukan) memahami arahan komander namun mengingkarinya, maka sarjan itu yang
bersalah dan perlu dihukum. Maka, dua orang gundik itu pun dihukum bunuh dan
kedudukannya digantikan oleh dua orang gundik lain. Setelah itu, kedua-dua
pasukan kesemuanya mematuhi arahan yang diberikan. Pada saat itulah, si raja
menyedari bakat yang dimiliki oleh Sun Tzu lantas melantiknya sebagai komander
tentera.
Sun Tzu berpaling
kepada raja dan berkata bahawa seorang panglima bertanggungjawab memastikan
tenteranya memahami dan mematuhi arahannya, jika mereka tidak faham maka
panglima itu bersalah. Apabila Sun tzu mengulangi perintahnya kepada dua gundik
yang mengteuai pasukan, mereka ketawa lagi. Tindak balas, Sun Tzu memerintahkan
mereka dihgukum bunuh. Raja membantah, namun Sun Tzu menekankan bahawa jika
tentera panglima memahami namun mengingkari arahannya, pegawainya yang bersalah
dan layak dihukum. Dua wanita yang dibunuh itu kemudian diganti dengan gundik
lain dan kedua-dua pasukan dipastikan memathui arahan panglima Sun Tzu sejak
itu. Sun Tzu nmenghadirkan dua komander baru itu kepada raja dan mengatakan
bahawa mereka bersedia untuk mematuhi arahannya. Saat itulah raja dikatakan
melihat potensi Sun Tzu dan memberinya keudukan sebagai panglima.
SUN TZU SEBAGAI
PANGLIMA TENTERA
Sun Tzu dipercayai
hidup lebih lewat berbanding tarikh-tarikh yang dikemukakan oleh sejarahwan di
atas, dan pendapat ini dapat dibuktikan menerusi penelitian terhadap kata-kata
yang terkandung dalam Seni Peperangan, taktik-taktik yang beliau
praktikkan, dan sebutannya tentang busur silang serta kurangnya beliau
memerihalkan tentang tentera kavalri. Pendapat ini menyimpulkan bahawa Sun Tzu
hidup 100-150 tahun lebih lewat berbanding tarikh yang dikemukakan oleh Sima
Qian.
Sumber-sumber sejarah
menyatakan bahawa Sun Tzu berkhidmat untuk Raja Helu dari Wu. Walaupun karya
beliau mendakwa dirinya terlibat dalam banyak pertempuran, satu-satunya
pertempuran yang mempunyai kaitan langsung dengan beliau adalah Pertempuran
Boju. Pun begitu, catatan tentang pertempuran ini sendiri tidak menyatakan yang
Sun Tzu turun ke lapangan. Bahkan lebih daripada itu, sebuah teks sejarah yang
berjudul Zuo zhuan langsung tidak ada menyebut perihal Sun Tzu walaupun
ia dipercayai sebagai sumber penting berkenaan Pertempuran Boju.
![]() |
| Tentera-tentera terracotta China |
Walaupun anekdot
‘melatih-gundik-menjadi-tentera’ yang dinukilkan di atas kelihatan agak kejam
dan bengis, Sun Tzu secara umum tidaklah disifatkan sebagai seorang yang gemar
menumpahkan darah. Hal ini dibuktikan sendiri menerusi petikan kata-katanya
dalam Seni Peperangan, “Seni perang terulung adalah menundukkan musuh
tanpa berlawan. “
Sun Tzu dipercayai
banyak berpegang pada falsafah Tao, justeru tidak menumpukan daya fizikal
sebagai kaedah untuk mencapai kemenangan. Beliau lebih cenderung menggunakan
perang psikologi ketika berhadapan dengan musuh. Hal ini diisyaratkan menerusi
pepatahnya yang banyak menekankan tentang kepentingan mendapatkan maklumat berkenaan musuh dengan
memanfaatkan ejen rahsia (atau ejen talam dua muka), “Di antara sekalian hal
yang hampir dengan komander, tiada yang lebih akrab berbanding ejen rahsia; di
antara sekalian kurniaan ganjaran, tiada yang lebih mewah berbanding yang
diberikan kepada ejen rahsia; di antara sekalian percaturan, tiada yang lebih
rahsia berbanding operasi sulit.”
Beliau juga banyak
mengingatkan pada komander-komander tentera supaya memecahkan kesatuan musuh,
menghindari konflik, dan melakukan serangan mengejut jika ada peluang. Memetik
pepatah beliau, “Keputusan yang tepat itu umpama sambaran helang yang tepat
masanya.”
PERDEBATAN TENTANG
KEWUJUDANNYA
Persoalan tentang
kewujudan tokoh bernama Sun Tzu ini telah memeningkan sejarahwan sejak kurun
ke-12 Masehi lagi. Mereka yang meragui kewujudan beliau lazimnya menuding pada
ketiadaan sebutan nama Sun Tzu dalam Zuo zhuan. Hal ini kerana Zuo zhuan menyebut perihal kebanyakan tokoh besar pada era Musim Bunga dan Musim
Luruh. Maka, ketiadaan atau kekurangan sebutan tentang Sun Tzu dalam teks
tersebut mencetuskan persoalan dalam kalangan sejarahwan – kecuali jika kita
berpendapat Sun Tzu hidup pada era yang lebih lewat.
Selain itu, penting
juga untuk kita ketahui bahawa Sun Tzu bukanlah satu-satunya ‘Tuan Guru Sun’
yang pernah wujud dalam sejarah China. Sun Bin, tokoh yang lebih terbukti
kewujudannya, juga boleh dipanggil dengan nama tersebut. Bahkan, ada sejarahwan
yang berpendapat Sun Bin adalah pengarang sebenar Seni Peperangan dan
Sun Tzu hanya sebuah karakter fiksyen yang mengambil inspirasi daripadanya.
Tambahan, Sun Tzu dan Sun Bin masing-masing menekankan tentang penggunaan
strategi berbanding kekuatan tentera semata-mata.
Sebahagian sejarahwan
pula mendakwa Seni Peperangan bukanlah ditulis oleh Sun Tzu, sebaliknya
oleh murid-muridnya yang menghimpunkan ajaran-ajaran beliau. Namun, pendapat
ini dibantah kerana Seni Peperangan mempunyai gaya penulisan yang unik
sekaligus mustahil ia dikarang oleh seorang individu.
Selain itu, ada juga
yang berpendapat bahawa Sun Tzu sememangnywa wujud dan sebahagian besar
kandungan Seni Peperangan ditulis oleh beliau. Buku itu kemudian
disiapkan dan dikemaskini oleh para pelajarnya, termasuklah Sun Bin. Makanya,
dakwa kumpulan ini, berlaku beberapa percanggahan maklumat kecil dalam buku
tersebut; seperti penyebutan tentang busur silang namun kurangnya sebutan
tentang unit kavalri.
Kesimpulannya, terdapat
tiga pandangan utama tentang kewujudan Sun Tzu; iaitu yang pertama, Sun Tzu
wujud dan beliau menulis Seni Peperangan pada tahun 512SM; atau yang
kedua, Sun tzu wujud namun hidup dan mengarang buku tersebut pada penghujung
era Musim Bunga dan Musim Luruh atau awal zaman Negara-Negara Berperang; atau
yang terakhir, Sun Tzu bukanlah seorang tokoh sejarah dan Seni Peperangan
dikarang oleh orang lain pada penghujung kurun ke-5 SM. Sebagai maklumat tambahan,
penemuan kepingan-kepingan buluh di Yin-ch’ueh-shan pada tahun 1972 membuktikan
lagi yang buku ketenteraan itu siap dikarang pada tempoh 500-430 Sebelum
Masehi.
![]() |
| Kepingan-kepingan buluh Han Yinqueshan yang ditemui pada 1972, antaranya termasuklah lembaran Seni Peperangan Sun Tzu, koleksi Muzium Shandong |
SENI PEPERANGAN SECARA
RINGKAS
Seni Peperangan
memberikan panduan dalam melaksanakan sesebuah strategi ketenteraan dan ia
banyak menekankan kepada pembaca supaya meneliti kekuatan musuh dan kekuatan
sendiri supaya dapat bertindak dengan modus yang sesuai, atau melemahkan, atau
pula menewaskan musuh menerusi permainan helah. Tambahnya lagi, kekerasan hanya
digunakan apabila tiada lagi pilihan lain.
Dalam erti kata lain,
buku ini membekalkan sebuah tatanan taktikal perang buat para panglima tentera
dalam rangka memperdaya musuh. Buku ini juga mengajarkan mereka cara
memanfaatkan rupa bumi, selain menekankan perihal pengumpulan sebanyak mungkin
maklumat tentang pergerakan, kecenderungan, dan kekuatan pihak musuh. Aspek
terakhir ini diabadikan menerusi pepatah, “Kenali musuh, kenali diri; seratus
peperangan; seratus kemenangan.”
![]() |
| Salinan Seni Peperangan yang merupakan sebahagian dari koleksi Universiti California, Riverside |
LEGASI SUN TZU
Karier ketenteraan Sun
Tzu berlangsung cemerlang dan beliau sendiri mempunyai ramai pelajar yang terus
menghidupkan ajarannya. Tanpa dapat dinafikan, Seni Peperangan merupakan
legasinya yang terulung. Zaman berzaman, buku tersebut ditelaah dan dijadikan
panduan oleh ramai pemimpin dunia.
Misalnya, Qin Shi Huang
si maharaja pertama yang menyatukan China banyak memanfaatkan taktikal perang
yang diajarkan dalam buku tersebut dalam usahanya menamatkan zaman
Negara-Negara Berperang. Begitu juga dengan Mao Tse-tung yang mempraktikkannya
ketika memerangi Jepun dan mendepani perang saudara China pada 1930an dan
1940an. Karya Sun Tzu juga banyak membimbing Ha Chi Minh dan Vo Nguyen Giep
dari Vietnam dalam memerangi Perancis dan Amerika Syarikat. Sebahagian
sejarahwan malah mendakwa yang buku itu turut ditelusuri oleh Napoleon
Bonaparte. Sehingga kini, kandungan Seni Peperangan terus dihidupkan dan
diamalkan, tidak di medan perang, tetapi dalam dunia perniagaan secara khusus
dan kehidupan seharian secara umum.
SUMBER
- BrainyQuote. (nd). Sun Tzu Quotes.
- Editors, TheFamousPage. 2017. Sun Tzu Biography.
- McCready, D.M. 2003. Learning from Sun Tzu. Military Review.
- Morrow, N. 2015. Sun Tzu, The Art of War (c. 500-300 B.C.) Classic of Strategy and diplomacy.
- Sonshi.com. (nd). William Duiker Interview. Sonshi – Sun Tzu’s The Art of War Educational Resource.
- Sydney Wen-Jang Chu and Cheng-Yu-Lee. 2013/ Just another Masterpiece: the Differences between Sun Tzu’s the Art of War and Sun Bin’s the Art of War. Ainiti Library.
- Szczepanski, K. (2017). Sun Tzu and the Art of War. ThoughtCo.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. (2018). Sunzi: Chinese Strategist.
- Get link
- X
- Other Apps





