- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (27 Januari 2020). The Age of Discovery: A New World Dawns. Ancient
Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/age-discovery-0013205
Penterjemah: Amir Zayyanid
Zaman Penemuan (atau
turut disebut sebagai Zaman Penjelajahan) merujuk kepada sebuah era dalam
sejarah Eropah di mana banyak pengembaraan merentas lautan luas dilakukan. Era
ini secara kasarnya berlangsung pada awal kurun ke-15 hingga pertengahan kurun
ke-17 Masehi dan kebiasaannya dikaitkan dengan Portugal dan Sepanyol, walaupun
tentunya ada sahaja negara-negara lain yang turut melakukan penjelajahan
tersendiri. Rantau Eropah Utara dan Russia juga tidak ketinggalan dari turut
merasai kehangatan zaman ini. Banyak faktor yang memicu berlakunya Zmaan
Penemuan dan ia meninggalkan kesan yang bukan hanya mempengaruhi sejarah
Eropah, akan tetapi seluruh dunia.
FAKTOR-FAKTOR YANG
MENDORONG BERLAKUNYA ZAMAN PENEMUAN
Salah satu faktor utama
yang membawa kepada berlangsungnya Zaman Penemuan adalah perdagangan. Sekitar awal
kurun ke-13 Masehi, dunia menyaksikan betapa Genghis Khan menubuhkan Empayar
Monggol dan membangunkannya sehingga menjadi empayar daratan paling luas dalam
sejarah, merentangi China di sempadan timur hingga ke Eropah Tengah di sempadan
barat. Menerusi hegemoni Monggol ini, aktiviti perdagangan dapat dijalankan
dengan lancar antara dunia timur dan dunia barat, khususnya di sepanjang Laluan
Sutera.
![]() |
| Patung penunggang unta, terracotta China dari Dinasti Wei Utara (386-534M). Muzium Cernuschi, Paris |
Walau bagaimanapun,
empayar tersebut mula berpecah pada kurun ke-14 dan natijahnya, Laluan Sutera
tidak lagi menjadi rangkaian jalan perdagangan yang selamat. Tentunya, aktiviti
perdagangan boleh sahaja dilangsungkan melalui jalan laut, namun terdapat satu
masalah yang terpaksa dihadapi – Laut Mediterranean dikuasai oleh Venetia
sementara Laut Merah yang berfungsi sebagai pintu masuk ke Lautan Hindi pula
dikawal oleh Turk-Uthmaniyah. Keadaan sebegini tentunya tidak memihak, bahkan
merugikan negara-negara yang terletak jauh di barat.
Di samping tekanan dari
sudut perdagangan, Zaman Penemuan juga didorong oleh suasana politik. Di
Semenanjung Iberia, kempen Reconquista yang berlangsung sejak kurun ke-8
Masehi kian menghampiri pengakhirannya pada lewat kurun ke-15 Masehi. Walaupun
Granada hanya jatuh pada tahun 1492 sekaligus menyudahkan kempen penaklukan
tersebut, hakikatnya seluruh Semenanjung Iberia (kecuali Emiriyah Granada)
sudah pun tumbang ke tangan Kristian semenjak pertengahan kurun ke-13 lagi.
Kejayaan Reconquista mendorong kebangkitan kerajaan-kerajaan Kristian di
Eropah, khususnya Portugal dan Sepanyol. Raja dari kedua-dua kerajaan ini
kemudian menggalang rakyat jelatanya untuk meneroka lautan luas sekaligus
memicu kelangsungan Zaman Penemuan. Tambahan, pada masa-masa itu jugalah
berlakunya perkembangan dalam teknik pembuatan dan pengemudian kapal.
Faktor agama juga tidak
boleh dikesampingkan, lebih-lebih lagi bagi pihak Portugal. Salah satu motivasi
utama yang mendorong monarki Portugal untuk menjelajah dunia adalah legenda
Prester John, iaitu raja legenda yang kononnya memerintah sebuah kerajaan
Kristian di Timur. Warga Portugis berhasrat mahu menemui raja legenda itu dan
mengadakan pakatan dengan mereka dalam memerangi umat Islam, justeru mereka pun
berusaha mengembara ke belahan timur dunia.
![]() |
| Peta kerajaan Prester John dari Hindia |
PENGEMBARAAN-PENGEMBARAAN
AWAL
Walau bagaimanapun,
perlu dikepilkan nota ringkas di sini bahawa pengembaraan dan penerokaan sudah
pun dilakukan pada kurun-kurun yang lalu, sebelum bermulanya Zaman Penemuan.
Misalnya pada Zaman Pertengahan, para pedagang dari Itali (khususnya Marco
Polo) dan mubaligh-mubaligh Kristian (seperti Franciscn Odoric dari Pordenone)
sudah pun berkelana ke timur. Begitu juga dengan tamadun-tamadun lain yang
turut melakukan pengembaraan tersendiri, lebih-lebih lagi dengan kewujudan
Laluan Sutera Maritim yang menyaksikan para pedagang dari China, Asia Tenggara,
India, dan Semenanjung Arab saling berinteraksi. Ibnu Battuta, pengembara
masyhur dari Maghribi, turut melakukan pengembaraan jarak jauh pada kurun ke-14
Masehi, di mana beliau tidak hanya mengunjungi wilayah-wilayah Islam, tetapi
turut mengunjungi rantau yang dipengaruhi budaya dan agama lain seperti Asia
Tengah, Asia Tenggara, dan China.
![]() |
| Ibn Battuta di Mesir |
MERENTASI KAWASAN YANG
BELUM DIPETAKAN
Walau bagaimanapun,
terdapat satu perbezaan ketara antara pengembaraan yang dilakukan pada Zaman
Pertengahan dan Zaman Penemuan, iaitu pada Zaman Penemuan,
pengembara-pengembara yang terlibat memulakan keberangkatan mereka di
penghujung barat benua Eropah dan mengharungi lautan luas yang sama sekali
belum pernah mereka terokai.
Sepertimana yang telah
disebutkan di atas, akses ke Lautan Hindi dari Laut Merah telah dikawal dan
dihalang oleh Turki sekaligus memustahilkan orang Eropah untuk melaluinya. Oleh
kerana itu, laluan alternatif untuk ke timur adalah dengan berlayar ke
penghujung selatan benua Afrika lalu mengubah haluan ke timur. Pada masa itu,
pantai Afrika masih belum diteroka sepenuhnya dan mustahil pula untuk orang
Eropah mengambil laluan darat kerana Afrika Utara ketika itu berada di bawah
pemerintahan Muslim. Maka mahu tidak mahu, mereka terpaksa berlayar di
sepanjang pantai barat Afrika dan menemukan penghujung selatannya lalu mengubah
haluan ke timur untuk memasuki Lautan Hindi.
PETUALANGAN AWAL OLEH
PARA PENGEMBARA PORTUGAL
Penemuan-penemuan awal
pada era ini banyak dikreditkan kepada peneroka dari Portugal. Tahun 1415
dianggap sebagai tahun penubuhan Empayar Kolonial Portugal, memandangkan pada
tahun tersebut Portugis merentasi Selat Gibraltar dan menakluki kota Muslim di
Ceuta.
Empat tahun kemudian,
iaitu pada 1419, dua orang kapten Portugis yang berkhidmat untuk Putera Henry
dibadai ribut taufan semasa berlayar sehingga terdampar di sebuah pulau yang
dinamakan sebagai Porto Santo. Tahun berikutnya, mereka kembali semula ke pulau
itu untuk mewartakannya sebagai milik Portugal dan dalam kesempatan itu, mereka
menemui sebuah pulau yang lebih besar, iaitu Pulau Madeira. Pada tahun 1427 pula,
mereka menemui Pulau Azores dan pada dekad-dekad berikutnya, Portugis terus
melakukan penerokaan di sepanjang pantai barat Afrika.
Cape Bojador (di pantai
utara Sahara barat) diharungi pada tahun 1434 dan sebelas tahun kemudian,
Portugis tiba di Senegal dan Cape Verde. Tahun berikutnya, mereka meneroka
Sierra Leone moden. Begitu juga dengan Teluk Guinea, dan seterusnya Congo yang
ditemui oleh Portugis pada tahun 1482. Empat tahun berikutnya, mereka tiba di
Cape Cross, Namibia moden, sebelum akhirnya pada tahun 1488, Bartolomeu Dias
berjaya sampai di Tanjung Harapan. Ia dianggap sebagai satu peristiwa yang
signifikan buat Portugal kerana ketibaan di Tanjung ini membawa maksud mereka
berjaya menemui penghujung selatan benua Afrika dan selangkah lagi untuk mereka
tiba di Lautan Hindi yang terletak di sebelah timur. Apapun, sepuluh tahun masa
diambil oleh Portugal untuk benar-benar tiba di sub-benua India, atau lebih
tepat, Calicut yang dikunjungi oleh Vasco da Gama pada tahun 1498 sekaligus
menjadikannya orang Eropah pertama yang sampai di India melalui jalan laut.
![]() |
| Vasco da Gama |
Sepanjang kurun ke-15
Masehi, Portugis bebas meneroka lautan luas tanpa menerima saingan daripada
mana-mana negara Eropah. Hal ini kerana pada waktu itu Sepanyol (pada masa itu
Monarki Kastil dan Aragon) yang kelak menjadi seteru utama Portugis sedang
disibukkan dengan urusan-urusan lain. Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, Reconquista
baru sahaja diselesaikan pada tahun 1492 dengan tumbangnya Granada. Tambahan,
Sepanyol turut disibukkan dengan rantau Mediterranean memandangkan monarki
Aragon turut memerintah beberapa kawasan di luar Semenanjung Iberia, seperti
Itali selatan, Sardinia, dan Sicily.
PERSAINGAN ANTARA SEPANYOL
DAN PORTUGAL
Tentunya, Sepanyol
tidak ingin kalah tanding dengan Portugis dan kedua-dua kerajaan ini pun
bersaing mahu menjadi yang pertama tiba di timur melalui jalan laut. Pada
Januari 1492 sejurus selepas menakluki Granada, seorang pengembara dari Genoa
bernama Christopher Columbus menerima perkenan Ferdinand II dan Isabella I
untuk berlayar merentasi Lautan Atlantik. Columbus percaya, tanah Asia boleh
dicapai dengan berlayar ke barat (bukan ke timur). Usulan yang sama ini pernah
dibentangkan kepada John II, raja Portugal, namun ditolak. Cadangannya itu juga
pada mulanya ditolak oleh Ferdinand dan Isabella sebanyak dua kali, sebelum
berjaya jua meraih naungan mereka berdua pada tahun 1492.
![]() |
| ‘Columbus menghadap Ratu’ (1843) oleh Emanuel Leutze |
Sedikit bercanggah
dengan tanggapan umum, cadangan Columbus ini tidaklah ditolak dek kerana
masyarakat ketika itu mempercayai yang bumi itu rata. Akan tetapi oleh kerana
pakar-pakar di istana Portugal dan Sepanyol beranggapan kiraan jarak antara
Eropah dan Asia yang dibentangkan oleh Columbus agak tidak masuk akal. Dalam
persoalan ini, sememangnya keraguan pakar-pakar Portugal dan Sepanyol benar.
Cuma nasib menyebelahi Columbus apabila beliau tetap jua menemui sebuah daratan
luas di antara Eropah dan Asia, iaitu benua Amerika yang kewujudannya belum
diketahui ketika itu.
Maka, Columbus pun
dikenang di Barat sebagai individu yang menemukan Dunia Baru. Sejarahwan
berpendapat bahawa andai Amerika tidak wujud, nama Columbus mungkin hanya akan
berada di ruangan nota kaki dan diingati sekadar sebagai salah seorang
pengembara yang berlayar ke barat tanpa pulang. Sepanjang tahun-tahun awal
sesudah Dunia Baru ditemui, Columbus bertegas mengatakan bahawa beliau sudah
menjumpai laluan ke Asia walaupun hakikatnya, tanah yang dijumpainya itu
bukanlah Asia, sebaliknya sebuah benua lain.
Apapun, kita ketepikan
sebentar soal Columbus, penemuan Dunia Baru ini merancakkan lagi konflik antara
Portugal dan Sepanyol. Semasa Columbus pulang dari perlayarannya yang pertama
pada tahun 1493, Sepanyol mendakwa tanah-tanah yang baru ditemui itu sebagai
milik mereka. Dakwaan ini dibantah oleh Portugal yang mengedepankan titah paus
pada tahun 1455, 1456, dan 1479 yang mewartakan hak pemilikan mereka ke atas
tanah-tanah tersebut.
Rentetan itu, Sepanyol
pun berusaha mendapatkan titah paus yang baru untuk membatalkan titah-titah
yang lama. Entah kebetulan yang bagaimana,Alexander VI yang bertugas sebagai
paus pada waktu itu adalah warga Valencia dan rakan karib kepada raja Sepanyol.
Maka, dengan mudah titah-titah paus yang banyak memihak Sepanyol berjaya
diperoleh. Salah satu titah tersebut adalah Inter caetera yang
mewartakan kesemua tanah dalam lingkungan 100 farsakh ke barat dan selatan dari
Kepulauan Azores dan Kepulauan Cape Verde adalah milik Sepanyol.
![]() |
| Paus Alexander VI |
PERJANJIAN TORDESILLAS
Portugal sama sekali
tidak berpuas hati dengan kandungan titah paus tersebut. Maka, mereka pun
mengadakan rundingan dengan Sepanyol dan seterusnya menandatangani Perjanjian
Tordesillas pada 7 Jun 1494. Perjanjian ini kemudian menerima persetujuan
daripada Paus Julius II pada 1506. Menurut perjanjian tersebut, dunia
dibahagikan kepada dua hemisfera yang masing-masing diperuntukkan kepada
Sepanyol dan Portugal.
Perjanjian ini
membolehkan kedua-dua kerajaan itu menakluki mana-mana tanah baru yang mereka
terokai (kecuali yang diperintah oleh kerajaan Kristian) – Sepanyol berkuasa di
barat manakala Portugal mendominasi timur. Rentetan itu, Sepanyol pun
menubuhkan koloni di Amerika Selatan sepanjang dekad-dekad berikutnya sambil
Portugal menakluki dunia timur. Namun, berlaku juga kes terpencil seperti
Brazil yang menjadi milik Portugal semasa ia diteroka pada tahun 1500,
memandangkan negara itu berada dalam separuh timur meridian.
GAJAH SAMA GAJAH BERPERANG,
PELANDUK MATI DI TENGAH-TENGAH
Kelemahan Perjanjian
Tordesillas semakin ketara pada tahun 1512 apabila Kepulauan Maluku diteroka
oleh Portugal. Walaupun Portugal mendakwa kepulauan itu sebagai milik mereka,
Sepanyol mengemukakan bantahan pada tahun 1521 rentetan ia berada dalam
hemisfera barat yang jika menurut perjanjian, ia jatuh di bawah lingkungan
kepemilikan Sepanyol. Peleraian konflik ini hanya dicapai pada tahun 1529
apabila Perjanjian Zaragoza ditandatangani.
Walaupun kedua-dua
perjanjian tersebut disepakati oleh Sepanyol dan Portugal, ia secara langsung
mengenepikan penglibatan kuasa-kuasa Eropah yang lain. Maka, mereka pun
menjalankan ekspedisi penerokaan yang tersendiri. Inggeris dan Belanda yang
mendiami Eropah Utara misalnya, berminat dengan idea untuk mencari laluan laut
ke timur di belahan utara Eurasia dan usaha itu dimulakan pada pertengahan
kurun ke-16 namun hanya menemuinya pada separuh kedua kurun ke-18 Masehi.
Selain Laluan Timur
Laut Untuk Ke Timur (dari Eropah Utara ke Asia), mereka turut mencari Laluan
Barat Laut Untuk Ke Timur (dari Amerika Utara ke Asia). Penerokaan kedua ini
dijalankan seawal kurun ke-16 dan hanya membuahkan hasil pada awal kurun ke-20.
![]() |
| Glob tahun 1765 oleh Guillaurne Delisle yang menunjukkan Laluan Barat Laut Untuk Ke Timur |
Sebagai penutup, walaupun Zaman Penemuan dianggap sebagai sebuah era kegemilangan orang Eropah, kisah yang berbeza berlaku bagi tamadun-tamadun yang berhadapan dengan mereka. Kebanyakannya berakhir dengan ditakluki oleh negara-negara Eropah, dan tidak kurang juga ada yang menerima nasib yang tragis. Hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam sejarah Empayar Aztec dan Inca. Sewaktu awal-awal ketibaan peneroka Sepanyol di Dunia Baru, kedua-dua tamadun itu merupakan tamadun yang sangat maju. Namun, masing-masing dihancurkan dalam tempoh yang sangat singkat.
Antara
faktor besar yang membolehkan conquistador-conquistador Sepanyol
menakluki tamadun-tamadun di Dunia Baru adalah penularan wabak yang dibawa dari
Eropah. Penyakit ini meragut banyak nyawa warga tempatan sekaligus mengurangkan
tenaga kerja dan menjejaskan semangat mereka. Senario tragis ini tidak terhenti
di situ. Dek kurangnya populasi tempatan untuk diperhambakan oleh penjajah
Sepanyol bagi mengusahakan tanah-tanah perladangan yang dibuka, habis
warga-warga Afrika yang turut menerima petaka penjajah Eropah dimangsakan
sebagai buruh abdi di Dunia Baru.
SUMBER
- Briney, A. 2019. A Brief History of the Age of Exploration.
- Flint, V.I. 2019. Christopher Columbus.
- McClure, J. 2018. Did the Age of Exploration bring more harm than good?
- Mitchell, J.B. 2020. The Age of Discovery.
- National Geographic. 2020. Jun 7, 1494 CE: Treaty of Tordesillas.
- New World Encyclopedia. 2015. Treaty of Tordesillas.
- New World Encyclopedia. 2017. Christopher Columbus.
- New World Encyclopedia. 2018. Mongol Empire.
- New World Encyclopedia. 2019. Portuguese Empire.
- New World Encyclopedia. 2019. Spanish Empire.
- Pariona, A. 2017. What Was the Age of Exploration or The Age of Discovery?
- The Mariners’ Museum & Park. 2020. Age of Discovery.
- Voorhies, J. 2002. Europe and the Age of Exploration.
- Historycrunch. 2020. Causes of the Age of Exploration.
- Get link
- X
- Other Apps







