- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Joshua J. Mark. (2 September 2009). Baalbek. Ancient History Encyclopedia.
https://ancient.eu/Baalbek/
Penterjemah: Amir Zayyanid
Baalbek merupakan
sebuah kota Phoenicia yang bertempat di Lebanon, Beirut moden, tepatnya di
Lembah Beqaa. Kota ini telah dihuni seawal tahun 9000 SM, dan semenjak zaman
silam lagi ia berfungsi sebagai lokasi kunjungan suci dalam tradisi pemujaan
dewa langit Baal dan pasangannya, Astarte si Ratu Kayangan dalam kepercayaan masyarakat
Phoenicia (nama ‘Baalbek’ membawa maksud Raja Baal dari Lembah Beqaa). Pusat
kota ini bertempat di sebuah kuil besar yang didirikan khusus untuk Astarte dan
Baal. Pada tempoh terkemudian, puing-puing kuil tersebut tertimbus di bawah
Kuil Jupiter yang dibina oleh tamadun Rom. Pada hari ini, kota Baalbek telah
pun disenaraikan oleh UNESCO sebagai sebuah Tapak Warisan Dunia.
BEBATUAN BAALBEK
Penelitian pakar mendapati berat batu-batu penjuru dari kuil awal di Baalbek mencecah lebih 100 tan sementara tembok-tembok penyokongnya pula masing-masing seberat 300 tan, sekaligus membuatkan ramai ahli arkeologi, saintis, dan sejarahwan moden dibelenggu persoalan tentang bagaimanakah batu-batuan itu dipindahkan, dari mana ia datang, dan bagaimana ia dibentuk sehingga menjadi sebahagian daripada kuil silam tersebut.
Pada hari ini, batu-batuan itu dan juga batu-batuan seberat
lebih 900 tan yang terletak kira-kira satu batu dari Baalbek dikenali sebagai
Bebatuan Baalbek dan dari semasa ke semasa, ia terus menjadi bahan perbincangan
dan penyelidikan khususnya tentang bagaimana ia dipindahkan dan disusun menjadi
kuil. Bangkit juga persoalan-persoalan lanjut seputar mengapa bebatuan itu
diperlukan di kuil berkenaan dan mengapa pula saiz tiang-tiang di kuil tersebut
lebih besar berbanding seperlunya.
![]() |
| Kuil Venus, Baalbek |
Pada tempoh
terkemudian, tamadun-tamadun pembina seperti bangsa Rom misalnya, menggunakan
bebatuan dari binaan awal tersebut sebagai foundasi asas bagi binaan kuil-kuil
mereka. Walau bagaimanapun, lokasi asal batu-batuan tersebut sama sekali tidak
dipindahkan. Berikutan ukuran berat dan isipadu bebatuan tersebut yang
melampaui akal munasabah, sebahagian pihak mengandaikan berlaku aktiviti
makhluk asing di Baalbek pada zaman silam. Malahan, ada juga yang beranggapan
kota tersebut kononnya adalah lokasi pendaratan kapal angkasa makhluk asing.
Bagaimanapun, teori sebegini tidak pernah diterima oleh lingkungan cendekia.
HELIOPOLIS
Pada tahun 334 SM,
Alexander Agung menakluki Baalbek dan menamakannya sebagai Heliopolis, atau
‘Kota Matahari’. Nama tersebut terus dikekalkan semasa Pompey Agung menguasai
rantau Phoenicia pada tahun 64 SM dan menjelang 15 SM, kota tersebut dijadikan
sebagai koloni Empayar Rom. Di bawah pemerintahan Rom, kota Baalbek menjalani
penaiktarafan secara meluas menerusi pelaksanaan banyak projek pembinaan
monumen, terowong, akueduk, dan rangkaian jalan. Pada era Septimus Severus
(193-211 M), kuil agung Jupiter Baal dibina (dianggap sebagai bangunan
keagamaan paling besar dan paling indah dalam sejarah Empayar Rom) dan sehingga
ke hari ini, runtuhannya masih boleh disaksikan.
Kota Baalbek terus
dijadikan sebagai destinasi kunjungan suci masyarakat umum sehinggalah
Constantine Agung mengiktiraf agama Kristian sebagai agama rasmi Empayar Rom
(bermula pada 313 M sejak pengeluaran Titah Milan). Semenjak itu, Baalbek pun
dikristiankan bagi menghindari nasib sama yang menimpa beberapa buah tapak
pagan yang dihancurkan atau ditinggalkan. Kuil Bacchus yang lebih besar
berbanding Parthenon di Athens misalnya, masih wujud sehingga kini dan kesemua
kompleks kuil Rom (baik kuil Jupiter, Bacchus, Venus, dan Mercury) dibiarkan
berdiri menggagahi kebangkitan agama Kristian lantaran fungsinya ditukar
sebagai gereja; hanya mezbah kuil Jupiter sahaja dihancurkan oleh Theodosius I.
Kuil-kuil tersebut terus memainkan kefungsiannya sebagai tempat ibadah penganut
Kristian sehinggalah ketibaan Arab-Muslim pada tahun 637 M.
![]() |
| Baalbek |
SEJARAH LANJUT
Di bawah pemerintahan
Islam, khususnya selepas kemenangan mereka ke atas Byzantine dalam Pertempuran
Yarmuk, kompleks kuil Baalbek ditukarkan namanya kepada Al-Qalaa (kubu).
Dinding-dindingnya diperteguh dan ciri pertahanan kuil-kuilnya diampuhkan. Di
tengah-tengahnya pula dibina sebuah masjid sambil unsur-unsur Kristian dibuang
dan dihancurkan.
Kota tersebut kemudian ditakluki oleh pasukan Byzantine pada tahun 748 dan 975 M, namun mereka tidak berupaya mengekalkan kekuasaannya buat tempoh yang lama. Selepas terselamat daripada gempuran Monggol dan serangan-serangan lain, Baalbek jatuh ke tangan Empayar Uthmaniyah dan pada zaman itulah, kota tersebut diabaikan sekaligus mengakibatkan bangunan-bangunannya rosak lalu runtuh. Kerosakan sedia ada kemudian diperparah oleh kejadian gempa bumi yang menimpa berkali-kali.
Untuk
tempoh masa yang panjang, tiada sebarang aktiviti dijalankan di kota berkenaan,
baik usaha pemeliharaan mahupun kerja-kerja penggalian, sehinggalah akhirnya
pada tahun 1898 M, Maharaja Wilhem II dari Jerman mengunjungi Baalbek dan
menghantar sepasukan ahli arkeologi untuk menjalankan ekskavasi di sana. Usaha
pasukan tersebut, serta pasukan-pasukan antarabangsa pada tempoh terkemudian,
berhasil memelihara kota Baalbek untuk kepentingan generasi akan datang.
DAFTAR PUSTAKA
- Baalbek – A Colossal Enigma.
- Baalbek: UNESCO.
- Places of Peace and Power: Baalbek.
- Durant, W. Our Oriental Heritage. Simon & Schuster. 1954.
- Worthington, I. Alexander the Great. Routledge. 2004.
- Get link
- X
- Other Apps


