- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (1 Januari 2017). Where Sumerian Rulers Lie: The Royal Tombs of Ur.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/where-sumerian-rulers-lie-royal-tombs-ur-007294
Penterjemah: Amir Zayyanid
Makam Diraja Ur
merupakan sebuah kompleks permakaman Sumeria yang berusia 4800 tahun, terdiri
dari kira-kira 2000 buah kubur yang bertempat di kota Ur, selatan Mesopotamia.
Enam belas buah kubur daripadanya dipercayai sebagai makam diraja memandangkan
ia mengandungi barangan-barangan mewah seperti manik-manik emas, relik-relik
gangsa, meterai-meterai silinderi, alat-alat muzik dan seramik, serta
artifak-artifak yang mempunyai kaitan dengan upacara keagamaan.
Kerja-kerja ekskavasi
ke atas kompleks permakaman ini dilakukan oleh seorang ahli arkeologi British,
Leonard Woolley pada tahun 1920an dan 1930an. Memandangkan usaha tersebut
dijalankan oleh pihak British, maka kebanyakan relik yang terkandung di dalam
kompleks berkenaan diangkut ke Muzium British London dan disimpan di sana,
bukannya di Iraq. Muzium Kebangsaan Iraq di Baghdad hanya menempatkan
sebilangan kecil sahaja sambil baki yang lain pula disimpan di Muzium Arkeologi
dan Antropologi Universiti Pennsylvania di Philadelphia.
![]() |
Leonard Woolley memegang sebuah artifak yang dipercayai sebagai kecapi milik ratu Sumeria |
PENEMUAN MAKAM-MAKAM UR
Leonard Woolley
memulakan eskavasi ke atas Kompleks Permakaman Diraja Ur pada tahun 1922 dan
menamatkan tinjauan awal pada tahun berikutnya untuk mula menjalankan kerja-kerja
penggalian sebuah parit berhampiran kawasan runtuhan ziggurat. Di situ dan
ketika itulah para petugas Woolley menemui barang-barang persemadian, perhiasan
emas, dan batu-batu berharga sekaligus membuatkan parit tersebut dipanggil
sebagai ‘parit emas’. Walau bagaimanapun, Woolley menundakan penggalian parit
tersebut memandangkan beliau dan pasukannya tidak mempunyai pengalaman yang
cukup untuk mengendalikan kerja-kerja ekskavasi di tanah perkuburan langka.
Oleh kerana itu, Woolley hanya menumpu pada kerja-kerja penggalian bangunan,
sebelum kembali mengusahakan ‘parit emas’ pada tahun 1926.
![]() |
Runtuhan kota Ur, selatan Iraq |
Hasil daripada usaha
Woolley itu, sebuah kompleks perkuburan yang mengandungi kira-kira 2000 buah
kubur berjaya ditemui sedikit demi sedikit. Kebanyakan kubur tersebut hanyalah
sekadar sebuah lubang biasa, yang di dalamnya dibaringkan sekujur jasad yang
dimuatkan ke dalam sebuah keranda tanah liat atau sekadar dibalut dengan
anyaman rumput mensiang. Sebahagian kubur malahan mempunyai beberapa buah
barang persemadian, seperti bekas seramik, barangan peribadi, dan barang
perhiasan.
MAKAM-MAKAM DIRAJA
Woolley turut menemukan
16 buah kubur yang agak menonjol berbanding kubur-kubur lain. Di kubur-kubur
tersebut, jasad si mati tidaklah dibaringkan di dalam lubang, sebaliknya
disemadikan di dalam makam batu dan ditemani sejumlah besar barang persemadian
yang mewah. Dijumpai juga bukti yang mengisyaratkan berlakunya upacara-upacara
tertentu yang diadakan khusus untuk si mati. Hal ini mendorong pihak penyelidik
untuk menyimpulkan bahawa ia adalah makam raja-raja Mesopotamia.
Antara makam diraja
yang kelihatan paling unggul adalah makam PG 800 milik seorang ratu yang
bernama Puabi, Nama pemilik makam tersebut dapat diketahui menerusi sebuah
meterai silinder yang disemadikan bersamanya, di mana menterai silinder
berkenaan ada mencatatkan nama beliau (dalam bahasa Sumeria dan diukir dalam
tulisan kuneiform). PG 800 dianggap unik bukan semata-mata kerana nama
pemiliknya diketahui, akan tetapi kerana ia berada dalam keadaan yang sempurna
dan bebas dari menjadi mangsa rompakan.
![]() |
Replika kelengkapan kepala dan rantai leher Sumeria yang ditemui di makam Puabi, disimpan di Muzium British |
![]() |
Kecapi ‘Kepala Kerbau dari makam Ratu Puabi, Muzium British |
![]() |
Meterai silinder ratu Puabi |
Puabi ditemui di atas
sebuah rangka keranda kayu (disebut sebagai bier) yang ditempatkan di
dalam sebuah bilik kebal. Antara barang persemadian yang ditemui
bersamanya adalah kelengkapan kepala yang dihiasi dedaunan emas, reben-reben
emas, kepingan lapis lazuli dan manik-manik akik, sepasang anting-anting
berbentuk bulan sabit yang bersaiz besar, dan cincin-cincin pada jemarinya.
Ditemui juga sebuah lubang yang di dalamnya terdapat rangka lima orang lelaki
bersenjata, empat orang penjaga kerbau, tiga orang pelayan lelaki, dan dua
belas orang pelayan wanita. Pakar meyakini bahawa kesemua mereka adalah mangsa
ritual yang dikorbankan khusus untuk ratu Puabi.
KOTAK METERAI UR
Dalam sebuah makam
lain, dijumpai sebuah objek yang dianggap signifikan walaupun kefungsian
sebenarnya masih belum dikenal pasti. Artifak ini dikenali sebagai Kotak
Meterai Ur. Artifak ini berbentuk sebuah kotak kayu yang dipercayai sebagai
mohor ketenteraan. Selain diperindah dengan lapis lazuli, cengkerang, dan batu
kapur berwarna merah, kotak itu juga dihiasi dengan lukisan yang menggambarkan
sekumpulan manusia sedang mengangkut barangan dan menuntun haiwan-haiwan
gembalaan menuju ke seorang individu penting yang sedang duduk bersemayam dalam
sebuah jamuan sambil ditemani oleh beberapa orang pelayan dan ahli muzik. Di
sebelah lain kotak itu pula menggambarkan sekumpulan lelaki yang menaiki pedati
menginjak di atas tubuh-tubuh manusia yang sedang tunduk sujud dan sekumpulan
tentera yang sedang menghambat tawanan perang ke arah seorang lagi individu
penting. Walau bagaimanapun, kefungsian dan kandungan kotak tersebut masih
belum diketahui.
![]() |
Gambaran pada Kotak Meterai Ur |
SUMBER
- Department of Ancient Near Eastern Art, The Metropolitan Museum of Art, 2008. Ur: The Royal Graves.
- Iraq’s Ancient Past: Rediscovering Ur’s Royal Cemetery, 2016. Challenging Theories.
- Iraq’s Ancient Past: Rediscovering Ur’s Royal Cemetery. 2016. The Royal Cemetery.
- State Board of Antiquities & Heritage, Iraq. 2016. Iraq(‘)s Ancient Past: Rediscovering Ur(‘)s Royal Cemetery.
- Sumerian Shakespeare. 2016. The Royal Tombs of Ur.
- The University of Tennessee, Knoxville, 1999. Treasures from the Royal Tombs of Ur.
- World Archaeology. 2011. Royal Tombs of Ur.
- Zettler, R.L. 2014. Treasures From the Royal Tombs of Ur.
- Get link
- X
- Other Apps