- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (13 April 2015). The Ancient Tuaregs, Lost Lords of the Sahara.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/ancient-tuaregs-lost-lords-sahara-002900
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Gurun Sahara merupakan
gurun terbesar di dunia. Dengan luas keseluruhannya mencecah 9.4 juta kilometer
persegi, Gurun Sahara meliputi hampir
keseluruhan rantau Afrika Utara. Memandangkan gurun ini menerima curahan hujan
pada paras purata kurang 3cm dalam tempoh setahun dan sungai-sungainya pula
(selain Nil) mengalir mengikut musim, maka kehidupan di sini sangat sukar untuk
dijalankan. Walau bagaimanapun, terdapat juga kelompok masyarakat yang mendiami
Gurun Sahara dan antaranya adalah suku Tuareg, suku yang sejarahnya boleh
dijejak pada ribuan tahun yang lampau.
Menurut suatu sumber,
perkataan ‘Tuareg’ merupakan variasi sebutan bagi sebuah perkataan berbahasa
Arab yang membawa maksud ‘ditinggalkan oleh Tuhan’. Ada juga sumber yang
mengatakan kononnya nama tersebut diambil daripada Targa, sebuah kota yang
terletak di Fezzan. Masyarakat Tuareg sendiri kurang menggemari nama tersebut,
dan mereka lebih cenderung menamakan diri sebagai ‘Imashaghen’ atau Imohag
yangmembawa maksud ‘manusia bebas’.
Sejarahwan Yunani kurun
ke-5 SM, Herodotus, mencatatkan bahawa pada masa itu, wilayah selatan Libya
dihuni oleh sebuah masyarakat yang dikenali sebagai Garamantes. Kononnya,
daripada Garamantes inilah lahirnya suku Tuareg. Menurut kisah rakyat Tuareg,
asal-usul leluhur mereka dikembalikan kepada satu sosok yang dikenali sebagai
Ratu Tin Hinan dan pembantu peribadinya, Takamet. Kedua-dua tokoh ini
dipercayai hidup pada kurun ke-3 atau ke-4 Masehi. Sewaktu Arab-Muslim membuka
Maghreb (sebelah barat rantau Afrika Utara) pada kurun ke-7 Masehi, Tuareg mula
berpindah ke barat daya. Menjelang kurun ke-11, mereka sudah pun tiba di Niger
dan menubuhkan kota Timbuktu. Kehadiran suku Tuareg di rantau berkenaan memberi
tekanan yang besar terhadap suku-suku tempatan, yang kemudiannya diusir jauh ke
selatan.
![]() |
Suku Tuareg berpakaian tradisional di padang pasir Mali |
Memasuki kurun ke-14,
suku Tuareg memeluk agama Islam dan kekal menganut agama tersebut sehingga ke
hari ini. Mereka terlibat secara langsung dalam aktiviti-aktiviti perdagangan
di rantau Sahara, di mana barangan seperti emas, garam, dan hamba sahaya
berkulit hitam lazim singgah di kota-kota mereka semasa dalam perjalanan menuju
ke pantai Afrika Utara, Eropah, dan Levant. Menjelang kurun ke-19, rantau
Afrika Utara menerima kehadiran sebuah kuasa asing, iaitu Perancis. Pada
mulanya, Perancis tidak berminat untuk mengambil wilayah-wilayah di Sahara
sebagai koloni mereka. Namun, persaingan dengan Great Britain dan kuasa-kuasa
Eropah yang lain dalam berebutkan Afrika pada penghujung kurun ke-19 dan awal
ke-20 mendorong mereka untuk menakluki wilayah-wilayah yang dikuasai oleh suku
Tuareg.
Tentunya, penjajahan
Perancis ini ditentang dan dasar-dasar mereka ditolak oleh penduduk tempatan.
Antara dasar yang dimaksudkan termasuklah pengeksploitasian tenaga kerja dan
sumber asli yang dimiliki oleh suku Tuareg, pengerahan tenaga manusia secara
paksa ke dalam pasukan tentera, penetapan cukai-cukai yang tinggi, dan
pengharaman tradisi dan budaya suku Tuareg seperti mewarisi hamba sebagai harta
pusaka dan tradisi menyerang suku-suku jiran. Sebagai bukti penentangan, suku
Tuareg pun melancarkan serangan ke atas kepentingan-kepentingan Perancis demi
merebut kembali kemerdekaan mereka. Namun malangnya, usaha tersebut tidak
berhasil.
![]() |
Lukisan dari Perancis yang menggambarkan seorang lelaki dari Timbuktu yang mengenakan pelitup muka, c. 1890 |
Pada tahun 1960,
Perancis mula memberikan kemerdekaan kepada wilayah-wilayah koloni mereka di
Afrika Barat. Justeru, banyak negara di sekitar Sahara mula membangun, kecuali
wilayah suku Tuareg. Hal ini membangkitkan kemarahan mereka sekaligus
mengakibatkan berlakunya penentangan pada tahun 1963, yang kali ini dihalakan
kepada negara Mali yang ketika itu baru sahaja terbentuk. Penentangan tersebut
berjaya dihentikan pada lewat 1964, namun ia berlaku sekali lagi pada 1990an
memandangkan permintaan mereka tidak diendahkan oleh pihak kerajaan Mali.
Penentangan yang sama turut berlaku di Niger, di mana usaha-usaha awal untuk
mengintegrasikan suku Tuareg ke dalam negara baru tersebut berakhir dengan sia-sia
apabila berlaku pertukaran rejim pada tahun 1974. Rundingan demi rundingan
dilakukan pada tahun 1995, namun tanpa hasil. Pada hari ini, perjuangan suku
Tuareg untuk memperoleh kemerdekaan masih berlanjutan.
SUMBER
- Africa.si.edu. 2015. Who are the Tuareg?
- Devon DB. 2013. The Crisis in Mali: A Historical Perspective on the Tuareg People.
- Gwin, P. 2011. Lost Lords of the Sahara.
- Tuaregs.free. 2015. Touaregs.
- Bradshawfoundation. 2011. The Tuareg of the African Sahara.
- Minority Rights. 2008. Tuareg.
- Zimmermann, K.A. 2012. The Sahara: Facts, Climate and Animals of the Desert.
- Get link
- X
- Other Apps