- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (4 Julai 2018). Aztec Leaders: Rulers, Supreme Ruler and the Voice
of the People. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/tlatoani-0010318
Penterjemah: Amir Zayyanid
Tlatoani
merupakan individu yang menduduki puncak hierarki dalam sesebuah altepetl (negara-kota)
Aztec. Dalam bahasa Nahuatl, tlatoani bermaksud ‘dia yang bercakap’.
Walaupun tlatoani mempunyai beberapa hak keistimewaan berbanding
individu-individu lain, beliau juga memikul tanggungjawab untuk memerintah
rakyat dan mewakili suara mereka. Walaupun setiap negara-kota Aztec mempunyai tlatoani
masing-masing, sejak penubuhan Empayar Aztec pada tahun 1430 M lagi raja-raja
Tenochtitlan menyandang gelaran ‘Huey Tlatoani’ yang bermaksud ‘Tlatoani
Agung’ sekaligus menjawat kedudukan sebagai pemerintah tertinggi dalam empayar.
![]() |
Acamapichtli, tlatoani Tenochtitlan yang pertama, sebagaimana yang digambarkan dalam Kodeks Tovar |
PROSES PELANTIKAN TLATOANI
Jawatan tlatoani
bersifat warisan, memandangkan ia dikekalkan dalam jalur-jalur keluarga
tertentu dalam setiap negara-kota Aztec. Hal ini penting kerana masyarakat
Aztec mempercayai bahawa seseorang tlatoani itu dikurniakan mandat untuk
memerintah hanya kerana beliau mempunyai darah yang layak. Bagaimanapun,
kedudukan ini tidaklah diwariskan secara langsung dari bapa kepada putera. Akan
tetapi, ia dipilih oleh sebuah lembaga penasihat kota dan sejurus selepas
calonnya dilantik, beliau dituntut untuk berkhidmat sehingga akhir hayat.
Namun, lembaga penasihat ini juga mempunyai hak untuk menggugurkan gelaran tlatoani
seandainya beliau didapati tidak berkebolehan untuk memerintah.
Setelah seseorang tlatoani
itu ditabalkan, sebuah upacara pemahkotaan akan diadakan. Bagi huey tlatoani,
upacara tersebut dilangsungkan selama beberapa tempoh dan merangkumi beberapa
bahagian, di mana setiap bahagian berfungsi untuk mempersiapkan tlatoani
sebelum menggalas tanggungjawabnya secara rasmi.
Bahagian pertama
upacara pemahkotaan tersebut lebih bercirikan keagamaan dan melibatkan
pengasingan diri sambil berpuasa dan bermuhasabah. Di samping itu, sepanjang
berlangsungnya bahagian pertama ini juga huey tlatoani akan melakukan
kunjungan-kunjungan hormat ke kuil suci Huitzilopochtli, membakar setanggi, dan
melangsungkan upacara menumpahkan dan menadah darah raja, kononnya bagi
memperoleh pengiktirafan dewa-dewa.
![]() |
Lukisan dari artisan Eropah yang menggambarkan sebuah kuil Aztec, diambil dari ‘Americae, nona et postrema pars’ (1602). Imej Huitzilopochtli turut terselit di bahagian belakang lukisan ini |
Bahagian ketiga upacara
pemahkotaan ini pula adalah upacara ‘perang pemahkotaan’ yang direka khusus
untuk menguji kegagahan huey tlatoani dalam medan tempur. Dalam upacara
ini, beliau dituntut supaya turun ke medan perang bagi mendapatkan ufti dari
wilayah-wilayah taklukan dan menangkap sebanyak mungkin tahanan-tahanan perang
untuk dikorbankan semasa kelangsungan pesta pengesahan. Huey tlatoani
Aztec yang terunggul, iaitu Ahuitzotl, dicatatkan berjaya menangkap seramai 80
400 orang tahanan perang. Sementara itu, Tizoc pula hanya mampu menangkap 40
orang sahaja sekaligus menandakan bahawa beliau tidak layak untuk memerintah.
![]() |
Ahuitzotl (ditulis di sini sebagai Ahuitzotzin, sebagai panggilan hormat), sebagaimana yang dilukiskan di dalam Kodeks Mendoza |
Keadaan ini menunjukkan
betapa bakat kepimpinan khususnya di medan perang merupakan antara ciri paling
penting yang menentukan kelayakan seseorang tlatoani. Bagi masyarakat
Aztec, matlamat peperangan bukan sekadar untuk memperoleh ufti dan
memperluaskan wilayah taklukan, akan tetapi turut bertujuan untuk mengekalkan
kitaran alam semesta. Mereka percaya bahawa manusia perlu sentiasa dikorbankan
demi menenteramkan dewa-dewa sekaligus menjamin kelangsungan alam semesta.
Mangsa-mangsa korban ini kebiasaannya diambil dari tahanan perang, sekaligus
hal tersebut menyuntik nuansa kesucian dalam setiap peperangan mereka.
TANGGUNGJAWAB TLATOANI
DAN BARISAN PEMBANTUNYA
Tlatoani
juga bertanggungjawab dalam beberapa hal lain. Misalnya, dalam hal pentadbiran
negara-kota, atau bagi huey tlatoani, empayar. Mereka juga berperanan
sebagai pendeta tertinggi, pengutip ufti dari wilayah-wilayah taklukan, dan
pelerai dalam sebarang urusan kehakiman. Tlatoani menyandang kuasa
mutlak dan dianggap sebagai wakil pemerintah yang diutus oleh dewa-dewa. Namun,
hal ini tidaklah menghalang tamadun Aztec untuk membentuk struktur pentadbiran
yang tersusun rapi.
![]() |
Tugu Cuauhtemoc, tlatoani terakhir Aztec |
Misalnya, seseorang tlatoani
itu dibantu oleh orang kanan yang disebut sebagai cihuacoatl (bermaksud
‘wanita ular’, walaupun hakikatnya jawatan ini lazimnya disandang oleh kaum
lelaki). Cihuacoatl bertanggungjawab menguruskan hal-ehwal pentadbiran
dari sehari ke sehari, sekaligus menjadikan beliau sebagai seorang individu
yang berpengaruh. Apapun, tetap juga setiap tindakannya memerlukan restu dan
perkenan daripada huey tlatoani.
Selain cihuacoatl,
seseorang pemerintah Aztec turut dibantu oleh ‘Lembaga Empat Penasihat’ yang
dianggotai oleh empat orang pembesar yang masing-masing merupakan penasihat
merangkap calon pengganti tlatoani.
SUMBER
- Aguilar-Moreno, M. 2006. Handbook to Life in the Aztec World. Oxford: Oxford University Press.
- Aztecsrcool. 2018. Positions of Power.
- Tarlton Law Library. 2018. Aztec Political Structure.
- The University of Sheffield. 2018. Divine meritocracy of the tlatoani.
- Ancient Pages. 2016. Aztec Empire: ‘Tlatoani’ – The Ruler With The Ultimate Power In The Land.
- Get link
- X
- Other Apps