- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tana Toraja merupakan
sebuah daerah yang terletak di Sulawesi Selatan. Rupa buminya yang diperindah
dengan gunung-ganang menjadi permukiman bagi sebuah kumpulan masyarakat yang
dikenali sebagai etnik Toraja.
Mereka pada asalnya
mendiami desa-desa autonomi, di mana mereka bebas mengamalkan kepercayaan
animisme. Berkurun-kurun lamanya etnik Toraja mengamalkan kepercayaan
sedemikian, sebelum suasana kehidupan tersebut dicemari mubaligh-mubaligh
Kristian dari Belanda sekitar awal kurun ke-20.
Populasi keseluruhan
etnik Toraja dianggarkan seramai 650,000 orang, dengan 450,000 daripadanya
masih menetap di daerah Tana Toraja. Kebanyakan mereka menganut agama Kristian,
sambil sebahagian yang lain berpaut pada ajaran Islam. Namun, wujud juga
minoriti yang masih mengekalkan kepercayaan tradisi yang dikenali sehingga hari
ini sebagai Aluk Todolo (‘Jalan Leluhur’).
![]() |
| Lokasi Tana Toraja |
Kepercayaan tradisi ini
paling jelas diamalkan dalam istiadat persemadian dan pesta kematian yang
diperakui sebagai istiadat kematian yang paling rumit di dunia. Sememangnya,
etnik Toraja banyak memusatkan kehidupan mereka pada hal-ehwal kematian dan persemadian.
Kematian, menurut mereka, adalah sebuah keraian besar yang harus disambut oleh
seluruh keluarga terdekat dan masyarakat setempat.
Mereka sanggup
berhempas-pulas membanting tulang empat kerat dan bermandi keringat bagi
mengumpulkan harta semata-mata untuk menyimpan wang bagi membiayai upacara persemadian
yang mewah. Tidak seperti kita yang berbangga dengan majlis perkahwinan
gilang-gemilang, etnik Toraja unik dengan majlis kematian dan persemadian yang
diadakan secara besar-besaran.
Ia kebiasaannya
diadakan berminggu-minggu, berbulan-bulan, atau bahkan ada juga bertahun-tahun
sesudah berlalunya kematian. Panjangnya tempoh penangguhan ini bergantung
kepada berapa lama masa yang diambil oleh keluarga si mati untuk menyediakan
perbelanjaan yang mencukupi.
Ramai juga yang tega
berhutang dan ada juga yang rela menangguh atau membatalkan perkahwinan jika
pihak lelaki mendapati keluarga pihak perempuan mempunyai anggota keluarga yang
sudah terlalu lanjut usianya – bimbang kalau-kalau mereka pula yang terpaksa
menanggung beban perbelanjaan bagi mengadakan upacara kematian dan
persemadiannya.
Dalam tradisi leluhur
etnik Toraja, setiap kematian akan disusuli oleh suatu istiadat yang disebut
sebagai Rambu Solo. Istiadat ini memakan belanja yang sangat besar, justeru
kebiasaannya memakan masa yang bukan sebentar. Sementelahan, selagimana
istiadat ini tidak diselesaikan, selagi itu jugalah si mati dianggap belum
benar-benar mati. Sekadar sakit atau lena tertidur.
![]() |
| Ritual ma’nene di mana pakaian mayat digantikan |
Dalam keadaan
sedemikian, si mati dibiarkan tidak dikebumi dan hanya diawet dan diletakkan di
suatu ruangan dalam rumah yang dihuni oleh ahli keluarganya. Mereka bahkan akan
melayan si mati seumpama manusia hidup – diberi makan dan pakaian, dijaga siang
dan malam, dan dibawa berjalan-jalan mengelilingi perkampungan.
Istiadat Rambu Solo
kebiasaannya dimulakan dengan acara mengorbankan kerbau di lapangan terbuka,
sambil dihadiri oleh seluruh warga kampung. Korban ini bertujuan mempercepatkan
perjalanan si mati menuju negeri abadi (disebut sebagai puya),
menenteramkan kehidupannya di sana, dan bahkan menjadi haiwan gembalaannya
kelak.
![]() |
| Tanduk kerbau yang dikorbankan biasanya dipamerkan sebegini di rumah keluarga si mati |
Kononnya, semakin
banyak haiwan yang dikorbankan, semakin cepat, tenteram, dan mewahlah kehidupan
si mati nanti. Bagaimanapun, sebelum dikorbankan, kerbau-kerbau ini dilagakan
dalam satu upacara yang disebut sebagai tedong silaga.
Usai upacara korban,
daging-daging kerbau tersebut kemudiannya diagihkan kepada warga kampung dengan
kadarnya bergantung pada darjat dan kedudukan masing-masing. Bagi menjamu
tetamu-tetamu yang hadir, khinzir turut ditumbangkan dan dagingnya dihidangkan.
Hanya pada hari
kesebelas setelah bermulanya istiadat Rambu Solo, barulah jasad akan
disemadikan – bukan di dalam tanah, tetapi di sisi bukit atau gunung batu yang
dilubangi (seakan gua). Sebelum itu, mereka akan menyediakan keranda kayu
(disebut sebagai tau tau) yang diukir rapi mengikut bentuk tubuh si
mati. Tau tau ini kemudian diletakkan secara menegak.
![]() |
| Tau tau tempat bersemadinya etnik Toraja |
Sementara itu di
kampung Ke’te’ kesu’, kaedah persemadiannya sedikit berbeza. Jasad si mati
disemadikan di dalam keranda kayu yang dibiarkan tergantung di sisi bukit atau
gunung batu. Seiring peredaran waktu, keranda kayu tersebut akan mereput sekali
gus mendedahkan rangka mayat.
Paling aneh, adalah
persemadian buat bayi. Tempat peristirehatan terakhir mereka bukanlah di dalam
tanah, di sisi bukit, apalagi di dasar laut. Akan tetapi, di dalam batang pokok
yang sedang tumbuh meninggi. Lubang-lubang yang terdapat pada batang pokok
tersebut kemudian ditutupi oleh dedaunan kelapa. Mereka percaya bahawa roh bayi-bayi
ini nantinya bersatu dengan pokok tersebut.
![]() |
| Kiri: Keranda kayu tergantung di kampung Ke’te’ Kesu’. Kanan: Pokok tempat bersemadinya bayi etnik Toraja |
Apapun, pada setiap
Ogos akan diadakan satu upacara yang disebut sebagai Ma’Nene (Upacara
Memandikan Mayat). Dalam upacara ini, mayat si mati akan dikeluarkan semula
daripada keranda lalu dibersihkan, didandan, dan dipakaikan dengan pakaian
baru. Keranda yang rosak pula diperbaiki atau diganti. Setelah semuanya
selesai, mayat si mati akan dibawa berjalan-jalan mengelilingi kampung lalu
disemadikan semula seperti sebelumnya.
Sehingga hari ini, Tana
Toraja dianggap sebagai destinasi pelancongan kedua paling masyhur di
Indonesia, menyusuli Bali. Bagaimanapun, sektor pelancongan di Tana Toraja
boleh diibaratkan seperti serampang dua mata. Kemasukan pengunjung-pengunjung
asing sememangnya memacukan lagi ekonomi tempatan dan menggalakkan masyarakat
setempat untuk terus menghidupkan tradisi lama.
![]() |
| Selain mempunyai budaya yang unik, Tana Toraja juga diperkaya dengan pemandangan alam yang indah belaka |
Namun, pengaruh luar
yang kian menekan saban tahun dijangka bakal menjejaskan budaya yang telah
diwarisi sejak 700 tahun lampau itu. Tambahan, pihak pemaju seringkali
mengeksploitasi masyarakat tempatan demi kepentingan peribadi. Banyak barangan
berharga, seperti tau tau, dijual dan diseludup – saling tidak tumpah
seperti yang lazim berlaku pada artifak-artifak di Mesir Purba.
Walaupun keadaannya
masih belum pada tahap yang membimbangkan, sedikit-sebanyak ia menerbitkan
kegusaran jua. Lebih-lebih lagi, tradisi Toraja ini diperakui sendiri oleh
UNESCO sebagai suatu khazanah berharga yang tidak dapat ditemukan di mana-mana
belahan dunia. Kata pujangga, “Gadai terdorong ke pajak, sehari sebulan juga.”
TERJEMAHAN
April Holloway. (24 Januari 2014). The Toraja people and the most complex
funeral rituals in the world. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/toraja-people-and-most-complex-funeral-rituals-world-001268
RUJUKAN
- Kelli Swazey: Life that doesn't end with death – TED Talk
- Ethnic Tourism and the Regeneration of Tradition in Tana Toraja – by Kathleen Adams
- Manipulating Ethnic Tradition: The Funeral Ceremony, Tourism, and Television about the Toraja of Sulawesi – by Shinji Yamashita
- Tana Toraja Traditional Settlement - UNESCO
- Tana Toraja, An Island with the unique culture and traditions
- Toraja’s elaborate funeral ceremonies – Wonderful Indonesia
- The fascinating burial rituals of Tana Toraja, South Sulawesi, Indonesia
- Tana Toraja – TravelPod
- Get link
- X
- Other Apps







