- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Mahavamsa (atau Hikayat
Agung) merupakan salah sebuah karya sastera silam yang paling penting dari Sri
Lanka. Ia berbentuk sebuah epik puisi dan dikarang pada kurun kelima atau
keenam Masehi. Mahavamsa ditulis dalam bahasa Pali dan kandungannya berkisar
seputar sejarah awal Sri Lanka. Lebih tepat, ia banyak menyentuh perihal
sejarah Buddhisme dan pergantian dinasti di sana.
Mahavamsa umumnya
dikreditkan kepada Mahanama Maha Thera, seorang sami Buddha yang berkhidmat di
kuil Mahavihara, Anuradhapura. Beliau juga merupakan bapa saudara kepada
Dhatusena, raja Sri Lanka yang memerintah pada pertengahan kurun kelima Masehi.
Boleh dikatakan,
Mahavamsa banyak dipengaruhi oleh Dipavamsa (Hikayat Pulau) yang disusun lebih
awal, iaitu sekitar kurun keempat Masehi. Kandungannya juga banyak diambil
daripada penceritaan yang disampaikan secara lisan, dari seorang sami ke
seorang sami yang lain.
Secara keseluruhan,
Mahavamsa mengandungi 37 bab. Ia bermula dengan kisah Buddha mengunjungi Sri
Lanka sebanyak tiga kali. Alkisah, Buddha meramalkan yang Sri Lanka bakal
menjadi pusat keagamaan yang penting. Justeru, beliau sendiri datang melawat
tempat tersebut.
![]() |
Mahavamsa dimulakan dengan kisah kunjungan tiga kali Buddha ke Sri Lanka |
Sepengetahuannya, Sri
Lanka ketika itu dihuni oleh Yaksha (semangat alam) yang perlu diusir sebelum
pulau itu dapat memenuhi takdirnya. Empat bab berikutnya menceritakan perihal
susur galur Buddha dan tiga Persidangan Penganut Buddha terawal, yang
berlangsung di tanah besar India.
Usai empat bab
berkenaan, penumpuan Mahavamsa dicurahkan kembali pada Sri Lanka. Catatan
perihal penubuhannya turut disediakan. Mahavamsa mengaitkan sejarah awal Sri
Lanka dengan seorang putera India yang bernama Vijaya.
Darah kerabat Vijaya
bermula daripada neneknya, yang merupakan puteri kepada raja Vanga.
Diceritakan, nenek Vijaya bersemenda dengan seekor singa sebagaimana menurut
ramalan ahli nujum. Hasil persatuan itu, beliau melahirkan sepasang bayi kembar
– anak lelaki dinamakan Sihabahu manakala anak perempuan dinamakan Sihasivali.
Sihabahu kemudiannya
menubuhkan kota Sihapura dan menjadi raja pertamanya. Sihasivali turut
dikahwini. Lalu, mereka berdua dikurniakan 16 kembar lelaki. Anak paling sulung
diberi nama Vijaya. Namun sebaik usianya menginjak dewasa, Vijaya berkelakuan
tidak senonoh. Hal ini diadukan oleh rakyat Sihapura kepada Raja Sihabahu.
Tiga kali mereka datang
menghadap raja. Tiga kali juga raja menasihati puteranya. Namun, tiga kali itu
jugalah Vijaya buat tak endah – Ibarat mencurah air ke daun keladi. Dek pujuk
katanya sekadar masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri, Raja Sihabahu pun
mengusir Vijaya bersama anak isteri serta 700 orang pengikutnya dari Sihapura.
![]() |
Dinasti Vijaya dipercayai sebagai dinasti pertama yang menubuhkan monarki Sri Lanka, sekitar 543 SM dan menjadi leluhur kepada etnik Sinhala |
Kapal yang mengangkut
mereka lantas meredah lautan, lalu berlabuh di Sri Lanka. Vijaya kemudian
menum-bangkan kesemua yaksha di sana lalu menabalkan diri sebagai raja. Semenjak
itu, mahkota tidak hanya menghiasi kepala, tetapi juga hatinya. Vijaya tidak
lagi berkelakuan buruk. Beliau memerintah dengan adil dan saksama. Sehingga
hari ini, etnik Sinhala mengembalikan leluhur mereka kepada Vijaya dan 700
pengikutnya yang berhijrah dari Sihapura.
Bab-bab selanjutnya di
dalam Mahavamsa berbicara tentang raja-raja yang menggantikan Vijaya. Pada
kurun ketiga Masehi, Sri Lanka ditadbir oleh Devanampiyatissa. Ketika inilah
ajaran Buddha memasuki pulau berkenaan. Individu yang menyebarkan ajaran itu
tidak lain ialah Mahinda, putera sulung Ashoka si maharaja Empayar Maurya.
Dalam bab-bab yang
menyusul, isi kandungan Mahavamsa lebih terarah kepada perkembangan Buddhisme
dan perincian tentang dinasti-dinasti yang mentadbir Sri Lanka. Bab terakhirnya
pula bercerita tentang era pemerintahan Mahasena yang berkuasa sekitar kurun
ketiga hingga keempat Masehi. Sejarah Sri Lanka dari kurun keempat hingga tahun
1815 kemudian dihikayatkan di dalam Culavamsa (Hikayat Kecil).
![]() |
Puing run-tuhan istana Mahasena (c. kurun ke-3 M), raja terakhir yang dikisahkan di dalam Mahavamsa |
Pada hari ini,
Mahavamsa masih diperakui sebagai salah sebuah karya sastera penting dari Sri
Lanka. Cuma, ia sedikit-sebanyak tersepit dalam kancah percakaran antara etnik
yang membelenggu negara tersebut.
Di satu sisi, Mahavamsa
diangkat tinggi oleh etnik Sinhala yang memandangnya sebagai asal-usul sejarah
dan identiti mereka. Bahkan, tidak kurang juga ada yang memartabatkannya
sebagai pengukuh identiti bangsa.
Namun di sisi lain,
wujud penolakan terhadap Mahavamsa dalam kalangan kumpulan etnik lain di Sri
Lanka, khususnya Tamil yang membentuk minoriti paling besar di sana. Kritikan
yang dilemparkan bukan sekadar membidas nilai Mahavamsa sebagai sebuah karya
sastera, akan tetapi apa yang lebih utama, ia secara langsung menye-rang
identiti Sinhala.
Kri-sis tuntut-menuntut,
kecam-mengecam, dan seleweng-menyeleweng dalam bab sejarah terus-menerus
mengeruhkan keharmonian masyarakat yang telah lama bermastautin di Sri Lanka.
Percakaran inilah antara faktor yang mendasari kon-flik bersen-jata yang berlaku
di sana – satu pelajaran yang harus diiktibari oleh kita semua.
TERJEMAHAN
Wu Mingren. (6 Februari 2019). The Mahavamsa: An Epic Poem that Sheds Light
on Sri Lankan History. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/mahavamsa-0011436
- Get link
- X
- Other Apps