- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Acta Diurna
(bermaksud ‘Aktiviti Seharian’ dalam Bahasa Latin) merupakan notis atau akhbar
harian yang ditampal di tempat-tempat awam di kota Rome purba. Dicatatkan, Acta
Diurna diasaskan oleh Julius Caesar sewaktu era Republik Rom, yakni sekitar
kurun pertama Sebelum Masehi.
Namun, ada juga
sejarahwan yang berpandangan ia muncul buat pertama kali sejak 131 SM. Pada
masa itu, kandungan berita Acta Diurna masih lagi diukir pada batu.
Memandangkan pembaca
sasarannya adalah masyarakat umum, maka ia ditempatkan di kawasan khalayak
seperti forum, pasar, atau rumah mandi. Mulanya, kandungan yang dimuatkan di
dalam Acta Diurna meliputi berita-berita penting seperti keputusan
mahkamah atau penggubalan undang-undang baharu.
Seiring peredaran
waktu, rangkuman topiknya semakin meluas dan meliputi perkara-perkara seperti berita
kemenangan pasukan ten.te.ra, berita sukan, harga bijirin, dan juga berita
tentang kelahiran, kema.tia.n atau perkahwinan orang-orang penting.
Adakalanya, ia turut
memuatkan berita gosip sebagai bahan untuk membawang. Kebiasaannya, topik yang
menjadi buah mulut adalah berkenaan kisah perjalanan orang-orang tersohor di
kota Rome yang singgah ke kota-kota lain.
Memasuki kurun pertama
Sebelum Masehi, akhbar Acta Diurna tidak lagi diukir pada batu.
Kandungannya mula ditulis tangan pada helaian kertas atau lembaran papirus. Lokasi
penyiarannya masih sama dan setelah berlalu beberapa hari, ia akan diturunkan
dan disimpan di dalam arkib. Cuma, sifat papirus yang tidak tahan lama
membuatkannya hilang dimamah zaman dan tidak dapat diwarisi untuk tatapan
generasi hari ini.
Kewujudan Acta
Diurna sememangnya diketahui secara meluas pada zamannya. Orang-orang kaya dan
gabenor-gabenor wilayah yang menetap di luar kota Rom selalunya mengutus
jurutulis peribadi ke kota tersebut untuk mendapatkan edisi terkini Acta
Diurna. Kandungannya disalin lalu disebarkan ke tempat masing-masing.
Dengan cara sedemikian,
masyarakat Rome secara keseluruhannya menerima makluman perihal isu-isu semasa
yang berlaku di ibu kota empayar. Oleh kerana itu jugalah, Acta Diurna dianggap
sebagai pencetus kepada konsep akhbar harian seperti yang kita kenali kini.
Pada zamannya, Acta
Diurna turut dijadikan sebagai sumber rujukan buat penulis-penulis silam.
Suetonius yang mengarang The Lives of the Twelve Caesars misalnya,
banyak bersandar pada Acta Diurna bagi mendapatkan maklumat berkaitan
tarikh dan tempat berlakunya kelahiran, kematian, dan peristiwa-peristiwa
penting lain. Begitu juga dengan Pliny the Elder yang mengarang Natural
History. Anekdot-anekdot yang tercantum di dalam karyanya antara lain
bersumber daripada rencana keluaran Acta Diurna.
Bagaimanapun, ada juga
penulis yang tidak bersandar pada akhbar tersebut ketika menulis laporan
sejarah penting. Tacitus si pengarang The Annals dan The Histories
sebagai contoh, hanya menggunakan Acta Diurna sebagai rujukan bagi
menulis hal-hal trivia.
Dicatatkan, pengeluaran
akhbar Acta Diurna berlanjutan sehingga tahun 330 Masehi. Perkhidmatannya
berakhir secara efektif selepas Maharaja Constantine memindahkan pusat
pemerintahan empayar dari kota Rome ke kota Konstantinopel pada tahun tersebut.
TERJEMAHAN
Wu Mingren. (23 Disember 2017). Acta Diurna: The Telegraph of Ancient Rome,
Bringing You All the Latest Gladiator Combat News. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/artifacts-ancient-writings/acta-diurna-telegraph-ancient-rome-bringing-you-all-latest-gladiator-021770
- Get link
- X
- Other Apps
