- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Māori, masyarakat asli
di New Zealand turut mempunyai kosmologi yang tersendiri seperti
tamadun-tamadun silam yang lain. Kepelbagaian suku yang ada menambahkan lagi
variasi penceritaan sedia ada. Mitos penciptaan alam semesta dan manusia ini
diingati dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi menerusi kaedah
lisan, hinggalah pada hari ini ia terekod dalam bentuk penulisan.
Menurut Māori, alam
hanya diselubungi kekosongan pada permulaan zaman. Keadaan sebegini disebut
sebagai Te Kore. Dalam kekosongan tersebut, muncul dua dewa (atua)
azali yang dikenali sebagai Ranginui (Rangi) si Bapa Langit dan Papatūānuku
(Papa) si Bonda Bumi.
Beberapa tempoh berlalu, Papa dan Rangi kemudiannya saling bercantum lalu melahirkan tujuh orang anak (versi lain menyebut sehingga ratusan anak). Kesemua mereka berjantina lelaki, dan memiliki kelebihan tersendiri. Mereka dikenali sebagai:
- Haumia (Haumia-tiketike) si dewa tumbuhan seperti halia, teratai dan kunyit.
- Rongo (Rongo-mā-Tāne) si dewa kumara (ubi kentang) dan semua jenis makanan yang ditanam.
- Rūaumoko si dewa gempa dan gunung berapi. Rūaumoko merupakan dewa bongsu. Menurut mitos, ia tidak sempat dilahirkan dan masih berada dalam tubuh Papa. Kononnya, gempa bumi dan letusan gunung berapi berlaku kerana tendangannya.
- Tāne-mahuta si dewa hutan dan burung. Tane merupakan dewa penting bagi masyarakat Māori kerana ia menciptakan manusia dan memisahkan Papa dan Rangi sekali gus membentuk persekitaran langit dan bumi yang sesuai untuk dihuni.
- Tangaroa-whakamau-ta si dewa laut, sungai, tasik, dan segala hidupan air. Juga merupakan bapa kepada Ikatere (bapa segala ikan) dan Tu-te-wehiwehi (bapa segala reptilia).
- Tawhiri (Tāwhirimātea) si dewa cuaca, ribut dan petir. Juga merupakan bapa kepada angin dan segala macam bentuk awan, termasuklah hujan dan kabus.
- Tūmatauenga si dewa pelindung manusia yang mengajarkan berbagai-bagai jenis kemahiran seperti memungut hasil hutan, memburu, memasak, dan menangkap ikan.
![]() |
| Lukisan yang menggambarkan pemisahan antara Rangi si Bapa Langit dan Papa si Bonda Bumi oleh dewa Tane |
Percantuman antara
Rangi dan Papa membuatkan alam semesta diselubungi kegelapan. Sementara itu,
kesemua dewa generasi kedua mengimpikan hal sebaliknya – udara yang segar dan
semesta yang bercahaya. Maka, Tūmatauenga pun mengusulkan supaya Papa dan Rangi
dibunuh. Tāne-mahuta pula mencadangkan supaya mereka berdua dipisahkan.
Usulan kedua diterima.
Tāne sendiri mengambil peranan. Dakapan antara Rangi dan Papa dipisahkan,
membuatkan Rangi tertolak ke langit manakala Papa pula terjunam ke bumi. Buat
pertama kali, alam semesta diterangi cahaya. Serta-merta, dewa-dewa generasi
kedua memenuhkan dunia dengan segala jenis hidupan.
Namun, banyak udang
banyak garam dan banyak orang banyak ragam. Pemisahan antara Rangi dan Papa
tidak dipersetujui oleh Tawhiri si dewa cuaca. Tawhiri menyebelahi bapanya,
Rangi untuk memerangi sekalian adik-beradiknya. Bala tentera yang terdiri
daripada angin dan awan berbagai rupa dihimpunkan.
Sebelum itu, Tawhiri
dikatakan mengorek kedua-dua biji matanya lalu melemparkannya ke langit sebagai
tanda meratapi perpisahan ibu bapanya. Bebola mata tersebut kemudian berubah
menjadi gugusan bintang (buruj) yang dikenali sebagai Matariki (ahli astronomi
memanggilnya sebagai Pleiades). Dalam tradisi Māori, buruj Matariki dijadikan
penanda masuknya Tahun Baru.
Perang saudara yang
berlaku di Te Paerangi bermula dengan Tawhiri membakar Tane dan menumbangkan
kesemua hutan belantaranya. Kemudian, Tangaroa si dewa laut pula menjadi
mangsa. Angin berputar, ombak bersahut. Laut bergelora, memaksa anak-anak
Tangaroa (seperti Tu-te-wehiwehi si bapa segala reptilia) meninggalkan lautan
dan berteduh bersama Tane di hutan.
Seterusnya, Tawhiri
menyasarkan Haumia dan Rongo. Namun, Papa si Bonda Bumi sempat memberikan
perlindungan dengan menyimpan kedua-duanya di dalam perut bumi.
Kini, yang tinggal cuma
Tūmatauenga si dewa perang. Badai ribut dan angin beliung yang dihantar oleh Tawhiri
berjaya digagahi, berkat kakinya dipasakkan pada bumi. Tatkala melihat
serangannya tidak mempan, Tawhiri pun berundur dan arka peperangan antara
dewa-dewa Māori pun berakhir.
Mitos bertukar angin.
Kali ini, giliran Tūmatauenga pula menghukum adik-beradiknya kerana bersikap
lembik dan pengecut ketika berhadapan dengan Tawhiri. Sebagai pengajaran,
Tūmatauenga mengasaskan seni memburu, bercucuk tanam, memotong kayu, memasak,
dan menangkap ikan. Dia juga menciptakan cangkul untuk menggali tanah dan jerat
untuk menangkap burung.
Semuanya ini bertujuan
menjadikan anak-anak Haumia, Rongo, Tane, dan Tangaroa sebagai santapan buat
umat manusia.
![]() |
| Gambaran moden ketujuh-tujuh anak Papa dan Rangi |
Tindakan Tūmatauenga
tersebut menyemarakkan api benci sesama dewa-dewa Māori. Antaranya, Tangaroa si
dewa laut mengincari Tane si dewa hutan, lalu membadai segala rumah, pokok dan
kanu yang ada dengan bala banjir. Musababnya, Tane membekalkan kayu-kayan
kepada Tūmatauenga untuk membina kanu, mencipta jaring, dan membuat cangkuk
yang digunakan untuk menangkap ikan.
Ribut dan hujan yang
badai-membadai mengakibatkan daratan kian tenggelam digenangi lautan, lalu
membentuk rupa bumi seperti yang dikenali kini. Masyarakat Māori juga meyakini
yang permusuhan sesama anak-anak Rangi dan Papa masih berterusan, justeru
menjadi punca berlakunya bermacam-macam bencana alam.
Tambah mitos mereka
lagi, Rangi dan Papa saling meratapi pemergian satu sama lain. Tangisan Rangi
jatuh menimpa Papa dalam bentuk hujan. Keluh-kesah Papa yang mendambakan
suaminya pula muncul dalam bentuk kabus hutan.
Usai mitos berkenaan
penciptaan alam semesta dan segala fenomena berkaitan, cerita berpindah pula
kepada kisah penciptaan manusia yang berlaku dalam pelbagai versi. Versi yang
disepakati sesama seluruh suku Māori adalah manusia diciptakan oleh Tane.
![]() |
| Māori mempercayai yang manusia pertama, Hineahuone dicipta dan ditiupkan rohnya oleh Tane |
Kononnya, Tane terlebih
dahulu menciptakan pepohonan dan hidupan lain lalu meniupkan roh buat mereka. Setelah
seketika, Tane mengambil tanah kuning lalu membentuk dan menghidupkan manusia
pertama yang berjantina perempuan. Namanya disebut sebagai Hineahuone.
Kedua-dua mereka
bersemenda, lalu melahirkan Hinetītama. Tanpa mengetahui identiti bapanya,
Hinetītama bersemenda dengan Tane lalu melahirkan zuriat berikutnya.
Perlahan-lahan, populasi manusia berkembang sehinggalah mencapai jumlah yang
ramai seperti sekarang.
Jika diimbau kembali,
ciri-ciri dalam kosmologi Māori mengandungi banyak persamaan dengan tamadun-tamadun
tersohor lain, seperti Babylon (Enuma Elish) dan Yunani (Theogony).
Baik ianya daripada sudut keadaan alam semesta pada awal penciptaan, peperangan
antara dua generasi dewa, mahupun sifat foya-foya yang dimiliki si dewa dalam
menghamili manusia.
TERJEMAHAN
Ancient Origins. (23 Februari 2021). The Mythological Maori Origin Stories
of New Zealand.
https://www.ancient-origins.net/human-origins-folklore/creation-myth-maori-new-zealand-00305
- Get link
- X
- Other Apps



