- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Pada setiap tahun,
masyarakat pinggir bandar di Peru akan menghidupkan suatu tradisi lama yang
berakar kembali sejarahnya pada zaman tamadun Inca. Acara tahunan tersebut
dianggap sebagai penzahiran semula ritual, sejarah, dan budaya masyarakat asli
Peru di mana mereka akan meluangkan masa selama tiga hari suntuk bagi
menyiapkan kerja-kerja memintal tali jambatan Q’eswachaka.
Jambatan ini merupakan
sebahagian daripada rangkaian jalan raya Inca yang masih berbaki pada hari ini.
Pembuatannya cukup sukar, namun setimpal dengan imbalannya. Kewujudannya tidak
sekadar membolehkan aktiviti seharian berjalan dengan lancar, ia malahan turut
berperanan memperkukuh identiti bangsa dan memperkuat talian dengan sejarah
silam.
Jambatan Q’eswachaka
terletak 3.7 km di atas paras laut dan ukuran panjangnya mencecah 28 meter.
Tradisi memintal tali jambatan ini melibatkan setiap keluarga di kawasan
setempat, dengan masing-masing menghasilkan tali sepanjang kira-kira 70 meter.
Selepas pembinaan
jambatan selesai dilakukan, tradisi disusuli dengan jamuan besar. Amalan
sebegini dilakukan secara tahunan memandangkan sesudah tempoh tersebut, tali
jambatan mula mengendur dan perlu diganti.
Menurut ‘Inca: Lords
of Gold and Glory’ karangan Dale Brown, aktiviti menyelenggara tali
jambatan gantung Q’eswachaka ini banyak mengor.bankan anggota yang terlibat.
Risiko ini bagaimanapun tidak menghalang masyarakat asli setempat daripada
terus menghidupkan tradisi lama itu sebagai cara menghormati nenek moyang,
menyatukan masyarakat, dan menghidupkan jati diri dalam kalangan mereka.
Mengimbau daripada
sudut sejarah, jambatan gantung ini membentuk sebahagian daripada jalan raya
Inca yang sepanjang 20,000 batu (32,187 km). Jambatan-jambatan sebegini
merentangi pelbagai rupa bumi seperti jurang antara gunung, sungai, dan gaung.
Memandangkan tamadun
Inca tidak mempunyai teknologi pengangkutan beroda, maka kehadiran jambatan
sebegini memudahkan perjalanan masyarakat awam yang bergerak dari satu tempat
ke satu tempat.
Jambatan sebegini turut
digunakan oleh chasqui, posmen dalam tamadun Inca yang berjalan kaki
dari satu stesen ke satu stesen sambil membawa kiriman pesanan mahupun barangan
ringan (seperti ikan). Chasqui kebiasaannya membawa bersama cengkerang
yang digunakan sebagai trumpet atau hon bagi menandakan kehadiran mereka di
sesebuah perkampungan.
Sejak ratusan tahun
dahulu, kemahiran memintal tali jambatan dalam kalangan masyarakat Inca diwariskan
dari generasi ke generasi sehingga hari ini. Signifikasi budaya ini diperakui
oleh badan kerajaan Peru dan UNESCO pada tahun 2013 sekali gus ia diiktiraf
sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Dunia.
TERJEMAHAN
Lizlea Floor. (28 Februari 2015). Spectacular Peruvian Rope Bridge, last of
kind, carries forward tradition of the Inca. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/spectacular-peruvian-rope-bridge-last-its-kind-020239
- Get link
- X
- Other Apps