- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Mata Horus, atau turut
disebut sebagai Wadjet, merupakan salah satu simbol yang sinonim dengan tamadun
Mesir Purba. Menurut kepercayaan mereka, simbol ini kononnya berupaya memberi
perlindungan, kesembuhan, dan usia yang berpanjangan. Dek kerana itu, ia
dijadikan sebagai tangkal dan agak mengejutkan, amalan ini masih dihidupkan
hingga ke hari ini dalam sebilangan masyarakat Mediterranean.
Asal-usul simbol Wadjet
bermula daripada mitos Seth dan Osiris. Dalam legenda Mesir Purba, Osiris
dilihat sebagai raja Mesir. Takhtanya bagaimanapun diincari oleh adiknya
sendiri, Seth. Hasil permainan helah, Seth berhasil membu.nuh abangnya lalu
meram.pas takhta.
Namun, isteri Osiris
yang bernama Isis berupaya menghidupkan semula suaminya dengan mantera tertentu.
Persemendaan antara keduanya lantas melahirkan Horus, sambil Osiris pula
menjadi penguasa Alam Kema.tian.
Saat Horus tumbuh
dewasa, beliau menanam tekad untuk melunaskan kesumat terhadap Seth yang
bertanggungjawab di atas kema.tian bapanya. Perta.rungan demi perta.rungan
menyusul, dengan kemenangan berpihak kepada Horus.
Kemenangan ini
bagaimanapun mengor.bankan sebelah matanya. Menurut satu versi legenda, ia
dicungkil oleh Seth yang membelahnya menjadi enam bahagian sebelum ia dilempar.
Versi lain pula menceritakan yang Horus sendiri mencungkil matanya sebagai simbolik kor.ban untuk mengembalikan bapanya dari alam kema.tian.
Sebelah mata Horus yang
hilang ini kemudiannya dikembalikan oleh salah satu dari dua dewa utama Mesir; iaitu Hathor si isteri Horus atau Thoth si dewa kebijaksanaan. Babak penyembuhan ini boleh dikatakan saling tidak tumpah seperti kisah Ganesha
mendapat kepala gajah dalam legenda Hindu.
Disebabkan wujud elemen
kesaktian dalam kesembuhan mata Horus, masyarakat Mesir Purba memuja simbol
Wadjet sebagai azimat penyembuh. Ia dijadikan sebagai tangkal yang diperbuat
daripada pelbagai jenis bahan, termasuklah emas, lapis lazuli, dan batu
karnelia – untuk dipakai oleh mereka yang hidup dan yang telah menin.ggal dunia.
Simbol tersebut juga
signifikan kerana ia diterapkan dengan nilai matematika. Seperti yang
disebutkan di atas, simbol Wadjet mempunyai enam bahagian. Setiap bahagian
diberikan bilangan pecahan seperti yang ditunjukkan pada rajah di bawah. Secara
kelompok, bilangan-bilangan pecahan ini dikenali sebagai pecahan Haqet. Ia
digunakan sebagai unit ukuran untuk pelbagai barangan, seperti bijirin dan
gandum.
Keenam-enam bahagian
pada simbol Wadjet juga dikaitkan dengan enam deria; bahagian hujung kanan mata dikaitkan
deria bau, bahagian hujung kiri mata dikaitkan dengan deria pendengaran, anak
mata dikaitkan dengan deria penglihatan, ekor berpintal dikaitkan dengan deria
rasa, alur mata dikaitkan dengan deria sentuhan, dan akhir sekali kening dikaitkan
dengan deria keenam.
Sebilangan penyelidik
bahkan mengaitkan simbol Mata Horus ini dengan anatomi otak manusia, sekali gus
mengandaikan kebijaksanaan masyarakat Mesir Purba yang di luar jangkaan kita.
Simbol ini masih
hidup sehingga ke hari ini. Di negara-negara Mediterranean, golongan nelayan
kebiasaannya akan meletakkan simbol ini pada bot dan perahu masing-masing,
kononnya sebagai perlindungan. Begitu juga dengan barangan kemas seperti
cincin, subang, dan kerongsang.
Rumusnya, Mata Horus atau Wadjet sinonim dengan elemen
kesembuhan, keilmuan, kekuasaan, dan khayalan. Sesetengah tempat mengenali simbol ini dengan nama Mata Luzzu (Eye of Luzzu).
TERJEMAHAN
Wu
Mingren. (18 November 2018). Eye of Horus: The True Meaning of an Ancient,
Powerful Symbol. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/eye-horus-0011014
- Get link
- X
- Other Apps