- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Kerry Sullivan. (10 April 2019). Mansa Musa: The Richest Man in History. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/mansa-musa-richest-man-history-006847
Kerry Sullivan. (10 April 2019). Mansa Musa: The Richest Man in History. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/mansa-musa-richest-man-history-006847
Penterjemah: Amir Zayyanid
Tatkala seseorang terfikirkan
tentang manusia yang paling kaya dalam sejarah, seringkali golongan yang
terlintas di dalam benak adalah ahli-ahli industri dari era moden, seperti
keluarga Rothschild, keluarga Rockefeller, atau keluarga Carnegie. Mungkin juga
beberapa nama billionair seperti Bill Gates, Carlos Slim, atau pak-pak sheikh
Arab yang kaya belaka.
Namun, manusia yang paling kaya dalam sejarah ialah
seorang pemerintah Mali yang bernama Musa Keita I. Beliau merupakan Mansa ke-10
bagi Empayar Mali (Mansa adalah gelaran seperti ‘sultan’ atau ‘maharaja’).
Beliau merupakan seorang yang sangat kaya dan bermewah-mewahan dalam
perbelanjaannya sampaikan mampu menjejaskan ekonomi Mesir dengan hanya
melaluinya!
Dilahirkan pada tahun
1280an, Mansa Musa memperluaskan wilayah Empayar Mali dengan menakluk 24 buah
kota dan wilayah sekitar. Menjelang kemangkatannya pada tahun 1337M, harta
kekayaan yang dikumpulkannya terlalu banyak sehingga tidak dapat dihitung. Jika
mengambil kira inflasi, jumlah kekayaan Mansa Musa I mungkin mencecah sehingga
$400 billion.
Kekayaan kedua yang
menyusulinya – iaitu harta terkumpul keluarga Rothschild – hanya mencecah $350
billion. Harta kekayaan J.D. Rockefeller pula mencecah $340 billion; $310
billion bagi Carnegie; $200 billion bagi Muammar Gaddafi; $136 billion bagi
Bill Gates dan Carlos Slim pula dengan jumlah kekayaan sebanyak $68 billion.
Dalam erti kata lain, tidak seorang pun manusia yang disinonimkan dengan
kekayaan mampu berada hampir dengan nilai bersih harta milik Raja Afrika ini.
“Mustahil sama sekali
untuk meletakkan angka yang tepat bagi mengukur harta kekayaannya,” ujar Jacob
Davidson dalam Time Magazine.
MAHARAJA MUSA
Mansa Musa I
menghasilkan kekayaan awalnya dari sumber lombong emas dan garam di Afrika
Barat. Empayar Mali ini ditubuhkan dari saki-baki Empayar Ghana. Pada masa
kemuncaknya di bawah pemerintahan Musa I, Empayar Mali mendominasi Afrika
Barat; bermula dari Lautan Atlantik hingga ke Timbuku, termasuklah
wilayah-wilayah moden Chad, Cote d’Ivoire, Gambia, Guinea, Guinea-Bissau, Mali,
Mauritania, Niger, Nigeria dan Senegal. Keluasan empayar tersebut mencecah 2000
batu (3218.69 km).
Selain itu, Mansa Musa turut memasukkan sejumlah kota ke
bawah pemerintahan langsungnya – antara kota paling penting adalah Timbuktu dan
Gao. Beliau mengutip ufti daripada kota-kota tersebut. Semasa Eropah sedang
bergelut dengan masalah kebuluran, wabak dan peperangan golongan bangsawan,
kerajaan-kerajaan di Afrika pula menikmati kelimpahan harta kekayaan.
![]() |
| Ilustrasi Mansa Musa |
Menurut adat masyarakat
Mali, seorang raja perlu melantik seorang pemangku apabila baginda bermusafir
bagi menunaikan haji ke Mekah atau sedang mengendalikan suatu urusan luar.
Andai raja tersebut tidak pulang, pemangku yang dilantik tersebut bakal naik
takhta. Keadaan seperti ini berlaku apabila Abubakari Keita II (pendahulu Musa)
berangkat keluar untuk melaksanakan misi mencari hujung Laut Atlantik dan
baginda tidak pulang-pulang sesudah itu.
Sebelum menaiki takhta pada tahun
1312M, Musa I menghantar 2000 buah kapal untuk mencari maharaja Mali tersebut.
Apabila tiada siapa kembali dari misi pencarian itu, kesemua pembesar Mali
bersetuju agar Musa I diangkat menjadi maharaja Mali yang sah.
KEKAYAAN MANSA MUSA
Kekayaan Mansa Musa I
bukanlah satu-satunya legasi yang beliau miliki. Dengan mengawal laluan-laluan
perdagangan penting antara Mediterranean dan pesisiran Afrika Barat, Mansa Musa
menjadikan kota Timbuktu yang dikuasainya itu sebagai pusat kebudayaan dan
keilmuan Islam di Barat.
Beliau memberikan upah berupa 440 paun (hampir 200kg)
emas kepada artikek Andalusia agar membina Masjid Djinguereber, binaan yang
masih berdiri pada hari ini. Mansa Musa juga mendirikan Universiti Timbuktu
untuk menarik lebih ramai ilmuwan dan artisan dari seluruh dunia Islam. Beliau
menggalakkan kemajuan di seluruh empayarnya dengan menyalurkan dana pembinaan
sekolah dan masjid.
![]() |
| Masjid Djinguereber, Timbuktu |
Mansa Musa I mula
meraih perhatian dunia pada tahun 1324M apabila melakukan perjalanan haji ke
Mekah. Di dalam bukunya, Chronicle of the Seeker, Mahmud Kati, seorang
ilmuwan Muslim-Afrika mencatatkan sebuah peristiwa yang mendorong Mansa Musa
untuk menunaikan haji.
“Mali-koy Kankan Musa
merupakan seorang sultan yang soleh dan memiliki pekerti mulia… Sebab kepada
penunaian hajinya disampaikan seperti berikut kepada saya oleh seorang ulama
bernama Muhammad Quma, seorang yang menghafal kebudayaan purba. Beliau berkata
bahawa Mali-koy Kankan Musa telah membunuh ibundanya, Nana Kankan secara tidak
sengaja. Beliau berasa begitu menyesal atas perkara tersebut.
Untuk bertaubat,
beliau mengeluarkan sejumlah besar wang dalam amal sedekah dan bertekad untuk
berpuasa sepanjang hayat. Beliau pernah bertanya kepada salah seorang ulama
pada zamannya tentang perbuatan yang perlu dilaksanakan bagi menebus kesalahan
tersebut.
Ulama itu menjawab, “Kamu perlu mencari perlindungan menerusi
(keberkatan) Nabi Allah. Segeralah mendapatkannya, letakkan diri tuanku di
bawah lindungannya dan meminta pada baginda agar memberi syafaat buat kamu di
hadapan Tuhan – Tuhan pasti akan menerima syafaatnya.” (Kati, 1987).
![]() |
| Musa digambarkan memegang sekeping syiling emas dari Atlas Catalan 1375 |
PERBELANJAAN BESAR DALAM PERJALANAN HAJI MANSA MUSA
Perjalanan sejauh 4000
batu (6437.38km) ke Mekah merupakan sebuah permusafiran yang mempamerkan kekayaan
Mansa Musa sampaikan ia menarik perhatian dunia Eropah. “Beliau membawa kafilah
yang merentang begitu panjang – sejauh mata memandang,” ujar Jessica Smith
dalam satu sesi TED-Ed. “Para penghikayat merincikan bahawa rombongan
pengiringnya terdiri dari puluhan ribu tentera, orang awam dan hamba sahaya,
termasuklah 500 orang bentara yang membawa barangan emas dan berpakaian sutera.
Begitu juga dengan unta-unta dan kuda-kuda yang mengangkut sejumlah besar
jongkong emas.”
Mansa Musa turut
membawa bersama isterinya, Inari Konte dan 500 orang dayangnya. Dalam
perjalanan, beliau membina sejumlah masjid termasuklah di Dukurey, Gundam,
Direy, Wanko, dan Bako. Kebanyakan masjid yang dibinanya itu masih lagi berdiri
pada hari ini.
Turut dikisahkan bahawa ketika beliau tiba di kota Kaherah yang
masyhur, Mansa Musa I berbelanja dengan begitu besar – memberikan habuk emas
kepada golongan miskin, membelikan makanan untuk rombongannya, dan berbelanja
buah tangan untuk dibawa pulang – hinggakan beliau menyebabkan inflasi kepada
Kaherah yang mengambil masa selama bertahun-tahun untuk pulih.
Madinah dan
Mekah juga mengalami inflasi berikutan perbelanjaan Mansa Musa di sana. Beliau
mengambil masa setahun untuk menghabiskan musafirnya itu dan kembali ke Mali.
![]() |
| Empayar Mali menjelang kemangkatan Mansa Musa |
MELETAKKAN MANSA MUSA DI PETA
Kisah berkenaan
perjalanan haji Mansa Musa ini telah dilupakan oleh ramai ilmuwan, walaupun ia
dikenang semula sebagai sebahagian dari pameran permusafiran “Kafilah-Kafilah
Emas, Serpihan Sejarah: Kesenian, Kebudayaan dan Pertukaran Merentas Gurun
Sahara di Afrika Pada Zaman Pertengahan.” Mansa Musa merupakan figura besar
dalam pameran tersebut yang menjejak perjalanan hajinya menerusi
artifak-artifak mewah yang dikaitkan dengan zaman pemerintahannya dan sultan
Kaherah di Mesir.
Kekayaan milik Mansa
Musa I ini meletakkannya, secara literal, dalam peta apabila sebuah lukisan
yang menggambarkan dirinya disertakan dalam Atlas Catalan tahun 1375M, iaitu
salah satu peta dunia paling penting bagi dunia Eropah pada zaman pertengahan.
Mansa Musa mangkat
sekitar tahun 1332 hingga 1337M. Takhtanya diwarisi oleh puteranya yang bernama
Mansa Maghan I, yang memerintah selaku pemangku semasa ayahandanya keluar
menunaikan haji. Namun, Maghan I hanya memerintah selama empat tahun sebelum
pakciknya, Mansa Sulayman mewarisi takhta. Empayar Mali terus mengecap
kemewahan selama seabad selepas kemangkatan Mansa Musa, hinggalah pihak
Portugis kemudiannya menubuhkan jalan perdagangan yang baru.
SUMBER
- Hall, John. “Meet Mansa Musa I of Mali – the Richest Human Being in All History.” The Independent.
- Kati, Mahmud. “The Chronicle of the Seekr.” Cengage Learning. Oxford University Press, Inc. 1987.
- Mansa Musa, One of the Wealthiest People Who Ever Lived. Dir. Jeesica Smith. TED-ED. 18 May 2015.
Penterjemahan
artikel ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut
disiarkan di portal berkenaan dengan judul ‘Mansa Musa – Manusia Paling Kaya Dalam Sejarah’
- Get link
- X
- Other Apps




