- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Bryan Hill. (9 Jun 2019). Maat: Ancient Egyptian Goddess of Truth, Justice and
Morality. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/maat-ancient-egyptian-goddess-truth-justice-and-morality-003131
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/maat-ancient-egyptian-goddess-truth-justice-and-morality-003131
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Ma’at, juga dikenali
sebagai Mayet, adalah dewi dalam kepercayaan Mesir purba yang mewakili
kebenaran, keadilan, keseimbangan dan moraliti. Sebagai puteri kepada dewa
matahari Mesir, iaitu Ra dan dewi bulan Toth, Ma’at berkhidmat sebagai semangat
keadilan bagi masyarakat Mesir.
Beliaulah yang
menentukan sama ada seseorang individu itu berjaya mencapai kebahagiaan dalam
kehidupan selepas mati ataupun tidak menerusi penimbangan antara jiwa (hati)
mereka dengan bulu kebenaran miliknya. Beliau juga adalah personafikasi
keteraturan kosmik (cakerawala) dan mewakili kestabilan alam. Catatan-catatan
awal yang menyebutkan perihal Ma’at datang daripada Kerajaan Lama Mesir,
sekitar 2300 tahun lalu.
MENGEKALKAN KETERATURAN
LANGIT DAN BUMI
Budaya Mesir berpusat
pada keteraturan atau keharmonian alam. Segala-galanya mempunyai tempatnya yang
tersendiri di dunia ini. Hal ini termasuklah kepercayaan, masyarakat dan
perubahan musim. Dew Ma’at hadir untuk mewakili konsep keseimbangan dan keteraturan
memandangkan ramai masyarakat Mesir memerlukan penerangan di sebalik kejadian
alam di sekeliling mereka. Beliau adalah daya yang menggerakkan bintang-bintang
di langit, musim-musim saling silih berganti dan mengekalkan keteraturan Langit
dan Bumi.
Daya berlawanan bagi
hal ini dikenali dalam istilah purba sebagai isfet atau huru-hara.
Masyarakat purba menganggap padang pasir yang jauh daripada Sungai Nil bersifat
huru-hara manakala kawasan berhampiran Nil dianggap teratur atau harmoni.
Secara kolektif, kedua-dua unsur ini menghadirkan keseimbangan pada dunia,
iaitu tempat di mana mereka menjalani kehidupan sehari-hari.
![]() |
| Lukisan purba dewa Mesir Ra dan Ma’at bersama sehelai bulu burung unta pada kelengkapan kepalanya |
GAMBARAN-GAMBARAN TENTANG
MA’AT
Ma’at lazimnya
digambarkan sebagai seorang perempuan yang duduk ataupun berdiri dengan
sayapnya yang melekat pada kedua belah tangannya dikepakkan. Dalam beberapa
bentuk gambaran lain, Ma’at memegang sebatang tongkat (sceptre) di
sebelah tangannya sambil sebelah tangan yang lain memegang ankh (simbol
kehidupan).
Patung miliknya
merupakan sebuah platform batu yang mana hal ini menggambarkan sebuah foundasi
yang stabil, yang diatasnya dibangunkan keteraturan. Simbol lazim yang
dikaitkan dengan Ma’at adalah bulu burung unta, yang lazimnya ditunjukkan
bahawa beliau memakai bulu tersebut di rambutnya. Seringkali Bulu Ma’at tampil
sebagai kelengkapan kepalanya yang menonjol.
Walaupun agak jarang,
adakalanya imej-imej dewi ini tampil tanpa kepala dan digantikan dengan bulu.
Dalam beberapa imej lain, hanya bulu sahaja yang mewakili kehadirannya. Bulu
ini hadir sebagai simbol kemenjadian Ma’at serta mewakili keseimbangan dan
keteraturan hinggakan ia menjadi bentuk hieroglif yang membawa maksud
‘kebenaran’.
![]() |
| Relif dinding Ma’at di tingkat atas sebelah timur kuil Edfu, Mesir. Bulu burung unta dapat dilihat di atas kepalanya |
MA’AT SEBAGAI DEWATA
KEADILAN
Ma’at dikaitkan dengan
undang-undang dalam kepercayaan Mesir Purba. Bermula daripada Dinasti Ke-5
(sekitar 2510-2370SM) dan dinasti-dinasti seterusnya, wazir atau menteri yang
bertanggungjawab ke atas badan keadilan akan dipanggil sebagai ‘Paderi Ma’at’.
Pada zaman-zaman terkemudian, hakim-hakim akan mengenakan imej beliau.
‘Semangat Ma’at’
diwakili oleh ketua hakim yang bertugas di mahkamah diraja Mesir. Beliau
mempunyai peranan berkembar, iaitu sebagai seorang paderi dan juga seorang
menteri kedailan yang bertugas langsung di mahkamah diraja. ‘Paderi Ma’at’
lazimnya memulakan sidang kehakiman sambil memakai bulu Ma’at dan
pegawai-pegawai istana yang lain pula memakai imej kecil Ma’at yang bersepuh
emas sebagai simbol kepada autoriti kehakiman mereka, di samping simbol bahawa
pengadilan mereka itu bersifat seimbang dan adil.
Paderi-paderi juga
melukis Bulu Ma’at pada lidah mereka dengan pewarna hijau agar tutur kata yang
keluar daripada mulut mereka adalah kebenaran belaka. Kemudian, paderi akan
menjatuhkan hukuman keduniaan yang bersesuaian dengan pelanggaran undang-undang
yang dilakukan.
Hukuman-hukuman ini antara
lain termasuklah mengenakan denda, hukuman jasmani dan bagi kes-kes yang
ekstrim, hukuman kapital. Jika seseorang terlibat dalam kecemburuan, penipuan,
sifat lahap, sifat malas, tidak adil dan tidak bersyukur, individu tersebut
dianggap melakukan jenayah ke atas Ma’at.
Masyarakat Mesir yang
berbuat demikian dianggap melanggari ‘Semangat Ma’at’ dan akan berhadapan
dengan penghakiman lanjut di Alam Kematian dalam upacara yang berlangsung di
Dewan Dua Kebenaran. ‘Semangat Ma’at’ diperincikan dalam sastera hikkmah
sebagai sesuatu yang mengandungi bimbingan praktikal berserta contohnya, di
samping beberapa aturan yang diaplikasikan pada kes-kes undang-undang
sebelumnya. Bentuk-bentuk teks arahan yang sebegini dikategorikan sebagai
‘Sastera Ma’at’.
![]() |
| Petikan daripada Kitab Kematian, ditulis di atas papyrus dan menunjukkan upacara ‘Menimbang Hati’ dengan menggunakan bulu Ma’at sebagai ukuran timbang |
PENGHAKIMAN KE ATAS SI
MATI
Kitab Kematian (The
Book of the Dead) adalah sebuah koleksi teks berkenaan kematian dan
jampi-serapah dari Mesir purba yang direka khusus untuk membantu perjalanan
seseorang di alam kematian. Tanpa jampi-serapah ini, masyarakat Mesir purba
meyakini bahawa seseorang tidak akan dapat melanjutkan perjalanannya.
Dalam buku ini terdapat
sebuah jampi-serapah yang dipanggil sebagai ’42 Deklarasi Kesucian’ atau
‘Pengakuan-Pengakuan Buruk’. Jampi ini terdiri daripada pengakuan si pemilik
makam (si mati) yang memperakui amal-amalnya sepanjang hidup. Dipercayai bahawa
sebarang kesalahan yang dilakukan terhadap Ma’at perlu ditulis atau dicatatkan
lantaran dengan demikian, ia mudah untuk diampunkan.
Ruangan dalam Dewan
Ma’at adalah tempat di mana penghakiman ke atas si mati dilaksanakan, di mana
dalam keadaan ini, Ma’at memainkan peranan yang amat penting. Upacara yang
dipanggil sebagai ‘Penghakiman Osiris’ mengambil nama sempena Osiris si dewa
kematian.
Tatkala si mati
dihakimi, hati atau jiwa mereka ditimbang dengan bulu Ma’at. Seandainya skala
penimbang tidak berganjak, si mati dianggap layak untuk bertemu Osiris di
Syurga. Hati mereka yang tidak berat itu mengisyaratkan bahawa hati atau jiwa
mereka tidak dibebani dengan dosa dan kejahatan.
Namun seandainya hati
si mati didapati lebih berat berbanding bulu Ma’at, maka hati tersebut akan
dimakan oleh Ammit, raksasa pemakan-jiwa yang digambarkan berkepala buaya,
separuh atas badannya adalah singa dan separuh bawah badannya pula adalah badak
air. Dewa-dewa lain yang berada dalam dewan penghakiman ini yang juga menjadi
sebahagian daripada saksi penghakiman ini turut digambarkan memegang sehelai
bulu. Namun, penimbang amal tersebut sentiasa mewakili Dewi Ma’at.
![]() |
| Dewi Mesir Ma’at |
Masyarakat Mesir purba
memuja banyak dewata, dan salah satu daripadanya adalah Ma’at, walapun
ahli-ahli arkeologi Mesir pada hari ini lebih mempercayai bahawa Ma’at itu
adalah sebuah konsep atau sebuah idea, berbanding dewata.Sememangnya agak
munasabah untuk kita menganggap bahawa prinsip-prinsip seputar Ma’at ini banyak
membantu meningkatkan kualiti diri individu dalam kalangan masyarakat Mesir
purba.
Terdapat sebuah kuil
kecil yang didedikasikan kepada Ma’at oleh Hatshepsut, firaun kelima dari
Dinasti Ke-18 Mesir merangkap firaun wanita pertama Mesir. Kuil tersebut
terletak di kompleks kuil Karnak di Luxor, Mesir. Sebahagian besar kuil ini
sudah pun runtuh. Namun, ia masih mengandungi sejumlah inskripsi wazir-wazir
Ramses III dan XI.
Sebuah kuil lama Ma’at
turut wujud di kawasan ini, yang mana kewujudan monumen tersebut diisyaratkan
menerusi relif-relif dan stelae milik pemerintahan Amenhotep III. Kuil ini
terletak di Presint Montu, lingkungan terkecil daripada tiga buah lingkungan
yang terdapat di Ipet-Isut.
SUMBER
- Seawright, Caroline. Maa’at, Goddess of Truth, Balance, Order.
- Ancient Egyptian Gods. Maat.
- Ma’at Goddess of Egypt. Egyptian Goddess Maat.
- Ancient Egypt: The Mythology – Feather.
- Ancient Egypt: The Mythology – Ma’at.
- Get link
- X
- Other Apps




