- Get link
- Other Apps
- Get link
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Alcibiades. (5 Disember 2017). 10 Elite Units In Medieval Ages. About History.
Alcibiades. (5 Disember 2017). 10 Elite Units In Medieval Ages. About History.
1) HOUSECARL
Huskarl merupakan pengawal
peribadi para pemimpin Scandinavia dan England pada zaman pertengahan. Unit
elit ini bertindak sebagai pertahanan terakhir bagi individu-individu berkuasa
yang mampu mengupahnya. Unit ini dengan mudah berupaya menguruskan sebarang
ancaman. Dengan dilengkapi baju besi dan baju gambeson, di samping kapak
Dane yang masyhur dan pedang Viking serta perisai bulat, keefisienan housecarl
sememangnya tidak ada tandingan.
2) PEGAWAI
VARANGIAN
Miklagard atau Konstantinopel merupakan markas bagi
Pengawal Varangian yang berasal-usul dari Viking ini. Mereka berkhidmat
untuk maharaja-maharaja Empayar Byzantine. Memandangkan dunia politik pada masa
itu lazim menyaksikan insiden pembunuhan, maka pahlawan-pahlawan Viking ini diberikan
bayaran yang lumayan untuk melindungi maharaja.
Dengan dilengkapi senjata dan
perisai terbaik yang mampu ditawarkan oleh Empayar Byzantine, mereka telah
berjaya melindungi beberapa orang maharaja selama bertahun-tahun di samping
menundukkan sejumlah pemberontakan, mengancam musuh-musuh politik dan
memperkukuhkan barisan tentera dalam pelbagai pertempuran dan peperangan yang
menagih penglibatan mereka.
3) DRUZHINA
Membawa maksud rakan komrad dalam kebanyakan bahasa
Slavic, mereka secara asasnya merupakan sekumpulan rakan yang diupah oleh
seseorang pembesar Slavic. Mereka dilengkapkan dengan senjata dan perisai yang
ringan. Selepas pembesar tersebut menyandang kedudukan yang tinggi sebagai knyaz,
raja atau tsar, druzhina juga akan menaiki status kebangsawanan dan
digelar sebagai boyar. Boyar sangat sinonim sebagai veteran
perang. Pada tingkat darjat ini, mereka menggunakan senjata dan perisai terbaik
yang terdapat di wilayah-wilayah Kievan Rus dan Novgorod.
4) PUTERA-PUTERA
BOYAR
Bangsawan muda ini lazim mempamerkan semangat yang
tinggi untuk membuktikan kemampuan mereka di medan perang. Mereka dipanggil
sebagai putera-putera boyar. Mereka dilengkapi dengan baju lamellar
dan gambeson, serta sebilah kapak dan sebentuk perisai bulat. Mereka
sememangnya layak mewarisi legasi kecemerlangan bapa mereka di medan tempur.
Oleh kerana itu, mereka turut diberikan baju zirah khas berserta topeng yang
tercantum dengan topi perisai.
5) LONGBOWMEN (Pemanah Busur Panjang)
Berkemungkinan unit ini merupakan yang terkuat dalam
pasukan tentera Inggeris. Mereka kebiasaannya merupakan pemburu dan petarung
yang kemudiannya dikerah untuk berkhidmat sebagai tentera. Longbowmen
diberikan busur panjang (senjata yang memberi nama pada unit mereka), baju gambeson
sebagai perlindungan dan pedang pendek untuk kegunaan dalam pertarungan jarak
dekat. Berbekalkan daya penglihatan yang tajam, tubuh badan yang sasa, serta
kemahiran memanah yang cukup terlatih, unit ini berhasil mencetuskan huru-hara
kepada musuh-musuh England.
6) PENEMBAK
TARBIL GENOA
Dianggap sebagai unit kebanggaan Republik Genoa,
penembak tarbil (crossbow) dilengkapi dengan zirah rantai dan
baju gambeson. Selain itu, mereka turut diberikan tarbil dan sebilah
pedang pendek serta perisai Pavise. Semasa berada di medan tempur, mereka
lazimnya dipimpin oleh golongan bangsawan Genoa. Unit ini dianggap sebagai
pertahanan dan penyerang terbaik yang dimiliki oleh pasukan mereka.
7) LANDSKNECHT
Infantri upahan elit ini berkhidmat untuk Empayar
Suci Rom. Mereka merupakan unit yang bertanggungjawab meraihkan kemenangan demi
kemenangan bagi pihak empayar. Landsknecht dilengkapi dengan baju besi
yang ringan dan berwarna-warni, sesuai dengan keadaan di mana mereka perlu
menghayun pedang dua-tangan Messer dan Zweihander secara bebas dan lincah.
Dianggap sebagai veteran perang yang banyak terlibat dalam pelbagai kempen
peperangan, unit ini merupakan antara yang paling mahal dalam senarai tentera
Empayar Rom Suci, memandangkan nyawa mereka hanya singkat sesuai dengan peranan
penting dan berbahaya yang mereka galas di medan perang.
8) HUSSAR
Hussar merupakan tentera barisan hadapan yang
berjaya menghalang gempuran Muslim-Uthmaniyah dari terus memasuki dunia Eropah,
sekaligus dianggap sebagai penyelamat agama Kristian. Mereka merupakan sebuah
unit kavalri ringan yang dilengkapi dengan tombak dan baju lamellar.
Selain itu, mereka turut dikenali dengan tali pinggang yang diperbuat daripada
haiwan eksotik serta sayap pada badan belakang mereka yang diperbuat daripada
bulu helang dan gagak. Unit ini seringkali berjaya mengawal rentak pertempuran
sekaligus memenanginya.
9) CONQUISTADORS
Para penakluk ini dipengaruhi oleh rasa tamak yang
kemudiannya mendorong mereka untuk menghantar koloni ke Dunia Baru. Mereka
dilengkapi dengan pedang dan senjata api. Lengkap dengan baju besi serta
kemahiran berperang (bermain pedang dan membedil musket), mereka merupakan unit
yang bertanggungjawab menamatkan sejumlah ketamadunan dunia.
10) JANISARI
Dunia Kristian di Balkan jatuh ke dalam cengkaman
Uthmaniyah. Menerusi polisi cukai darah yang dikenakan, Uthmaniyah mengerah
pemuda-pemuda yang sihat tubuh badan agar berkhidmat dalam pasukan tentera
sekaligus membentuk unit yang pada hari ini dikenali sebagai Janisari.
Berbekalkan senjata terbaik dan baju besi ringan serta kemahiran mengendalikan
senjata api, unit hamba elit ini tidak hanya membenarkan Empayar Uthmaniyah
menjamin kekuasaan ke atas wilayah-wilayah naungan mereka, malah untuk
memperluaskan lagi jajahan takluk empayar tersebut.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul '10 Tentera Elit Dalam Sejarah’
- Get link
- Other Apps