BIOGRAFI SULTAN TIPU SI HARIMAU MYSORE

Pautan ke artikel asal:
Kallie Szczepanski. (11 April 2019). Biography of Tipu Sultan, the Tiger of Mysore. ThoughtCo.

Penterjemah: Amir Zayyanid


Sultan Tipu (20 November 1750 – 4 Mei 1799) dikenang oleh ramai masyarakat di India dan Pakistan sebagai seorang pejuang kebebasan dan raja-pahlawan. Beliau merupakan pemerintah terakhir di India yang memiliki kekuatan yang cukup untuk memerangi dan mengenakan persyaratan yang mengasak Syarikat Hindia Timur British. Dijuluki sebagai “Harimau Mysore”, beliau berjuang dengan bersungguh-sungguh untuk jangka masa yang panjang, walaupun pada akhirnya gagal mempertahankan kemerdekaan tanah airnya.

FAKTA RINGKAS SULTAN TIPU:
Dikenali kerana: Beliau dikenang di India dan Pakistan sebagai seorang raja-pahlawan yang berjuang untuk kemerdekaan tanah airnya dari British
Juga dikenali sebagai: Fath Ali, Harimau Mysore
Tarikh lahir: 20 November 1750 di Mysore, India
Orang tua: Hyder Ali dan Fatima Fakhr-un-Nisa
Tarikh kemangkatan: 4 Mei 1799 di Seringapatam, Mysore, India
Tahap pendidikan: Pengajian tinggi
Pasangan: Ramai isteri, termasuk Sindh Sahiba
Zuriat: anak-anak lelaki yang tidak diketahui namanya, dua daripadany ditawan oleh British.
Kata-kata masyhur: “Hidup sebagai singa selama satu hari itu lebih baik berbanding hidup selama ratusan tahun sebagai anjing.”


KEHIDUPAN AWAL

Sultan Tipu dilahirkan pada tanggal 20 November 1750M, sebagai anak lelaki kepada pegawai tentera Kerajaan Mysore yang bernama Hyder Ali dan pasangannya yang bernama Fatima Fakhr-un-Nisa. Mereka berdua menamakan anak itu sebagai Fath Ali, tetapi turut memanggilnya sebagai Sultan Tipu bersempena nama seorang wali Muslim tempatan, iaitu Tipu Mastan Aulia.

Hyder Ali merupakan seorang askar yang gagah dan pernah meraih kemenangan dalam serangan ke atas Marathas pada tahun 1758M. Menerusi kemenangan tersebut, wilayah Marathas diserap masuk menjadi sebahagian wilayah Mysore. Sebagai ganjaran atas khidmatnya itu, Hyder Ali dilantik menjadi komander tentera Mysore dan kemudian menaiki takhta sebagai Sultan. Menjelang tahun 1761M, beliau mengambil kedudukan sebagai pemerintah kerajaan tersebut.

Semasa kemasyhuran dan prestij bapanya meningkat naik, Sultan Tipu yang masih muda belia menerima pendidikan daripada pengajar-pengajar paling berkualiti pada masa itu. Beliau mempelajari pelbagai perkara seperti menunggang kuda, bermain pedang, menembak, pengajian al-Qur’an, hukum-hakam Islam dan penguasaan beberapa buah bahasa seperti bahasa Urdu, Parsi dan Arab. Sultan Tipu juga mempelajari strategi ketenteraan di bawah bimbingan beberapa orang pegawai tentera Perancis yang bersekutu dengan bapanya di selatan India.

Pada tahun 1766M semasa Sultan Tipu baru sahaja berusia 15 tahun, beliau berpeluang untuk mengaplikasikan latihan ketenteraannya di medan tempur sebenar buat pertama kali. Dalam kesempatan itu, beliau menemani bapanya melancarkan sebuah serangan ke atas Malabar. Beliau digalaskan tugas memimpin sebuah pasukan tentera yang terdiri dari seramai 2000 – 3000 orang tentera. Sultan Tipu dengan bijaknya berjaya memberkas keluarga ketua pembesar Malabar yang berlindung di dalam sebuah kubu-benteng yang dikawal dengan rapi.

Oleh kerana berasa khuatir terhadap keselamatan keluarganya, maka ketua pembesar Malabar pun menyerah diri dan tindakannya itu disusuli oleh pemimpin-pemimpin tempatan yang lain.

Hyder Ali berasa sangat bangga dengan kecemerlangan anaknya itu. Beliau lantas menyerahkan kepemimpinan ke atas 500 orang tentera kavalri kepada Sultan Tipu dan menugaskannya ke atas lima buah daerah di Mysore. Penyerahan tanggungjawab tersebut merupakan permulaan karier bagi Sultan Tipu.


PERANG ANGLO-MYSORE PERTAMA

Pada pertengahan abad ke-18M, Syarikat Hindia Timur British berhasrat untuk memperluaskan lagi wilayahnya di selatan India. Untuk tujuan itu, mereka melaga-lagakan kerajaan dan wilayah tempatan agar saling berperang sesama sendiri. Perancis yang berada di sana juga tidak ketinggalan dari dimangsakan dalam strategi lagaan tersebut. Pada tahun 1767M, British mengadakan sebuah perikatan dengan Nizam dan Marathas. Tentera gabungan tersebut kemudian menyerang Mysore.

Namun, Hyder Ali berjaya mengadakan perdamaian secara terpisah dengan pihak Marathas. Kemudian, pada bulan Jun pula, beliau mengutus puteranya, Sultan Tipu yang baru berusia 17 tahun untuk berunding dengan Nizam. Diplomat muda itu tiba di kem Nizam dengan membawa pelbagai hadiah seperti wang tunai, batu permata, 10 ekor kuda dan 5 ekor gajah terlatih. Dalam masa seminggu sahaja, Tipu berjaya mempengaruhi pemimpin Nizam untuk bertukar pihak dan menyebelahi Mysore dalam memerangi British.

Sultan Tipu kemudian memimpin sebuah serangan kavalri ke atas Madras (kini Chennai) secara sendirian. Namun di pihak bapanya, Hyder Ali mengalami kekalahan di tangan British di Tiruvannamalai dan terpaksa memanggil pulang anaknya. Hyder Ali turut mengambil keputusan untuk meneruskan peperangan pada musim hujan. Bersama dengan Tipu, beliau berjaya menakluk dua buah kubu British.

Bala bantuan British hanya tiba semasa pasukan tentera Mysore sedang mengepung kubu ketiga mereka. Dalam situasi tersebut, Sultan Tipu dan pasukan kavalrinya sempat menahan asakan British dengan cukup lama sehingga membenarkan pasukan tentera Hyder Ali berundur dalam keadaan teratur.

Hyder Ali dan Sultan Tipu kemudian berangkat untuk menggegarkan kawasan pesisiran – menakluk sejumlah kota dan kubu-benteng milik British. Kekuatan Mysore itu hampir sahaja berjaya mengusir British dari Madras, kota pelabuhan utama mereka di wilayah Timur sebelum kemudiannya perjanjian damai dimeterai.

Selepas mengalami kekalahan memalukan tersebut, British terpaksa menandatangani perjanjian damai dengan Hyder Ali pada tahun 1769M. Perjanjian tersebut dikenali sebagai Perjanjian Madras. Dalam perjanjian itu, kedua-dua belah pihak bersetuju untuk mengembalikan status perbatasan masing-masing seperti masa sebelum perang. Mereka turut bersepakat untuk saling membantu jika diserang oleh pihak lain. Menerusi perjanjian tersebut, pihak British berhasil menyelamatkan kedudukan mereka di India. Pun begitu, mereka masih juga enggan menepati terma perjanjian itu.


ZAMAN PEPERANGAN ANTARA WILAYAH

Pada tahun 1771M, Marathas menyerang Mysore dengan bala tentera yang dianggarkan sebesar 30 000 orang. Untuk menghadapi serangan tersebut, Hyder Ali menyeru British agar menepati syarat Perjanjian Madras yang disepakati sebelum ini. Namun, British enggan menghantar sebarang tentera bantuan. Dalam peperangan ini, Sultan Tipu memainkan peranan yang penting dan berjaya menyumbang kepada kemenangan di pihak Mysore. Apapun, sejak kejadian tersebut, beliau dan bapanya tidak lagi menaruh kepercayaan terhadap British.

Dalam dekad yang sama, British dan Perancis saling bertembung dalam sebuah pemberontakan yang berlaku pada tahun 1776M, dikenali sebagai Revolusi Amerika. Konflik tersebut berlangsung di wilayah koloni British di Amerika Utara. Sudah tentu, Perancis menyebelahi pihak pemberontak.

Sebagai tindak balas ke atas pendirian Perancis itu, British pun mengambil keputusan untuk mengusir Perancis dari India sekaligus mencantas peluang Perancis untuk menyalurkan bantuan ke Amerika Utara melalui pangkalan mereka di wilayah tersebut. Pada tahun berikutnya, British merampas pelabuhan Mahe milik Perancis yang terletak di pantai Mysore. Hal ini mendorong Hyder Ali untuk mengisytiharkan perang terhadap British.


PERANG ANGLO-MYSORE KEDUA

Perang Anglo-Mysore Kedua (1780-1784M) bermula apabila Hyder Ali memimpin sepasukan tentera yang berkekuatan seramai 90 000 orang dalam sebuah serangan ke atas Carnatic yang bersekutu dengan British. Gabenor British di Madras mengambil keputusan untuk menghantar sepasukan tentera di bawah pimpinan Sir Hector Munro bagi memerangi Mysore. 

British turut memanggil pasukan kedua mereka yang berada di bawah pimpinan Kolonel William Baillie. Pasukan tersebut diarahkan supaya meninggalkan Guntur dan lekas bergabung dengan pasukan utama. Rancangan ini sampai ke pengetahuan Hyder dan beliau segera menghantar Sultan Tipu bersama 10 000 orang tentera untuk memintas pasukan tentera Baillie.

Pada bulan September 1780M, Sultan Tipu bersama pasukannya mengepung kekuatan gabungan British-India yang dipimpin oleh Baillie. Dalam pertembungan tersebut, pasukan British mengalami kekalahan paling memalukan sepanjang kependudukan mereka di India. Hampir 4000 orang tentera mereka menyerah diri dan ditangkap sebagai tawanan perang sambil 336 orang yang lain terbunuh.

Sebelum pertempuran itu berlangsung, Kolonel Munro yang menerima laporan tentang kemaraan pasukan Sultan Tipu mengambil keputusan untuk tidak berangkat bagi membantu Baillie. Hal ini kerana beliau khuatir akan kehilangan artileri dan barangan lain yang tersimpan di dalam gudang. Ketika pada akhirnya beliau berangkat jua, keadaan sudah pun terlambat.

Kekalutan pergerakan British itu tidak disedari oleh Hyder Ali. Andai beliau melancarkan serangan terus ke atas Madras pada masa itu, sudah tentu beliau berjaya menguasai pangkalan British tersebut. Namun, beliau hanya menghantar Sultan Tipu bersama sepasukan kavalri untuk mengganggu pengunduran pasukan tentera Munro. Dalam kesempatan itu, pasukan Mysore berjaya merampas kesemua barang simpanan British dan membunuh atau mencederakan kira-kira 500 orang tentera British. Namun, Madras langsung tidak disentuh apatah lagi ditakluk.

Perang Anglo-Mysore Kedua kemudian diteruskan dengan beberapa buah pengepungan. Peristiwa penting yang seterusnya adalah kemenangan Sultan Tipu ke atas pasukan tentera British pimpinan Kolonel Braithwaite di Tanjore pada tanggal 18 Februari 1782. Dalam pertempuran tersebut, Braithwaite benar-benar dikejutkan dengan serangan Tipu dan sekutu Perancisnya, Jeneral Lallee.

Setelah bertempur selama 26 jam, tentera British-India itu akhirnya menyerah kalah. Catatan British mendakwa kononnya Tipu berhasrat untuk membunuh mereka semua andai bukan kerana campur tangan daripada Perancis. Namun, dakwaan tersebut sama sekali palsu – tidak ada seorang pun tentera British diapa-apakan setelah mereka menyerah kalah.


SULTAN TIPU MENAIKI TAKHTA

Ketika Perang Anglo-Mysore Kedua masih berlangsung, Hyder Ali yang berusia 60 tahun menderita penyakit barah yang serius. Keadaannya semakin tenat sepanjang musim luruh dan awal musim sejuk tahun 1782. Beliau kemudiannya meninggal dunia pada 7 Disember 1782M. Pada 29 Disember tahun yang sama, Sultan Tipu mewarisi takhta bapanya sebagai sultan Mysore.

Pihak British berharap agar perubahan kuasa tersebut bakal menjejaskan keamanan Mysore lantas mereka dapat mengambil kesempatan dalam keadaan peperangan yang masih lagi berlangsung. Namun, pengambil-alihan takhta Tipu berjalan dengan lancar dan penerimaan dalam kalangan orang bawahannya berlangsung pantas sekaligus meranapkan harapan British itu. Keadaan bertambah buruk buat British apabila mereka gagal menuai hasil tanaman yang cukup semasa musim menuai. Akibatnya, sebahagian daripada askar upahan mereka mati kebuluran. Mereka tidak berada dalam keadaan yang baik untuk melancarkan serangan terhadap sultan Mysore yang baru ini.


PERJANJIAN DAMAI

Perang Anglo-Mysore Kedua berlanjutan sehingga awal tahun 1784M. Namun sepanjang tempoh tersebut, Sultan Tipu berjaya meletakkan dirinya dalam keadaan yang lebih unggul. Pada akhirnya, tanggal 11 Mac 1784 memperlihatkan pihak British secara rasmi menyerah kepada Mysore menerusi permeteraian Perjanjian Mangalore.
Menerusi perjanjian tersebut, kedua-dua belah pihak sekali lagi bersetuju untuk kembali kepada status quo asal dalam soal pemilikan wilayah. Sultan Tipu juga bersetuju untuk membebaskan kesemua tawanan perang British dan India.


SULTAN TIPU DAN PEMERINTAHANNYA

Walaupun beliau telah meraih dua buah kemenangan ke atas British, Sultan Tipu menyedari bahawa British masih lagi merupakan ancaman yang serius bagi kerajaannya. Maka, beliau pun menyalurkan dana dalam projek pembaharuan teknologi ketenteraan – termasuklah projek pembangunan roket Mysore yang masyhur, iaitu penghasilan tiub besi yang mampu melepaskan bedilan misil sejauh 2 kilometer.

Sultan Tipu juga membina jalan, mengeluarkan bentuk syiling yang baru, dan menggalakkan penghasilan sutera untuk menembusi pasaran perdagangan antarabangsa. Beliau secara khusus menunjukkan minat dalam bidang teknologi dan sering terlibat dalam bidang sains dan matematik.

Sebagai seorang Muslim, beliau turut mempamerkan sikap toleransi terhadap rakyatnya yang beragama Hindu. Beliau dipandang tinggi sebagai seorang raja-pahlawan dan digelari ‘Harimau Mysore’. Sultan Tipu membuktikan bahawa dirinya bukan sahaja seorang pahlawan perang yang gagah, tetapi juga seorang pemerintah yang berkebolehan pada masa-masa aman.


PERANG ANGLO-MYSORE KETIGA

Buat kali ketiganya, Sultan Tipu perlu menghadapi British sepanjang tahun 1789 hingga 1792M. Kali ini, Mysore tidak dapat menerima sebarang bantuan daripada sekutu lazimnya, iaitu Perancis yang sedang sibuk dengan Revolusi Perancis. Dalam peperangan ini, British dipimpin oleh Lord Cornwallis, iaitu salah seorang komander British yang menempa nama semasa Revolusi Amerika.

Malang buat Sultan Tipu, kali ini British memiliki sumber yang lebih banyak untuk dilaburkan di selatan India. Malah, tumpuan yang lebih jitu turut dicurahkan dalam peperangan kali ini. Tidak seperti sebelumnya, British meraih lebih banyak wilayah walaupun peperangan tersebut berpanjangan selama beberapa tahun. Peperangan yang ketiga ini berakhir apabila British mengepung ibu kota Mysore di Seringapatam sekaligus memaksa Sultan Tipu untuk menyerah kalah,

Menerusi Perjanjian Seringapatam yang dimeterai pada tahun 1793M, British dan sekutunya, iaitu Empayar Maratha merampas separuh dari wilayah Mysore. British turut menuntut agar Sultan Tipu menyerahkan dua orang puteranya yang berusia 7 dan 11 tahun sebagai jaminan agar pemerintah Mysore itu membayar pampasan perang. Oleh kerana itu, Sultan Tipu dengan segera melunaskan bayaran tersebut dan mendapatkan semula dua orang puteranya itu. Kekalahan kali ini merupakan satu kejutan buat Harimau Mysore.


PERANG ANGLO-MYSORE KEEMPAT

Pada tahun 1798M, seorang jeneral Perancis yang bernama Napoleon Bonaparte menyerang Mesir. Tanpa pengetahuan pegawai-pegawai atasannya, Bonaparte merancang untuk menggunakan Mesir sebagai pangkalan bagi melancarkan serangan ke atas India melalui jalan darat (menerusi Timur Tengah, Parsi dan Afghanistan) lalu merampas wilayah itu daripada British. Seiring dengan hasrat itu, Napoleon si bakal maharaja Perancis itu menawarkan persekutuan dengan Sultan Tipu, musuh utama yang menggugat kedudukan British di selatan India.

Namun, persekutuan yang dirancang itu tidak dapat dilaksanakan atas beberapa sebab. Serangan Napoleon ke atas Mesir menemui kegagalan dan bakal sekutunya pula, iaitu Sultan Tipu turut mengalami kekalahan besar.

Menjelang tahun 1798M, British berjaya memulihkan sumber yang dibelanjakan semasa Perang Anglo-Mysore Ketiga. Mereka turut meraih khidmat komander baru di Madras, iaitu Richard Wellesley si Earl of Mornington. Wellesley terkenal sebagai seorang pegawai yang berpegang pada polisi ‘serang musuh dan luaskan wilayah pemerintahan’.

Walaupun British telah pun merampas separuh dari wilayah Mysore dan memiliki sumber yang banyak, Sultan Tipu pada masa yang sama turut pulih dan Mysore sekali lagi kembali menjadi sebuah wilayah yang kuat. Pihak British menyedari bahawa Mysore merupakan satu-satunya tembok yang menghalang mereka dari menguasai India secara menyeluruh.

Oleh kerana itu, mereka kemudiannya menggerakkan 50 000 orang tentera pakatan menuju ke ibu kota Mysore di Seringapatam pada bulan Februari 1799M. Pasukan British kali ini bukanlah sebuah ketumbukan yang dipimpin oleh komander picisan dan dianggotai oleh rekrut tentera tempatan yang lemah. Sebaliknya, pasukan ini dibentuk oleh pegawai dan rekrut tentera yang paling berkualiti. Matlamat tunggal mereka adalah menghancurkan Mysore.

Menurut perancangan asal, British berhasrat untuk menghimpit Mysore menerusi serangan dua hala berskala besar. Namun pada bulan Mac, Sultan Tipu menggerakkan pasukannya dan melancarkan serangan mengejut yang hampir memusnahkan salah satu kontinjen British tanpa mereka sempat dibantu oleh sepasukan yang lain.
Sepanjang musim bunga, kekuatan British itu memberikan tekanan demi tekanan sebaik mereka menghampiri ibu kota Mysore. 

Keadaan ini memaksa Sultan Tipu untuk mengutus surat kepada Wellesley bagi mengatur persepakatan damai. Namun, Wellesley mengemukakan persyaratan yang langsung tidak munasabah. Keadaan tersebut tidaklah begitu menghairankan memandangkan misinya kali ini adalah untuk menghapuskan Sultan Tipu, dan bukannya untuk berunding dengannya.


KEMANGKATAN

Pada awal bulan Mei 1799, British dan sekutunya mengepung Seringapatam. Sultan Tipu pada waktu itu hanya memiliki 30 000 orang tentera untuk menahan asakan 50 000 orang tentera musuh. Pada tanggal 4 Mei, pihak British berjaya melepasi pertahanan kota. Sultan Tipu bergegas untuk menutup pertahanan tersebut dan beliau terkorban semasa mempertahankan kota itu. Selepas pertempuran berakhir, jasad Sultan Tipu ditemui di bawah timbunan jasad tentera Mysore. Seringapatam kemudiannya dijarah.


LEGASI

Dengan kemangkatan Sultan Tipu, Mysore sekali lagi menjadi negara naungan di bawah kekuasaan British Raj. Putera-puteranya dibuang negeri, dan sebuah keluarga lain dinaikkan menjadi pemerintah boneka Mysore di bawah pemerintahan British. Keluarga Sultan Tipu dijatuhkan sehingga menjadi miskin dan statusnya hanya dikembalikan pada tahun 2009.

Sultan Tipu berjuang dengan lama dan penuh bersungguh-sungguh, namun pada akhirnya perjuangannya itu gagal memelihara kemerdekaan tanah airnya. Pada hari ini, Sultan Tipu dikenang oleh kebanyakan masyarakat di India dan Pakistan sebagai seorang pejuang kebebasan yang hebat dan juga sebagai seorang pemerintah yang berkebolehan pada masa-masa aman.


SUMBER
  • “Britain’s Greatest Foes: Tipu Sultan.” National Army Museum, Feb. 2013.
  • Carter, Mia & Barbaro Harlow. “Archives of Empire: Volume I. From the East India Company to the Suez Canal.” Duke University Press, 2003.
  • “The First Anglo-Mysore War (1767-1769),” GKBasic, July 15, 2012.
  • Hassan, Mohibbul. “History of Tipu Sultan.” Aakar Books, 2005.