- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
DHWTY. (18 Mei 2017). No Smoke Without Fire: The Existence of Xia Dynasty and the Great Flood Legend. Ancient Origins.
DHWTY. (18 Mei 2017). No Smoke Without Fire: The Existence of Xia Dynasty and the Great Flood Legend. Ancient Origins.
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dinasti Xia secara
tradisinya dianggap sebagai dinasti pertama Cina. Dinasti ini dipercayai telah diasaskan
oleh Yu ‘Agung’ menjelang millennia ke-3 SM dan berakhir sehingga pertengahan
millennia berikutnya. Walaupun dinasti ini ada disebutkan di dalam teks-teks
purba Cina, penemuan arkeologi bagi membuktikan kewujudannya sangat kurang.
Maka, Dinasti Xia secara umum dianggap sebagai satu dinasti mitos. Apapun,
penemuan arkeologi terkini telah memperbaharui perbincangan tentang kewujudan
dinasti ini.
SEBUTAN PADA
CATATAN-CATATAN PURBA
Menurut catatan-catatan
sejarah Cina, ketamadunan Cina ditubuhkan oleh Tiga Buah Kedaulatan dan Lima Orang
Maharaja. Mereka-mereka ini merupakan pemerintah legenda yang dipercayai telah
menanamkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran penting kepada masyarakat Cina.
Pemerintah-pemerintah ini mendahului kewujudan Dinasti Xia, yang diasaskan oleh
Yu ‘Agung’.
Kisah penubuhan Dinasti
Xia mungkin boleh dijejak sehingga ke masa pemerintahan Maharaja Yao, iaitu
pemerintah kedua terakhir dari Lima Orang Maharaja. Pada masa pemerintahannya,
Yao menghadapi masalah untuk mengawal bencana banjir di Sungai Kuning. Masalah
ini merupakan hal yang sangat serius memandangkan ia memberi kesan yang buruk
kepada sektor agrikultur dan mengancam nyawa para penduduk.
Makanya, maharaja
mengambil keputusan untuk melantik seorang lelaki bernama Gun untuk menangani
permasalahan ini. Selama sembilan tahun, Gun berusaha untuk menghentikan banjir
itu namun gagal. Akhirnya, Gun membina sejumlah tambak pencegah bah dengan
harapan ia akan mampu menahan gulungan ombak banjir. Namun, tindakan ini juga
menemui kegagalan dan maharaja baru, Shun tidak bersenang hati dengan keadaan
itu.
![]() |
Banjir
Besar dari Kanagawa (sekitar 1830-1833) oleh Hokuzai
|
KEJAYAAN YU
Dalam beberapa versi
hikayat ini, Gun dikisahkan membunuh diri sambil versi lain pula memperlihatkan
beliau dipenjarakan oleh maharaja, atau memencilkan diri di kawasan
pergunungan. Walau apa sekalipun keadaannya, anaknya yang bernama Yu dilantik
untuk menyambung kerja bapanya.
Yu dengan pantas
menyedari bahawa bapanya itu terlalu memandang tinggi pada kebolehan dirinya
sendiri. Akibatnya, beliau cuba menyelesaikan permasalahan ini sendirian tanpa
meminta sebarang bantuan dari pihak lain. Tambahan lagi, Yu turut menyedari
bahawa kaedah yang digunakan oleh bapanya itu berlawanan sifat dengan banjir
bah dan bukannya cuba meneutralkan sifat semula jadi air bah itu. Misalnya, tambak-tambak
yang dibina itu ditempatkan di lokasi yang bertentangan dengan aliran banjir
sekaligus hanya berfungsi seperti sebuah benteng.
Dengan menyedari
beberapa buah pengajaran itu, Yu mengambil keputusan untuk meminta bantuan
daripada beberapa buah puak berhampiran agar membina sejumlah terusan. Hal ini
dapat mengalirkan banjir itu dari kawasan tanah landai dan kembali ke laut.
Projek ini memakan masa selama 13 tahun untuk disiapkan.
Pun begitu, hasil yang
diraih sangat memuaskan sekaligus maharaja bersenang hati dengan Yu lalu
melantiknya sebagai komander perang. Yu kemudian dihantar dalam sebuah kempen
ketenteraan bagi memerangi sebuah puak gasar yang dikenali sebagai Sanmio.
Kejayaan Yu dalam menewaskan musuhnya ini menambahkan lagi kekaguman maharaja.
Baginda kemudiannya memberikan ganjaran kepada Yu dengan menamakannya sebagai
pewaris takhta.
YU MENAIKI TAKHTA
Kenaikan takhta Yu
menandakan permulaan bagi Dinasti Xia. Yu memerintah selama 45 tahun dan
sebelum beliau mangkat, Yu sempat menamakan puteranya yang bernama Qi sebagai
pewaris. Pada awalnya, Yu berhasrat untuk melantik salah seorang menterinya
sebagai pengganti maharaja memandangkan menteri tersebut merupakan orang yang
paling layak menyandang jawatan itu. Namun, ramai rakyatnya menginginkan agar
Qi menjadi pewaris maharaja dan Yu terpaksa akur dengan permintaan tersebut.
Dengan demikian,
tindakan Yu yang menamakan Qi sebagai pewarisnya itu menjadi permulaan kepada
polisi pewarisan takhta secara turun-temurun di Cina. Keturunan-keturunan Yu memerintah Cina
sehingga tahun 1600SM. Maharaja terakhir dari dinasti ini ialah Jie yang
dikenali sebagai seorang pemerintah yang zalim. Akibatnya, beliau kehilangan
Mandat Tuhan dan digulingkan oleh Tang, si pengasas Dinasti Shang.
KALAU TIADA ANGIN
MASAKAN POKOK BERGOYANG
Kekurangan bukti
arkeologi untuk mengesahkan kewujudan Dinasti Xia telah mendorong ramai orang
untuk mempercayai bahawa Dinasti Xia ini tidak wujud dan hanya sekadar sebuah
mitos. Namun, penemuan-penemuan arkeologi terkini mengisyaratkan bahawa
berkemungkinan terdapat kebenaran di sebalik legenda Yu ini.
Pada tahun 2016,
dilaporkan bahawa banjir besar yang disebutkan di dalam sumber-sumber purba itu
sememangnya benar-benar pernah berlaku. Dakwaan ini berdasarkan kajian yang
dilakukan oleh sekumpulan ahli geologi di sekitar Sungai Kuning, Wilayah
Qinghai. Menerusi kajian ini, diyakini bahawa sebuah kejadian banjir besar
pernah berlaku sekitar tahun 1920SM.
Penemuan-penemuan
tersebut mengisyaratkan bahawa legenda Maharaja Yu mungkin memiliki asas-asas
yang benar. Malah, ia turut menghadirkan kemungkinan bahawa Dinasti Xia
diasaskan sedikit lewat berbanding tarikh yang dicadangkan oleh sejarahwan
selama ini.
SUMBER
- AFP-JIJI, Reuters. 2016. Xia dynasty evidence: Remains indicate Chian did have Great Flood.
- Gill, N. 2016. Xia Dynasty.
- Kelly. 2017. The Xia Dynasty – Ancient China’s First Dynasty.
- Pillalamarri, A. 2016. Revealed: The Truth About China’s Legendary Xia Dynasty.
- Szczepanski, K. 2015. Emperors of China’s Xia Dynasty.
- Travel China Guide. 2017. Xia Dynasty.
- Get link
- X
- Other Apps



