- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
DHWTY. (14 Oktober 2018). Khutulun: The Undefeated Bad-Ass Mongolian Warrior Princess. Ancient Origins.
DHWTY. (14 Oktober 2018). Khutulun: The Undefeated Bad-Ass Mongolian Warrior Princess. Ancient Origins.
Penterjemah: Amir Zayyanid
Khutulun merupakan seorang wanita bangsawan Mongol yang hidup pada zaman
wujudnya Empayar Mongol. Beliau dicatatkan sebagai seorang pahlawan yang hebat
dan kekuatannya dalam sukan gusti sering dikisahkan secara meluas. Khutulun ini
sangat masyhur sampaikan kisah hidupnya ditulis oleh Rashid al-Din, seorang
penulis Parsi yang hidup di Ilkhanate, dan pengembara masyhur dari Venetia yang
bernama Marco Polo.
LATAR BELAKANG KEBANGSAWANAN KHUTULUN
Khutulun turut dikenali sebagai Aigiarne, Aiyurug dan Khotol Tsagaan.
Aigiarne membawa maksud bulan cerah. Khutulun diperkirakan hidup pada sekitar
tahun 1260M. Bapanya bernama Kaidu, iaitu cucu kepada Ogedei Khan dan sepupu
kepada Kublai Khan.
Tidak seperti Kublai Khan yang mengasaskan Dinasti Yuan dan mengamalkan
gaya hidup masyarakat Cina, Kaidu memilih untuk mengekalkan gaya hidup nomad
yang diamalkan oleh nenek-moyang mereka. Menjelang tahun 1280M, Kaidu dianggap
sebagai salah seorang pemerintah paling berkuasa dalam Empayar Mongol dan
beliau mengekalkan kedudukan yang teguh di Chagatai Khanate yang berpangkalan
di Asia Tengah.
Menjelang waktu itu, Empayar Mongol sedang mengalami perpecahan dan gelaran “Khan Agung” yang disandang oleh Kublai Khan tidak membawa sebarang fungsi – hanya gelaran semata-mata. Berbanding memperluaskan wilayah-wilayah perbatasan empayar, khan-khan Mongol itu sibuk bertelagah antara satu sama lain. Kaidu merupakan salah seorang pemerintah Mongol yang mengambil sikap penentangan terhadap Kublai Khan dan sekutu-sekutunya. Dalam suasana dan masa-masa sebeginilah Khutulun dilahirkan.
Khutulun dibesarkan oleh bapanya dengan gaya hidup nomad, sama seperti
14 orang abangnya. Antara latihan yang dilaluinya termasuklah bergusti,
menunggang kuda dan memanah. Sebaik beliau meningkat dewasa, Khutulun membesar
sebagai seorang wanita yang mahir dalam sukan-sukan itu. Beliau sering dianggap
sebagai anak kesayangan Kaidu. Memandangkan bakatnya dalam hal ketenteraan
sangat terserlah, Kaidu sering meminta cadangan dan khidmat nasihat
daripadanya.
CATATAN MARCO POLO MENGENAI KHUTULUN
Salah satu sumber maklumat berkenaan Khutulun datang daripada penulisan
Marco Polo. Pengembara dari Venetia itu mencatatkan bahawa Khutulun
“dikurniakan tubuh badan yang sangat sihat, memiliki ketinggian dan kegagahan
yang luar biasa sampaikan beliau hampir dianggap sebagai gergasi”. Beliau juga
menuliskan bahawa Khutulun itu “sangat kuat sampaikan tidak ada seorang pemuda
pun dalam seluruh empayar yang mampu menewaskannya.”
Tambahan lagi, Marco Polo merekodkan bahawa kegagahan Khutulun dalam
pertempuran dan pertarungan tidak dapat ditandingi oleh sesiapapun dalam
kalangan tentera bapanya. Gaya tempur kegemaran beliau adalah menerpa ke arah
barisan musuh, memagut seorang tentera kavalri mereka dan mengheretnya ke
barisan tentera sendiri untuk dilunyaikan.
CABARAN BERGUSTI OLEH KHUTULUN
Menurut Marco Polo, ketika Khutulun sudah cukup dewasa, Kaidu berhasrat
untuk mengahwinkannya. Namun, hasrat tersebut dibantah oleh Khutulun dan beliau
menetapkan syarat bahawa beliau hanya akan mengahwini lelaki yang mampu
menewaskannya dalam sukan kegemarannya – iaitu gusti. Syarat dan permintaan
tersebut dipersetujui oleh Kaidu.
Lantas, Khutulun pun membuat pengumuman ke seluruh empayar bahawa
cabarannya itu dibuka kepada sesiapa sahaja. Menurutnya, jika lelaki tersebut
mampu menewaskannya, maka beliau akan menjadi isteri kepada lelaki tersebut.
Namun, jika lelaki itu yang tewas, maka dia perlu memberikan 100 ekor kuda
kepadanya.
Memandangkan Khutulun merupakan puteri kepada salah seorang pemerintah
yang paling berkuasa di empayar ketika itu, maka ramai lelaki berasa terpanggil
dengan tawaran tersebut. Dalam tempoh masa yang singkat, istana Kaidu diserbu
oleh para pelamar yang mahu menyahut cabaran Khutulun itu. Namun, tidak seorang
pun dari mereka mampu menewaskannya sampai-sampai Khutulun berjaya meraih 10
000 ekor kuda melalui cabaran tersebut.
Kemudian, muncul seorang putera yang masih muda. Penampilan pemuda
tersebut memikat perhatian Kaidu. Kaidu kemudian meminta kepada puterinya agar
kalah dengan sengaja supaya dapat mengahwinkan pemuda itu dengannya. Namun,
permintaan itu enggan ditunaikan oleh Khutulun dan putera itu pun kalah semasa
bergusti dengannya.
![]() |
Qutulun, puteri Qaidu. Lukisan yang dianggarkan bertarikh 1410-1412M ini menggambarkan Khutulun sedang bergusti dengan seorang pelamar |
Marco Polo tidak menyebutkan perihal jodoh Khutulun, walaupun sumber-sumber lain ada menyatakan bahawa beliau kemudiannya berkahwin juga kelak. Sebahagian sumber mendakwa bahawa Khutulun pada akhirnya berkahwin dengan seorang tawanan yang menurutnya memiliki ‘ketampanan’. Sementara sumber lain pula pula menyatakan bahawa beliau mengahwini salah seorang tentera dalam ketumbukan bapanya.
PUTERI KHUTULUN MENGINSIPIRASIKAN SEBUAH KARAKTER
OPERA
Kaidu mangkat pada tahun 1301M. Sebahagian pendapat mendakwa bahawa
beliau berhasrat supaya kedudukannya diwarisi oleh Khutulun. Namun, hal itu
dibantah oleh anak-anak lelakinya dan kedudukan Kaidu pada akhirnya diwarisi
oleh salah seorang puteranya. Beberapa tahun selepas kemangkatan Kaidu,
diperkirakan pada tahun 1306M, Khutulun pula meninggal dunia.
Apa yang menariknya, karakter Turandot (yang dimasyhurkan oleh seorang
komposer dari Itali yang bernama Giacomo Puccini dalam persembahan opera
berjudul sama) diandaikan mengambil inspirasi daripada Khutulun.
![]() |
Opera Turandot yang diarah oleh Roberto De Simone, Januari 2012 di Teatro Comunale Bologna |
SUMBER
- Badass of the Week. 2015. Khutulun.
- Liddell, S. 2016. Khutulun – The Mongolian Wrestling Princess.
- Marco Polo, The Travels of Marco Polo the Venetian. [Rhys, E. (ed.), 1908.
- Rejected Princesses. 2018. Khutulun.
- Suarez, M. 2017. The Story of the Princess Who Could Beat Any Guy At Wrestling.
- TheFamousPeople. 2018. Khutulun.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Khutulun: Pahlawan Puteri Mongol Yang TakTerkalahkan’
- Get link
- X
- Other Apps