- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Riley Winters. (31 Ogos 2017). Magu – The Hemp Goddess Who Healed Ancient Asia. Ancient Origins.
Riley Winters. (31 Ogos 2017). Magu – The Hemp Goddess Who Healed Ancient Asia. Ancient Origins.
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Ganja dan jenayah adalah
suatu hal yang sinonim dalam kebanyakan negara. Walaupun ganja secara bertahap
mula mengalami penerimaan oleh undang-undang sejak kebelakangan ini, namun
kesan buruk yang menimpa manusia yang menyelewengkan tumbuhan ini masih terus
membuatkannya dipandang negatif. Walau bagaimanapun, pengsinoniman ganja dengan
jenayah sendiri merupakan suatu yang agak baru.
Hal ini kerana pokok
rami, iaitu panggilan lain bagi pokok ganja, telah lama menjadi sebahagian
daripada amalan perubatan dan kerohanian dalam pelbagai budaya. Salah satu
contoh kepercayaan yang sangat menghargai pokok rami adalah Taoism dalam Cina
purba. Masyarakat Cina malah mempunyai dewi yang melindungi herba tersebut,
iaitu Dewi Magu.
Dalam kalangan masyarakat
purba di Asia Timur, pokok rami dianggap sama seperti bunga ambrosia yang suci dan
memiliki perkaitan dengan dewi-dewi Greek. Pokok rami telah lama dikenali
sebagai eliksir kehidupan ataupun herba mauhul hayat. Perkaitan antara Dewi
Magu dengan pokok rami secara utamanya terletak pada kegunaannya sebagai herba
penawar – memandangkan kebanyakan kisah mitologi mengenai Dewi Magu banyak
berkisar tentang situasi di mana beliau merawat orang-orang miskin dan sakit,
baik sebagai seorang dewi mahupun sebagai seorang sami wanita yang berkhidmat
untuk dewi penyembuh yang tidak dikenali namanya.
Dalam kesusasteraan
Korea, Magu mengambil peranan yang lebih cenderung kepada kedewaan walaupun
intisari ciri-ciri peribadinya masih relatif sama dengan Magu dari Cina.
KISAH BERKENAAN MAGU
Merentas negara Cina, Jepun dan Korea, Magu (atau Ma Gu, MaKu, Mako) digambarkan sebagai seorang gadis muda yang jelita, berusia tidak lebih daripada 18 atau 19 tahun. Usianya yang muda dan rupa parasnya yang jelita sememangnya sesuai sebagai simbol kesihatan dan tumbuh-tumbuhan penawar yang dilindungi olehnya (sebagai dewi pelindung).
Beliau dianggap sebagai
dewi yang memelihara kesejahteraan di seluruh Asia Timur, tidak hanya dalam
kehidupan manusia malah juga dalam kitaran alam. Dewi Magu sering dipercayai
berperanan dalam menghentikan ribut salji demi kesejahteraan flora dan fauna.
Di Korea pula, Magu mengambil peranan yang lebih tinggi. Berbanding hanya sebagai
seorang dewi pelindung, beliau dianggap oleh masyarakat Korea sebagai Dewi
Pencipta seperti Dewi Amaterasu dalam kepercayaan Shinto di Jepun. Keupayaannya
sudah tentu begitu meluas, sesuai dengan tugas penciptaan dunia dan manusia.
Walaupun Dewi Magu memiliki ramai pemuja dari pelbagai etnik, penulis-penulis Cina dilihat merupakan antara yang paling bersungguh-sungguh memelihara mitologinya. Magu lebih menonjol dalam kesenian Cina sekaligus membenarkan seseorang untuk mengenali dan memahami versi Cina Magu dan kemudian membandingkan dengan bentuk atau versinya yang lain.
Walaupun Korea
menganggapnya sebagai dewi pencipta, Taoist Cina meyakini bahawa Magu mempunyai
latar belakang sebagai seorang manusia. Versi yang paling kukuh bagi naratif
ini mendakwa bahawa Magu merupakan seorang manusia yang menjalani hidup yang
miskin pada abad ke-5 atau ke-6 Masihi – suatu zaman yang dilanda huru-hara
peperangan. Beliau bekerja sebagai tukang tenun.
Tidak ada sebarang
rekod perihal ibunya, namun bapa Magu dipercayai merupakan seorang penternak
kuda. Anak-beranak itu saling bekerja keras untuk menampung kehidupan. Pada
suatu hari, Magu diberikan sebiji buah pic oleh seorang pelanggannya. Rezeki
tersebut tidak dikongsikan dengan bapanya, sebaliknya Magu menghadiahkannya
kepada seorang wanita berusia yang ditemui di jalanan. Magu kemudian memasakkan
bubur untuk wanita tua itu yang berada dalam keadaan yang jauh lebih susah
berbandingnya.
Malangnya, bubur
tersebut tidak sempat dihantar kepada wanita itu kerana bapanya pulang ke rumah
dan mengurung Magu di dalam biliknya. Apabila beliau keluar daripada bilik itu
untuk menemui wanita tersebut, ternyata wanita itu sudah tiada – yang dapat
ditemui oleh Magu hanyalah sebiji buah pic. Magu kemudian menanam benih buah
tersebut dan memeliharanya sehingga tumbuhan itu membesar menjadi sebatang
pokok pic yang segar.
Pokok tersebut
mengeluarkan buah yang lebat, bebas untuk dipetik dan dinikmati oleh
orang-orang yang memerlukan. Tidak lama kemudian, buah-buah pic daripada pokok
milik Magu itu diyakini mampu berfungsi sebagai penawar. Magu pula meraih
kehidupan yang kekal abadi sebagai dewi yang memiliki dan melindungi tumbuhan
mauhul hayat tersebut.
![]() |
| Buah pic dari pokok milik Magu dikatakan mempunyai keupayaan sebagai penawar |
DEWI PENYEMBUH DAN DEWI POKOK GANJA
Walaupun kisah yang
diceritakan di atas hanyalah salah satu daripada sekalian kisah berkenaan
kewujudan Magu, namun ia mendedahkan fungsinya sebagai dewi – iaitu dewi yang
menyembuhkan orang yang sakit serta memelihara nasib orang yang miskin serta
menyuburkan alam semula jadi.
Daripada kisah-kisah
tersebut, dapat dilihat bahawa penulis-penulis Cina menggambarkan bahawa mauhul
hayat yang dimiliki oleh Magu ialah buah pic dan hal tersebut dapat dibuktikan
dengan lebih lanjut menerusi simbol-simbol awal yang dikaitkan dengan Magu
sebagaimana yang terkandung dalam karya-karya Cina purba.
Namun, pokok ganja juga
boleh dikaitkan dengan keupayaan menyembuh Magu – walaupun penyembuhan tersebut
lebih kepada perawatan secara spiritual berbanding fizikal. Catatan-catatan
mengenai amalan penganut Taoist ada menyenaraikan penggunaan benih ganja atau
rami sebagai pelindung dari rasukan syaitan dan mampu menambahkan deria
‘penglihatan kedua’.
Sementara itu, benih
ganja yang dibakar pula merupakan barangan yang dikaitkan dengan ritual
penyucian yang seringkali nama Dewi Magu diserukan di dalam upacara tersebut.
Malah, beliau turut dikaitkan dengan sebuah rupa bumi yang dianggap suci oleh
para penganut Taoist, iaitu Gunung Tai memandangkan tumbuh-tumbuhan bercambah
dengan lebat sekali di gunung tersebut.
Pada pandangan orang barat, bukanlah suatu hal yang menghairankan jika Cina mempunyai seorang dewi yang memiliki keupayaan menyembuh dan dikaitkan secara khusus dengan ganja. Kecenderungan bahawa pokok ganja pertama sekali ditanam di Cina purba mempunyai bukti yang kuat, lebih-lebih lagi penemuan-penemuan sejarah menyokong hal tersebut. Hakikatnya, dalam dunia klasik Greek, Cina purba sering dipanggil sebagai ‘Tanah Mulberry dan Rami’.
Berkemungkinan hal ini
juga mempengaruhi penamaan Dewi Magu atau mungkin penamaan tumbuhan tersebut
(ganja atau rami), bergantung kepada jawapan terhadap persoalan, “manakah yang
datang terlebih dahulu; dewi rami atau pokok rami?” Tambahan lagi, nama Dewi
Magu seringkali diterjemahkan sebagai ‘Dewi Rami’. Nama Dewi Magu turut memikul
konotasi yang lain, seperti ‘perawan’.
Namun, hal itu juga
selari dengan simbol awet muda dan keupayaannya melindungi alam semula jadi.
Malahan, keadaan pokok rami yang tumbuh dengan begitu lebat di Gunung Tai
seakan-akan memperlihatkan bahawa para dewa mengurniakan tumbuhan tersebut
secara langsung kepada para sami Taoist.
Bekas atau jejak penggunaan ganja dalam masyarakat Asia purba masih tidak dapat dipastikan dengan jelas. Namun, terdapat bukti bahawa tumbuhan tersebut memainkan peranan yang penting dalam sejarah Asia Timur. Bahkan, terdapat juga bukti bahawa rami ataupun ganja tampil sebagai corak perhiasan pada tembikar Taiwan di zaman purba dan tongkat-tongkat Shinto bagi sami-sami Jepun.
Kehadiran rami dalam
hal-hal seperti itu seakan-akan mengisyaratkan nilainya yang tersendiri dalam
budaya Asia sejak dahulu kala lagi. Hal ini sekaligus mencerahkan lagi
hipotesis yang mengaitkan Dewi Magu dengan pokok ganja.
Pada zaman di mana
kewujudan herba-herba yang memiliki kemampuan luar biasa merupakan satu
kelaziman dan masyarakat-masyarakat pada waktu itu pula mempercayai kewujudan
para dewa di celah-celah alam semula jadi, agak munasabah untuk mengaitkan
‘kuasa’ pokok ganja dengan dewi penyembuh. Tumbuhan yang sangat mujarab itu
sudah tentu diamanahkan kepada dewi (atau sami) yang memiliki kedudukan atau
nilai yang sangat tinggi dalam kalangan masyarakat – seperti Dewi Magu.
SUMBER
- Booth, Martin. 2005. Cannabis: A History. Macmillian.
- Christensen, Thomas. 2014. River of Ink: An Illustrated History of Literacy. Counterpoint.
- Jia, Jinhua, Xiaofei Kang and Ping Tao. (eds.) 2104. Gendering Chinese Religion: Subject, Identity and Body. SUNY Press.
- Li, Hui-lin. 1974. “An archaeological and history account of cannabis in China.” Economic Botany. Vol. 28.1 pp. 437-447.
- Monaghan, Patricia. 2014. Encyclopedia of Goddesses and Heroines. New World Library.
- Shimkhada, Deepak and Phyllis K. Herman. 2009. The Constant and Changing Faces of the Goddess: Goddess Traditions of Asia. Cambridge Scholars Publishing.
- Szirom, Tricia. 2015. “Goddess Mago, Ma_Ku, Magi: Goddess of China, Korea and Japan.” Gaia’s Garden. Accessed Augus 19, 2017.
- https://www.gaiasgarden.com.au/index.php/aboutus/articles-by-gaias-garden/132-goddess-mago
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Magu: Dewi Ganja Penyembuh Asia Purba’
- Get link
- X
- Other Apps






