MARDUK: RAJA DEWA BABYLONIA DAN PEMBEBAS KAUM YAHUDI

Pautan ke artikel asal:
Veronica Parkes. (17 Ogos 2018). Marduk: Babylonian King of Gods and Reportedly Liberator of the Jews. Ancient Origins.

Penterjemah: Amir Zayyanid


Ramai dalam kalangan kita pernah mendengar nama Zeus, Odin mahupun Jupiter – tidak seperti Marduk yang jarang didengari. Marduk dilahirkan sebagai anak kepada dewa masyarakat Babylon, baik daripada sebelah ayah mahupun ibunya. Bermula dari bawah, Marduk merintis jalan ke puncak sehingga beliau menjadi ketua dewa Babylon.

Beliau sempat berperang melawan ibu bapanya demi membantu manusia daripada ancaman huru-hara (chaos). Usahanya itu berjaya mengembalikan keamanan dan memulihkan keadaan di kawasan sekitar Babylon. Beliau bahkan terlibat dalam membantu kaum Yahudi untuk membaik-pulih kuil mereka. Nama Marduk seharusnya diingati dan diletakkan sebaris dengan Zeus, Odin dan Jupiter memandangkan beliau juga merupakan raja kepada para dewa.


ASAL-USUL DEWA MARDUK

Disebut sebagai Marutuk, Marduk merupakan dewa pelindung kota Babylon pada zaman Mesopotamia purba. Namanya membawa maksud “anak kerbau matahari”. Pada abad ke-18SM, kedudukan Marduk mula meniti masa-masa perdana sebagai ketua dewa Babylon dan hanya dapat memperkukuhkan posisi tersebut menjelang abad ke-15SM. Marduk sering dikaitkan dengan planet Jupiter, air, tumbuhan, penghakiman dan magis.

Marduk merupakan anak kepada Ea (Enki) dan Damkina. Isterinya pula ialah Dewi Sarpanit. Kekuatan yang dimiliki oleh Marduk diperakui oleh bapanya, Ea dan beliau kemudian diberikan hak pengawalan ke atas manusia. Marduk juga mengambil alih sifat-sifat kedewaan Ea sekaligus menjadikannya sebagai dewa magis.

Pada awal abad ke-19SM, Babylon menjadi sebuah kota yang merdeka walaupun masih dibayangi oleh negara-negara kota Mesopotamia lain yang lebih berkuasa seperti Isin, Larsa dan Assyria. Pada abad ke-18SM, kekuatan Babylon mula berkembang dan pemujaan Dewa Marduk juga semakin meraih tempat. Hal ini membuatkan dewa tersebut berhasil mengatasi Dewa Enlil sekaligus memperkukuhkan kedudukannya sebagai ketua dewa di Babylon.


ENUMA ELISH DAN PERTEMPURAN MARDUK MELAWAN TIAMAT

Enûma Elish ditulis pada abad ke-18SM dan merekodkan perihal kegemilangan Marduk yang mendaki puncak kuasa – bermula dari detik kelahirannya lalu disusuli oleh detik keperwiraannya dan kemudian berakhir dengan kisah bagaimana beliau berjaya menjadi ketua dewa. Catatan-catatan tersebut mengisahkan tentang perang saudara yang meletus di antara para dewa.

Apsu si dewa air merangkap bapa kepada segala dewa mengambil keputusan untuk membunuh anak-anaknya (dewa generasi baru) atas cadangan penasihatnya. Isteri kepada Apsu, iaitu Tiamat yang merupakan dewi air masin dan dewi penciptaan merangkap ibu kepada segala dewa bertindak membocorkan rancangan Apsu itu kepada anaknya, Ea. Ea kemudian membunuh bapanya. Namun, tindakan tersebut mengundang kemarahan Tiamat dan beliau lantas membunuh anak-anaknya.

Dalam situasi yang gawat itu, dewa-dewa generasi baru tercari-cari seorang dewa dalam kalangan mereka yang mampu menewaskan dewa-dewa yang memerangi mereka. Seruan tersebut lantas disahut oleh Marduk dan beliau dijanjikan kedudukan sebagai ketua para dewa andai berjaya menewaskan mereka.

Sebagai langkah persiapan, Marduk pun mengumpulkan senjata-senjatanya dan menyelubungkan tubuh badannya dengan api. Beliau kemudian menghasilkan sebuah jaring yang berjaya melilit Tiamat dan kemudian menyeru empat arah mata angin untuk memerangkap dewi tersebut. Pertarungan yang berlangsung antara Marduk dan Tiamat itu menyaksikan kemenangan berpihak pada Marduk setelah beliau berjaya menikam perut Tiamat dengan menggunakan anak panah.

Setelah itu, Marduk membunuh Kingu, si ketua tentera Tiamat dan kemudian membebaskan manusia dari kehidupan yang susah. Sejak itu, manusia pun bergabung tenaga dengan para dewa untuk menghadapi huru-hara (chaos) dan mengekalkan keseimbangan serta keamanan di dunia.

Rajah pada mohor silinder Neo-Assyria dari abad ke-8SM yang dikenal pasti oleh beberapa sumber sebagai gambaran pembunuhan Tiamat dari Enûma Eliš.


MARDUK DAN BIBLE

Setelah Cyrus yang Agung dari Parsi menawan Babylon, beliau mengambil polisi yang berbalikan daripada para pemimpin terdahulunya yang mana mereka itu semua menghapuskan banyak binaan kuil. Sebaliknya, Cyrus kembali menghidupkan semula kepercayaan tempatan di kota-kota naungannya dan menyalurkan dana untuk menampung belanja pembinaan semula kuil-kuil tersebut.

Di dalam Bible, beliau diberikan kredit kerana membenarkan kaum Yahudi untuk pulang semula ke Jerusalem dan membaik-pulih kuil Yahweh. Disebutkan bahawa Cyrus sendiri mempercayai bahawa tindakannya itu merupakan dorongan daripada Marduk, dan bukannya Yahweh. Hal ini terekod di dalam Silinder Cyrus (Cyrus Cylinder) yang ditemui pada tahun 1879M di Babylon, sebagaimana berikut:

“Marduk si dewa agung telah mentakdirkan untuk aku memiliki hati yang mencintai kota Babylon dan agar aku kerap memujanya… Aku mengembalikan patung-patung dewa yang sejak sekian lama telah mendiami tempat itu (Babylon), dan aku biarkan mereka hidup dalam mahligai yang abadi (kuil-kuil, pen.). Aku telah kumpulkan kesemua penduduknya dan membenarkan mereka pulang ke tanah air mereka… atas perintah Marduk.”

Walau bagaimanapun, di dalam kitab Isaiah disebutkan bahawa Yahweh merupakan dewa yang mengilhami Cyrus:

“Aku akan membesarkan Cyrus dalam hakikat kebenaranku.
Aku akan menjadikan jalannya lurus belaka.
Dia akan membina semula kotaku,
dan membebaskan orang-orangku yang hidup di perantauan.” (Isaiah 45:13)

Silinder Cyrus


RAMALAN MARDUK

Ramalan Marduk merupakan sebuah dokumen dari Assyrian yang bertarikh 713-612SM. Ia dijumpai dalam sebuah bangunan yang bernama The House of the Exorcist yang terletak berhampiran dengan sebuah kuil di kota Assur. Ramalan tersebut memperincikan pengembaraan patung Marduk dari Babylon.

Pada tahun 1531SM, kota Mursilis dijarah dan patung Marduk dirampas lalu dibawa ke Assyria. Patung tersebut kemudian dibawa ke Assur dan Elam pada tahun 1225SM. Ketika patung Marduk itu berada di Assyria dan Assur, dokumen ini menerangkan bahawa Dewa Marduk dengan limpah kurnianya berkenan untuk melakukan penziarahan dan hal tersebut merupakan suatu berita yang gembira buat seluruh penduduk Babylon.

Walau bagaimanapun, penziarahannya ke kota Elam ternyata hanya mengakibatkan bencana, membawa kemiskinan serta wabak penyakit ke Babylon – memandangkan para dewa telah meninggalkan kota itu demi mengikut Marduk.

Marduk meramalkan bahawa beliau akan kembali ke Babylon pada suatu hari nanti, ketika kota itu berada di bawah pemerintahan seorang raja messiah baru yang akan membawa keselamatan ke atas kota tersebut dan melunaskan dendam ke atas penduduk Elam.

Raja tersebut ialah Nabukudurri-usur I (Nebuchadnezzar), 1125-1103SM. Dokumen tersebut sangat jelas ditulis sebagai pemasyhuran setelah Nebuchadnezzar berjaya menewaskan penduduk Elam dan membawa semula patung Marduk ke Babylon:

Kudurru dari Nabu-kudurri-usur mengurniakan pengecualian daripada cukai buat LAK-ti Marduk kerana khidmat yang diberikan semasa serangannya ke atas Elam.

Sesudah serangan Xerxes ke atas Babylon, tidak ada lagi sebarang sebutan perihal patung Marduk itu. Begitu juga semasa Babylon ditakluk oleh Alexander the Great pada tahun 331M. Oleh kerana itu, terdapat kemungkinan bahawa patung tersebut telah musnah ataupun hilang tanpa jejak. Setelah itu, kepercayaan masyarakat Babylon pun pupus dan mitologi Marduk pula lenyap.

Dewa Marduk dan naganya, dari sebuah materi silinder


Marduk meramalkan bahawa beliau akan kembali ke Babylon pada suatu hari nanti ketikamana Babylon berada di bawah pemerintahan seorang raja messiah yang baharu yang akan membawa keselamatan kepada kota dan membalas dendam ke atas Elamites. Raja ini adalah Nabukudurri-usur I (Nebuchadnezzar), 1125-1103SM.
Catatan Ramalan Marduk tersebut sangat jelas ditulis sebagai peniup semboyan agar raja-raja Babylon menewaskan Elamites dan membawa semula patung Marduk ke kota tersebut.


SUMBER