- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Kallie Szczepanski. (15 Februari 2019). The Invention of the Crossbow. ThoughtCo.
Kallie Szczepanski. (15 Februari 2019). The Invention of the Crossbow. ThoughtCo.
Penterjemah:
Amir Zayyanid
“Kekuatan itu boleh diumpamakan dengan bidikan busur silang; sementara tegas pendirian itu pula diumpamakan dengan melepaskan picu busur silang.” – Sun Tzu, The Art of War, abad ke-5 SM.
Penciptaan busur silang
telah membawa pembaharuan dalam peperangan. Teknologi dari Asia itu kemudiannya
tersebar ke Timur Tengah dan seterusnya memasuki Eropah menjelang zaman
pertengahan. Jika dipandang dari suatu sudut, kewujudan busur silang ini telah
membuka peluang yang lebih luas untuk sesiapa sahaja terlibat dalam peperangan
– pemanah tidak perlu lagi memiliki kekuatan atau kemahiran bagi membuat
bidikan maut sebagaimana sebelum ini ia diperlukan untuk mengendalikan busur
panah tradisional.
SIAPAKAH YANG MENCIPTA BUSUR
SILANG?
Busur silang yang
pertama dipercayai telah dicipta sama ada di salah sebuah kerajaan Cina purba
ataupun di kawasan Asia Tengah pada tempoh masa sekitar 400SM. Tidak dapat
dipastikan secara jelas pada tahun bilakah senjata baru lagi berkuasa ini
dicipta, atau siapakah yang pertama sekali diilhami dengan idea penciptaannya.
Sumber-sumber linguisik mengisyaratkan bahawa asal-usulnya adalah dari Asia
Tengah di mana teknologi itu kemudiannya tersebar ke Cina. Namun,
catatan-catatan daripada zaman tersebut sangat kurang dan tidak mencukupi untuk
meraihkan kepastian tentang asal-usul busur silang ini.
Apa yang pasti,
strategis ketenteraan masyhur yang bernama Sun Tzu mengetahui perihal kewujudan
busur silang. Beliau mengaitkan penciptaan busur silang ini dengan seorang ahli
cipta bernama Q’in dengan meletakkan tarikh abad ke-7SM sebagai tarikh
penciptaan teknologi tersebut. Namun, tarikh hayat Sun Tzu dan penerbitan
pertama kitab Art of War juga masih lagi menjadi kontroversi justeru ia
tidak boleh digunakan sebagai sandaran bagi memerihalkan kewujudan awal busur
silang.
Ahli-ahli arkeologi
Cina seperti Yang Hong dan Zhu Fenghan meyakini bahawa busur silang telah
dicipta seawal tahun 2000SM lagi. Keyakinannya itu didasarkan pada penemuan
artifak tulang-belulang, batu-batuan, dan cengkerang yang dipercayai merupakan
bahagian picu pada busur silang. Busur silang berpemegang paling awal yang
lengkap dengan picu yang diperbuat daripada gangsa ditemui di sebuah makam di Qufu, Cina dengan
ujian pentarikhan karbon menyebutkan tahun 600SM. Pemakaman tersebut merupakan
relik dari Kerajaan Lu, iaitu sebuah kerajaan yang terletak di wilayah Shandong
moden pada era Musim Bunga dan Musim Luruh (771-476SM).
BUKTI ARKEOLOGI
Bukti arkeologi
tambahan menunjukkan bahawa teknologi busur silang telah tersebar secara meluas
di Cina pada hujung era Musim Bunga dan Musim Luruh. Sebagai contoh, sebuah
makam dari pertengahan abad ke-5SM milik Kerajaan Chu (wilayah Hubei)
mengandungi peluru busur silang. Sambil sebuah makam di Saobatang, Wilayah
Hunan berusia dari pertengahan abad ke-4SM turut menyaksikan penemuan busur
silang yang diperbuat daripada gangsa. Sebahagian Tentera Terracotta yang
dikebumikan bersama Qin Shi Huangdi (260-210SM) juga didapati memegang busur
silang. Busur silang berganda yang terawal ditemui di sebuah lagi makam abad
ke-4SM yang terletak di Qinjiazui, Wilayah Hubei.
KEPENTINGAN BUSUR
SILANG DALAM SEJARAH
Busur silang berganda
dipanggil sebagai zhuge nu dalam bahasa Cina. Ia berupaya membidik
peluru secara berganda sebelum perlu dimuat semula. Sumber-sumber lama
mengaitkan ciptaan ini kepada seorang ahli taktikal era Tiga Kerajaan yang
bernama Zhuge Liang (181-234M). Namun, penemuan busur silang berganda di
Qinjiazui yang berusia 500 tahun lebih awal dari hayat Zhuge Liang membuktikan
bahawa beliau bukanlah pencipta asal teknologi itu. Namun, beliau sememangnya
dipercayai telah melakukan beberapa perubahan besar pada rekaan tersebut. Pada
tahun-tahun terkemudian, busur silang berganda mampu membidik sebanyak 10 buah
peluru dalam masa 15 saat sebelum perlu dimuat semula.
Busur silang berbentuk
asas menjadi senjata pilihan secara meluas di seluruh Cina menjelang abad
ke-2M. Ramai sejarahwan kontemporari menyebutkan bahawa busur silang berganda
ini merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kemenangan Han-China ke atas
Xiongnu. Xiongnu dan kebanyakan komuniti nomad dari padang rumput Asia Tengah
masih lagi menggunakan busur panah tradisional. Walaupun penggunanya memiliki
kemahiran memanah yang tinggi, namun mereka ditewaskan oleh pasukan tentera
yang menggunakan busur silang, terutama dalam menghadapi pengepungan dan
pertempuran misil (berbalas bidikan panah).
Raja Sejong
(1418-1450M) dari Dinasti Joseon di Korea memperkenalkan busur silang berganda
kepada pasukan tenteranya setelah melihat sendiri penggunaan senjata ini semasa
lawatannya ke Cina. Senjata ini terus digunakan oleh tentera Cina sehingga
hujung era Dinasti Qing, termasuklah semasa Perang Cina-Jepun 1894-1895M.
Malangnya, busur silang bukanlah tandingan bagi persenjataan moden Jepun dan
Qing-China pun pada akhirnya mengalami kekalahan dalam peperangan tersebut.
Perang Cina-Jepun itu merupakan konflik besar peringkat dunia terakhir yang
memperlihatkan penggunaan busur silang.
SUMBER
- Landrus, Matthew. Leonardo’s Giant Crossbow. New York: Springer. 2010.
- Lorge, Peter A. Chinese Martial Arts: From Antiquity to the Twenty-First Century, Cambridge University Press. 2011.
- Selby Stephen. Chinese Archery. Hong Kong: Hong Kong University Press. 2000.
- Sun Tzu. The Art of War. Mundus Publishing. 2000.
- Get link
- X
- Other Apps
